Selasa, 27 September 2016

Selangor peruntukan RM1bilion laksana projek bekalan air, kata Adun DAP

MALAYSIA DATELINE
 
 
Kos bagi pembinaan Loji Rawatan Air Semenyih 2 dan Labohan Dagang; Projek Mitigasi 2 dan 3; dan kerja-kerja menganti 23 paip dijangka siap pada 2017 dan 2018 akan datang.Kos bagi pembinaan Loji Rawatan Air Semenyih 2 dan Labohan Dagang; Projek Mitigasi 2 dan 3; dan kerja-kerja menganti 23 paip dijangka siap pada 2017 dan 2018 akan datang.


Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Yeo Bee Yin, kerajaan negeri Pakatan Harapan telah memperuntukkan hampir RM1 bilion demi kesenangan rakyat dalam jangka masa panjang di negeri Selangor.

Ia termasuk, katanya, kos bagi pembinaan Loji Rawatan Air Semenyih 2 dan Labohan Dagang; Projek Mitigasi 2 dan 3; dan kerja-kerja menganti 23 paip yang dijangka siap pada 2017 dan 2018 akan datang.

“Dengan projek-projek yang sedang dilaksanakan itu, Selangor akan menerima bekalan air yang sempurna menjelang 2018,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yeo Bee YinYeo Bee YinAdun Damansaran Utama itu berkata, ia perlu dikawal selia dengan projek susulan bagi memastikan masalah sama tidak berulang.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi balas terhadap kenyataan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datul Seri Noh Omar yang mendakwa Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali ‘sibuk berpolitik hingga lupa masalah rakyat’.

Noh yang jug Pengerusi Barisan Nasional Selangor itu turut mendakwa kononnya kerajaan negeri tidak menjaga kebersihan sungai Semenyih yang menjadi antara sumber bekalan air di negeri itu sehingga berlakunya pencemaran.

Bee Yin bagaimanapun mengingatkan Noh bahawa pemantauan kualiti sungai tidak terletak di bawah agensi kerajaan negeri sahaja, sebaliknya tanggungjawab yang sama turut dipikul agensi kerajaan Persekutuan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Kedua-dua, sama ada kerajaan Persekutuan dan negeri perlu mengambil tanggungjawab ini untuk bersama-sama dalam mengawal pencemaran sungai.

“Dalam mana-mana kes, tumpuan sekarang adalah untuk bekerja bersama-sama untuk secepatnya mengenal pasti punca pencemaran untuk memastikan masalah yang sama tidak timbul,” katanya seperti dipetik portal rasmi parti itu.

Hasil kerjasama itu, katanya, akan membawa pelaku sebenar terhadap pencemaran sungai ke muka pengadilan dan menerima hukuman yang berat atas kesalahan berkenaan.

Azalina: Tuntutan Husam, Matthias berniat jahat

SINAR HARIAN
Azalina Othman Said
Azalina Othman Said


KUALA LUMPUR - Keputusan Matthias Chang dan Datuk Husam Musa menggugurkan 'Class Action' terhadap syarikat-syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan individu yang dikaitkan dengan dakwaan penyelewengan dan pengubahan wang haram membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menunjukkan bahawa dakwaan mereka tidak bermerit dan tidak berasas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata perbuatan Husam yang juga bekas naib presiden Pas dan Matthias selaku setiausaha politik Tun Dr Mahathir Mohamad adalah berniat jahat serta mahu meraih publisiti murahan selain menyalahgunakan proses mahkamah.

“Kedua-dua mereka bukan sahaja cuba memalukan Malaysia malah, tindakan mereka boleh dilihat sebagai kurang faham akan prosedur mahkamah dan keperluan asas bagi pemfailan 'Class Action'.

“Tindakan mereka juga dilakukan atas tujuan politik dan mereka terburu-buru di dalam perkara ini semata-mata untuk mendapat publisiti dengan menyalahgunakan mahkamah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata Husam, di dalam kenyataannya bertarikh 24 September lepas, menarik balik saman itu bagi menyesuaikannya berikutan beberapa perkembangan terkini, adalah tidak dapat diterima.

Beliau berkata secara umum, permulaan 'Class Action' akan ditentukan berdasarkan kepada empat prasyarat yang ketat mengikut Peraturan 23(a) Prosedur Sivil Peraturan Persekutuan Amerika Syarikat (FRCP-USA).

Husam dan Matthias memfailkan saman bersama itu terhadap 1MDB, Goldman Sachs, penerbit filem Riza Aziz dan syarikatnya Red Granite Pictures.

Saman itu dikatakan diketepikan pada tengah hari Jumaat tetapi tiada alasan diberi tentang penolakannya. - Bernama


TIDAK BOLEHKAH SPR MEMPERLIHATKAN DIRINYA BENAR BEBAS DAN BERKECUALI?

shahbudindotcom


Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia atau SPR adalah sebuah badan bebas. Kerja mereka ialah menguruskan perjalanan pilihanraya dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengannya

Antara perkara lain berkaitan pilihanraya yang menjadi tugas SPR ialah mendaftar pengundi dan melakukan persempadanan semula kawasan-kawasan Parlimen dan juga DUN.

Berbanding menguruskan perjalanan pilihanraya atau melakukan pendaftaran pemilih, melakukan persempadanan atau melukis semula kawasan-kawasan pilihanraya seringkali menimbulkan bantahan serta rungutan.

Mengikut undang-undang, persempadanan  kawasan pilihanraya perlu dilakukan pada setiap lapan hingga sepuluh tahun sekali. Ia bertujuan mengelakkan ketidakseimbangan pengundi berikutan kemungkinan berlakunya pertambahan penduduk dalam tempoh tersebut.

Kali terakhir persempadanan semula peringkat Parlimen dilakukan ialah pada 2003, di Sabah pada 2005 dan di Sarawak pada 2015 yang lalu.

Persempadanan semula kawasan pilihanraya yang biasanya menyaksikan jumlah kerusi Parlimen turut ditambah, memerlukan sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat. Itulah yang berlaku sebelum ini seperti yang dilakukan SPR pada 2003, 1994 dan tahun-tahun sebelumnya.

Dalam persempadanan yang dicadangkan SPR kali ini, ia tidak melibatkan pertambahan jumlah kerusi Parlimen, sebaliknya hanya kawasan-kawasan pilihanraya itu dilukis semula atau dipecah-pecahkan.

Oleh kerana ia tidak melibatkan pertambahan jumlah kerusi Parlimen, maka kelulusan dua pertiga di Dewan Rakyat adalah tidak diperlukan. Persempadanan kali ini hanya memerlukan undi majoriti mudah daripada Ahli-Ahli Parlimen saja.

Banyak isu timbul dalam persempadanan kali ini. Antara yang paling diperbualkan ialah kawasan Melayu dikecilkan, manakala kawasan yang majoriti bukan Melayu dibesarkan lagi. Lantaran itu, lukisan baru kawasan pilihanraya ini dilihat seolah-olah untuk memberi kelebihan kepada UMNO memenangi banyak kerusi Parlimen dalam PRU 14 akan datang yang menyaksikan "pertarungan hidup atau mati"  bagi karier Najib.

Dengan kawasan Melayu dikecilkan, melalui mainan sentimen perkauman, selain kuasa wang dan penggunaan jentera kerajaan, ia dikatakan mampu memberi kelebihan kepada UMNO. Ia juga seolah-olah memperlihatkan kawasan bukan Melayu dan campuran yang dibesarkan itu dilonggokkan untuk dimenangi oleh parti-parti pembangkang.

Berikutan itu, yang banyak membantah ialah parti-parti politik pelbagai kaum dan bukan Melayu. Dalam Pakatan Harapan, semua parti meluahkan bantahan, manakala dalam BN, yang kuat memprotes ialah MCA dan Gerakan. MCA dan Gerakan bagikan dapat melihat nasib mereka hanya sebagai "penumpang tanpa kerusi" saja dalam BN selepas ini.

UMNO, walaupun turut membantah, tetapi hanya di satu dua kawasan saja yang seolah-olah sebagai syarat semata-mata.

Dalam ertikata lain, jika Ahli-Ahli Parlimen BN menyokong usul persempadanan baru ini, maka ia pasti diluluskan, diterima dan digunakan dalam PRU 14 akan datang.

Soalnya, mengapa SPR tidak melakukan tambahan kerusi Parlimen di negeri-negeri yang wujud banyak pertambahan bilangan penduduk serta kawasan perumahan baru seperti di Wilayah Persekutuan, Selangor, Johor, Pulau Pinang dan lain-lainnya?

Tidakkah dengan hanya melukis semula dan bukan melakukan pertambahan kerusi Parlimen, ia dengan sendirinya menunjukkan SPR terikat kepada kedudukan BN dan kerajaan yang tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen?

Bagaimana jika misalnya ketika ini BN mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, adakah pecahan kawasan yang menyaksikan  pertambahan jumlah kerusi Parlimen yang akan dilakukan oleh SPR serta dicadangkan kepada kerajaan atau sekadar lukisan semula sepertimana yang dilakukannya sekarang?

Dalam hal ini, sesuai dengan kedudukannya sebagai badan bebas serta berkecuali, SPR seharusnya membuktikan dirinya benar-benar bebas serta tidak terikat kepada parti yang sedang menguasai kerajaan, walaupun pihak kerajaan yang akan membentangkannya di Parlimen.

Jika pecahan kawasan yang disertai dengan pertambahan kerusi Parlimen itu dilakukan dengan adil, objektif  dan benar-benar mengambil kira pentingnya keseimbangan pengundi di semua kawasan pilihanraya, sudah pasti Ahli-Ahli Parlimen, sama ada BN atau pembangkang, tidak ada masalah untuk memberikan sokongan mereka.

Bukankah SPR sepatutnya memberikan khidmat untuk kepentingan pengundi dan rakyat serta tidak bergantung kepada sama ada BN dan kerajaan ada majoriti dua pertiga atau tidak di Parlimen?

Melakukan lukisan semula, antaranya dengan mengecilkan kawasan majoriti Melayu dan membesarkan kawasan bukan Melayu, dengan sendirinya akan mewujudkan ketidakseimbangan politik, tidak kira siapa pun yang akan memenangi pilihanraya. 


Berakhlak baik, Ahmad Yakob paling layak jadi Mursyidul Am PAS - MUAFAKAT

Oleh Haizal Yatiran
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yaakob adalah calon paling layak untuk mengemudi parti berkenaan, kerana mempunyai sifat sebagai seorang pemimpin Islam, kata Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Ismail Mina. 
 
Beliau merujuk kepada penolakan Ahmad terhadap jawatan Mursyidul Am ketika mana namanya disebut-sebut sebagai calon yang paling layak menggantikan tempat Almarhum Datuk Dr Haron Din yang meninggal dunia baru-baru ini. 
 
Hal ini kerana menurut beliau, seorang pemimpin terutama bagi parti politik yang berteraskan Islam hanya akan menerima jawatan yang diberi setelah diamanahkan oleh pengikut, bukannya dengan meminta-minta jawatan tersebut.
 
"Betullah tu. Itulah sifat akhlak yang terbaik. Beliau tidak berebut-rebut jawatan tersebut. Akhlak ini yang sepatutnya ada pada pemimpin. Sekarang (yang lain) ini berebut-rebut," katanya kepada Antarapos dalam satu wawancara hari ini.
 
Selain mempunya akhlak dan keperibadian yang baik, Ahmad Yaakob juga dikatakan calon yang paling layak menggantikan Almarhum Haron Din kerana jawatannya ketika ini sebagai Timbalan Mursyidul Am.
 
Malah Ismail menambah, situasi yang dialami Ahmad kini sama seperti ketika Datuk Nik Aziz Nik Mat menyandang jawatan Mursyidul Am sebelum ini dan pada masa yang sama merupakan Menteri Besar Kelantan.
 
"Ada ramai calon yang layak, ada beberapa nama boleh disebut, tapi pada hemat saya datuk menteri besar Kelantan paling layak. sewaktu Datuk Nik Aziz jadi menteri besar, (pada masa sama) menjadi Mursyidul Am. Datuk menteri besar sekarang pun samalah. Lagipun dia sekarang Timbalan Mursyidul Am," tambahnya.
 
Sejak kematian Haron Din, calon yang bakal menggantikan tempat Allahyarham untuk mengemudi PAS dalam membawa hala-tuju parti itu menjadi topik perbualan muktahir ini.
 
Haron Din meninggal dunia pada umur 76 tahun di Hospital Stanford University di California, Amerika Syarikat, 16 September lalu.
 
Beliau sebelum itu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan dirawat dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) semasa menjalani rawatan jantung.
 
Almarhum meninggalkan seorang balu, Datin Khadijah Md Salleh dan lima orang anak.
 
 

BMW milik Naib Ketua Umno Bahagian JB terbakar

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
JOHOR BAHRU: Sebuah kereta BMW 5251 milik Naib Ketua Umno Bahagian Johor Bahru Datuk Yahya Jaafar musnah terbakar pada Isnin dipercayai akibat perbuatan khianat.
 
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Mohd Taib Ahmad berkata kejadian itu pada awalnya disedari isteri beliau pada pukul 11.45 pagi ketika kenderaan itu diparkir di kawasan rumah mereka di Bandar Baru Uda, di sini.
 
Yahya juga merupakan Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru ketika itu pula tiada di rumah.
 
"Semasa kejadian, ada empat orang di rumah (termasuk isteri Yahya) dan mereka keluar apabila menyedari ada asap dan bunyi letupan kecil.
 
"Selepas diperiksa, didapati sebuah kereta BMW milik Yahya terbakar. Bagaimanapun, mereka sempat menyelamatkan dua buah kereta lain, masing-masing jenis Chrysler dan Audi Q5 yang diparkir berhampiran," katanya dalam kenyataan, di sini.
 
Mohd Taib berkata bomba dan unit forensik polis telah dipanggil ke lokasi kejadian tetapi tidak menemui sebarang objek atau bahan letupan, yang berkait dengannya.
 
"Di peringkat ini, siasatan di bawah Seksyen 386 Kanun Keseksaan yang menjuruskan kepada kes khianat dengan api," katanya. 
 
 

Bekas Tok Batin Temuan tiada locus standi untuk saman kerajaan Selangor

BERNAMA
 
 
Istana KehakimanIstana KehakimanMahkamah Rayuan memutuskan bahawa seorang bekas Tok Batin daripada suku kaum Temuan dan dua anak lelakinya tidak mempunyai locus standi (hak di sini undang-undang) untuk menyaman kerajaan Selangor dan empat pihak lagi bagi deklarasi untuk menuntut kembali tanah Orang Asli.

Berikutan keputusan panel tiga hakim, saman sivil yang difailkan oleh Malam anak Gerchang, 72, dan dua anak lelakinya, Dewi, 56, dan Jafrin, yang memohon untuk mengisytiharkan 17,900 ekar tanah sebagai penempatan rizab Orang Asli itu ditolak.

Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh, yang mempengerusikan panel berkenaan, berkata berdasarkan keterangan, ketiga-tiga lelaki itu tidak mempunyai locus standi untuk memulakan tindakan undang-undang bagi pihak kaum Temuan.

Panel itu sebulat suara menolak rayuan ketiga-tiga mereka dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Feb tahun lepas bahawa mereka tidak mempunyai locus standi untuk membawa tindakan undang-undang terhadap responden.

Hakim Mohd Zawawi berkata sungguhpun mahkamah bersimpati dengan mereka berikutan masalah yang dihadapi, mahkamah tidak boleh membuat keputusan yang memihak kepada mereka berdasarkan fakta dan keterangan kes itu.

Beliau berkata berdasarkan keterangan, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Hashim Hamzah tidak terkhilaf dalam keputusannya yang mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan.

Beliau memerintahkan perayu supaya membayar kos RM10,000. Bersidang bersama beliau ialah Hakim Datuk Varghese George Varughese dan Datuk Abdul Rahman Sebli.

Malam, Dewi dan Jafrin menyaman kerajaan Selangor, Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Langat, syarikat perlombongan pasir Kumpulan Semesta Sdn Bhd, pengarah Tanah dan Galian Selangor dan pihak berkuasa negeri Selangor, bagi memohon deklarasi bahawa tanah di Mukim Tanjung Duabelas di Selangor yang diisytiharkan sebagai Rizab Hutan Utara Kuala Langat adalah tanah rizab Orang Asli.

Ketiga-tiga mereka memfailkan saman itu bagi pihak kira-kira 4,000 penduduk Orang Asli di Mukim Tanjung Duabelas yang turut memohon perisytiharan bahawa tanah itu kepunyaan suku kaum Temuan.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili ketiga-tiga mereka memberitahu pemberita saman itu ditolak berikutan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa anak guamnya tidak mempunyai locus standi untuk mengemukakan saman.

Beliau bagaimanapun berkata beliau menerima arahan daripada anak guamnya untuk membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan.

Terdahulu, Mohamed Haniff Khatri berhujah bahawa Malam masih Tok Batin yang sah selaras dengan amalan tradisi, adat, budaya dan kepercayaan suku kaum Temuan serta mempunyai hak untuk membawa tindakan undang-undang bagi pihak masyarakat Orang Asli suku Temuan.

Penasihat Undang-undang negeri Selangor Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman mewakili kerajaan Selangor, Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Langat, Pengarah Tanah dan Galian dan pihak berkuasa Selangor pula berhujah bahawa Malam menandatangani surat peletakan jawatan sebagai Tok Batin pada 2005 dan seorang Tok Batin baharu dilantik dalam tahun sama.

Persempadanan semula: P. Pinang tak bercadang adakan PRN, mahu kemuka bantahan

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
GEORGE TOWN: Kerajaan DAP Pulau Pinang berpendirian untuk tidak  mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi membantah cadangan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya di negeri itu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).   
 
Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri sebaliknya akan mengemukakan bantahan kepada SPR sebagai pihak berkuasa tempatan.
 
Beliau berkata isu mengadakan PRN bagi membantah cadangan persempadanan itu di Pulau Pinang sebenarnya tidak berbangkit.
 
"Saya rasa kalau nak buat PRN, sudah buat tetapi...buat masa sekarang perkara itu tidak berbangkit," katanya kepada pemberita semalam.
 
Pada Ahad, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyatakan Pakatan Harapan negeri akan bermesyuarat bagi mendapatkan pendirian bersama dalam  membantah cadangan kajian persempadanan itu.
 
Bagaimanapun, Chow yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri berkata beliau tidak dapat menghadiri mesyuarat Pakatan Harapan itu yang diadakan pada Ahad.
 
Katanya beliau difahamkan kerajaan Pulau Pinang akan meneliti impak kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya itu sebelum menentukan tindakan  yang akan diambil.
 
"Kajian mengenai perkara itu mungkin dapat dimuktamadkan dalam tempoh dua minggu lagi," katanya.
 
Menurutnya kerajaan Pulau Pinang merancang untuk menggunakan kuasa sebagai pihak berkuasa tempatan bagi mengemukakan bantahan berhubung proses persempadanan semula itu.
 
 

Orang Islam diseru sokong Akta 355 - Mufti Kelantan

ANTARAPOS.COM


Post Pic


KOTA BHARU: Orang Islam diseru untuk menyokong pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau lebih dikenali sebagai Akta 355 yang bertujuan memartabatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah di negara ini.
  
Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri dalam masa yang sama turut menasihati Ahli Parlimen khususnya yang beragama Islam agar menyokong pindaan tersebut apabila ia dibahaskan di sidang Dewan Rakyat pada sesi akan datang.

"Memang wajib (menyokong)... kenapa tidak mahu melihat perkara baik berlaku dalam Mahkamah Syariah. Kalau sebelum ini, bidang kuasa Mahkamah Syariah rendah, kalau beri sedikit kuasa, apa masalahnya.

"Dalam al-Quran ada menyebut, bertolong, membantu dalam hal-hal kebaikan, kebajikan dan taqwa merupakan benda yang baik, jadi semua patut sokong perkara baik (Akta 355)," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Mahabbah Ulama, semalam.

Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata akta berkenaan sebelum ini dipinda sebanyak dua kali tanpa sebarang masalah ataupun mendapat bantahan daripada mana-mana pihak.

Justeru, beliau melihat tentangan terhadap pindaan Akta 355 banyak dikemukakan oleh parti politik yang disifatkan mempunyai kepentingan masing-masing.

"Saya pun tidak faham. Pindaan Akta 335 ini kalau diluluskan, ia hanya bertujuan meningkatkan lagi bidang kuasa Mahkamah Syariah.

"Kalau kita tengok tentangan ini banyak daripada parti-parti politik,barangkali ada isu-isu yang ada kepentingan masing-masinglah," katanya.

Akta 355 dijangka akan dibentangkan pada sesi sidang Dewan Rakyat, pertengahan bulan depan, selepas Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta penangguhan sewaktu sesi yang lepas.

ADUN tegaskan sekali lagi jawatan KM P.Pinang dihadkan kepada dua penggal

THE MALAYSIAN TIMES


teh_yee_cheu1911_620_465_100


GEORGE TOWN: Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Bungah daripada DAP Teh Yee Cheu meminta kerajaan negeri Pulau Pinang menimbang semula cadangan mengehadkan tempoh jawatan ketua menteri selama dua penggal sahaja untuk kebaikan rakyat.

Beliau berkata Pulau Pinang patut mendahului langkah itu untuk melakukan pembaharuan terhadap legasi politik Malaysia.

Amalan mengehadkan tempoh itu juga patut diguna pakai bagi jawatan Perdana Menteri dan Menteri Besar, katanya.

“Saya juga akan terus mengemukakan isu ini kepada Dewan (Dewan Undangan Negeri). Jika Kerajaan Pulau Pinang boleh melakukannya, persdiangan Dewan Rakyat akan datang tentu menjadi yang terbaik.

“Oleh itu, biarlah Pulau Pinang menjadi pendahulu mengenainya di negara ini,” katanya apabila dihubungi di sini hari ini.

Teh merujuk kepada kenyataan naib presiden penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia Datuk Seri Mukhriz Mahathir bahawa parti itu akan mencadangkan agar penggal memegang jawatan Perdana Menteri dihadkan kepada dua penggal sahaja sekiranya parti itu membentuk kerajaan.

Teh berkata isu melakukan pembaharuan itu cukup serius dan kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP perlu menerajuinya sekarang.

Oleh itu, kata Teh, beliau akan sekali lagi mengemukakan notis usul untuk meminda perlembagan negeri ini bagi mengehadkan penggal memegang jawatan oleh Ketua Menteri dan terus membangkitkannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri akan datang kerana ia melibatkan kepentingan awam.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri pada 10 Nov 2014, Teh mencadangkan jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang disandang secara bergilir dan mengehadkan tempohnya kepada dua penggal sahaja untuk memberi peluang kepada pemimpin lain yang berkebolehan turut mencurahkan khidmatnya.

Bagaimanapun, usul itu ditolak setelah mendapat reaksi bercampur-campur daripada anggota dewan.

Pada 31 Mac 2016, beliau mengemukakan resolusi tentang perkara itu dan ditolak untuk kali kedua.
— Bernama


Keselamatan murid: Pertemuan KDN, Rela, PDRM diadakan segera

THE MALAYSIAN TIMES


datuk-seri-dr-khair-mohamad-yusof


KUALA LUMPUR: Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi membincangkan isu keselamatan murid semasa pergi dan balik sekolah.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof berkata perbincangan itu diadakan kerana pihaknya memandang serius beberapa insiden kemalangan yang bukan sahaja menyebabkan kecederaan malah kehilangan nyawa murid.

Menurutnya perbincangan itu bagi mengenal pasti sekolah-sekolah di seluruh negara yang berada di lokasi berisiko tinggi kemalangan.

“Dalam hal ini kementerian menyambut baik dan mengalu-alukan tawaran KDN khususnya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menggunakan khidmat Rela bagi mengawal lalu lintas di kawasan sekolah berikutan peningkatan kemalangan melibatkan murid,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata perkara itu boleh dibincangkan bersama oleh pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Rela.

Pada 21 Sept lepas, seorang murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Medan, Bagan Serai di Perak, maut akibat dilanggar treler ketika melintas untuk memasuki perkarangan sekolahnya.

Sehari sebelumnya, murid Tahun Empat SK Santong, Dungun di Terengganu maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan memasuki perkarangan sekolah.

Khair berkata Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah juga diminta mematuhi arahan surat pekeliling berkaitan iaitu Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 8/1999: Keselamatan Diri Murid Dalam Perjalanan Pergi dan Balik Sekolah.

Selain itu, mereka juga perlu mematuhi Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 10/2009: Pelaksanaan Program Pendidikan Keselamatan Jalan Raya Dalam Bahasa Malaysia di Sekolah Rendah dan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 8/2011: Pengurusan Keselamatan Murid di Sekolah.

Sementara itu, Ketua Pengarah Rela Datuk Kamariah Mohd Noah berkata pihaknya tidak mempunyai halangan menghantar anggotanya membantu urusan kawalan lalu lintas di sekolah jika ada permohonan daripada Kementerian Pendidikan atau pihak sekolah.

Beliau berkata Rela sedia menempatkan dua anggotanya di kawasan sekolah.

“Tetapi perkara itu bergantung kepada tahap kesibukan lalu lintas dan risiko di kawasan itu. Mungkin juga boleh ditempatkan sehingga empat anggota,” katanya kepada Bernama hari ini.

Bagaimanapun, Kamariah berkata perkara itu bergantung dengan keputusan Kementerian Pendidikan sekiranya ia ingin mengambil perkhidmatan kawalan keselamatan swasta untuk mengawal keselamatan di sekolah.— Bernama