AIDCNews
Ong Kim Seng –
Kita pernah dengar istilah kudeta atau “Coup d’état”. Rampasan kuasa
atau penggulingan yang diistilahkan sebagai pengambilalihan kuasa secara
paksa.
Ada antara negara yang kuasa pemerintahan dirampas, kerajaan digulingkan dan peralihan kuasa dibuat secara paksa.
Namun, jarang kita dengar mengenai rampasan pengaruh, memaksa
menerima sungguhpun pada awalnya seperti “mutual consensus” dalam
kesepakatan antara sesama mereka dan akhirnya didominasi, dijajah dan
ditawan.
Jika mengistilahkan rampasan pengaruh ada perbezaan metodologi dalam pelaksanaannya.
Rampasan kuasa dilakukan secara paksa dengan menggulingkan dan terus
mengambil alih semua pegangan seperti dalam persyarikatan ada istilah
“hostile takeover” iaitu gerakan mengambil alih syarikat melalui
pembelian saham dengan tujuan menumpukan pengambilalihan pengurusan
sesebuah syarikat.
Namun, pengambilalihan dan rampasan pengaruh tidak dilakukan sejenak atau segera.
Sebenarnya, istilah ini belum terungkai pengertiannya. Belum terbit,
tetapi diwujudkan semata-mata untuk memberi senario apa yang ada pada
PKR hari ini dan gabungan pembangkang yang sebelum ini Pakatan Rakyat
bertukar kepada Pakatan Harapan (PH).
Jika diteliti, perubahan sudah berlaku dalam gabungan pembangkang tanpa disedari.
Apa yang ada dalam pembangkang sudah beralih daripada gerakan
bertunjangkan kerakyatan kepada elitis kepimpinan dan peralihan hari ini
juga melibatkan prinsip pegangan perjuangan awalan pembentukan.
Bermula dengan penerimaan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Deklarasi
Rakyat sehinggalah dominasi kuasa dalam PH yang beliau bertindak sebagai
pengerusi.
Aliran masuk nilai perjuangan semakin berbeza dan hari ini apa yang
mahu dilakukan Dr Mahathir diperakui semua dengan sokongan menyeluruh.
Dr Mahathir telah berjaya merampas pengaruh yang ada dalam PH
sehingga gabungan pembangkang itu, khususnya PKR tidak sedar mereka
dalam kelemasan.
Ini jelas diperakui Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Datuk Rais
Hussin yang berkata “pembebasan dan masa depan Datuk Seri Anwar Ibrahim
tidak wajar menguasai agenda PH”.
Kenyataan ini dibidas penyelaras “Free Anwar Now” sebagai Belanda
mendapat tanah yang bermaksud mahu menuntut lebih banyak dan tidak tahu
mengenang budi.
Namun, apa juga yang dikatakan Dr Mahathir berjaya menyusup dan
memanipulasi agenda yang ada serta menyebabkan pengalihan fokus yang
tidak disedari PKR dan sekutunya sebelum PH.
Meniti kononnya atas persamaan matlamat, tetapi Dr Mahathir
sebenarnya berjaya melututkan musuh politiknya, menyenyapkan salah laku
sebelum ini, malah meletakkan dirinya sebagai pengatur politik,
membentuk dan memotret diri sebagai jalan kemenangan untuk PH.
Perakuan Dr Mahathir mampu membawa kemenangan kepada PH sudah menular
dan diterima sebagai hakikat dan secara automatik memerangkap serta
menawan keseluruhan komponen dalam PH.
Satu penggadaian kepada roh perjuangan PKR yang mana pendekatan
matlamat perjuangan Reformasi berasaskan penentang terhadap Dr Mahathir,
kini terkubur.
Memandangkan pencabar terdekat dan satu-satunya pemimpin yang selama
ini membuktikan kejayaan menentang beliau dipenjarakan, maka penyerapan
ke dalam PKR amat mudah dilaksanakan.
Semua dimanipulasi dengan gambaran kejayaan membentuk kerajaan.
Mewujudkan tsunami Melayu, dipadu penolakan orang Cina dan India
terhadap Umno/Barisan Nasional (BN) serangan terhadap Datuk Seri Najib
Razak.
Maka, terpesona dan khayal peserta politik dalam PKR dan komponen
mereka sehingga identiti kepartian sanggup digadai kepada Dr Mahathir.
Maka, segala aliran perjuangan berpusat kepada agenda Dr Mahathir, cara dan kehendaknya.
Mungkin dalam selimut, PH tidak sedar bermula gerakan rampasan
pengaruh oleh Dr Mahathir dalam keadaan ketua umum PH dan PKR sedang
meringkuk dalam penjara.
Malah, dalam PKR sendiri sudah berlaku perpecahan ketara dan ini
ditujukan kepada pengaruh Dr Mahathir, khususnya Timbalan Presiden PKR,
Datuk Seri Azmin Ali yang dikatakan terlibat dalam memulakan langkah
atau membuka ruang untuk Dr Mahathir memasuki gabungan pembangkang itu.
Hipotesis lain juga melibatkan kesedaran PKR bahawa pengaruh kuat
Azmin dan pengaruh ini diselubungi agenda Dr Mahathir, lantas wujud
keperluan mencantas untuk menahan dan menghalang pengaruh Dr Mahathir
tersebar luas.
Usaha membunuh agenda tersembunyi Dr Mahathir perlu dilakukan dalam keadaan matlamat menumbangkan BN/Umno perlu direalisasikan.
Kita boleh lihat dengan tergadai PKR, bersama pakej perjuangan
Reformasi seperti tuntutan untuk kes Anwar dikaji semula di bawah
kebobrokan politik Dr Mahathir tidak lagi kedengaran.
Kedengaran laungan Reformasi diselang-seli dengan laungan “Hidup Tun” sekaligus melenyapkan pembelaan untuk Anwar.
Ini amat menyedihkan.
Dr Mahathir dalam misi menawan, merampas PKR telah melenyapkan perjuangan Reformasi lebih 20 tahun.
Segala-galanya tertumpu kepada penamaan calon, strategi calon, siapa bertanding dan siapa tidak dicalonkan.
Cantas-mencantas, pergolakan dalam parti angkara kelebihan dos politik.
Seharusnya, kita bertanya kepada diri mengapa sebuah kenderaan yang
memacu ke arah kemenangan tiba-tiba diambil alih kepimpinan yang
mempunyai banyak liabiliti.
Ini memberatkan, melambatkan dan paling sadis mampu tewas dan tersungkur seperti sebelum ini.
Adakah kita tidak berasa hairan kenapa kepimpinan atasan menerima,
sedangkan penyokong marhaen ramai yang tidak bersetuju dengan
penggabungan, khususnya dengan Dr Mahathir?
Kenapa kita harus menukar arah, berpatah balik daripada kekuatan yang ada kepada pergantungan palsu yang dibawakan Dr Mahathir.
Hari ini seakan “kudeta” telah berlaku. PKR ditawan, digulingkan tidak secara fizikal, tetapi keruntuhan teras perjuangannya.
Adakah Presiden OKR dan angkatan “My Team” beliau – Rafizi Ramli dan
Datuk Saifuddin Nasution sedang menggerakkan langkah untuk merampas
semula kuasa, pengaruh dan perjuangan yang tergadai kepada Dr Mahathir
yang bakal menjadi perdana menteri ke-7?