Khamis, 9 Oktober 2008

Pak Lah serah jawatan PM kepada Najib, harap menang Presiden Umno
MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden Umno akan menyerahkan kerusi Perdana Menteri kepada Timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak bila tiba masa yang sesuai.

Bagaimanapun beliau berharap Najib akan menang dalam pemilihan jawatan Presiden parti Mac depan.

"Saya harap Datuk Seri Najib... anda tahu mengapa saya kata 'harap'? Sebab beliau perlu bertanding dalam pemilihan dahulu.

"Beliau perlu tanding dalam pemilihan sebagai Presiden Umno dahulu, tapi saya percaya beliau boleh lakukannya...saya harap beliau jadi Presiden," kata beliau pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) hari ini.

Ditanya mengenai tarikh sebenar peralihan kuasa tersebut, Abdullah berkata, selepas Najib menjadi Presiden Umno, mereka akan mengadakan perbincangn mengenai penyerahan jawatan nombor satu dalam kerajaan itu.

Kata beliau, keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya itu adalah muktamad tanpa didesak oleh mana-mana pihak.

"Tanyalah mereka (pemimpin BN) sama ada mereka desak atau tidak. Saya tahu saya tak buat yang terbaik semasa pilihan raya.

"Saya rasa sekarang masa generasi baru untuk ambil alih," katanya.

Abdullah menjelaskan bahawa Beliau tidak kesal dengan keputusannya itu, tetapi langkah tersebut disambut baik oleh pemimpin-pemimpin parti komponen BN.

Dalam sidang media penuh ceria itu Abdullah memberitahu, perasaannya kini adalah seperti biasa tanpa rasa sedih.

"BN masih lagi menjadi kerajaan yang memerintah dan saya yakin BN akan terus bertahan hingga pilihan raya akan datang datang... saya yakin kita akan menang," katanya.

Mengulas jika beliau tetap menerima pencalonan daripada Umno peringkat bahagian yang akan mula bersidang esok, beliau berkata: "Apa boleh buat... orang dah calon kita, macam mana kita nak buat, kita dah bagi tahu awal-awal lagi dah."

Tiada ulasan: