Ahad, 28 Februari 2016

Rafizi: Abdul Hadi sepatutnya sedar...

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM


SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sepatutnya sedar bahawa pemimpin Umno sendirilah yang mencorak laluan dan pentadbiran parti itu.

Menurut Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, pentadbiran parti hanya boleh dibentuk pemimpin parti dan pentadbiran itu tidak mempunyai apa-apa perbezaan selagi ia di bawah kepimpinan seseorang individu.

Sebaliknya, katanya lagi, corak atau pentadbiran parti hanya akan berubah sekiranya parti itu bertukar presiden atau pemimpin.

"Sepanjang sejarah Umno terutamanya selepas merdeka, sebenarnya pimpinan Umno itulah yang mencorakkan hala tuju dan pendekatan Umno. Sebab itulah Umno akan bertukar wajah setiap kali parti itu bertukar presiden.

"Bagi saya, kemudaratan yang dibawa oleh parti kepada rakyat sebenarnya berbalik kepada jenis individu yang menjadi pemimpin parti itu sendiri. Jika pemimpin parti itu kasar, tidak mementingkan rakyat, maka parti pun akan menjadi kasar dan tidak mementingkan rakyat," katanya menerusi posting terbaharu di akaun Facebooknya, hari ini.

Semalam, Abdul Hadi menegaskan beliau tidak akan menyertai himpunan Anti-Najib yang diadakan pada 27 Mac akan datang.

Menurut pemimpin Pas itu, beliau tidak pernah bermusuhan dengan pemimpin Umno, sebaliknya bermusuhan dengan parti Umno itu sendiri.


Tiada ulasan: