Ahad, 28 Februari 2016

Yayasan 1MDB taja 150 imam, pengerusi JKKK naik haji

BERNAMA




Sebanyak 150 imam dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari Sarawak akan dipilih bagi menyertai Program Khas Haji Yayasan 1Malaysia Berhad (1MDB) tahun ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mengumumkan perkara itu semasa melawat Masjid Jamek Saratok hari ini, Perdana Menteri berkata mereka yang dipilih itu nanti terdiri daripada 75 imam dan 75 pengerusi JKKK.

"Kami serahkan kepada kerajaan negeri untuk menentukan siapa yang akan terpilih untuk menunaikan fardu haji di bawah program ini nanti," katanya.

Beliau berkata ini adalah sebagai menghargai jasa kepimpinan imam dan pengerusi JKKK di peringkat akar umbi.

Program khas untuk menunaikan rukum Islam kelima itu dimulakan Yayasan 1MDB pada 2011 dengan sebanyak 111 jemaah dari seluruh negara. Jumlah itu ditingkatkan kepada 400 orang pada tahun berikutnya, 2013 (800), 2014 (1,000) dan 2015 (1,200).

Najib berkata jumlah yang dipilih bagi negeri Sarawak adalah besar dan beliau berharap mereka akan mendapat haji yang mabrur nanti.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Terdahulu Perdana Menteri merasmikan Program Sejiwa Senada 2016 Saratok yang turut dihadiri oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem.-Bernama


Khairuddin bukan boleh pakai, kata Tengku Adnan

Zulaikha Zulkifli

 


Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata tindakan bekas pemimpin parti itu Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang ingin membuat laporan terhadap parti itu kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebagai "tidak boleh pakai".

"Itu dia cakap (tak patuh peraturan parti). Dia ahli Umno pun entah betul ke tak. Khairuddin tu bukan boleh pakai," katanya sinis.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Kenduri 1Wilayah Persekutuan di kawasan Parlimen Segambut hari ini.

Terdahulu Khairuddin mendakwa Majlis Tertinggi (MT) Umno tidak mematuhi peraturan parti termasuk apabila menggantung Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan presiden.

Tambahnya, dengan menggantung Muhyiddin sebagai pemimpin nombor dua parti, majlis itu juga tidak menghormati keputusan pemilihan parti yang lalu.

Sehubungan itu, Khairuddin bercadang untuk membuat laporan terhadap ROS pada 1 Mac depan.
Kenapa nak ambil tindakan pada Nazri?

Ketika ditanya mengenai desakan Umno Pagoh yang meminta agar tindakan diambil terhadap anggota MT, Datuk Seri Nazri Aziz yang mengibaratkan Muhyiddin seperti 'anjing', Tengku Adnan meminta perkara itu disemak terlebih dahulu.

Beliau meminta agar wartawan memeriksa fakta sekiranya Nazri yang juga menteri pelancongan pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Kita dah gantung Muhyiddin kenapa nak ambil tindakan pada Nazri? Betul ke (Nazri cakap seperti itu), lebih baik awak periksa fakta awak," katanya.

Nazri baru-baru ini mengumpamakan tindakan Muhyiddin sejak kebelakangan ini ibarat ‘anjing yang sibuk menggigit kaki’ sehingga menyukarkan parti itu melaksanakan tanggungjawabnya.

Ekoran itu, Umno Pagoh mendakwa hati mereka serta bangsa Johor 'terguris' dengan kenyataan Nazri itu.

Terdahulu ketika berucap merasmikan majlis berkenaan, Tengku Adnan yang juga menteri Wilayah Persekutuan meminta rakyat di kawasan itu mengembalikan semula kerusi parlimen tersebut kepada BN.

Katanya, BN perlu menguasai kembali kerusi di Segambut serta di Wilayah Persekutuan bagi memastikan kerajaan dapat membantu rakyat dengan lebih mudah.

"Saya rayu yang tak undi BN, undi BN dan beritahu pada orang di bawah untuk pulang balik kerusi ini (Segambut) pada BN kerana sejak kerusi ini wujud sehingga sebelum pilihan raya umum ke-13, kawasan ini merupakan kawasan BN.

"Jadi pada pilihan raya umum ke-14 kita akan ambil semula Segambut. Boleh ke tak boleh?" kata Tengku Adnan yang kemudian mendapat sorakan "Boleh" dari hadirin.


'Muhyiddin kena terima kalau masih sayangkan Umno'

BERNAMA




Keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO menggantung Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden UMNO adalah tindakan yang wajar, kata anggota MT UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau berkata tindakan Muhyiddin yang terus mengkritik kepimpinan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak hanya akan melemahkan parti.

"Kalau beliau masih sayangkan parti jangan buat tindakan yang memecah-belahkan walaupun telah digantung, kena terima keputusan dengan hati terbuka dan terus menyokong parti.

"Saya juga pernah dipecat (daripada UMNO) pada 1995, namun saya terima keputusan Majlis Tertinggi dengan hati terbuka. Saya tidak sabotaj atau menentang parti sebab saya sayangkan UMNO," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Dataran Nelayan Kota Setia di Pasir Salak, hari ini.

Jumaat lepas, MT UMNO sebulat suara membuat keputusan menggantung jawatan Muhyiddin sebagai timbalan presiden berkuat kuasa serta merta, dan memutuskan Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjalankan tugas sebagai timbalan presiden parti.

Terdahulu, Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani melepaskan kira-kira 100,000 benih anak udang galah di perairan Sungai Perak serta menyampaikan elaun sara hidup sebanyak RM200 kepada setiap 85 nelayan.

Di ALOR SETAR, UMNO Bahagian Pendang yakin Ahmad Zahid mampu menjalankan tugas sebagai timbalan presiden UMNO dengan baik demi memastikan kelangsungan parti.

Ketua UMNO Bahagian Pendang Datuk Paduka Md Rozai Safian berkata, keyakinan itu dibuktikan dengan kebolehan dan prestasi cemerlang ditunjukkan Ahmad Zahid walaupun baru beberapa bulan menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.

"UMNO Pendang sangat menyokong dan akan memberi kerjasama penuh dalam hal-hal yang berkaitan dengan tugasan beliau," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Rozai turut berkata, gandingan Menteri Besar Kedah yang baharu Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebagai pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah dan Datuk Seri Mahdzir Khalid sebagai timbalan pengerusi mampu menghasilkan impak baik.

"Kami juga ucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir atas perkhidmatan, budi dan jasa beliau terhadap UMNO Pendang sepanjang beliau menjadi Menteri Besar dan pengerusi badan perhubungan UMNO Kedah," katanya.-Bernama

TH lapor polis, Rafizi didesak tunjuk bukti

Lembaga Tabung Haji
.


SHAH ALAM - Lembaga Tabung Haji (TH) membuat laporan polis hari ini selepas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendakwa agensi tersebut memberi jaminan korporat kepada sebuah syarikat bersekutunya, TH Heavy Engineering Berhad (THHE).

Menafikan dakwaan tersebut, Bahagian Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat TH menerusi kenyataan hari ini meminta Rafizi menamakan bank yang memberi pinjaman kepada THHE sebagai bukti dakwaan terbabit.

‎TH juga turut menuntut Rafizi mengemukakan bukti surat jaminan korporat seperti yang didakwa oleh Rafizi.

"Kami amat kesal dengan penyebaran dokumen-dokumen menerusi laman sosial secara rambang dan tuduhan tidak berasas serta berunsur fitnah.

"Dakwaan tersebut jelas memberi impak negatif kepada TH dan akan menjejaskan kepentingan para pendepositnya," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut pihak TH lagi, laporan tersebut dibuat bagi menjaga kepentingan reputasi TH sebagai sebuah institusi Islam di negara ini.

Sebelum ini, Rafizi menegaskan terdapat jaminan korporat diberikan TH kepada THHE.

Beliau dalam pada itu turut melampirkan surat didakwa daripada kerajaan kepada pegawai kanan TH pada Disember lalu berkaitan dakwaannya itu.

Muhyiddin kini ada lebih banyak ruang bersuara

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin. - Foto Sinar Harian
 
SHAH ALAM - Penganalisis politik berpandangan penggantungan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden Umno akan memberi lebih ruang kepadanya untuk bersuara.

Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata,‎ ini boleh dilihat berdasarkan kenyataan yang Muhyiddin keluarkan selepas beliau digantung.

"Melihat kepada kenyataan selepas beliau digantung, saya rasa beliau akan lagi bebas mengkritik kepimpinan parti," katanya kepada Sinar Online hari ini.

Namun, ujarnya, karier politik Muhyiddin diramalkan tidak akan kekal lama.

“Terpulang pada Muhyiddin. Berdasarkan umur dia, saya rasa dia masih ada sepenggal atau paling lama pun dua penggal untuk aktif berpolitik," katanya.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin: Hanya kerana menegur presiden ku 'ditendang'‎ ]

Majlis Tertinggi (MT) Umno kelmarin sebulat suara membuat keputusan menggantung jawatan  Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden parti berkuat kuasa serta merta.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, Naib Presiden Unmo Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menjalankan tugas-tugas timbalan presiden itu.

Muhyiddin melalui satu kenyataan hari ini dilihat benar-benar 'meluahkan isi hatinya' selepas beliau digugurkan daripada jawatan Timbalan Presiden Umno.


Rafizi: Abdul Hadi sepatutnya sedar...

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM


SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sepatutnya sedar bahawa pemimpin Umno sendirilah yang mencorak laluan dan pentadbiran parti itu.

Menurut Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, pentadbiran parti hanya boleh dibentuk pemimpin parti dan pentadbiran itu tidak mempunyai apa-apa perbezaan selagi ia di bawah kepimpinan seseorang individu.

Sebaliknya, katanya lagi, corak atau pentadbiran parti hanya akan berubah sekiranya parti itu bertukar presiden atau pemimpin.

"Sepanjang sejarah Umno terutamanya selepas merdeka, sebenarnya pimpinan Umno itulah yang mencorakkan hala tuju dan pendekatan Umno. Sebab itulah Umno akan bertukar wajah setiap kali parti itu bertukar presiden.

"Bagi saya, kemudaratan yang dibawa oleh parti kepada rakyat sebenarnya berbalik kepada jenis individu yang menjadi pemimpin parti itu sendiri. Jika pemimpin parti itu kasar, tidak mementingkan rakyat, maka parti pun akan menjadi kasar dan tidak mementingkan rakyat," katanya menerusi posting terbaharu di akaun Facebooknya, hari ini.

Semalam, Abdul Hadi menegaskan beliau tidak akan menyertai himpunan Anti-Najib yang diadakan pada 27 Mac akan datang.

Menurut pemimpin Pas itu, beliau tidak pernah bermusuhan dengan pemimpin Umno, sebaliknya bermusuhan dengan parti Umno itu sendiri.


Sabtu, 27 Februari 2016

Gantung jawatan Muhyiddin tidak selesai masalah Najib

MSO


Nazri Aziz yang selamanya dikenali kawan rapat dan sepermainan Najib Razak terus melakukan perang saraf (psywar) ke atas Muhyiddin Yassin, mahukan timbalan presiden Umno itu keluar dari Umno. Tampaknya Nazri ada pelan dan perancangan tersendiri dalam usaha untuk memberi ketenangan kepada rakan baiknya itu (Najib), dan sekaligus mengurangkan tekanan dalaman terhadap Umno yang kini kian parah dan lelah.

Muhyiddin Yassin
Nazri Aziz
Bagi Nazri dia berpendapat selagi Muhyiddin berada dalam Umno, "menjadi duri dalam daging", selama itu kawannya tidak tenang dan terbuai-buai dengan kejelekan yang didakwa menyebabkan tidurnya tidak berapa "jenak". Dan Umno juga terus bekah dan pecah dari dalam perlahan-lahan serta membusuk gara-gara pemecatan Muhyiddin.

Sungguhpun Muhyiddin tidak menggerakkan serangan terhadap Najib secara terbuka, tetapi keberadaanya yang sekali sekala mengkritik Najib dengan mengungkit hal-ha belum beres (fatal) itu memedih dan menyakitkan Najib dan Umno. Kebenaran yang dituturkan Muhyiddin mulai ditelan oleh orang ramai.

Mungkin media massa milik Umno tidak memberi liputan meluas terhadap apa yang Muhyiddin katakan, kalau sekalipun benar dan bermutu, tetapi media sosial lain sangat mengambil berat dan menjadikan bahan laporan utama terhadap setiap isu yang Muhyiddin perkatakan tentang Najib dan masalahnya. Tengok sahaja twiter milik bekas TPM itu, sekali beliau membuat twiter puluhan ribu dijawab dan mendapat komen khasnya daripada anak-anak muda.

Sebagai orang yang sejalur dan membesar di era Najib, teman sepemainan dan mempunyai minat yang sama, Nazri tentu merasai apa yang berlaku dan sangat bimbang dengan situasi itu.  Kalau kawannya itu jatuh maka dia juga akan terpelanting. Maka sesuatu perlu diambil tindakan segera dan tidak boleh dibiarkan. Mungkin menteri itu dapat membaca apa yang akan berlaku kepada Umno kalau masalah yang ada sekarang ini tidak dibendung. Muhyiddin boleh dianggap sebagai kura-kura dalam tindakannya, tetapi dia tetap berjalan dan melakukannya tanpa berhenti. Ini yang ditakuti oleh Nazri.

Nazri mungkin hafal cerita bagaimana sang Arnab yang angkuh dan sombong berlawan berluma lari dengan kura-kura yang hamble dan dilihat lemah akhirnya perlumbaan itu dimenangi oleh kura-kura.

Maka wajar kalau telinga Nazri berasa pedih dan sesak nafas dengan tindak tanduk Muhyiddin. Ahli Umno hari ini bukan lagi seratus peratus akur dan tunduk kepada apa yang diperkatakan oleh pucuk pimpinan parti, tetapi mereka ada neraca dan mirzam sendiri untuk membuat penilaian dan keputusan.

Bukan semua apa yang disuapkan mereka menerusi media eletronik dan cetak milik kerajaan ditelan bulat-bulat macam baung menelan tahi di pengkalan. Zaman tunduk dan patuh tanpa soal sudah mulai terhakis dalam Umno apabila ia dimeriahi oleh generasi muda yang cerdik. Anak muda dalam Umno mahu sesuatu yang dinamik.

Keadaan itu kian jelas hari ini. Penerimaan sokongan terhadap Najib kini sudah berbelah bahagi. Jika dilihat kepada luahan dan cemuhan generasi muda menerusi media sosial menunjukkan Najib berada pada tahap yang sangat teruk dan paling diragui. Setiap kenyataanya disinggung dan diperlecehkan. Lebih teruk ada yang berani melukis gambarnya dengan ilusi yang buruk dan huduh. Kekurangan sambutan kepada Najib ini terbukti bila mana majlis meraikan 40 tahun Najib bergelumang dalam politik yang diadakan dua tiga hari lepas katanya tidak mendapat sambutan seperti diharapkan.

Melihat kepada realiti inilah Nazri tiba-tiba bangkit menyerang Muhyiddin bagaikan lelaki yang baharu pulang dari perantauan. Bagi Nazri, Muhyiddin ada saham dalam mewujudkan keadaan tidak kondusif terhadap bosnya itu. Misalnya pengungkitan hal-hal belum beres dan menjadi pertanyaan umum seperti isu 1MDB dan derma RM2.6 billion, dua isu yang mula menghilangkan kepercayaan Muhyiddin kepda Najib, masih berlaku. Orang ramai termasuk ahli Umno sendiri masih menunggu jawaban Najib berhubung perkara itu seperti mana disoalkan oleh Muhyiddin. Soalan Muhyiddin merupakan soalan rakyat.

Justeru, Nazri yang dikenali dengan sikap keras, ego dan merasakan dialah lelaki paling macho di negara, serta merasakan dia adalah orang kanan Najib selepas ketiadaan Jamaluddin Jarjis, memulakan perang saraf untuk menghalau Muhyiddin dari Umno. Istilah ajing mengigit kaki yang dianologikan ke atas Muhyiddin satu istilah yang bukan pekerti dari ahli parti Umno yang bersopan santun dan beradab.

Istilah itu adalah paling teruk dan sangat tidak bermoral. Ia bagi memberi gambaran betapa marah dan bencinya Nazri kepada Timbalan Presiden Umno itu.
Anologi seperti itu sepatutnya dilakukan oleh pemimpin muda Umno yang dikatakan berdarah panas, tetapi tidak. Ketua pemuda Khairy Jamaluddin dalam soal behadapan dengan Muhyiddin ini bersifat terbuka, lunak dan profesional. Pemikiran dan stail politik Khairy jauh lebih matang dari si abangnya itu. Pelik.

Mulanya Nazri mendesak Muhyiddin agar melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden Umno. Cara dia mendesak Muhyiddin itu seolah-olah Umno adalah hak dan harta mak bapaknya. Dia lupa bahawa Umno milik lebih 3 juta ahli. Setelah menyedari itu, Nazri mengubah haluan dengan mencadangkan kepada MT agar menggantung jawatan Muhyiddin sebagai timbalan presiden.

Menurut tafsirannya MT ada kuasa untuk membuat keputusan itu selepas terlebih dahulu Muhyiddin dihadap ke Jawatankuasa Disiplin parti. Sekali nampak cadangan Nazri itu seakan mudah dan ia sudah pun diplotkan begitu. Apakan jawatankuasa disiplin bersedia mengikut skrip yang diaturkan itu? Kalau ia berlaku seperti mana dibayangkan Nazri itu, maka sekali lagi Umno yang sudah terhakis kepercayaan dan integriti khasnya dibawah pimpinan Najib ini menjadi lebih "sipol". Maksud sipol di sini tidak berjenis.

Bagaimana pun psywar yang digerakkan oleh Nazri itu mendapat reaksi dari beberapa orang pimpinan Umno lain yang menyatakan sokongan dan cadangan itu sebagai satu tindakan meredakan bara dalam Umno. Antara yang bercakap menyokong cadangan Nazri ialah, Ahmad Shabery Chik, Azalina Othaman Said, Idris Jusoh, Rahman Dahlan serta beberapa orang lagi. Salleh Said Kruak yang terkenal sebagai pembodek baharu Najib masih belum bersuara. Umum faham dengan telatah pimpinan-pemimpin berkenaan yang ada kalanya berkokok dalam keadaan mengigau, kerana ada sebab yang mengisbabkan.

Mereka yang bersuara menyokong cadangan Nazri untuk menghalau Muhyiddin itu, kalau diamati ianya bukan lahir dari dhamir mereka sebenar. Mereka terpaksa bercakap mengikut gendang dipalukan Nazri untuk tidak dikatakan tidak menari lagu yang sama. Setengah daripada cukup faham apakah natijah kalau tidak berbunyi saat gendang dipalu walaupun ia tidak berirama. Misalnya Azalina tidak mahu peristiwa sebelum ini berulang kepadanya. Parah weh kalau berulang.

Makanya kalau Nazri berharap dengan ada sokongan terhadap cadangannya itu bagi dilihat dan untuk mempengaruhi oleh jawatankuasa disiplin parti maka ia sesuatu yang sangat dangkal dan merendah-rendahkan kredibiliti jawatankuasa berkenaan yang seharus bebas dan telus.

Dalam pada itu, penggantungan jawatan Muhyuddin, atau dalam kata lain bertujuan untuk menghalaukan Muhyiddin dalam mesyuarat MT, ia tidak akan menyelesaikan masalah dihadapi Najib dan Umno. Ketiadaan Muhyiddin dalam MT, walaupun tanpa suara, tetapi isu yang berbangkit 1MDB, dana RM2.6 billion dan lain-lain tidak akan senyap begitu sahaja.

Mungkin ahli MT lain, seperti Annuar Musa yang baharu mendapat jawatan ketua penerangan, atau Ahmad Maslan sebagai pengarah IT Umno, akan senyap, akur dan tunduk, serta angkat jempol sokong 200% cadangan Nazri itu, tetapi apakah ahli di luar yang menunggu jawaban tuntas dari mulut Najib berhubung isu yang dibangkitkan akan senyap?

Segala isu berbangkit dan keburukan Najib dan Umno boleh ditudung dalam MT dengan cara mengambil tindakan ke atas Muhyiddin, atau mereka dianggap api dalam sekan, tetapi yang nyata kebusukkan tetap berbau di luar sana dan dihidu oleh rakyat. Selagi apa dinamakan bangkai itu tidak dibuang atau dikambus, maka wap busuknya tetap akan menerawang dan menyocok lubang hidung.

Pendeknya selagi Najib tidak menjelaskan dengan sendiri segala isu yang dibangkitkan itu, maka ketenangan dalam Umno dan juga ketenangan untuk Najib yang diharapkan Nazri itu tidak akan membuahkan hasil. Sebaliknya tindakan Nazri itu jika ia disokong oleh MT, Umno akan dilihat sebuah parti diktator kalau pun tidak bersifat komunis.

WAYANG NAJIB KELUAR MESYUARAT

 shahbudindotcom

 

 
 
 
Sekonyong-konyongnya Najib Razak meninggalkan mesyuarat MT UMNO semalam kerana tidak mahu dirinya terlibat dalam membuat keputusan berhubung penggantungan jawatan Muhyiddin Yassin.

Sekonyong-konyongnya juga Zahid Hamidi turut keluar daripada bilik mesyuarat itu kerana sebab yang sama.

Lalu diserahkan pengendalian mesyuarat kepada Hishammuddin Hussein yang akhirnya menjadikan "orang Johor jadi kepala menggantung pemimpin Johor juga".

Tetapi yang mendapat manfaat secara langsung daripada penggantungan Muhyiddin sebagai timbalan presiden UMNO ialah Najib dan Zahid, manakala balanya terpaksa dipikul oleh Hishammuddin.

Yang paling terkesan, Hishammuddin akan berdepan dengan kebencian orang UMNO Johor sendiri selepas ini dan jika politik negeri itu terus bergolak, apatah lagi jika jatuh ke tangan pembangkang dalam pilihanraya akan datang, beliaulah yang paling diungkit kesalahannya.

Walaupun Najib cuba menunjukkan beliau tidak terlibat mahu dalam keputusan menggantung Muhyiddin itu, ia sebenarnya tidak bermakna apa-apa kerana Zahid juga "diajaknya" meninggalkan mesyuarat itu.

Dengan Hishammuddin, sepupu Najib yang mempengerusikan mesyuarat, keputusan yang berpaksikan "taat setia" dan "tidak derhaka"  tentunya sudah boleh dijangka.

Kenapa tidak dibiarkan Zahid terus berada dalam bilik mesyuarat dan mempengerusikan perbincangan?

Apakah Najib bimbang jika Zahid yang mempengerusikan mesyuarat, mungkin beliau dan Muhyiddin sama-sama akan digantung atas nama untuk menyelamatkan masa depan UMNO?

Adakah bibit-bibit curiga sudah mula bercambah dalam hati Najib?

Logikkah alasan bahawa oleh kerana kedua-dua mereka ada kepentingan di sebalik penggantungan Muhyiddin itu, maka Zahid perlu meninggalkan mesyuarat bersama-sama dengan Najib?

Sejak bila pemimpin UMNO takut kepentingan mereka diketahui umum?

Inilah wayang berbagai motif yang cuba dipentaskan Najib. Di sebalik kononnya tidak mahu terlibat dalam menggantung Muhyiddin dan memberikan kenaikan darjat kepada Zahid, Najib tidak berselindung mula menyimpan rasa curiga terhadap bekas Setiausaha Politiknya itu yang kini sudah menjadi orang nombor duanya.

Meskipun Zahid adalah bekas pegawainya, Najib barangkali tidak lupa bahawa timbalannya itu turut pernah meninggalkan Anwar Ibrahim yang lebih diidolakannya sebelum ini.

Memberi laluan kepada Hishammuddin mengepalai keputusan menggantung Muhyiddin, kepercayaan Najib jelas belum tertumpah kepada Zahid. 

Muhyiddin: Yang terbabit skandal bukan saya

SINAR HARIAN


Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin


SHAH ALAM- Bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempersoalkan tindakan Majlis Tertinggi (MT) Umno yang menggugurkannya daripada jawatan kedua tertinggi parti itu.

Katanya, sepanjang beliau memegang tanggungjawab itu, beliau tidak terpalit dengan masalah sebaliknya masalah dalam parti itu dibawa oleh 'orang lain' tetapi akhir-akhir sekali beliau yang 'kena'.

"Yang terbabit dalam skandal 1MDB dan derma RM2.6 bilion bukan saya, tetapi (Datuk Seri) Najib (Tun Razak). Yang menerima RM42 juta duit SRC International bukan saya, tetapi Najib.

"Yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan berhadapan dengan risiko pendakwaan jenayah bukan saya, tetapi Najib. Yang ditolak oleh sebahagian besar rakyat bukan saya, tetapi Najib.

"Yang menjadi punca segala masalah Umno hari ini bukan saya, tetapi Najib. Peliknya, yang digantung adalah saya, manakala Najib terus bersenang-lenang menikmati kuasa jawatan dan wang yang ada padanya," katanya dalam Facebook rasminya hari ini.

Oleh itu, katanya Majlis Tertinggi lebih mementingkan soal teknikal dalam mengambil tindakan terhadap diri beliau daripada meneliti kandungan ucapan-ucapan beliau yang mempunyai implikasi jauh lebih besar terhadap masa depan Umno dan negara.

"Malah MT juga tidak mengikut prosedur tatatertib. Saya tidak diberikan surat tunjuk sebab dan tempoh masa untuk membela diri. Saya tidak dihadapkan ke Lembaga Disiplin untuk membolehkan lembaga membuat perakuan kepada MT. Ahli biasa pun diberikan peluang untuk membela diri sedangkan saya terus dihukum. Nampaknya MT tidak sabar-sabar untuk menggantung saya," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Dana RM2.6b, SRC: Najib tiada kesalahan jenayah]

Terdahulu pada Januari lalu, Sinar Harian melaporkan Peguam Negara mendapati tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkait tiga kertas siasatan melibatkan dana RM2.6 bilion dan kes SRC International yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tan Sri Mohamed Apandi Ali  berkata, dalam kes siasatan dana berjumlah RM2.6 bilion, beliau berpuas hati dengan keterangan saksi dan dokumen berkaitan dikemukakan SPRM menunjukkan dana berjumlah RM2.08 bilion yang dimasukkan ke akaun Najib merupakan sumbangan peribadi daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Manakala, katanya, siasatan berkaitan SRC International di bawah Akta SPRM 2009 mendapati tiada keterangan menunjukkan Najib menyalahgunakan kedudukan beliau semasa mesyuarat Jemaah Menteri yang memberi kelulusan jaminan kepada wang pinjaman RM4 bilion oleh SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

Sementara itu, siasatan di bawah Kanun Keseksaan mendapati tiada keterangan yang boleh menunjukkan Najib mengetahui dan/atau dimaklumkan terdapat kemasukan wang dari akaun SRC ke dalam akaun-akaun beliau.


Rakyat Malaysia disaran labur dalam emas fizikal

SINAR HARIAN


emas


RAKYAT Malaysia disaran memperuntukkan antara lima hingga 10 peratus simpanan emas fizikal daripada portfolio simpanan keseluruhan mereka bagi membantu mengurangkan kesan daripada penurunan nilai ringgit dan pertumbuhan perlahan ekonomi sekarang.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Public Gold Marketing Sdn Bhd, Datuk Wira Louis Ng Chuu Hau berkata, pelaburan emas fizikal memainkan peranan penting dalam situasi ekonomi berbeza dan ia merupakan instrumen  paling mudah diurusniagakan berbanding  derivatif yang lebih rumit serta mengandungi unsur spekulasi.

"Harga emas ditetapkan berdasarkan harga antarabangsa dan didagangkan dalam mata wang dolar AS,
jadi jika nilai ringgit jatuh berbanding  dolar AS, ia akan memberi kelebihan kepada pemilik emas," katanya kepada pemberita pada Seminar yang bertajuk Emas sebagai Penyelamat kejatuhan Ringgit, di sini, hari ini.

Beliau menjangkakan ringgit akan terus diniagakan pada paras 4.4 hingga 4.5 pada tahun ini, dan ini akan memacu harga emas untuk menjadi lebih tinggi.

Selain itu, katanya, harga emas dijangka terus meningkat selari dengan perdagangan antarabangsa kerana faktor pertumbuhan ekonomi global yang tidak memberansangkan menyumbangkan sentimen positif kepada pasaran emas.

"Memperkukuhkan nilai ringgit bukanlah senang, ditambah lagi dengan faktor kebanyakan bank-bank pusat telah mewujudkan pelan baharu, polisi kadar faedah sifar dan pelbagai program pelonggaran kuantitatif dan ini sebenarnya menyebabkan lebih ramai memilih untuk membeli dan menyimpan emas berbanding menyimpan wang di bank," katanya.

Selain itu, katanya, usaha bank pusat asing yang mengubah pelaburan bon ke dalam bentuk emas fizikal akan turut memberi kesan yang besar kepada permintaan emas dunia.

Seminar yang julung kali diadakan ini yang menggabungkan penceramah daripada sektor pelaburan emas dianjurkan oleh Public Gold dengan kerjasama Agrobank, Pos ArRahnu dan Koperasi Dagang Emas. - Bernama