Sabtu, 27 Februari 2016

Muhyiddin: Yang terbabit skandal bukan saya

SINAR HARIAN


Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin


SHAH ALAM- Bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempersoalkan tindakan Majlis Tertinggi (MT) Umno yang menggugurkannya daripada jawatan kedua tertinggi parti itu.

Katanya, sepanjang beliau memegang tanggungjawab itu, beliau tidak terpalit dengan masalah sebaliknya masalah dalam parti itu dibawa oleh 'orang lain' tetapi akhir-akhir sekali beliau yang 'kena'.

"Yang terbabit dalam skandal 1MDB dan derma RM2.6 bilion bukan saya, tetapi (Datuk Seri) Najib (Tun Razak). Yang menerima RM42 juta duit SRC International bukan saya, tetapi Najib.

"Yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan berhadapan dengan risiko pendakwaan jenayah bukan saya, tetapi Najib. Yang ditolak oleh sebahagian besar rakyat bukan saya, tetapi Najib.

"Yang menjadi punca segala masalah Umno hari ini bukan saya, tetapi Najib. Peliknya, yang digantung adalah saya, manakala Najib terus bersenang-lenang menikmati kuasa jawatan dan wang yang ada padanya," katanya dalam Facebook rasminya hari ini.

Oleh itu, katanya Majlis Tertinggi lebih mementingkan soal teknikal dalam mengambil tindakan terhadap diri beliau daripada meneliti kandungan ucapan-ucapan beliau yang mempunyai implikasi jauh lebih besar terhadap masa depan Umno dan negara.

"Malah MT juga tidak mengikut prosedur tatatertib. Saya tidak diberikan surat tunjuk sebab dan tempoh masa untuk membela diri. Saya tidak dihadapkan ke Lembaga Disiplin untuk membolehkan lembaga membuat perakuan kepada MT. Ahli biasa pun diberikan peluang untuk membela diri sedangkan saya terus dihukum. Nampaknya MT tidak sabar-sabar untuk menggantung saya," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Dana RM2.6b, SRC: Najib tiada kesalahan jenayah]

Terdahulu pada Januari lalu, Sinar Harian melaporkan Peguam Negara mendapati tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkait tiga kertas siasatan melibatkan dana RM2.6 bilion dan kes SRC International yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tan Sri Mohamed Apandi Ali  berkata, dalam kes siasatan dana berjumlah RM2.6 bilion, beliau berpuas hati dengan keterangan saksi dan dokumen berkaitan dikemukakan SPRM menunjukkan dana berjumlah RM2.08 bilion yang dimasukkan ke akaun Najib merupakan sumbangan peribadi daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Manakala, katanya, siasatan berkaitan SRC International di bawah Akta SPRM 2009 mendapati tiada keterangan menunjukkan Najib menyalahgunakan kedudukan beliau semasa mesyuarat Jemaah Menteri yang memberi kelulusan jaminan kepada wang pinjaman RM4 bilion oleh SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

Sementara itu, siasatan di bawah Kanun Keseksaan mendapati tiada keterangan yang boleh menunjukkan Najib mengetahui dan/atau dimaklumkan terdapat kemasukan wang dari akaun SRC ke dalam akaun-akaun beliau.


Tiada ulasan: