Jumaat, 1 November 2013

Syukur Pak Baharum ahli PAS Sg Limau

Subky Latif,


Jika tidak kerana Pilihan Raya Kecil Sungai Limau tidak ramai yang tahu bahawa  Brig. Dato Jamil Khir adalah anak seorang ahli  PAS Sungai Limau dan pernah jadi ahli jawatankuasa parti itu di kawasan Parlimen Jerai satu masa dulu..

Sehingga mulai Mei lalu, mengikut Dato Mahfuz Omar, PJ PAS Kedah, Pak Baharum telah menjelaskan yuran keahliannya.

Atas rasa kesyukuran, maka calon PAS Mohd Azam Abd. Samat bersama PJ Mahfuz mengadakan kunjungan hormat kepada pengundi veteran itu bagi meraikannya dan supaya dia tidak terasa dipinggirkan PAS disebabkan anaknya jadi orang besar Umno dan menteri.

Pak Baharum bukan alang-alang ayah. Dia boleh berbangga kerana dapat menduduk anak hingga ke Universiti Azhar,  Mesir dan bila-bila pun anaknya dengan pengajian itu layak dimartabatkan sebagai ulama. Bukan sekadar bapa bangga atas pencapaian anak, bahkan masyarakat seluruhnya bangga akan pencapaian anak seperti itu.

Bukan semua orang dapat menghantar anak mengaji di Mesir, tetapi Pak Baharum adalah antara yang berjaya menghantar anak ke situ. Syabas!

Tetapi sebagai mana-mana bapa dan ibu dalam PAS mahu anak-anaknya bersama mereka  dalam partinya, Pak Baharum tak dapat anaknya Jamil Khir untuk bersamanya. Anaknya dengan ilmu dan pencapaiannya ada pilihan lain.

Bukan Pak Baharum  saja orang PAS  yanag anaknya tidak jadi ahli PAS. Dua Pesuruhjaya PAS Pahang tahun 50-an dan awal 60-an dulu anaknya jadi pemimpin Umno. Pertama Dato Abu Samad, anaknya Dato Hamzah jadi orang kuat Umno dan menteri. Kedua Dato Mohd  Yasin, anaknya Tan Sri Kamarul Arifin jadi peguam Umno.

Haji Cheek di Kemaman adalah keluarga  PAS yang komited, anaknya Ahmad Shaberey Cheek jadi  orang Umno yang lantang menentang parti ayahnya.

Sebenarnya tidak secara mutlak anak orang PAS mesti jadi PAS. Yang menentukan seseorang itu jadi PAS atau Umno ialah Allah. Nabi SAW tidak dapat memberi hidayat kepada bapa saudaranya Abu Talib, Allah saja yang memberi hidayat kepada sesiapa yang dikehendakinya.

Ramai orang lulus Mesir dan Madinah Allah tidak pilih jadi orang PAS. Pak  Hamzah orang Umno tegar Kuala Kedah, anaknya  Amiruddin tidak mengaji  di institusi pengajian tinggi Islam sebaliknya menuntut ilmu kejuruteraan tetapi Allah pilih jadi orang PAS dan sekarang menjadi  Pengarah Operasi PRK Pas Sungai  Limau.

Bukan salah Pak Baharum anaknya jadi Umno dan bukan salah ibu mengandung Jamil Khir jadi Umno tetapi ia adalah pilihan anak yang pendidikannya lebih tinggi dari ibu dan bapa.

Tiadalah pula PAS kesal atas perkembangan itu kerana bukan pula sedikit anak orang Umno menjadi pejuang tegar PAS.

Kunjungan calon PAS ke atas ayah Jamil Khir tidak bertujuan untuk memalu dan mengelirukan  Ahli Majlis Tertinggi Umno itu tetapi bagi mengukuhkan semangat dan pendirian ahlinya supaya  moga-moga istiqamah dengan jamaah  Islam.

Terutama dalam masa pilihan raya, supaya seboleh-bolehnya tidak menukar undinya kepada calon parti  yang dilawannya selama ini.

Kunjungan dibuat semasa kempen, maka tidak terlepas ia dari tuduhan berpolitik dan  mengambil apa jua kesempatan berpolitik. Kalau calon PAS berpolitik dengan kunjungan itu apa salahnya kerana dia mengamalkan politik Islam. Tiada itu yang politik dan yang bukan politik. Yang ada masa politik dan ada masa tidak politik ialah politik dunia pegangan orang sekular seperti Umno dan MIC.

Jentera Umno menyerupai PAS untuk tarik pengundi

Saidah Hairan,


KUALA LUMPUR: Politik wang dan mi segera menjadi modal utama BN di samping menyerupai ahli PAS ketika mereka berkempen dari rumah ke rumah khususnya di kawasan pengundi tegar PAS.

Menurut Pengarah Pilihan raya Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi, BN sangat tertekan untuk menang dan merampas Dun Sungai Limau sehingga sanggup melakukan apa sahaja bagi memastikan impian mereka tercapai.

Katanya, ada di kalangan jentera wanita Umno yang sanggup bertudung labuh dan berjubah manakala jentera lelaki pula berkopiah ketika menjalankan kempen di kawasan pengundi PAS.

"Umno BN kelihatan sangat tertekan untuk menang dan merampas Dun Sungai Limau dan sanggup melakukan apa sahaja taktik," tegasnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau yang berada di Dun Sungai Limau sejak sebelum hari penamaan calon berkata, BN juga sanggup menipu pengundi dengan menggunakan kononnya Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abd Razak memberi amanat kepada mereka supaya merampas Sungai Limau.

Amanat tersebut kata beliau digunakan oleh BN untuk menyakinkan pengundi khususnya di kawasan PAS supaya mengundi BN pada 4 November nanti.

"Penipuan ini dilakukan ketika mereka berkempen dari rumah ke rumah," tegasnya.

Selain itu tambah beliau, Umno-BN juga berusaha menempatkan keluarga angkat daripada kalangan orang Umno di rumah pengundi PAS sekaligus memberi peruntukkan bertujuan mendapat sokongan.

Ini merupakan satu cara politik kotor dan tidak bertanggungjawab dengan menggunakan kesusahan rakyat sebagai modal penting untuk terus berkuasa, tegasnya.

Tambah beliau, pelbagai bantuan segera yang bersifat one off diperuntukkan bagi mengelabui mata dan hati rakyat.

Beliau menegaskan, taktik kotor BN itu jauh berbeza dengan PAS yang bersandarkan politik damai iaitu menerangkan serta membimbing rakyat untuk mengenali sikap sebenar Umno BN.

Menurut beliau, PAS seperti biasa berlawan bukan dengan calon BN sahaja tetapi dengan sebuah kerajaan Persekutuan yang lazimnya menggunakan dan memperalatkan semua jabatan dan agensi kerajaan untuk berhadapan dengan PAS.

"Persaingan yang berat sebelah ini meletakkan PAS dalam keadaan yang bukan mudah untuk menang. Insya Allah semua ini tidak pernah mematahkan semangat jentera Muslimat untuk mempertingkatkan program menyantuni rakyat," katanya.

Justeru beliau mengingatkan semua jentera HalWa dan PAS supaya jangan terlalu yakin sehingga jam 5 petang 4 November dan seterusnya hal yang melibatkan pengiraan dan perjumlahan undi.

Kegiatan Pengintipan: Wisma Putra Dapatkan Penjelasan Duta AS

MSTAR ONLINE
 
 
KUALA LUMPUR: Wisma Putra telah mendapatkan penjelasan daripada Duta Amerika Syarikat (AS) di Malaysia, Joseph Y. Yun berhubung dakwaan mengenai kegiatan pengintipan di kedutaan negara itu di sini.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman pada Khamis berkata Yun menyatakan semua kegiatan pengawasan yang dijalankan oleh AS di seluruh dunia adalah bagi tujuan keselamatan.

Ini khususnya untuk mengenal pasti kewujudan ancaman seperti keganasan dan senjata pemusnah besar-besaran.

Isu itu timbul berikutan laporan akhabar mengenai dakwaan oleh pemberi maklumat perisikan Edward Joseph Snowden yang mendedahkan bahawa AS mempunyai 90 kemudahan pengawasan elektronik di seluruh dunia termasuk di kedutaan AS di Kuala Lumpur.

"Duta itu menyatakan Kedutaan AS telah menerima arahan daripada Washington D.C. untuk menyemak semula skop kerjanya dalam perkara itu," kata Anifah dalam kenyataan.

Menteri itu berkata Duta Amerika itu turut memberi jaminan bahawa privasi individu tidak akan terjejas.

"Wisma Putra sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa relevan Malaysia berhubung perkara ini dan sekiranya terdapat bukti sahih, kementerian akan mengambil tindakan sewajarnya.

"Wisma Putra memberi jaminan keselamatan dan kedaulatan Malaysia adalah menjadi keutamaan kerajaan Malaysia," kata Anifah. - BERNAMA

Penyanyi Aishah Dakwa BN Tolak Islam



 
Aishah turut berkempen bagi membantu calon PAS di PRK Sungai Limau.
 
 
YAN: Penyanyi Aishah mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) menolak Islam apabila pemimpin parti berkenaan tidak menjadikan ajaran Islam sebagai panduan dalam urusan pentadbiran negara.

Dakwa bekas calon PAS bagi kerusi Parlimen Jempol, Negeri Sembilan itu lagi, penyelewengan yang berlaku dalam pentadbiran sedia ada membuktikan kepimpinan parti pemerintah mengabaikan tanggungjawab sebagai umat Islam.

"Atas dasar-dasar kemanusiaan pun kau sudah buat salah. Bila kau (kerajaan) menyeleweng duit rakyat, tidak menjalankan amanah, apa-apa agama pun tidak boleh terima.

"Apa sudah jadi kepada Malaysia? Kata (mengaku) orang Islam tapi perlakuan mereka (pemimpin kerajaan) tidak membayangkan keislaman itu," katanya pada forum di Markas Pemuda PAS di Dulang Kecil di sini pada Khamis malam.

Forum penerangan politik sempena kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau itu turut membariskan Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Khairuddin Aman Razali sebagai ahli panel.

Aishah hadir di DUN Sungai Limau buat kali kedua sepanjang tempoh berkempen bagi membantu calon PAS, Mohd Azam Abdul Samat yang berhadapan saingan satu lawan satu menentang wakil BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim pada PRK DUN Sungai Limau yang akan diadakan pada 4 November depan.

Kini Mizz Nina Berhijab


KELAB GREENBOC
 
 
Penyanyi, Mizz Nina dikatakan sudah mengenakan hijab sekembalinya daripada menunaikan haji bersama suaminya, vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh, Jumaat lalu.

Perkara itu disahkan pegawai perhubungan awamnya, Joe Saiful kepada Mstar Online.

Namun, Mizz Nina atau nama sebenarnya Syazrina Azman masih belum bersedia untuk bertemu atau menjawab sebarang persoalan media mengenai perubahan imejnya itu.

"Buat masa ini, Nina masih lagi belum bersedia bertemu media untuk bercakap tentang imej barunya itu.

"Tetapi dia telah mengesahkan pada saya bahawa buat masa ini dia memang sudah pun bertudung," katanya.

Tambah Joe, Nina memerlukan sedikit masa untuk tampil kepada media serta khalayak dengan imej yang bersesuaian.

"Nina seorang yang sangat peka dengan imejnya sebagai selebriti dan apabila sudah berhijab, Nina sedang mencari imej yang bersesuaian sebelum tampil di khalayak.

"Dalam pada itu, banyak juga perubahan yang harus dilakukan dalam karier muziknya. Sebab itu dia perlukan masa. Diharap semua pihak dapat memahami situasinya," kata Joe. -SH

Mizz Nina Sudah Bergelar ‘Hajjah’ Dan Bertudung?

Terkejut dan sejuk hati kami melihat Mizz Nina yang terkenal dengan imej urban dan seksi semakin banyak memuat naik gambar-gambar beliau bertudung sejak pulang dari menunaikan Haji baru-baru ini.

Sememangnya kami sudah nampak Mizz Nina rajin bertudung kerana banyak mengikuti kelas agama sebelum ini.

Namun, Mizz Nina didapati telah berhijab penuh ketika hendak keluar bersama suaminya, Noh dan bila mengunjungi booth jualan barangan jenamanya ‘Mizzdemeanor ‘di Amcorp Mall beberapa hari ini. Tiada lagi gambar beliau tidak bertudung sejak beliau pulang dari Mekah.

Mizz Nina Sudah Bergelar Hajjah Dan Bertudung?


Kredit Foto : Murai.Com


Nampaknya, beliau sudah selesa bertudung dan menunjukkan petanda untuk terus menjadi Muslimah sejati. MyArtis.My doakan semoga Mizz Nina benar-benar terus menyambung untuk bertudung dan istiqomah.

Ramai juga artis-artis tempatan kita sudah mula berhijab tahun ini, tidak kiralah samada selepas pulang dari tunaikan haji atau memang sudah sampai seru. Walaupun begitu, tidak kurang juga ada yang mengenakan hijab setakat 1-2 bulan dan kemudiannya ‘free hair’ semula. Harap-harap, ianya tidaklah berlaku pada Mizz Nina.

Apa pun, kami tetap rasa Mizz Nina masih vogue dan menawan apabila bertudung.

Selepas ini, kita harus panggil Mizz Nina sebagai Hajah Shazrina lah ya? -myartis

Zainuddin Maidin jadikan Azizan Razak sebagai bahan kempen

MSO


Wah.. arwah Azizan Razak benar-benar berharga dan bernilai. Harganya lebih mahal semasa beliau mati berbanding semasa hayatnya. Alangkah baiknya kalau semua orang mengikhtiraf bekas MB Kedah sepenggal itu semasa beliau hidup daripada semasa beliau telah tiada. Manusia ini selalu terlepas bas dan mulai merasai kehebatan seseoarng itu selepas ianya sudah tidak ada?

Zainuddin Maidin
Pas sudah pastilah menjadikan Azizan Razak sebagai ikon mereka kerana Azizan Razak adalah MB pertama kerajaan Pas di Kedah. Walaupun Fadzil Noor (Almarhum) lebih layak menjadi ikon dan pencucuh api perjuangan Pas di Kedah, tetapi Azizan lebih bernasib baik sebab beliau sempat menjadi MB.

Wajar bagi Pas menggunakan (bangkit) jasa dan bakti Azizan sebagai bahan kempen dalam pilihan raya kecil Sungai Limau yang sedang berlangsung kini. Selain dia MB Kedah, dia juga bekas Adun di kawasan yang kini diadakan pilihan raya kecil itu.

Tetapi apa yang aneh Umno juga turut menjadi Azizan sebagai modal kempen. Umno juga mahu 'syufaat' Azizan Razak untuk menang. Umno memuji-muji Azizan Razak sebagai pemimpin terbuka atau membawa stail berlainan dengan pemimpin Pas lain. Mereka (UBN) menghargai Azizan sebagai MB.

Memuji Azizan ini (saya percaya tidak ikhlas dan sebagai cara 'mengikan sepilarkan' Pas tetapi tidak disedari oleh Azizan dan Pas sendiri) ialah Mahathir Mohamad. Mahathir pernah memuji kepimpinan Azizan lebih baik dan lebih berkesan berbanding dengan pemimpin Umno sendiri hatta dengan bekas MB Kedah sebelum itu. Tidak hairan kalau Mahathir memuji Azizan sebab dia ada kepentingan-kepentingan tertentu di Kedah. Udang di sebalik batu dalam pujian Mahathir inilah yang tidak disedari oleh sesetengah orang Pas Kedah.

Projek Mahathir banyak di Langkawi di mana Langkawi adalah sebahagian wilayah Kedah. Tentu Mahathir mahu sesuatu dari kerajaan Kedah. Pujian itu juga bagi dijadikan benteng untuk menyelamatkan anaknya, Mukhriz dari diserangan Pas atau Azizan Razak. Hari ini kepentingan Mahathir itu telah tercapai dan pujian beliau kepada Azizan telah berbaloi. Mukhriz telah menjadi MB menggantikan Azizan Razak. Hari ini Mahathir memerintah Kedah menerusi kuasa anaknya.

Kita tidak hairan dengan telatah dan galagat Mahathir itu. Tetapi hari ini apabila Zainuddin Maidin juga memuji Azizan Razak ia amat mengejutkan. Bila masa orang kenal Zainuddin Maidin ini boleh menerima orang Pas atau mempunyai persepsi baik terhadap Pas. Bukankah orang ini yang menuduh Abdul Hadi sebagai 'Nabi' menyebabkan majikan tempatnya berkerja disaman Hadi? Dan tidakkah Abdul Hadi itu presiden kepada parti Azizan Razak?

Selama beliau memimpin Utusan Malaysia orang Paslah yang menjadi mangsa Zainuddin Maidin. Zainuddin melihat Pas seperti hantu jerongkong. Semasa menjadi menteri penerangan dialah membuat agenda, rancangan khas melanyak kerajaan Pas Kelantan. Tetapi hari ini bila dia puji Azizan Razak mengejutkan seolah Zainuddin baru tersedar dari mimpi yang tertidur di jerami kering. Zainuddin hanya mengambil kisah kehadiran Azizan ke majlis perlancaran buku seorang ulamak sebagai alasan untuk memuji Azizan dan melihat perbezaan arwah. Itu sahaja. Mudah Zainuddin menilai atau menerima kebaikan Azizan.

Apakah beliau mengasingkan di antara Azizan sebagai individu dengan sebagai ahli Pas? Apakah kesudian Allahyarham Azizan melancaran buku berjudul; Haji Abdul Rahman Merbok, Azizan telah menanggalkan baju Pas. Tidakkah dia hadir itu sebagai MB Kedah, dan MB itu adalah MB kerajaan Pas dan Pakatan Kedah? Azizan pula hadir atas hubungan beliau dengan Haji Abdul Rahman kerana dia adalah guru bapanya.

Nampak sangat Zainuddin mencari-cari sebab untuk memuji Azizan dengan tujuan menarik pengundi agar mengundi calon UBN. Atau bagi menggambarkan calon Pas hari ini tidak seidea Azizan maka ia perlu ditolak. Apakah dengan insiden kecil itu pengundi akan terpesona dengan Zainuddin Maidin dan akan memberi undi kepada calon BN? Oh, rasanya tak segampang itu.

Itu sebab saya katakan Azizan Razak dinilai begitu tinggi selepas beliau tidak ada sampai orang macam Zainuddin yang bermusuh 'mak anak' dengan Pas pun dapat memuji Azizan sebagai seorang pemimpin yang lain dengan pemimpin Pas yang lain. Zainuddin menyifatkan Azizan sebagai ulamk yang bukan jumud. Apakah erti kata-kata itu, mungkin dia menyifatkan ulamak lain adalah jumud. Bukankah apabila dia menganggap pemimpin lain sebagai jumud ia menghina Pas, menghina parti Azizan Razak juga? Saya tidak jamin keterbukaan munafik Zainuddin itu akan berlaku kalau Azizan Razak masih hidup.

Cara pemikiran Zainuddin ini ternyata tidak pernah berubah baik semasa beliau menjadi ketua pengarang Utusan Melayu, menjadi menteri penerangan dan setelah tidak menjadi menteri dan kini 'pekebun anggur'. Adakah dia patut dalam memuji Azizan beliau memberi ingatan orang Pas agar jangan undi Pas kerana kalau undi Pas bermakna undi Anwarisme? Inilah kesongsangan dan keganjilan akal fikir tokoh wartawan negara ini.

Manipulasi Zainuddin dengan kisah itu juga menyerlahkan kebencian beliau kepada Anwar Ibrahim. Beliau dikenal sebagai seorang yang cemburu dan sakit hati dengan Anwar Ibrahim.

Katanya kalau pengundi mengundi Pas bermakna mengundi Anwarisme kerana dia mengira Pas Kedah hari ini dikuasai oleh golongan Anwarisme. Terlalu rendah jangkau fikir politik Zainuddin dan terlalu murah dan remeh.

Mungkin dalam pemahaman politik Zainuddin, bahawa Azizan Razak bermusuh dengan Anwar. Inilah menyebabkan dia berkata demikian. Soal ketidak-hadiran Anwar melawat Azizan semasa sakit dihospital dijadikan isu dan dijadikan sandaran untuk mengiyakan tanggapan jahatnya. Inilah saya katakan bentuk (kejahatan akal fikir) Zainuddin Maidin tidak pernah berubah. Zainuddin melihat apa yang berlaku dalam tempoh dua tiga hari ini dan tidak mengkaji apa yang dilakukan oleh kedua mereka lama sebelum ini. Semua pemerhati politik bersetuju kemenangan Pas (Azizah) itu adalah persapakatan dalam Pakatan Rakyat. Macam mana beliau boleh dilantik menjadi ketua pengarang sebuah akhbar arus perdana (PB) kalau tahap pemikirannya tahap 'ibu congkak' sahaja.

Kesongsangan cara beliau berfikir di sini jelas. Satu masa beliau memuji Azizan sebagai pemimpin yang lain dari yang lain dan dalam masa sama melarang orang Pas mengundi calon Pas yang bakal menjadi pengganti Azizan sebagai undi Anwarisme. Zainuddin tidak dapat memahami atau pun terlupa bahawa di antara Azizan dengan Anwar itu perkara berbeza. Azizan adalah Pas, Anwar bukan Pas hanya rakan kepada Pas.

Jadi cara Zainuddin memuji Azizan cuba mengelirukan pengundi. Cara Zainuddin berkempen hendak menggunakan badan tubuh Azizan Razak itu menjelaskan keterdesakan tukang-tukang kempen Umno. Mereka sudah tidak ada modal lagi dan secara tidak langsung hilang kepercayaan kepada tokoh dewa mereka Mahathir Mohamad. Orang seperti Zainuddin sepatutnya membuat anologi kalau undi BN bermakan undi Mahathir. Bukankah Mahathir adalah dewa bagi sesetengah orang Umno dan Zainuddin sendiri yang menulis buku "Mahathir di sebalik tabir"?

