Isnin, 1 Januari 2018

Apati kerajaan terhadap Orang Asli penyebab kurang pendidikan

 
Seorang Orang Asli dari Cameron Highlands berkata keadaan jalan raya ke sekolah yang teruk menyukarkan kanak-kanak Orang Asli meneruskan persekolahan.


orang-asl


CAMERON HIGHLANDS: Seorang Orang Asli Semai menyalahkan apati kerajaan terhadap kaumnya sebagai salah satu sebab utama mereka tidak dapat meneruskan persekolahan.

Dalam temubual bersama FMT di kampungnya, lelaki itu berkata tidak ada pun sekolah menengah berdekatan perkampungan mereka.

“Pendidikan sekolah menengah sesuatu yang jarang kerana mereka terpaksa keluar dari kampung.
Dengan keadaan jalan raya di sini yang teruk, kanak-kanak Orang Asli tidak selalu pergi ke sekolah,” katanya.

Lelaki itu berkata walaupun Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) ditubuhkan untuk menjaga kebajikan Orang Asli, jabatan itu tidak banyak membantu.

“Jakoa tidak cekap. Mereka tidak rasai penderitaan Orang Asli.

“Bagi Jakoa, para guru dan penjawat awam lain, Orang Asli cuma kumpulan terpencil yang tidak termasuk dalam arus perdana Malaysia.”

Beliau akui walaupun ada kanak-kanak Orang Asli ke sekolah rendah di kampung mereka, ramai yang tercicir sebelum menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Bagaimana mungkin kanak-kanak Orang Asli sambung belajar ke sekolah menengah dan pendidikan tinggi sedangkan mereka tak sempat ambil UPSR?”

“Anak gadis Orang Asli paling lemah kerana walaupu hari ini, pada usia 14 tahun, mereka dikahwinkan. Selepas itu, fungsi mereka hanya untuk beranak.”

Beliau berkata Orang Asli hidup dengan mengerjakan tanah. Mereka menanam pokok getah, buluh, pisang, ubi kayu, padi dan tanaman-tanaman kecil lain seperti petai.

“Mereka juga mengerjakan kebun sayur, kebun bunya dan melakukan kerja-kerja pembinaan empangan.

“Ada yang mengutip madu dan hasil hutan lain. Di sesetengah tempat, mereka tanam durian yang dibeli peraih pada harga murah tetapi dijual di luar pada harga tinggi.”

Pada Oktober, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Chong Sin Woon berkata kementerian memandang serius keciciran kanak-kanak Orang Asli daripada persekolahan.

Bernama memetik beliau sebagai berakta usaha sudah diambil untuk menangani masalah itu, termasuk mengadakan Sekolah Model Khas Komprehensif (K9) dan melatih para guru daripada kalangan masyarakat Orang Asli sendiri.

“Guru ini akan membantu pelajar Orang Asli untuk memberi lebih tumpuan ketika belajar, kerana mereka lebih memahami budaya dan gaya hidup kaum sendiri.

“Ini sekali gus, dapat mengurangkan masalah keciciran pelajar Orang Asli yang ketika ini amat membimbangkan,” katanya selepas Program Jalinan Kasih Bersama Masyarakat Orang Asli Kampung Gebok, Mantin, Negeri Sembilan.

PKR bergerak pantas di Lembah Pantai

 
Jentera parti memulakan pemeriksaan dari rumah ke rumah untuk mengeluarkan pengundi ragu.


Fahmi-Fadzil-lembah-pantai


PETALING JAYA: PKR memulakan pemeriksaan dari rumah ke rumah di Parlimen Lembah Pantai untuk mengeluarkan pengundi ragu dari medan perlawanan paling sengit di Kuala Lumpur.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil mendakwa sejumlah besar pengundi dimasukkan ke pangsapuri kos rendah di situ sejak 2016.

“Mereka digerakkan bawah suatu operasi poilitik,” katanya kepada FMT. “Kita sudah mengatur gerakkan aktivis akar umbi dan orang tempatan untuk menjalankan pemeriksaan rumah ke rumah di situ dan meleakkan langkah-langkah tertentu untuk menangani pengundi ragu.”

Kawasan Parlimen itu meliputi Kampung Sentona, Bangsar, Travers, Brickfields, Pantai Dalam, Kampung Bahagia, Kampung Bohol dan bahagian tertentu dalam Petaling dan Petaling Selatan.

Pertikaian tentang integriti daftar pengundi Lembah Pantai timbul sejak 2008 lagi, apabila calon PKR Nurul Izzah Anwar merampas kerusi itu daripada Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Antara dakwaan yang timbul ialah ramai pengundi tersenarai memiliki alamat yang meragukan atau tidak lengkap.

Isu utama ialah pergerakan pengundi pos ke kawasan itu. Nurul Izzah baru-baru ini mempertikaikan keperluan memindahkan hampir 7,000 pengundi pos dari ibu pejabat polis Bukit Aman ke Lembah Pantai.

Kebimbangan beliau boleh difahami kerana pengundi pos secara tradisi cenderung ke arah Barisan Nasional. Tambahan pula, beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis pada pilihan raya 2013, menewaskan calon BN Raja Nong Chik Zainal Abidin dengan hanya 1,874 undi. Jumlah undi sah di Parlimen itu adalah 60,336.

Terdapat spekulasi Nurul Izzah mungkin dipilih untuk bertanding di Permatang Pauh pada pilihan raya akan datang. Kerusi itu kini diduduki ibunya, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang mungkin digerakkan ke Johor.

Pakar perlembagaan Abdul Aziz Bari percaya mungkin lebih baik sekiranya Nurul Izzah digerakkan ke kawasan lain.

“Terdapat dakwaan silap mata digunakan di Lembah Pantai, seperti undi pos dan bekalan elektrik terputus semasa pengiraan undi,” katanya.

Terdapat spekulasi PKR akan meletakkan Fahmi di Lembah Pantai pada pilihan raya nanti. Jika benar, beliau akan berdepan jentera pilihan raya Raja Nong Chik yang ampuh, seorang ahli politik yang dilihat memiliki sokongan akar umbi yang kuat

Paras Sungai Dungun melebihi amaran jaga-jaga

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
DUNGUN: Paras air Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja kini melebihi paras berjaga-jaga manakala Sungai Kemaman masih berada dibawah paras berjaga-jaga.
 
Portal publicinfobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan paras air Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja mencapai 36.05 meter, melebihi paras berjaga-jaga iaitu 36.00 meter pada  11.45 pagi tadi.
 
Paras air Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman masih di bawah paras berjaga-jaga iaitu 0.27 meter pada 12 tengah hari.
 
Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini mengeluarkan amaran cuaca (waspada) iaitu hujan lebat berserta angin kencang dijangka melanda Dungun dan Kemaman di Terengganu, Kuantan (Pahang) dan Kota Tinggi, Johor sehingga esok.
 
 

Peguam Aliff Syukri sedang uruskan isu kereta mewah disita JPJ - pengurusan

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Peguam kepada pengasas syarikat D'Herbs, Datuk Seri Aliff Syukri sedang menguruskan isu kereta mewah miliknya yang disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur di Jalan Bangsar, malam tadi.
 
Pihak pengurusan usahawan terbabit mengesahkan perkara itu mewakili majikannya yang sehingga kini belum membuat kenyataan rasmi berhubung perkara itu.
 
"Buat masa ini, Datuk Aliff belum mempunyai kenyataan berkaitan isu ini. Pihak peguam beliau sedang berurusan mengenai perkara ini dan belum ada kenyataan rasmi dibuat," katanya dipetik Berita Harian Online.
 
Mnerusi laman sosial medianya, Instagram, Aliff kini berada di luar negara kerana bercuti.
 
Semalam, JPJ menyita sebuah kereta mewah jenis Rolls Royce Ghost milik jutawan kosmetik itu dalam Ops Patuh yang diadakan sempena sambutan ambang tahun baharu.
 
Kereta terbabit dipandu seorang warga Australia yang tidak memiliki lesen memandu sah di negara ini, manakala rakan senegaranya yang turut berada dalam kenderaan itu tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.
 
Pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan itu menggunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan Sarawak tetapi ia digunakan di Semenanjung.
 
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, dipetik sebagai berkata, kesalahan itu dikategorikan sebagai penipuan lokasi pengisytiharan penggunaan LKM.
 
Difahamkan, kereta mewah yang dianggar berharga lebih RM1 juta itu disewa oleh dua warga asing terbabit dari sebuah agensi kereta sewa mewah milik Aliff.
 
 

PAS Perlis umum tanding semua kerusi DUN dan Parlimen

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: PAS Perlis mengumumkan akan bertanding di kesemua 15 kerusi DUN dan tiga Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), beritahu Pesuruhjayanya Mohd Shukri Ramli.
 
Ujar Shukri, keputusan berkenaan dibuat selepas melihat perkembangan politik semasa yang memihak kepada PAS selepas tidak lagi bersama dalam pakatan pembangkang.
 
"Saya nak maklumkan bahawa dalam PRU14 ini PAS Perlis telah mengambil keputusan untuk bertanding di kesemua kerusi iaitu 15 DUN dan juga tiga kerusi PArlimen," katanya kepada Antarapos.
 
Beliau berkata, sebanyak 50 peratus muka baru akan ditampilkan parti itu pada PRU14 dan senarai nama sudah dikemukakan kepada pucuk pimpinan parti sebelum diputuskan Majlis Syura Ulama PAS.
 
"Calon-calon  yang kita kemukakan kepada Majlis Syura setakat ini terdiri daripada muka lama dan muka baru yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk aktivis parti, profesional dan juga ulama," katanya.
 
Shukri juga mendakwa PAS mempeunyai peluang cerah untuk menang di Perlis memandangkan negeri itu gagal ditadbir dengan baik dibawah pemerintahan Barisan Nasional (BN).
 
"Dalam pentadbiran Umno-BN di negeri Perlis memang dalam keadaan sebuah negeri yang kita rasa bajetnya tak pernah mencukupi dan setiap tahun defisit.
 
"Bagi kami PAS yang mana di dalam DUN pun saya pernah sebut bahawa kami tidak puas hati dengan apa yang berlaku," katanya.
 
Malah beliau turut mempersoal dana kerajaan negeri yang tidak disalurkan untuk pembangunan sosioekonomi rakyat yang menunjukkan ketidakcekapan pentadbiran di bawah Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.
 
"Seperti pembangunan yang tak perlu termasuk pembinaan bangunan kedai, pasaraya besar yang kita rasa kuasa membeli bilangan rakyat di Perlis sekitar 250,000 adalah sesuatu yang tak perlu pembangunan yang terlalu kehadapan.
 
"(Sehingga) menyebabkan banyak bangunan kedai dan rumah kedai yang kosong selepas pembinaan disebabkan tidak ada peniaga yang berminat dan sekarang ini pun kita lihat banyak pekan seolah-olah macam nak jadi pekan mati kerana tidak ada pengunjung," katanya.
 
Shukri menambah, hingga kini kekuatan jentera parti berada pada tahap baik dan beliau yakin ia mampu memberi sinar baru kepada PAS.
 
"Saya rasa dalam perkembangan sejak kebelakangan ini ada perubahan di kalangan rakyat apabila PAS tidak lagi bersama Pakatan Harapan insya-Allah kita boleh melakukan sesuatu," katanya. 
 
Pada PRU13, kerusi yang ditandingi PAS adalah Parlimen Arau, Kangar dan Padang Besar manakala DUN pula adalah Beseri, Santan Bintong, Kayang, Pauh, Guar Sanji, Simpang Empat dan Sanglan.
 
Satu-satunya kerusi yang diwakili PAS adalah Sanglan.
 
 

Dr Mahathir kerap serang PAS jadi punca kerjasama dengan PPBM gagal

ANTARAPOS

Post Pic


KOTA BHARU: Sikap Tun Dr Mahathir Mohamad yang kerap menyerang PAS menjadi punca kegagalan rundingan untuk parti itu mengadakan kerjasama politik dengan PPBM tahun lalu, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau antara yang terlibat dalam rundingan berkenaan, berkata walaupun Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang melakukan perbincangan, namun segala keputusan banyak tertakluk kepada persetujuan Dr Mahathir.

"Jadi, bagi saya, tidak pelik kenapa Dr Mahathir menyerang PAS kerana beliau sudah sememangnya begitu. Namun, mungkin kali ini dia ibaratkan melepaskan semua 'pelurunya' susulan usahanya mendapatkan kerjasama dengan PAS gagal.

"Serangan Dr Mahathir terhadap PAS adalah biasa, jika beliau puji PAS, itu menjadi luar biasa. Beliau juga terkenal sebagai individu yang terlalu anti kepada orang beragama termasuk terbaharu mengenai mufti," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Kelmarin, Dr Mahathir ketika ucapan penggulungan pada perhimpunan agung tahunan PPBM, dilaporkan berkata, mufti sepatutnya menegur amanat Abdul Hadi pada 1981.

Pengerusi PPBM berkenaan turut mendakwa, kegagalan mufti menegur amanat berkenaan mendorong penyokong PAS menentang Umno dan Barisan Nasional (BN) dengan keganasan seperti peristiwa Memali pada 1985.

Mengulas persediaan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Takiyuddin berkata, pihaknya sudah melakukan persediaan menghadapi PRU termasuk meletakkan 30 peratus calon muka baharu yang akan bertanding di Kelantan.

"Walaupun tahun ini kita menghadapi PRU, namun Muktamar PAS tetap diadakan seperti biasa dengan melihat keadaan nanti.

"Kita menetapkan Muktamar PAS Pusat pada 4 hingga 6 Mei ini di Pahang selepas mesyuarat PAS peringkat cawangan seluruh negara diadakan bermula esok (40 hari), serta peringkat kawasan bermula 11 Februari (36 hari)," katanya.

PAS sudah jangka Mahfuz ‘sesat politik’ akan keluar parti

 
Setiausaha agung PAS berkata, Mahfuz menunjukkan tindak-tanduknya melalui kritikan terhadap barisan kepimpinan, seolah-olah beliau cuba 'menjemput' PAS memecatnya.


taki-mahfuz

KOTA BHARU: PAS sudah lama menjangkakan keputusan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar untuk keluar daripada parti itu, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, ini berdasarkan tindakan Mahfuz yang sering mempertikaikan kepimpinan PAS menerusi pelbagai kritikan sejak sekian lama.

“Ia bukan sesuatu yang memeranjatkan, malah beliau telah lama menunjukkan tindak-tanduknya (untuk keluar parti) melalui kritikan terhadap barisan kepimpinan, seolah-olah cuba ‘menjemput’ PAS memecatnya daripada parti,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, beliau menerima surat pengunduran sebagai ahli parti daripada Mahfuz pada 5.04 petang semalam menerusi e-mel.

“Antara alasan dikemukakan Mahfuz dalam surat berkenaan termasuk mempertikaikan tindakan PAS dalam hal perjuangan Islam, termasuk Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) dan sikap berkecuali parti itu dalam pengundian Bajet 2018 adalah satu pengkhianatan kepada rakyat.

“Selain itu, beliau juga tidak berpuas hati dengan PAS yang disifatkan memencilkan rakyat dan sasaran kemenangan 40 kerusi PAS yang dikatakan terlalu sedikit dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14),“ katanya sambil menambah alasan dikemukakan Mahfuz adalah dakwaan tidak berasas dan menyifatkan bekas ahli PAS tersebut kini “sesat dalam politik”.

