Ahad, 2 Jun 2013

Bertanding di Kota Damansara Dari Sudut Akhlak Jamaah Islam



Oleh Khalid Samad

Beberapa hari yang lalu telah saya bahas dari sudut ijtihad atau keputusan strategi. Hari ini saya ingin bahas dari sudut yang lebih berat iaitu akhlak jamaah Islam.

Untuk membahas dari sudut akhlak jamaah Islam, satu persoalan utama perlu dijawab terlebih dahulu.

 Persoalan ini ialah samada wakil rasmi PAS dalam mesyuarat perundingan kerusi di peringkat PR Pusat telah memberi persetujuan untuk menerima Dr. Nasir sekiranya beliau diturunkan sebagai calon PKR atau sebaliknya? Sekiranya persetujuan telah diberi oleh wakil rasmi PAS di mesyuarat tersebut, maka walau apa pun alasan yang diberi oleh kawasan dan cawangan-cawangan, tindakan PAS bertanding adalah salah dari segi akhlak jamaah Islam.

Sekiranya ianya tidak dibincang dan wakil PAS di mesyuarat perundingan kerusi PR Pusat telah dengan jelas menyatakan bahawa walau apa pun, calon PSM tidak boleh diterima, maka tindakan PKR meletak Dr. Nasir sememangnya menempah masalah.

Sememangnya setiap kerusi dibincang dan diputuskan di mesyuarat PR Pusat. Bukan untuk Kota Damansara sahaja tetapi untuk semua kerusi yang ditandingi. Setiap kerusi dibincang dan diagihkan di antara parti yang terlibat berdasarkan maklumat dari Negeri yang telah diambil dari kawasan. Oleh kerana PAS tiada pertindihan kerusi dengan DAP maka biasanya PAS akan berunding dengan PKR sambil PKR pula akan berunding dengan DAP berhubung kerusi majoriti bukan Melayu.

Dalam soal KD ianya telah ditandingi oleh PKR pada tahun 2008 dan Dr. Nasir jugalah calon yang diturunkan oleh PKR. PKR menurunkan Dr. Nasir sebagai calonnya di Kota Damansara pada 2008 dengan persetujuan mesyuarat PR dan beliau telah menang. Semua yang terlibat dengan mesyuarat PR mengetahui bahawa Dr. Nasir adalah dari parti PSRM pada asalnya tetapi keluar PSRM apabila PSRM disatukan dengan PKR. Dr. Nasir dan beberapa rakannya kemudiannya berusaha untuk mendaftarkan ‘PSM’ sejak sebelum 2008 lagi. Tanpa adanya parti sendiri maka mereka bersetuju untuk bertanding dengan menggunakan lambang PKR. PKR pun bersetuju untuk mengelak berlakunya 3 penjuru dan mesyuarat PR meluluskannya.

Pada 2013 PSM telah didaftarkan. Maka pada ketika itu mereka ingin bertanding atas lambang PSM. Perkara ini, sefaham saya, telah dibawa ke mesyuarat PR. Keputusan mesyuarat PR pada ketika itu ialah sekiranya mereka bertanding atas lambang PKR maka status quo akan kekal dan mereka akan diterima sebagai calon PKR dan dengan itu calon PR. Dan ini dipersetujui oleh wakil PAS di dalam mesyuarat tersebut yang turut menegaskan supaya elak pertandingan 3 penjuru.

Sebaliknya, sekiranya mereka bertanding atas lambang PSM maka mereka tidak mewakili PR. Dalam keadaan itu PKR akan bertanding juga walaupun berlaku 3 penjuru! Yang akan bertanding melawan PSM pada ketika itu adalah PKR bukan PAS! PAS tiada kena-mengena dengan kerusi tersebut kerana ianya kerusi PKR. Itu yang dipersetujui oleh wakil rasmi PAS.

Berbekalkan keputusan ini maka PKR berusaha memujuk ahli PSM untuk bertanding atas lambang PKR seperti pada 2008. Ini adalah untuk mengelak dari berlakunya 3 penjuru yang mungkin akan menyebabkan PKR dan PR kehilangan kerusi berkenaan. Calon PSM untuk DUN Semenyih yang bertanding atas lambang PKR pada tahun 2008 telah menolak tawaran tersebut. Maka PSM turun sebagai calon PSM dan oleh itu berlakulah 3 penjuru di antara PKR, PSM dan BN di Semenyih. PKR bertanding walaupun 3 penjuru adalah sepertimana yang diputuskan dan dipersetujui dalam mesyuarat PR. Hasilnya BN menang di Semenyih dan PSM dianggap membantu BN untuk mencapai kemenangan.

Di Kota Damansara, PKR berjaya memujuk Dr. Nasir untuk bertanding dengan lambang PKR. PKR mengarahkan bakal calon PKR sendiri, iaitu Sdr Razlan Jalaluddin seorang peguam untuk menarik diri dan beri laluan kepada Dr. Nasir. Sdr Razlan akur dengan keputusan tersebut dan menarik diri. Dr. Nasir seterusnya diturunkan sebagai calon PKR. PKR yakin keadaan 3 penjuru telah dielak dan terkejut apabila didapati PAS menurunkan calonnya untuk Kota Damansara pada pagi penamaan calon! Pada ketika itu, dan biarlah kita bercakap ikhlas dalam soal ini, jangan berputar-belit macam Yahudi, PAS turunkan calon menentang calon PKR bukan calon PSM!

Wakil rasmi PAS dalam mesyuarat PR Pusat telah dihubungi. Beliau berada di Sabah dan tidak ketahuan apa dan mengapa perkara tersebut berlaku. Setelah dimaklumkan, beberapa hari kemudian, beliau telah turun dari Sabah ke Kota Damansara untuk mengisytiharkan Dr. Nasir sebagai calon rasmi PR! Malangnya ahli PAS Kota Damansara menolak pendirian beliau sedangkan beliau adalah wakil rasmi PAS dalam soal perundingan kerusi!

Apa yang ditulis di atas adalah apa yang saya dimaklumkan oleh wakil rasmi PAS ke mesyuarat perundingan kerusi PR Pusat, iaitu Setiausaha Agung PAS, Dato Mustaffa Ali. Sekiranya apa yang diceritakan adalah benar, maka amat jelas PAS telah mungkiri janji.

Sekiranya begitu maka amat sangat malanglah keadaannya, lebih lebih lagi sekiranya PAS ingin terus menafikan bahawa PAS telah melakukan kesalahan dengan melanggar apa yang telah dipersetujui bersama. Soal perjanjian dan berpegang kepadanya adalah sesuatu yang amat dipentingkan oleh Islam. Oleh itu tindakan melanggar janji adalah satu tindakan yang tidak boleh dibenarkan dan didiamkan. Allah berfirman di dalam Al-Quran:

“Dan janganlah kamu jadikan perjanjian yang kamu sertai di antara kamu (sebagai bahan mainan). Akan tergelincir kaki setelah berdiri teguh. Dan akan kamu dilemparkan dengan kehinaan kerana kamu menjadi penghalang kepada jalan Allah (dengan perangai buruk kamu) dan di akhirat akan kamu menerima azab yang dahsyat.”
(An-Nahl 94)

Tindakan langgar perjanjian di dalam ayat ini di samakan Allah dengan tindakan menghalang manusia dari jalan Allah! Kerana dilihat oleh mereka bahawa orang Islam tidak berpegang pada janji. Maka mereka memandang hina terhadap orang Islam dan dengan itu menjadi punca mereka menjauhkan diri dari jalan Allah. Fikir-fikirkanlah. Tindakan tersebut sebagai sebuah ‘Parti Islam’ mempunyai implikasi luas dan terus terhadap tanggapan manusia mengenai Islam itu sendiri.

Untuk makluman, di peringkat Negeri Selangor, soal PAS bertanding di kerusi Kota Damansara tidak pernah timbul walau dalam apa-apa perbincangan. PAS Negeri dan Kawasan telah bersetuju bahawa kerusi itu adalah milik PKR dan PAS tidak akan bertanding di situ! PAS Kawasan Subang, iaitu kawasan di mana terdapat DUN Kota Damansara, bertemu berkali-kali dengan PAS Negeri tetapi hanya untuk berbincang persoalan calon Paya Jaras SAHAJA! Pendirian Negeri inilah yang diulangi di peringkat Pusat.

Adalah merupakan kebiasaan bahawa janji dan persetujuan yang dibuat oleh wakil rasmi sesebuah pertubuhan adalah merupakan janji dan persetujuan pertubuhan tersebut. Sekiranya PAS mempunyai tanggapan berbeza, di mana janji dan persetujuan wakil rasmi yang diberi mandat untuk mewakili PAS di dalam sesuatu perbincangan tidak mengikat PAS, maka perlu diberitahu pada semua dari awal. Dalam ertikata lain, PAS perlu beritahu bahawa wakil PAS boleh berjanji tetapi janji dan persetujuan itu boleh dibatalkan dan dilanggar pada bila-bila masa mengikut keseuaian tempat dan keadaan semasa.

Saya minta pendirian jelas dikeluarkan yang mengatakan begitu sekiranya benar itulah sikap PAS terhadap janji dan persetujuan yang diberi. TETAPI ketahuilah, sekiranya itulah sikap PAS maka tiada siapa akan membuat perjanjian dengan PAS kerana janji tersebut tidak bermakna!

Dalam soal ini hujjah ‘ijtihad pemimpin’ tidak boleh diguna-pakai. Kerana pemimpin tidak boleh berijtihad untuk melanggar perjanjian dan persetujuan yang telah dicapai sebelumnya dengan begitu sahaja. Untuk makluman di antara matlamat utama PR ialah untuk menentukan satu lawan satu menentang BN. PAS telah beri komitmennya untuk mengukuhkan PR. Tindakan bertanding di Kota Damansara bercanggah dengan apa yang dijanji dan dipersetujui.
عَنْ عَائِشَةَ رضي الله عنها قَالَتْ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم :
" إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِالأَمِيرِ خَيْراً ، جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ صِدْقٍ ، إِنْ نَسِيَ ذَكَّرَهُ ، وَإِنْ ذَكَرَ أَعَانَهُ ، وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهِ غَيْرَ ذَلِكَ ، جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ سُوءٍ ، إِنْ نَسِيَ لَمْ يُذَكِّرْهُ ، وَإِنْ ذَكَرَ لَمْ يُعِنْهُ "
[ رواه أبو داود والنسائي ] .


Dari Ayesyah (RA): Telah berkata Rasulullah (SAW):-
Sekiranya Allah inginkan kebaikan bagi seseorang pemimpin, akan diadakan untuknya wazir yang bersifat benar. Sekiranya dia lupa akan diingatkannya dan sekiranya dia ingat akan dibantunya. Sekiranya diinginkan Allah sebaliknya, maka diadakan untuknya wazir yang jahat. Sekiranya dia lupa tidak diingatkannya dan sekiranya dia ingat, tidak dibantunya.
(Riwayat Abu Daud dan An-Nasaii)

Biarlah ahli PAS menjadi sebagai wazir yang Siddiq yang membantu kearah pengukuhan PR sepertimana yang diinginkan PAS. Maka apabila pimpinan lupa, sama-sama kita ingatkan dan apabila pimpinan ingat dan berusaha keras untuknya, sama-sama kita bantu.

Maka sekali lagi saya nyatakan, sekiranya persetujuan telah diberi oleh wakil rasmi PAS dalam mesyuarat PR bahawa PAS tidak akan bertanding di Kota Damansara apabila PKR menurunkan calon, walaupun calon itu adalah Dr. Nasir, maka tindakan PAS bertanding di Kota Damansara adalah salah, bercanggah dengan akhlak jamaah Islam dan menjatuhkan imej PAS dan Islam dikhalayak ramai.

Saksikan ya Allah bahawa saya telah tunaikan tanggung jawab saya kepada pimpinan saya!

WaLlahu 'Alam

KHALID SAMAD

Parti Tunggal BN Mungkin Tidak Praktikal



Oleh A Kadir Jasin
 
SATU lagi kesan positif Pilihan Raya Umum 2013 adalah kesediaan Barisan Nasional memikirkan sesuatu yang tidak mungkin, iaitu mengubah dirinya menjadi parti tanpa komponen.
Baguslah kalau Umno akan menubuhkan makmal khas mengkaji ura-ura itu, tetapi secara peribadi, saya tidak menjangka yang parti-parti bangsa dan kaum dalam Barisan Nasional akan bersedia membubarkan diri dan bergabung menjadi sebuah parti tunggal.

Presiden Umno, Mohd Najib Abdul Razak, mungkin boleh “memujuk” kepemimpinan Umno untuk melayan (entertain) idea ini, tetapi saya tidak menjangka akar umbi Umno akan menerimanya. Umno adalah parti akar umbi!
Yang mungkin bersedia menimbang idea parti tunggal BN adalah parti-parti komponen majoriti Cina yang nazak seperti Gerakan, MCA dan SUPP.
Idea parti tunggal BN ini nampaknya dipengaruhi oleh cadangan Pemangku Presiden Gerakan, Chang Ko Youn, agar BN mengamalkan sistem keahlian terus (direct membership) yang pernah diamalkan oleh Perikatan sebelum diperbesarkan menjadi BN pada tahun 1973.
Saya tidaklah mahu membuat andaian yang Mohd Najib sekali lagi tunduk kepada kehendak orang Cina apatah lagi selepas beliau sendiri menyalahkan tsunami Cina sebagai punca ketidakcemerlangan prestasi beliau dalam PRU 5 Mei lalu.
Umno Tambah Kuat, Kata Najib
Lagipun, seandainya Umno lebih kuat selepas PRU13 seperti Mohd Najib dakwa ketika mesyuarat Majlis Tertinggi Umno malam tadi, mengapa harus ia dibubarkan dan bergabung dengan parti lain menjadi sebuah parti tunggal?
Mengapa harus Umno dan parti-parti Bumiputera yang kukuh di Sarawak dan Sabah dibubarkan dan digabungkan menjadi parti tunggal semata-mata bagi melayan idea parti-parti Cina BN yang ditolak oleh orang Cina sendiri dalam PRU lalu?
Kalau Umno dibubarkan bagi memberi laluan kepada penubuhan parti tunggal BN, kemungkinannya banyak ahli dan penyokongnya akan beralih kepada PAS kerana orang Melayu masih berasa mereka memerlukan parti Melayu-Islam.
Lagipun, masalah pokok BN bukan organisasi atau struktur, tetapi imej dan persepsi kepemimpinan BN yang negatif.
Ubah struktur parti tanpa mengubah kualiti dan integriti kepemimpinan tidak akan menjadikan BN lebih diyakini dan disokong oleh pengundi.
Meminjam dan mengalih ungkapan bahasa Inggeris, kepemimpinan Umno dan BN haruslah “membezakan yang mana satu pokok dan yang mana satu hutan belantara”. Wallahualam.http://kadirjasin.blogspot.com

Putus Sudah Harapan?



Oleh Dr Mohamad Khir Toyo

1. Semalam, Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan sebulat suara menolak rayuan saya.

2. Saya akan merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan ini tapi saya tidak mengharapkan peluang untuk dibebaskan secerah semasa kes ini di Mahkamah Rayuan.

3. Saya hadir ke Mahkamah Rayuan dengan harapan yang tinggi kerana saya percaya saya tidak melakukan apa-apa kesalahan rasuah mahu pun pecah amanah.

4. Saya membeli rumah dengan harga pasaran. Saya tidak memberi apa-apa keistimewaan kepada Shamsudin Haryoni berbanding syarikat-syarikat lain yang melakukan usahasama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor.

5. Saya dimaklumkan bahawa tuduhan ke atas saya di bawah Perkara 165 Kanun Keseksaan tidak memerlukan sebarang bukti ada keistimewaan diberikan kepada Shamsuddin. Dengan kata lain, apa yang perlu dibuktikan ialah saya telah membeli sesuatu barangan dengan harga yang tidak mencukupi daripada seseorang yang diketahui mempunyai hubungan rasmi dengan saya sebagai penjawat awam.

6. Saya tidak pasti bagaimana mahu membeli rumah kerana hampir kebanyakan "developer" mempunyai hubungan rasmi dengan saya sebagai Menteri Besar Selangor.

7. Sudah tentu ada yang berkata belilah rumah mengikut harga sebenar. Saya bersetuju dengan pandangan tersebut. Sebab itu saya minta diadakan penilaian ke atas rumah separuh siap yang mahu dijual oleh Shamsuddin kepada saya.

8. Rahim and Co dan HSBC menilai rumah tersebut pada harga RM 3.5 juta. Penilai Rahim and Co memberi keterangan terperinci dalam Mahkamah mengenai cara penilaian dibuat. Keterangan beliau tidak dicabar oleh Pendakwa Raya. Malangnya ia tidak diambil pakai oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

9. Sepanjang tempoh perbicaraan ini terdapat 4 nilai harga rumah tersebut dibawa oleh pendakwa raya. Pertama ialah harga RM 6.5 juta, harga yang dibeli oleh Shamsuddin daripada pemilik pertama. Harga kedua, ialah RM 5.2 juta yang kononnya dibuat oleh Trans Asia atas permintaan Shamsuddin sebelum pembelian dilakukan. Shamsuddin tidak pernah menunjukkan kepada saya laporan tersebut dan ini diakui sendiri oleh beliau di dalam Mahkamah.

10. Pendakwa raya juga membentangkan laporan oleh Henry Butcher yang dibuat pada 2009, iaitu hampir 3 tahun selepas rumah tersebut saya beli dan siapkan.

11. Peguambela saya membentangkan dua nilaian. Satu daripada Irhamy and Co yang menilai rumah tersebut sebanyak RM 4.3 juta semasa Shamsudin membeli rumah tersebut pada 2005. Nilaian ini dibuat setelah Shamsuddin memohon untuk melakukan pinjaman cagaran ke atas kediaman tersebut dengan Maybank.

12. Nilaian kedua adalah nilaian Rahim and Co sebanyak RM 3.5 juta yang dilakukan ketika saya membeli rumah tersebut yang separuh siap apabila Shamsuddin meroboh dan membina semula.

13. Saya masih ingat tulisan dan pertanyaan seorang penulis sebuah portal yang menulis artikel bertajuk Adakah Anda Bergurau Tuan Hakim? Saya tidak pasti jika hakim menjawab pertanyaan-pertanyaan tersebut.

14. Semalam, peguam saya, Datuk Seri Shafee Abdullah bangun mengemukakan pertanyaan kepada tiga orang panel hakim hari ini, "Apakah benchmark atau tanda aras untuk menyatakan pembelian ini merupakan satu pembalasan yang tidak mencukupi."

15. Pertanyaaan ini bukan sahaja tidak dijawab oleh Hakim Mahkamah Tinggi tetapi juga oleh tiga panel hakim Mahkamah Rayuan. Ini bermakna saya tidak mungkin mendapat sebarang perbicaraan yang munasabah pada akal logik.

16. Panel Hakim menyatakan hakikat saya mengetahui rumah tersebut sebelumnya ditawarkan kepada saya RM 7 juta dan Shamsuddin membeli dengan harga RM 6.5 juta menunjukkan saya mengetahui balasan yang saya berikan tidak mencukupi.

17. Apakah masuk akal untuk saya membeli rumah separuh siap dengan harga rumah yang siap bersama perabot dan kolam renang yang dibeli Shamsuddin pada 2005? Jika berdasarkan pertuduhan inilah kesalahan saya. Namun sehingga dua Mahkamah saya lalui, tiada satu pun bukti menunjukkan harga RM 6.5 juta tersebut merupakan harga pasaran yang sebenar.

18. Empat orang hakim masih tidak boleh memberi saya tanda aras apa yang sepatutnya saya guna untuk membeli rumah tersebut. Jadi bagaimana saya seorang yang tidak mempunyai pengetahuan mendalam mengenai undang-undang boleh membuat keputusan yang tidak menyalahi undang-undang?

19. Dan jika nilaian oleh penilai bebas yang bertaraf antarabangsa seperti Rahim and Co dan bank antarabangsa seperti HSBC tidak boleh diterima pakai oleh Undang-undang dalam menentukan nilai sebenar hartanah tersebut, keadilan apa lagi yang mahu kita cari?

20. Saya percaya saya akan tetap bersalah walau apa pun bukti dibawa. Cuma saya berharap panel lima hakim akan datang menyatakan dengan jelas apakah tanda aras sebenar balasan tidak mencukupi tersebut.

21. Saya sudah tidak peduli lagi jika keputusan telah dibuat untuk memenjarakan saya sebagai ikon untuk menunjukkan kerajaan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ini telus dan mahu membanteras rasuah. Biarlah luncai terjun dengan labu-labunya.

22. Tapi sekurang-kurangnya saya berharap para Hakim akan memberi penghakiman yang jelas agar tidak ada lagi penjawat awam menjadi seperti saya - mangsa yang boleh dimanipulasi untuk kepentingan politik!
Rasuah

23. Walau apa pun tanggapan mereka yang tidak suka dengan saya, tapi hakikatnya saya tidak melakukan rasuah. Sepanjang perbicaraan, keterangan pegawai PKNS jelas menunjukkan saya menyokong puluhan surat cadangan memajukan tanah PKNS secara usahasama. Ada sokongan saya yang diluluskan dan yang ditolak oleh jawatan kuasa teknikal.

24. Sebab tu saya dituduh melakukan Criminal Breach Trust (CBT) atau pecah amanah di bawah Kanun Keseksaan bukannya kesalahan rasuah di bawah Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Namun SPRM dengan bangganya menyatakan bahawa kejayaan pendakwaan ke atas saya merupakan bukti kerajaan serius membanteras rasuah.

25. Rasuah apa? Sokongan saya terhadap cadangan memajukan tanah secara usahasama ke atas syarikat milik Shamsuddin dinilai oleh Jawatankuasa Teknikal yang saya tidak ketuai. Malah keterangan pegawai PKNS menunjukkan banyak sokongan saya juga ditolak.

26. Shamsuddin memohon pengecualian Bon dan disokong oleh saya tetapi ditolak oleh PKNS. Jadi untuk apa Shamsuddin merasuah saya?

27. Malahan dalam keterangan Shamsuddin, beliau sendiri mengakui bahawa beliau yang menawarkan untuk menjualnya kepada saya, bukannya saya yang meminta untuk membeli.

28. Memanglah ada "rempah ratus" pendakwa raya dari saksi-saksi yang bermusuhan dengan saya atau terpaksa kerana telah didakwa bersama saya terlebih dahulu. Namun hakikat utama dalam kes ini bahawa saya membeli rumah dengan balasan tidak mencukupi masih merupakan satu kenyataan yang sangat kabur.

29. Saya bangga sekurang-kurangnya saya membeli rumah dengan titik peluh saya bukan menggunakan wang kerajaan. http://www.drkhir.com

Fail petisyen PRU, kenyataan Zahid kena batang hidung sendiri


Oleh: Mohd Arif Juhani

KUALA LUMPUR : Kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar rakyat yang tidak bersetuju dengan proses pilihan raya berpindah ke luar negara ibarat terkena batang hidung sendiri, kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Datuk Johari Abdul.
Johari
Beliau mengulas tindakan Umno BN mahu memfailkan lebih 50 petisyen membabitkan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) di Mahkamah Tinggi sebelum 11 Jun nanti.

“Sebelum ini Zahid Hamidi dengan angkuh menyuruh rakyat Malaysia yang tidak menerima keputusan PRU lalu supaya keluar dari negara ini.

“Kenyataan Zahid ini tidak ubah seperti menjilat ludah sendiri apabila Umno BN pula mahu failkan petisyen pilihan raya. Mungkin mereka sendiri pun sudah tidak yakin dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” ujar Johari sinis.

Justeru katanya, Zahid sepatutnya mengkaji terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan dan melemparkan tuduhan terhadap Pakatan Rakyat.

Zahid, yang juga Naib presiden Umno sebelum ini menyeru golongan yang enggan menerima sistem pilihan raya agar meninggalkan negara ini dan berhijrah ke negara lain.

Kenyataan itu turut disokong Timbalan Pengerusi Perhubungan BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang meminta rakyat yang tidak bersetuju dengan sistem pilihan raya agar “duduk di dalam hutan”.

Mengulas lanjut, Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani menambah, bilangan petisyen yang ingin difailkan BN menunjukkan tahap kepercayaan mereka kepada SPR jauh lebih buruk berbanding Pakatan Rakyat.

“Pakatan hanya (mahu fail petisyen) 30 lebih sahaja tetapi Umno BN lebih 50 petisyen, ini sudah parah dan terus memburukkan kredibiliti SPR sebagai badan bertanggungjawab.

“Jadi saya gesa, eloklah Pengerusi SPR dan timbalannya meletakkan jawatan ekoran krisis kepercayaan oleh parti yang bertanding dalam PRU lalu,” ujarnya

KEADILAN tuntas menuntut reformasi pilihan raya – Azmin

KEADILAN DAILY

KENYATAAN MEDIA TIMBALAN PRESIDEN KEADILAN, AZMIN ALI
 
Pengumuman Dato’ Sri Najib Tun Razak untuk memindahkan kawal selia Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di bawah kuasa dan kawal selia sebuah Jawatankuasa Khas Parlimen menandakan kemenangan awal KEADILAN dalam menuntut reformasi pilihan raya.

Malah, pengumuman tersebut membuktikan bahawa Kerajaan mengakui wujudnya penipuan dan kelemahan dalam proses pilihan raya di Malaysia.

KEADILAN sekali lagi menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengembalikan kepercayaan awam, memulihkan kredibiliti serta wibawa sebagai sebuah badan bebas yang menjadi tonggak kepada sebuah negara yang demokratik.

Sebagai langkah permulaan, selaras dengan usul di Kongres Nasional Tahunan ke 9 Parti Keadilan Rakyat pada 25 Mei 2013 yang lalu, KEADILAN kekal menuntut agar Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR segera meletakkan jawatan demi memulihkan kredibiliti dan reputasi SPR sebagai sebuah entiti demokrasi.

Perkara 113 dan 114 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menggariskan pembentukan SPR. SPR bukanlah sebuah agensi ataupun jabatan Kerajaan dan tidak boleh menjadi alat kepada mana – mana parti politik.

Oleh kerana itu, KEADILAN bersama – sama badan bukan kerajaan (NGO) termasuk BERSIH menggesa agar kawal selia SPR tidak boleh diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Sungguhpun begitu adalah penting pengumuman Perdana Menteri bukanlah sekadar ‘public relations exercise’ semata-mata. Saya menuntut supaya cadangan pembentukan Jawatankuasa Khas hendaklah dihalusi dengan pelbagai pihak atau stakeholders dan memberikan terma rujukan yang luas dan holistik supaya jawatankuasa yang dibentuk dapat melaksanakan reformasi pilihan raya secara efektif.

Sementara itu, saya turut menyarankan agar suatu badan bebas ditubuhkan di bawah bidang kuasa parlimen bagi mengambil alih peranan SPR untuk membuat syor – syor terhadap urusan persempadanan semula bahagian – bahagian pilihan raya.

Cadangan ini adalah bagi memastikan tidak berlakunya conflict of interest dan penyalahgunaan kuasa serta menjamin tugas dan peranan SPR yang lebih efektif dan bertanggungjawab dalam pengurusan perlaksanaan pilihan raya.

Penubuhan badan bebas ini penting supaya persempadanan semula bahagian – bahagian pilihan raya ini dilaksanakan dengan asas dan kriteria – kriteria yang jelas termasuk mengambil kira kriteria electoral quota and 5 % rule, geographical size, special geographical consideration, local government boundaries, boundaries of existing constituencies and local ties.

Perihal ini adalah untuk memastikan syor – syor yang dibuat berpaksi kepada prinsip yang adil dengan landas sistem demokrasi berperwakilan.

Ternyata sebuah reformasi besar harus digerakkan bagi memastikan cita – cita melaksanakan sebuah pilihan raya yang bebas dan adil terlaksana. KEADILAN bertegas bahawa institusi kenegaraan dan demokrasi di negara ini perlu dipulihkan. Moga kemenangan ini menjadi suatu anjakan yang akan membawa kemajuan politik di Malaysia.

Mohamed Azmin bin Ali

Penipuan pilihanraya atau kepincangan demokrasi?


Oleh Zulkifli Yahaya

Penghapusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjadi agenda penting dalam manifesto Pakatan Rakyat untuk PRU13. Sejak mula dicadangkan sehinggalah perkara itu termaktub dalam manifesto, frasa 'hapus PTPTN' menjadi fokus utama oleh Pakatan. Frasa itu juga yang dikutip oleh BN sebagai modal untuk terus mengelirukan rakyat.

Dalam media massa, ceramah, perang saraf dan gerak kempen BN mereka menempelak cadangan Pakatan itu dalam bentuk persoalan yang sangat pandir, "Jika PTPTN dihapuskan, macam mana anak Melayu yang miskin nak meneruskan pengajian di IPT?". Mungkin kita akan ketawa dengan kedunguan mereka memahami maksud 'hapus PTPTN' namun jangan menolak hakikat bahawa kedunguan yang disengajakan oleh para pemimpin Umno untuk memanipulasi isu tersebut telah berjaya menipu jutaan pengundi Melayu. Sejuzuk orang Melayu yang buta isu semasa (yang hanya mendapat maklumat dari TV3 dan RTM semata-mata) khuatir sepenuhnya terhadap cadangan Pakatan tersebut. Mereka yang segolongan itu, sekalipun mungkin kurang cerdik, tetapi tetap memiliki hak mengundi. Mereka adalah antara yang menyumbang kepada kemenangan BN.
Bukankah fokus yang sepatutnya dibuat Pakatan ialah memberi, pendidikan percuma di peringkat pengajian tinggi - ganti PTPTN dengan biasiswa dan tidak perlu bayar balik!
'Hapus PTPTN' sengaja dijadikan muqaddimah ulasan kali ini untuk berhujah bahawa, ada kalanya kita tersalah memberi fokus.

Pasca PRU13, rakyat Malaysia serta dunia dikejutkan dengan kegagalan Pakatan menawan Putrajaya sekalipun semua petunjuk sebelum PRU menjelaskan bahawa Pakatan sudah menguasai majoriti. Mood rakyat secara tampak, dikuasai oleh Pakatan sepanjang tempoh PRU hinggalah di saat-saat terakhir sebelum hari mengundi. Ditakdirkan Pakatan hanya menang undi popular (tepat seperti kajian yang dibuat oleh beberapa badan professional) tetapi kalah jumlah kerusi dimenangi yang dibuat berasaskan sempadan pilihanraya.
Maka muncul gerakan baru selepas PRU, yang menyandarkan kekalahan Pakatan di tangan BN disebabkan penipuan yang berlaku sepanjang proses mengundi dan mengira undi. Antara yang dilibatkan ialah dakwat kekal yang tidak kekal, penipuan daftar pemilih dan penipuan dalam pengiraan yang dibantu oleh kejadian padam lampu sehingga gerakan membantah itupun dinamakan sempena kejadian tersebut iaitu Blackout 505. Soalannya, adakah fokus terhadap 'penipuan pilihanraya' itu betul sebagai punca utama kekalahan Pakatan di Pusat?
Pengerusi SPR dan Timbalannya menegaskan bahawa tidak ada satu pun kejadian lampu padam semasa mengira undi pada 5 Mei lalu. Namun beberapa pemimpin Pakatan berjaya membuktikan memang berlaku tiga kejadian lampu padam di tempat pengiraan undi di seluruh negara. Persoalannya, jika lampu tidak padam di tiga tempat tersebut adakah Pakatan berjaya tawan Putrajaya? Isunya, bukan lampu padam atau tidak tetapi bagaimana penipuan itu dibuat. Setakat ini tiada siapa dapat beri penjelasan.
Pengarah Strategik KeADILan Rafizi Ramli mendedahkan bagaimana terdapat kertas undi yang terdapat dalam tong undi di satu pusat mengundi, lebih besar jumlahnya dari bilangan orang keluar mengundi. Kononnya angka tersebut tercatat dalam Borang 14. Persoalannya, semasa proses kira undi di mana agen mengira undi parti yang mewakili Pakatan? Agen tersebut wajib membantah apabila berlaku lebihan kertas undi dan mendesak pihak SPR membuang kertas undi tidak sah dengan merujuk kembali kepada nombor siri kertas undi yang dikeluarkan. Kesalahan seperti itu hanya boleh berlaku jika agen mengira undi parti tidak menjalankan tugas, 'dibeli' atau tidak hadir sewaktu proses kira undi berjalan. Jika hal ini berlaku, tidak guna menyalahkan musuh kerana musuh sentiasa mencari peluang bermain kotor.
Saya tidak berhasrat memperincikan isu penipuan ini kerana sebahagian besar isu yang dibangkitkan dapat dijawab dengan mudah oleh SPR. Jawapan politik yang menyakitkan hati oleh SPR dan BN ialah jika berlaku penipuan mengapa Pakatan boleh menang di tiga negeri dan menafikan majoriti dua pertiga di Parlimen?
Akhirnya fokus terhadap penipuan pilihanraya akan diadili di mahkamah melalui petisyen yang dibuat. Isu penipuan boleh jadi bola tanggung yang kembali menempelak jika tidak banyak petisyen mampu dibuat atau dimenangi.
Ulasan ini bukanlah bertujuan mencetuskan anti klimaks terhadap gerakan membantah 'penipuan pilihanraya', teruskan! Tetapi bukankah fokus yang paling tepat terhadap kekalahan Pakatan ialah kerana kepincangan demokrasi. Kembali kepada intipati tuntutan Bersih. Itu fokus yang paling tepat dan boleh dibuktikan.
Kepincangan demokrasi ialah apabila pembangkang dinafikan hak bersuara melalui kesemua media elektronik lebih-lebih lagi RTM yang menjadi milik rakyat, BN menggunakan jentera dan premis kerajaan untuk berkempen dan menyalahgunakan dana kerajaan atau duit rakyat untuk gerakerja parti politik BN. Pembangkang dilayan seperti musuh negara. Kakitangan kerajaan dipaksa mendengar kempen BN yang dibuat atas nama program jabatan. Rakyat yang menjadi penerima bantuan kerajaan melalui skim tertentu dipaksakan menerima dakyah BN, sebelum bantuan dihulurkan.
Di saat Malaysia sudah aman sejahtera, anggota tentera, polis serta isteri mereka yang bergaul dalam masyarakat awam dipaksa menjadi pengundi pos. Undi pos tidak terus dikira pada hari yang sama undi terkumpul, sebaliknya disimpan di balai polis beberapa hari tanpa pengawasan agen calon yang sudah tentu terdedah kepada tindakan memadam dan memangkah semula kertas undi tersebut. Undi pos sudah tidak relevan di Malaysia.
Semua perkara tersebut terkandung dalam agenda tuntutan Bersih. Penipuan pilihanraya cuma satu aspek hiliran dari kepincangan demokrasi, jadi wajarlah kepincangan demokrasi di Malaysia itu yang sangat perlu difokuskan.http://notautara.blogspot.com

Peguam Negara jawab kenyataan Dr Khir

Wartawan Sinar Harian

Abdul Gani Patail
Tan Sri Abdul Gani Patail
 
BERIKUT adalah kenyataan penuh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung pernyataan bertulis Blog Dr Mohamad Khir Toyo:

Dr Mohamad Khir Toyo telah meluahkan ketidakpuasan hati beliau terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang dibuat pada 30 Mei 2013 dan dalam banyak hal, beliau mempertikaikan beberapa isu yang telah diputuskan oleh mahkamah berkenaan.

Beliau menegaskan untuk kesekelian kali bahawa beliau telah membeli rumah atau hartanah yang berkenaan berdasarkan kepada harga pasaran semasa iaitu RM3.5 juta. Khir Toyo  juga menyatakan beliau tidak melakukan sebarang kesalahan, khususnya kesalahan rasuah dalam kes ini.

Beliau juga menyatakan beliau tidak memberi apa-apa keistimewaan kepada Shamsuddin Haironi iaitu saksi kedua pendakwaan yang menjual rumah tersebut dengan harga RM3.5 juta kepada beliau. Segala urusan di antara Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS)  yang mana Khir Toyo adalah Pengerusinya ketika itu dan syarikat Bidara Lumayan Sdn Bhd, yang mana Shamsuddin adalah Pengarahnya, dikatakan mengikut prosedur.

Namun, itu  hanyalah secarik  fakta  dari keseluruhan fakta kes yang dibentangkan oleh pihak pendakwaan di mahkamah sehingga meyakinkan pihak hakim bahawa tiada keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan bahawa Khir Toyo bersalah di bawah pertuduhan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Keterangan yang telah dikemukakan oleh pihak pendakwaan terhadap Khir Toyo dan hasil penelitian keterangan atau bukti oleh Hakim iaitu dari peringkat Mahkamah Tinggi sehinggalah ke peringkat Mahkamah Rayuan, telah memutuskan harga pasaran bukanlah kayu pengukur dalam menentukan pengertian pembalasan yang mencukupi (sufficient consideration) di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Para hakim telah memutuskan bahawa ia berdasarkan kepada ‘keadaaan kes’ atau circumstances of the case. Keputusan ini dibuat berdasarkan kepada nas-nas undang-undang yang sedia ada dan juga semangat di sebalik kewujudan peruntukan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Dalam kes ini, Pendakwaan bukan sahaja telah membuktikan bahawa RM3.5 juta itu tidak memadai atau mencukupi bagi harta yang dibeli oleh Khir Toyo  daripada Shamsuddin,  malahan juga telah membuktikan wujud perancangan teliti Khir Toyo  untuk memiliki hartanah tersebut sejak tahun 2004 (tahun di mana Khir Toyo mula bertanyakan harga rumah tersebut) sehinggalah Mei 2007 iaitu tahun di mana perjanjian jual beli rumah tersebut ditandatangani antara Khir Toyo dan Shamsuddin.

Fakta kes ini bukanlah semudah yang dinyatakan oleh Khir Toyo. Namun, yang menjadi teras adalah Khir Toyo telah membeli hartanah tersebut dengan harga RM3.5 juta daripada Shamsudin sedangkan Shamsudin telah membeli hartanah tersebut dengan harga RM6.6 juta.

Suatu jumlah yang tidak akan dijual oleh sesiapa kecuali atas sebab yang munasabah atau kerana terdesak atau kerana masalah kewangan, yang mana tidak berlaku dalam kes ini. Pembelian oleh Shamsuddin itu pula adalah atas arahan Khir Toyo sendiri.

Setelah hartanah tersebut dibeli oleh Shamsuddin, Khir Toyo  telah mengarahkan Shamsuddin untuk menguna khidmat seorang kontraktor yang bernama Nasir Ismail iaitu saksi ketiga Pendakwaan untuk mengubah suai rumah yang sedia ada di atas tanah tersebut kepada reka bentuk Bali.

Pada peringkat awal ubah suai ini, Nasir telah menerima bayaran secara peringkat sehingga berjumlah RM1.5 juta daripada Shamsuddin atas arahan Khir Toyo dan bayaran seterusnya dibuat oleh Khir Toyo sendiri.

Ini berlaku dalam tahun 2006, yang mana ketika itu hartanah tersebut masih berdaftar atas nama syarikat Ditamas Sdn Bhd, yang mana Shamsuddin adalah salah seorang Pengarahnya.

Dalam tahun 2007, Khir Toyo telah menyatakan hasrat kepada Shamsuddin bahawa beliau ingin membeli hartanah tersebut. Pada ketika ini, Shamsuddin telah membelanjakan RM1.5 juta untuk mengubah suai rumah berkenaan mengikut kehendak Khir Toyo sendiri.

Memandangkan Shamsuddin telah menggunakan wang beliau sejumlah RM6.5 juta untuk membeli rumah tersebut dari pemilik asal, maka Shamsuddin pada awalnya bersedia untuk menjual hartanah tersebut kepada Khir Toyo pada harga RM5 juta hingga RM5.5 juta. Namun tidak dipersetujui oleh Khir  Toyo.

Selanjutnya Khir Toyo menyatakan beliau akan membeli pada harga RM3.5 juta sahaja. Keterangan Shamsuddin di mahkamah menunjukkan beliau telah bersetuju dengan harga itu kerana bimbang urusan perniagaan beliau dengan PKNS akan terjejas sekiranya tidak bersetuju. Keterangan ini menyangkal wujudnya elemen ‘willing buyer willing seller’.

Khir Toyo  seterusnya telah melantik HSBC untuk membuat pinjaman bagi membiayai pembelian rumah tersebut. Khir Toyo sendiri telah memaklumkan kepada pegawai  bank berkenaan iaitu saksi pendakwaan ke-14 yang beliau ingin membuat pinjaman sebanyak RM3.5 juta.

Pihak HSBC seterusnya telah melantik Rahim and Co untuk membuat laporan penilaian dan ternyata laporan tersebut menyatakan harga hartanah adalah RM3.5 juta seperti yang dikehendaki Khir Toyo.

Keterangan Nasir bahawa beliau telah diarah oleh Khir Toyo sendiri untuk mengubah suai rumah tersebut sejak 2006 lagi iaitu sebelum perjanjian jual beli antara Khir Toyo dan Shamsuddin termeterai dalam tahun 2007, disokong dengan keterangan pekerja beliau dan dokumen.

Khir Toyo  menyatakan beliau hanya mengupah Nasir pada tahun 2007 iaitu setelah perjanjian jual beli dengan Shamsuddin dimeterai adalah kenyataan tidak berasas. Nasir sendiri telah mengemukakan pelan ubah suai rumah tersebut, yang bertarikh April 2006, kepada pihak Majlis Bandaraya dan ini disokong oleh pekerja beliau yang melukis pelan tersebut iaitu saksi ke-19 pendakwaan.

Khir Toyo menegaskan hartanah dibeli berdasarkan harga semasa tetapi beliau tidak menyatakan fakta keseluruhan kes ini iaitu di mana beliau telah melawat rumah atau hartanah tersebut pada awal tahun 2004 dan Khir Toyo juga telah memberitahu pemilik asal hartanah tersebut pada ketika itu bahawa harga jualan RM7 juta adalah mahal dan pada hampir pertengahan tahun 2004, Khir Toyo telah mengarahkan Shamsuddin membeli hartanah tersebut dan seterusnya pada tahun 2006 melantik Nasir untuk mengubah suai rumah tersebut dan hanya pada tahun 2007 menyatakan hasrat untuk membeli hartanah tersebut daripada Shamsuddin dengan harga RM3.5 juta.

Khir Toyo  amat maklum bahawa Shamsuddin akan kerugian jika ia dijual pada harga tersebut. Shamsuddin sendiri telah membayar RM6.5 juta untuk membeli hartanah tersebut dan telah membelanjakan RM1.5 juta untuk mengubah suai rumah tersebut mengikut kehendak Khir Toyo.

Semua fakta di atas adalah keterangan yang telah dikemukakan di mahkamah semasa perbicaraan dan dokumen-dokumen yang diterima oleh mahkamah mengikut prinsip undang-undang dan disoal panjang lebar oleh barisan peguam Khir Toyo. Namun fakta ini tidak dinyatakan oleh Khir Toyo  dalam blognya pada 31 Mei 2013.

Dalam situasi di atas, apakah wajar Khir Toyo menyatakan beliau tidak bersalah di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan kononnya hartanah dibeli mengikut harga pasaran semasa. Adakah para hakim tersilap menilai keterangan atau tidak arif akan peruntukan undang-undang yang sedia ada sedangkan bukti adalah kukuh.

Segala perancangan teliti Khir Toyo  untuk membeli hartanah tersebut dan menggunakan Shamsuddin untuk mencapai hasrat beliau ini jelas menunjukkan kesalahan yang dilakukan kerana beliau telah menyalahgunakan kedudukan atau pengaruhnya selaku Pengerusi PKNS terhadap seorang yang berurus niaga dengan PKNS.

Khir Toyo juga menyatakan bahawa sehingga ke peringkat rayuan, para Hakim Mahkamah Rayuan masih gagal memutuskan apakah ‘benchmark’ atau tanda aras untuk menyatakan pembelian ini merupakan satu balasan yang mencukupi.

Pernyataan Khir Toyo ini menghampiri batasan menghina mahkamah dan tidak menghormati barisan peguamnya sendiri. Para Hakim dengan bijaksana telah mengupas isu ini dengan panjang lebar dan teliti dalam penghakiman yang dikemukakan pada hari keputusan.

Salah satu isu yang diputuskan oleh para hakim adalah berhubung perkara ini iaitu adakah ‘market price’ menjadi kayu pengukur untuk menentukan sama ada balasan yang diberikan itu memadai atau tidak. Hanya kerana para Hakim Mahkamah Rayuan tidak menerima hujah Khir Toyo tidak bererti isu ini tidak berjawab.

Para Hakim Mahkamah Rayuan telah menjelaskan mereka bersependapat dengan Hakim Mahkamah Tinggi bahawa ‘market price’ atau harga pasaran semasa bukanlah kayu pengukur, sebaliknya ia perlu dilihat bersandarkan keadaaan  atau ‘circumtances’ kes ini. Dapatan ini bukanlah dibuat begitu saja, tetapi berdasarkan kepada nas-nas yang kukuh dan semangat (spirit) kewujudan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Tertuduh mempersoalkan bahawa tidak wajar bagi beliau membeli rumah tersebut dengan harga RM6.5 juta kerana keadaan rumah yang separuh siap pada masa itu. Namun, beliau tidak pula memikirkan ketidakwajaran Shamsuddin untuk menjual rumah tersebut dengan harga RM3.5 juta sedangkan Shamsuddin telah membelanjakan hampir RM7 juta iaitu harga belian dan kos untuk mengubah suai rumahnya.

Shamsuddin pada masa itu adalah seorang yang tidak menghadapi masalah kewangan. Oleh itu, mengapa beliau harus terdesak untuk menjual hartanah tersebut dengan harga jauh lebih murah berbanding wang yang telah dibelanjakan.

Atas sebab ini, para hakim telah menyatakan Khir Toyo sebenarnya tahu harga sebenar rumah itu, yang telah dibayar oleh Shamsuddin. Namun beliau masih bersahaja meminta Shamsuddin agar menjual rumah itu hanya pada harga RM3.5 juta. Keterangan juga membuktikan Khir Toyo sendiri telah bertanya kepada pemilik asal hartanah tersebut pada awal tahun 2004, dan beliau telah ditawar harga jualan RM7 juta.

Oleh itu, Khir Toyo seharusnya tidak mengaburi fakta kes ini dengan mendakwa hakim tidak menyatakan apakah tanda aras yang boleh digunakan, sedangkan beliau telah dibuktikan telah menggunakan kedudukan beliau untuk mendapatkan atau membeli hartanah itu dengan harga yang beliau ketahui tidak munasabah sama sekali dari pemiliknya.

Keputusan yang dibuat oleh hakim-hakim adalah setelah menilai keseluruhan keterangan yang ada. Penyataan Khir Toyo mempertikaikan keputusan hakim-hakim yang tidak menerima pakai laporan penilaian hartanah dari Rahim and Co jelas menunjukkan Khir Toyo sengaja untuk tidak memahami mengapa penilaian ini ditolak.

Para hakim telah menjelaskan bahawa penilaian ini tidak diterima, pertama kerana harga pasaran bukan kayu pengukur, kedua laporan tersebut sendiri jelas menyatakan ia tidak boleh digunakan sebagai bahan rujukan di mahkamah, dan ketiga keterangan membuktikan bahawa harga RM3.5 juta tersebut adalah harga yang ditetapkan sendiri oleh Khir Toyo kepada pegawai bank berkenaaan. Pegawai bank ini adalah saksi yang tidak berkepentingan sama sekali dalam kes ini.

Pertuduhan terhadap Khir Toyo  adalah berdasarkan kepada keterangan yang kukuh dan bukan atas faktor politik atau menjadikan Khir Toyo  sebagai ‘kambing hitam’.

Khir Toyo  telah diwakili oleh barisan peguam yang ternama dan berpengalaman, malahan kes ini telah sampai ke peringkat Mahkamah Rayuan, yang telah didengar oleh tiga hakim kanan yang bijaksana.

Seharusnya Khir Toyo  berhati-hati dan bijak dalam membuat sesuatu andaian, apatah lagi andaian yang tidak berasas. Tambahan pula kes ini telah dibicarakan dengan sepenuhnya dan telah diputuskan berdasarkan prinsip undang-undang dan sistem keadilan jenayah Malaysia.

Berhubung dakwaan Khir Toyo bahawa kes ini bukan rasuah, adalah ditegaskan bahawa Seksyen 165 Kanun Keseksaan merupakan satu kesalahan berjadual (prescribed offence) di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997 (pada ketika kesalahan dilakukan), berhubung kesalahan yang dilakukan oleh seorang pegawai atau kakitangan kerajaan yang menerima atau memperolehi sesuatu daripada seseorang yang beliau mengetahui mempunyai urusan rasmi dengan beliau tanpa balasan yang mencukupi.

Seksyen 165 Kanun Keseksaan adalah dikategorikan sebagai kesalahan rasuah juga kerana ia berhubung penyalahgunaaan kedudukan secara tidak langsung terhadap individu berkenaan.

Hukuman  maksimum bagi kesalahan ini adalah dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekala. Ia berbeza dengan kesalahan rasuah yang nyata yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Saya ingin menegaskan bahawa tidak pernah ada sebarang bentuk campur tangan politik ke atas saya. Saya membuat keputusan untuk mendakwa kes ini berdasarkan kepada keterangan yang diperoleh dari hasil siasatan yang telah dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan bersandarkan kepada peruntukan undang-undang yang sedia ada, sama ada untuk menuduh Khir Toyo atau sebaliknya.

Saya juga ingin menegaskan bahawa Perdana Menteri tidak pernah campur tangan dalam soal mengenakan pertuduhan terhadap sesiapa pun. Tidak pernah ada campur tangan politik dan tidak akan dibiarkan campur tangan politik dalam perkara-perkara yang melibatkan Jabatan Peguam Negara.


Daripada menuding jari ke atas mana-mana pihak kononnya wujud unsur konspirasi atau tekanan, langkah terbaik yang Khir Toyo perlu ambil ialah menyediakan pembelaan beliau di peringkat rayuan Mahkamah Persekutuan.

Tan Sri Abdul Gani Patail
Peguam Negara Malaysia
1 Jun 2013

Sultan Ahmad Shah terkilan teguran KJ

Wartawan Sinar Harian

Sultan Ahmad Shah
Sultan Ahmad Shah
 
KUALA LUMPUR - Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah menyuarakan rasa terkilan berhubung teguran Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang menyoal ketelusan badan induk itu sebelum ini.

Titah baginda, keputusan untuk mengadakan semula aksi separuh akhir Piala FA, antara Pahang dan Johor Darul Takzim di Stadium Nasional, Bukit Jalil adalah mengikut peraturan yang ditetapkan.

"Ini semua daripada keputusan daripada JKPT, ini bukanlah kehendak saya dan kalau saya baik kita bermain di Kuantan.

"Jadi kenyataan ini adalah tidak sepatutnya dari orang yang bertanggungjawab kepada sukan menyatakan FAM pilih kasih," titah baginda yang dipetik dari portal Astro Awani, hari ini.

Semalam, Khairy membidas FAM dan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) dengan menyifatkan kedua-dua persatuan itu tidak profesional.

FAM dikatakan tidak bertindak adil apabila memperuntukan 60 ribu tiket yang dikeluarkan kepada PBNP.

Manakala, PBNP pula gagal memastikan keselamatan terjamin di Stadium Darul Makmur sehingga memaksa perlawanan terpaksa ditangguhkan.

Pemuda PAS tolak Adun BN mahu lompat

Harakahdaily,


IPOH: Dewan Pemuda PAS Perak tidak bersetuju sama sekali jika benar ada Adun BN yang akan melompat bagi menumbangkan kerajaan BN negeri Perak.

“Kami berharap kepimpinan Pakatan tidak mengulangi ‘kemarahan rakyat’ ketika kita pernah ditumbangkan dalam keadaan yang sama.

“Jika ada ketidakpuasan hati Adun BN terhadap kepimpinan Zambry Abd Kadir, ianya adalah masalah di antara mereka dan tiada kaitan dengan Pakatan sama sekali,” kata Timbalan Ketuanya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss (gambar) dalam satu kenyataannya.

Beliau mengulas ura-ura beberapa Adun BN mahu meninggalkan parti itu dan mahu menyokong Pakatan.

Tahun 2009 lalu, tindakan melompat parti seorang Adun BN menyebabkan dua Adun PKR dan satu Adun DAP meninggalkan Pakatan Rakyat.

Ia telah menyebabkan kerajaan Pakatan Perak jatuh selepas 11 bulan dibentuk.

Ramai bimbang, jika Adun BN diterima lagi, peristiwa itu akan berulang.

Kedudukan Muhyiddin kritikal, terhangat

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Para pembaca Facebook dan Twitter Harakahdaily paling meminat artikel bertajuk “Kedudukan Muhyiddin kritikal selepas kenyataan Mahathir ...” bagi minggu ke 22, 2013.
Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dimaksudkan ialah Umno BN akan mengekalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai ketuanya kerana tiada calon lain yang lebih berwibawa.

Mahathir dipetik berkata di satu forum di Jepun semalam dengan nada sebegini:  “Saya berasa parti akan menyokong beliau (Najib) kerana kurang alternatif.”

Di tangga kedua dan ketiga ialah artikel bertajuk “Najib Razak menggelupur diserang Al Jazeera” dan “TV3 kantoi lagi, kali ini insiden bot karam pula.”

Berikut ialah 10 artikel terhangat Harakahdaily bagi minggu 26 Mei hingga 1 Jun 2013.

1

Kedudukan Muhyiddin kritikal selepas kenyataan Mahathir ...
2

Najib Razak menggelupur diserang Al Jazeera
3

TV3 kantoi lagi, kali ini insiden bot karam pula
4

Angkat sumpah Khamis, tiada ketua PR Selangor dalam Exco
5

Tahniah pengkhianat PAS Kedah, sumbangan anda dihargai BN
6

Gambar ‘huru-hara’ insiden Piala FA
7

Yang pertama datang MIC, yang pertama ziarah Umno - Nasrudin
8

Tidak mustahil enam bulan BN Perak tumbang
9

Dr. Asri bantai lagi ulama belaan Umno
10

Mohamad Sabu beri 8 punca kekalahan PAS