Meletakkan undi Pas sebagai undi Anwar, secara sedar atau tidak cara Zainddin menghina Mahathir Mohamad tokoh Umno nombor satu di Kedah. Apa lagi yang memimpin Kedah hari ini adalah putera politik Mahathir, Mukhir bin Mahathir. Jelas fikiran Zainuddin sudah sesat di hujung jalan. Dang cerita-cerita klasik begitu sudah tidak menghiburkan rakyat moden hari ini lagi.

Mengapa Mat Sabu perlu kekal Timbalan Presiden


Mohamad Sabu  

Mohamad Sabu

Lawan Pas ialah Umno. Pas perlu menumbangkan Umno untuk kemajuan politiknya.

Perlu diakui melawan Umno ini bukan satu tugas yang mudah. Ia juga bukan satu tugas yang singkat

Ini memerlukan kekentalan jiwa, ketaatan pada perjuangan dan kekuatan semangat untuk mengharungi segala serangan yang bakal dilemparkan oleh Umno.

Ini termasuk ditahan tanpa bicara, dihina sehingga telanjang, diremeh setiap hari dan difitnah sepanjang masa.

Seseorang ini juga harus kental meneruskan istiqamah dalam perjuangan walaupun terpaksa mengharungi kekecewaan berkali-kali.

Seseorang yang tidak pernah diuji dengan ujian berat sedemikian susah untuk memikul perjuangan onak duri ini.

Antara lima calon Timbalan Presiden Pas yang bakal bertanding kali ini, hanya Abang Mat kita pernah diuji dengan segala macam ujian.

Menjadi orang kedua Pas, yang paling dipentingkan ialah kepimpinan politik dan aura untuk menarik orang bukan Pas untuk bersama dengan Pas melawan batil dan kejahilan yang dibawa Umno.

Perlukah orang kedua Pas mahir dalam selok-belok agama sebagaimana seorang ulama? Bagi saya, tidak perlu kerana Presiden Pas sendiri adalah satu ensiklopedia agama yang boleh dirujuk oleh sesiapa sekiranya ada masalah yang berbangkit mengenai agama.

Selain itu, Abang Mat juga rapat dengan NGO-NGO yang menjadi pemangkin kepada kebangkitan rakyat yang disaksikan di himpunan-himpunan Bersih.

Sebagai seorang aktivis, kegigihan Abang Mat sememangnya disanjung tinggi oleh pelbagai pihak.

Dan aspek yang dibawa Abang Mat ini adalah apa yang diperlukan Pas sehinggalah ia menumbangkan Umno.

Saban hari, semakin ramai menyuruh calon-calon yang kononnya mendapat pencalonan terbanyak untuk masuk pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden Pas.

Jawatan Timbalan Presiden Pas bukanlah satu jawatan main-main berdasarkan populariti seseorang sahaja. Jawatan ini adalah jawatan untuk berkhidmat untuk parti, berkorban untuk parti dan mengembangkan parti ke saluran-saluran pengundi yang tidak berjaya ditembusi parti sebelum ini.

Yang penting dalam pemilihan Timbalan Presiden Pas ialah memilih berdasarkan kebolehan, kemampuan, kebijaksanaan dan juga mereka yang dibenci musuh.

Mereka yang dipopularkan musuh, terutamanya Umno mesti ditolak. Mereka yang hanya popular tanpa pernah diuji juga tidak harus menjadi pilihan.

Fitnah-fitnah khalwat dan isu Syiah yang dilemparkan pada Abang Mat semuanya hanya fitnah kerana tiada bukti yang sahih untuk menyokong dakwaan tersebut.

Ada yang bertanya jika Abang Mat layak, apakah Husam tidak layak diberikan peluang. Manusia berpegang pada janji, Husam pernah berkata tiada sebab untuk melawan Abang Mat. Kalau Husam mungkir janji, beliau pun tidak layak diberi undi.

Bagi Tuan Ibrahim, ramai yang kata beliau mendapat pencalonan tertinggi. Siapa yang boleh sahkan? Ini cumalah psywar media. Tuan Ibrahim seorang yang baik, masih muda dan juga dihormati, tapi masa untuk beliau menjawat jawatan Timbalan Presiden masih awal kerana beliau belum pernah diuji. Lebih-lebih lagi, ada dakwaan mengatakan bahawa beliau terlalu rapat dengan orang bukan Islam dan bukan ahli parti yang menasihatinya tidak seperti  perangai seorang ulama yang biasa.

Walaupun ramai yang mendesaknya bertanding, namun Tuan Ibrahim nampaknya tidak berminat bertanding mungkin kerana beliau sedar kemampuan dan kebijaksanaan politiknya tidak setanding Abang Mat jika beliau bergerak bersendirian. Diharap beliau tidak membuat U-turn walaupun beliau belum membuat keputusan secara rasminya.

Bagi Nik Amar, yang dikatakan ingin bertanding berlawan Abang Mat – dinasihatkan beliau harus faham risiko pada Kelantan dan kedudukan dan imejnya jika beliau ditakdirkan tewas.

Abang Mat pernah tewas dan tidak meninggalkan perjuangan. Bukan semua dapat bertindak sedemikian.

Yang layak bertanding, nak tanding, tandinglah. Artikel ini ditujukan pada perwakilan PAS yang bakal mengundi bukan untuk mereka yang nak bertanding mahupun menarik diri.

Saya menulis kerana saya menyokong Abang Mat dan percaya parti memerlukan Abang Mat daripada 4 calon yang lain buat masa ini. Itu sahaja yang saya boleh buat untuk Abang Mat, walaupun banyak SMS saya padanya tidak berbalas kerana beliau tidak sudi mengenali saya.

Pengawal keselamatan samun kedai emas

SINAR HARIAN

Khairy Ahrasa  

Khairy Ahrasa

KUALA LUMPUR - "Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi". Itulah yang terjadi kepada pemilik sebuah kedai emas di pusat beli-belah KL Festival, Setapak di sini apabila pengawal keselamatan yang diupah menyamun kedai itu hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Asisten Komisoner Khairy Ahrasa berkata dalam kejadian 9 pagi itu, suspek yang lengkap beruniform bertindak mengacukan senjata api kepada empat pekerja premis berkenaan sebelum melarikan satu dulang berisi kira-kira 100 utas rantai leher.

Beliau berkata kejadian yang mengambil masa kira-kira lima minit itu terjadi semasa pekerja premis berkenaan sedang melakukan kerja menyusun atur barang kemas sebelum suspek datang dan mengarahkan pekerja tersebut menyerahkan dulang berisi barang kemas.

"Polis sedang menyiasat sama ada pengawal keselamatan tersebut melarikan diri dengan motosikal ataupun ada rakannya yang sudah menunggu di luar pusat membeli-belah itu.

"Kita akan teliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) terlebih dahulu," katanya kepada pemberita.

Khairy berkata polis sedang menjalankan gerakan besar-besaran bagi mengesan suspek yang berusia 26 tahun dan dipercayai berasal dari Sabah.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati suspek baru bertugas sebagai pengawal keselamatan di premis itu selama sebulan.

Pihak polis sedang menyiasat latar belakang suspek serta rekodnya sebagai pengawal keselamatan dan sama ada dia mempunyai rekod jenayah lampau, katanya.

"Kita akan semak dengan syarikat keselamatan yang mengupah suspek bekerja dan kita akan siasat senjata api yang digunakan suspek sama ada milik dia ataupun dibekalkan oleh syarikat keselamatan," katanya.

Kes itu berlaku susulan kejadian seorang pengawal keselamatan menembak mati seorang pegawai wanita sebuah bank di Subang Jaya pada 23 Oktober lalu dan melarikan wang RM450,000. - Bernama

Kes tembak: Siasat dakwaan polis disogok

Kes tembak: Siasat dakwaan polis disogok

Laman blog yang menyiarkan keratan Facebook rakan suspek yang mendakwa bayar suapan RM100 sebulan kepada polis.

SHAH ALAM - Polis akan menyiasat dakwaan sebuah laman blog yang menyiarkan gambar serta perbualan dipetik dari laman Facebook milik seorang lelaki dikenali sebagai 'Mahesa Birawa' yang dipercayai rakan suspek utama menembak mati seorang pegawai Ambank, Norazita Abu Talib, 37 di Subang Jaya Sentral 2 pada 23 Oktober lalu.       
                                         
Berdasarkan artikel blog tersebut, kandungan perbualan menyentuh bayaran yang dibuat oleh lelaki terbabit kepada anggota polis di Shah Alam untuk tujuan mendapatkan perlindungan.

Difahamkan, wang berjumlah RM100 dibayar setiap bulan oleh lelaki berkenaan kepada polis di Shah Alam bagi 'menjaganya' sepanjang berada di negara ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima maklumat berhubung perkara itu (anggota menerima sogokan).

Beliau berkata, pihaknya akan menyiasat terlebih dahulu kesahihan maklumat itu sebelum mengambil sebarang tindakan.

Menurutnya, polis menerima banyak maklumat termasuk berbentuk tohmahan serta tuduhan sepanjang tempoh siasatan dijalankan terhadap kes tembak mati Norazita.

"Jika perkara itu wujud, kita akan panggil mereka yang terlibat untuk membuat laporan polis termasuk diambil keterangan bagi membantu siasatan," katanya selepas Taklimat Kawalan Keselamatan dan Lalu Lintas Piala Malaysia di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, semalam.

GST: Pengguna mula belek resit



BAHANG cukai barangan dan perkhidmatan (GST) semakin terasa meskipun pelaksanaannya setahun lebih daripada sekarang.

Jika sebelum ini resit-resit pembelian barangan dan makanan terus disimpan di dalam dompet ataupun sekadar direnyuk dan kemudiannya dicampak ke dalam tong sampah tetapi kini, selain jumlah baki wang yang dipulangkan, resit turut dibelek pengguna.

Penulis juga tidak terkecuali mula membelek setiap resit pembelian barang dan makanan yang diterima sejak akhir-akhir ini.

Bukan senarai atau harga barangan yang diteliti tapi mata penulis terus mencari perkataan ‘tax’ ataupun GST.

Manalah tahu GST itu sudah mula dilaksanakan sebelum tarikh rasminya kan?

Ada resit yang mencatatkan caj perkhidmatan sebanyak 10 peratus, ada juga cukai perkhidmatan sebanyak 6 peratus dan ada juga resit yang sudah siap sedia dengan ruangan GST tetapi kadarnya masih sifar peratus.

Penulis beranggapan itu mungkin persiapan awal pihak peniaga. Hanya tinggal ubah angka sifar menjadi angka enam.

Berbalik kepada pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2014, minggu lalu.

Katanya, GST tidak akan melibatkan perkhidmatan pengangkutan awam dan barang keperluan asas seperti gula, garam, minyak masak, kacang dhal, rempah ratus, ikan masin, belacan serta budu.

Cukai jualan (umumnya 10 peratus) dan cukai perkhidmatan (6 peratus) yang bermula masing-masing pada tahun 1972 dan 1975 lagi akan dimansuhkan.

Soal pelaksanaan GST ini sebenarnya diakui semua pihak dalam memastikan kelangsungan ekonomi dan pembangunan negara.

Cuma, soal masa menjadi pertikaian banyak pihak. Mereka beranggapan pelaksanaan GST masih belum sesuai ekoran pendapatan rakyat masih belum meningkat.

Ada pihak mengatakan, pelaksanaan GST akan menyebabkan harga barang semakin mahal tapi ada juga yang mendakwa harga barang akan menjadi murah.

Sebelum ini, dalam satu temu bual eksklusif penulis bersama Ketua Eksekutif Institut Bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan, beliau menyebut, harga barang ditentukan kadar GST yang dikenakan kerajaan.

Ketika itu masih belum tahu lagi berapa kadarnya dan penganalisis menjangkakan kadar GST yang akan dilaksanakan adalah 4 peratus.

Kini, kadarnya sudah pun ditentukan sebanyak 6 peratus, agak tersasar daripada jangkaan tersebut.

Namun, penulis masih tertanya-tanya sama ada harga barang turun atau naik?

Wan Saiful menyebut, jika kadar GST rendah dan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dihapuskan, maka harga barang mungkin turun.

Mungkin turun. Masih belum menjawab persoalan penulis. Mungkin kita perlu menanti 1 April 2015 untuk mengetahui turun naik harga barang.

Tetapi apa yang sudah pasti adalah kadar 6 peratus itu boleh menjadi 10 peratus, 20 peratus bahkan 30 peratus pada masa akan datang.

Malah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangkakan 2016, kadar GST menjadi 8 peratus.

Pelarasan cukai ini mungkin ada baiknya tetapi kadarnya yang akan terus meningkat saban tahun akan terus menjerut rakyat berpendapatan rendah.

Jadi, ada benarnya sesetengah pihak yang berpendapat agar pendapatan rakyat ditingkatkan dahulu sebelum GST dilaksanakan.