Semalam, Mahfuz yang merupakan bekas naib presiden PAS mengumumkan keluar parti itu berkuat kuasa 11.59 malam tadi dan menetapkan sebulan sebelum mengambil langkah sama ada akan menyertai mana-mana parti dalam Pakatan Harapan.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, PAS bersiap sedia menghadapi PRU14 selepas menyelesaikan proses pemilihan calon baru-baru ini dan kini dalam proses menentukan kerusi mana yang bakal ditandingi, termasuklah pemilihan 30% muka baharu yang akan bertanding atas tiket PAS di Kelantan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, PAS akan terus mengadakan muktamar tahunan yang dijangka diadakan di Pahang pada 2 dan 3 Mei tahun ini, walaupun berdepan PRU14.

135,761 kanak-kanak masuk tahun satu di 4 negeri

 
Takwim Penggal Persekolahan 2018 menyatakan Johor, Terengganu, Kelantan dan Kedah dikategorikan sebagai kumpulan A yang memulakan sesi persekolahan hari ini.


murid-tahun-satu


KUALA LUMPUR: Seramai 135,761 kanak-kanak melangkah ke alam persekolahan bagi 2018 hari ini di Johor, Terengganu, Kedah dan Kelantan.

Menurut Takwim Penggal Persekolahan 2018, 4 negeri berkenaan dikategorikan sebagai kumpulan A yang memulakan sesi persekolahan hari ini, manakala negeri lain di bawah kumpulan B memulakan sesi persekolahan esok.

Di Johor, seramai 56,576 murid memasuki tahun satu dan 38,069 daripada mereka merupakan murid sekolah kebangsaan, 16,222 murid Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan 2,285 di SJK Tamil.

Pengarah Pendidikan negeri, Shaharudin Sharif berkata, semau murid itu ditempatkan di 2,022 kelas.

“Seramai 47,579 pelajar pula memasuki tingkatan satu tahun ini melibatkan 232 sekolah menengah dan 1,525 kelas,” katanya.

Di Terengganu, seramai 20,631 murid tahun satu memulakan hari pertama sesi persekolahan 2018 di 352 sekolah rendah seluruh negeri itu.

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin berkata, daripada jumlah itu, seramai 10,370 ialah murid perempuan dan 10,261 murid lelaki.

“Bagi tingkatan satu pula, ia melibatkan 19,759 pelajar di 150 sekolah menengah di seluruh Terengganu.

“Alhamdulillah, hari pertama persekolahan hari ini berjalan lancar meskipun terdapat beberapa kawasan dilanda hujan sejak malam tadi.”

Khairuddin ikrar setia kepada PAS, walaupun tiada jawatan

 
Khairuddin Othman menyerahkan sepenuhnya kepada pimpinan PAS di peringkat pusat untuk menentukan kedudukannya dalam parti Islam itu, termasuk sama ada beliau akan dicalonkan pada PRU14.


khairuddin-pas


PETALING JAYA: Walaupun digugurkan sebagai ahli jawatankuasa (AJK) PAS Selangor, Adun Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berikrar akan terus bersama parti Islam itu.

“Saya sekarang tidak memegang apa-apa jawatan (dalam parti) dan kini sebagai ahli biasa.

“Saya tetap membawa mandat PRU13 (pilihan raya umum ke-13), iaitu mendokong kerajaan Selangor,” katanya kepada FMT hari ini.

Sabtu lalu, Khairuddin dilaporkan digugurkan 2 bulan lalu, selepas hanya kira-kira 3 atau 4 bulan beliau dilantik sebagai AJK PAS Selangor.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi dilaporkan menyusun barisan kepimpinan negeri itu pada 9 Mei lalu dengan melantik Khairuddin sebagai AJK dan jawatan setiausaha disandangnya diberikan kepada Abdul Halim Omar.

Sallehen berkata, Khairuddin digugurkan kerana gagal menghadiri mesyuarat AJK negeri.

Semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, pengguguran Khairuddin yang juga bekas setiausaha PAS Selangor adalah pengurusan organisasi biasa.

Bagaimanapun, Hadi enggan mengesahkan sama ada Khairuddin akan dicalonkan PRU14.

Mengulas lanjut, Khairuddin menyerahkan sepenuhnya kepada pimpinan PAS di peringkat pusat untuk menentukan kedudukannya dalam parti itu, termasuk sama ada beliau akan dicalonkan pada PRU14.

“Kedudukan saya, saya serahkan kepada PAS pusat, seperti kenyataan tuan guru presiden,” katanya merujuk kepada Hadi.

1 jemaah umrah disahkan jangkiti MERS-CoV

 
Lelaki berusia 55 tahun dari Selangor itu mengalami gejala demam, batuk, lemah badan, lelah dan sakit kaki sejurus tiba di tanah air pada 23 Disember lalu. 


Noor-Hisham


PUTRAJAYA: Seorang lelaki disahkan dijangkiti penyakit Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-CoV) selepas pulang daripada mengerjakan umrah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lelaki berusia 55 tahun dari Selangor itu mengalami gejala demam, batuk, lemah badan, lelah dan sakit kaki sejurus tiba di tanah air pada 23 Disember lalu.

Katanya, pesakit mendapatkan rawatan di klinik berhampiran rumahnya sehari selepas itu dan menerima rawatan sebagai kes demam sebelum hadir ke Jabatan Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada malam 28 Disember dan ditahan di wad hospital itu untuk pemeriksaan serta rawatan lanjut.

“Mengambil kira sejarah perjalanannya yang baru kembali daripada menunaikan umrah, ujian saringan MERS-CoV dijalankan dan didapati positif, masing-masing bagi ujian saringan yang dijalankan Hospital Sungai Buloh pada 30 Disember serta ujian pengesahan seterusnya dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan pada 31 Disember,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pesakit dirujuk ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut dan keadaannya kini stabil.

Sehubungan itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan menjalankan aktiviti pencegahan dan kawalan, termasuk pengesanan serta pemantauan ke atas kontak pesakit seperti ahli keluarga, jemaah umrah dalam kumpulan sama, anggota kesihatan di fasiliti merawat serta kontak rapat di dalam pesawat dinaiki pesakit.

Katanya, amalan pencegahan dan kawalan jangkitan dalam kalangan anggota kesihatan juga ditingkatkan di semua peringkat, di samping pemantauan terhadap status kesihatan anggota kesihatan terlibat dalam mengendalikan kes berkaitan.

Bagi mengelakkan kejadian jangkitan MERS-CoV, Dr Hisham menasihatkan orang awam yang mengerjakan umrah atau ingin melawat negara di rantau Timur Tengah supaya mengamalkan tahap kebersihan diri tinggi seperti kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan, terutamanya selepas batuk, bersin atau bersalaman.

Mereka juga dinasihatkan tidak mengunjungi kediaman atau institusi penjagaan kesihatan terlibat dalam kejadian jangkitan wabak MERS-CoV di negara tersebut; mengelak melawat ladang haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan, khususnya unta serta mengambil, iaitu memakan atau meminum sebarang produk mentah atau tidak dimasak dengan sempurna melibatkan unta.

“Mereka yang kembali daripada lawatan ke negara-negara yang terlibat, khususnya negara di rantau Timur Tengah diminta mendapatkan rawatan dengan kadar segera, sekiranya mengalami gejala demam dan jangkitan respiratori seperti batuk dan kesukaran bernafas, khususnya dalam tempoh 14 hari setelah tiba di tanah air,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini berkaitan jangkitan MERS-CoV boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan di www.moh.gov.my atau melalui Facebook CPRC Kebangsaan (Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis).