Jumaat, 10 Oktober 2008

Ada sesuatu tidak kena punca Abdullah letak jawatan
Zuharman MN


PASIR PUTEH - Tentunya ada sesuatu yang tidak kena apabila Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tiba-tiba membuat keputusan enggan mempertahankan jawatannya pada persidangan agung Umno Mac depan.

"Kalau Dato' Seri Abdullah yakin tak bersalah kenapa nak letak jawatan. Sebaliknya dari awal lagi kena letak jawatan jika rasa bersalah, ini baru dinamakan bertanggungjawab.

"Yang suruh letak jawatan itu adalah orang, tetapi mandat yang diberi oleh rakyat kepada beliau itu mesti dipertanggungjawabkan," kata Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat di sini petang semalam.

Beliau diminta mengulas pengumuman Perdana Menteri tidak mempertahankan jawatannya pada persidangan agung Umno Mac depan.

Sedangkan sebelum itu Abdullah mengumumkan pelan peralihan pada Jun 2010 bagi membolehkan jawatan yang dipegang sekarang diserah kepada Dato' Seri Najib Razak.

Mursyidul Am PAS itu berkata, Abdullah dianggap sebagai mencalar mandat yang diberi rakyat selama ini apabila tiba-tiba enggan memikul tanggungjawab diberi rakyat.

Beliau tidak wajar berbuat demikian semata-mata menyahut desakan beberapa ahli dalam Majlis tertinggi Umno jika berkeyakinan dapat menguruskan pentadbiran negara dengan baik.

Bagaimanapun kata beliau tentunya ada sesuatu yang tidak kena apabila Perdana Menteri melepaskan jawatan hanya kira-kira setahun selepas pilihan raya umum ke-12.

Menurutnya juga, beliau sebelum ini pernah acap kali didesak Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa supaya meletakkan jawatan.

"Walaupun beberapa kali saya diminta supaya letak jawatan, tetapi saya tak letak, kenapa saya nak letak sebab saya yakin yang saya tak bersalah," kata beliau selepas merasmikan Baitul Taubah dekat sini petang semalam.

Baitul Taubah merupakan pusat pemulihan dadah secara Islam yang dikendalikan di bawah kerajaan negeri. Ia mula beroperasi 16 Januari lalu. - mj _

Tiada ulasan: