Sabtu, 30 Januari 2010

Umno-BN diselubungi ketakutan melampau

ANWAR IBRAHIM


Iklim ketakutan atau climate of fear makin menyelubungi negara. Umno-BN, yang sudah lama memerintah, memperkuatkan lagi cengkamannya agar nafas Demokrasi, Kebebasan dan Karamah Insan di negara ini mulai sesak.

Minggu kebelakangan ini keresahan memuncak apabila adanya percubaan untuk merekayasa ketegangan antara kaum dan agama. Siri serangan ke atas rumah ibadat mengejutkan rakyat Malaysia kerana ada di antara kita demi kelansungan politik segelintir, sanggup menggadai keamanan dan keharmonian negara ini.

Kita dikejutkan lagi dengan berita bahawa adanya tangkapan secara beramai-ramai minggu lalu menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA), kononnya untuk memerangi pengganas.

Sekiranya tidak didedahkan oleh Gerakan Mansuh ISA, pastinya kerajaan akan mendiamkan perkara ini agar tidak diketahui umum. Persoalannya jika ada bukti kukuh, mengapa menggunakan ISA? Saya menggesa agar kerajaan segera membawa mereka ke muka pengadilan dan diadili secara bebas tanpa menurut telunjuk sesiapapun.

Manakala tohmahan diperhebat terhadap Pakatan Rakyat, dibantu pula oleh ”lidah rasminya,” yang mengabaikan segala prinsip serta integriti kewartawanan, keadaan ternyata semakin memburuk.

Dipaparkan kononnya pimpinan umno-bn sedang berusaha memulihkan negara dari kemurungan ekonomi dan sedang cuba membawa perubahan, walhal pada masa yang sama, mereka yang bangkit menyatakan perbezaan, dibantai serta cuba dialahkan menggunakan taktik keji.

Lihat sahaja apabila kerajaan sanggup membiarkan anak-anak mahasiswa kita diberkas dan diugut. Apa erti slogan perubahan jika suara mahasiswa dibungkam dan mereka ditakut-takutkan.

Lebih menyedihkan kemurnian kawasan universiti dicemar apabila pihak keselamatan menceroboh lalu angkuh mempamirkan kekuatan. Tidak sedarkah kamu wahai pemerintah! Yang cuba ditakut-takutkan ini adalah penzahiran dari damir perjuangan bangsa!

Mahasiswa dan anak muda adalah generasi pemberani yang tidak gentar walau hanya berbekal genggaman tapak tangan apabila berhadapan kekuatan pemerintah.

Jelas kelihatan kepada kita, iklim ketakutan dimunculkan demi mengalih pendangan rakyat dari isu sebenar. Apatah lagi kerana kemurungan ekonomi yang belum berlalu,

kebobrokan rasuah yang semakin memualkan, kehakiman yang tidak bebas serta peningkatan ketidakyakinan rakyat terhadap kepimpinan Umno.

Hina Sultan Johor, Penulis Blog Didakwa

SABAH DAILY


Seorang penulis blog dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas tuduhan menghina Almarhum Sultan Johor.

Khairul Nizam Abd Ghani, 29, yang dikenali dengan nama penanya Aduka Taruna, sebelum ini diperintahkan ditahan reman empat hari oleh mahkamah majistret Kota Baharu.

Perintah tahanan reman itu berakhir hari ini.

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menghina dengan niat untuk menyakiti institusi kesultanan Johor dan rakyat antara jam 7.25 sehingga 9.05 pada 22 Jan.

Khairul Nizam dituduh mengikut Seksyen 233(1)(A)Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkannya diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Masri Mohd Daud mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000.

Bagaimanapun, hakim Zamri Bakar mengurangkannya sebanyak RM5,000 dengan mempertimbangkan rayuan Khairul Nizam yang akan mengadakan majlis persandingan esok.

Pengantin yang baru sebulan mendirikan rumah tangga itu diwakili peguam Mohd Razlan Jalaludin.

Khairul Nizam kelihatan tenang sepanjang prosiding tersebut. Isterinya turut hadir di mahkamah.

Pemuda itu sebelum ini menyerah diri ibu pejabat polis daerah (IPD) Kota Bharu. -MK

Rebut Jawatan: Kemelut Dalaman UMNO Silam?

Oleh: SURIATI MAHMUD (sabahkini)


Pengerusi BN Silam, Datuk Samsu Baharun Haji Abdul Rahman telah mempengerusi kan mesyuarat BN Silam baru-baru ini dan mencadangkan beliau agar BN meneruskan tradisi memilih Pengerusi BN iaitu Ahli Parlimen setelah beliau bukan lagi Ahli Parlimen Silam.

Namun Ketua UMNO Bahagian Silam, Datuk Nasrun Datu Mansur yang kononnya dijanjikan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman menggantikan Samsu bertindak ‘di luar tabii’ apabila secara tiba-tiba memecat Setiausaha UMNO Bahagian Silam, Mohammad Firdaus Datuk Ahmad Alawi kerana ‘menderhaka’ kepada beliau.

Secara kebetulan, Firdaus merupakan adik ipar Samsu yang terus dikekalkan setelah Nasrun dilantik sebagai Ketua UMNO Bahagian Silam dalam satu pertandingan maraton yang penuh culas dan penipuan.

Pertembungan politik dan budaya cantas mencantas di Silam sudah menjadi tradisi apabila berlaku pemecatan dan persekongkolan antara dia pihak yang bertelagah, namun kemenangan seringkali berpihak kepada puak yang berkecuali.

Dalam perebutan jawatan Pengerusi BN Silam, tiga Adun dan seorang ahli parlimen berminat untuk memegang jawatan berkenaan bagi melebarkan pengaruh mereka, apatah lagi seorang Adun dan seorang Ahli Parlimen tidak mempunyai sebarang jawatan di dalam UMNO.

Ahli Parlimen Silam, Haji Salleh Kalbi yang cuba keluar daripada ‘Kepompong Badi YB Satu Penggal’ menjaring rangkaian dengan Mantan Ahli Parlimen Silam, Samsu Baharun kerana berasal daripada klan yang sama iaitu Legasi Magindora.

Manakala Adun Kunak, Nilwan Kabang yang selama ini berkecuali dalam sebarang pertikaian antara Kumpulan Nasrun/Salleh turut berhasrat untuk menjadi Pengerusi BN Silam sekalipun digelumang krisis identiti.

Adun Lahad Datu, Datu Nasrun dan Adun Tungku yang masing-masing memegang jawatan Ketua dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Silam berada di dalam kedudukan selesa namun berhasrat untuk memperkukuhkan pengaruh politik mereka sehingga menginginkan jawatan Pengerusi BN Silam yang sehingga kini masih disandang Samsu kerana belum ada sebarang perlantikan baru dibuat sejak 2008, iaitu menjelang pilihanraya umum apabila Samsu tidak terpilih sebagai calon.

Dengan peluang yang luas dan kekentalan semangat Legasi Magindora, kemungkinan besar Salleh dilantik sebagai Pengerusi BN Silam yang akan melenyapkan ‘Badi YB Satu Penggal’ dan kedudukan Firdaus akan lebih kukuh dengan sokongan Parti Komponen BN Silam selama ini.

Nasrun yang disifatkan sebagai ‘Kayu Ara’ dalam politik Silam terpaksa mencari ‘pintu masuk’ kedua setelah laluan pertama gagal disebabkan tradisi yang diamalkan BN selama ini.

Berjayakah Nasrun memasang ranjau buat Salleh bagi mengakhiri kerjaya politik Salleh yang belum duduk, sudah berlunjur dan sering menongkah arus?

PTPTN Perlu RM5 Bilion Setahun, Kata Mohamed Khaled

BERNAMA


Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) memerlukan RM5 bilion setahun bagi memastikan mereka yang layak melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tidak tercicir.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata keperluan itu memandangkan pertambahan peluang dan jumlah mereka yang akan melanjutkan
pengajian ke IPT.

"Sekarang peruntukan setahun untuk PTPTN adalah sebanyak RM3 bilion, kementerian menganggarkan menjelang 2013 ia tidak mencukupi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan "Real Undergraduate" di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata keperluan itu juga memandangkan bayaran balik yang dibuat oleh peminjam adalah secara ansuran.

"Kini kementerian sedang membuat kajian bagaimana hendak menentukan kelestarian PTPTN...untuk menentukan dana itu hanya diberikan kepada mereka yang
benar-benar memerlukan," katanya.

Beliau berkata ibu bapa yang berkemampuan sepatutnya perlu mengambil tanggunggjawab untuk membiayai pendidikan anak-anak mereka dan tidak meletakkan sepenuhnya di bahu kerajaan sahaja.

"Kerajaan dah sedia infrastruktur, sediakan tenaga akademik itu sudah disubsidi jadi kalau memang anak orang kaya sepatutnya boleh bayarlah tanpa bantuan kerajaan," katanya.

Thaipusam : Ribuan Rakyat Selangor Tolak Kekerasan Polis, Hadir Majlis Kerajaan Negeri

TV SELANGOR


Ribuan rakyat Selangor hadir pada majlis Thaipusam anjuran kerajaan negeri Selangor di Batu Caves malam tadi, meskipun polis mengenakan kekangan yang dilihat sebagai cubaan langsung untuk menggagalkan majlis itu.

Polis merobohkan sebuah pentas yang didirikan oleh kerajaan negeri untuk majlis berkenaan, setelah memberi kelulusan terlebih dahulu.

Tindakan polis itu dikaitkan kepada cubaan memastikan rakyat hanya hadir untuk lawatan Perdana Menteri Najib Razak ke tapak itu malam tadi dan memulau majlis anjuran kerajaan negeri yang di atur jauh lebih awal.

Tindakan polis merobohkan pentas berkenaan memaksa kerajaan negeri membatalkan pertunjukkan kebudayaan yang bertujuan memupuk keharmonian kaum.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan barisan EXCOnya tetap mengambil keputusan untuk hadir merasmikan majlis sambutan itu walaupun mereka terpaksa berdiri atas beberapa meja yang diatur bersebelahan sebuah trak penguasa tempatan.

Meskipun majlis diadakan sejurus selepas Perdana Menteri Najib Razak melawat tapak itu, namun sambutan rakyat Selangor untuk pemimpin kerajaan negeri Selangor tetap hangat, khususnya daripada kaum India.

Tan Sri Khalid menyampaikan bantuan berjumlah RM1 juta, kepada badan amal serta sekolah Tamil di sekitar Selangor dan berjanji kemewahan Selangor akan terus dikongsi bersama dengan rakyat.

Beliau berkata sebarang usaha untuk menyekat kerajaan negeri daripada mendampingi rakyat akan terus ditolak, walaupun ia membabitkan jabatan persekutuan seperti polis.

Beliau juga menyampaikan mesej tajam kepada pemimpin persekutuan yang cuba membelakangkan hak dan kuasa-kuasa kerajaan negeri yang dilantik rakyat.

"Kita bukan menidakaan kehadiran kerajaan persekutuan. Sebagai tuan rumah kita menyambut baik kehadiran mereka. Tetapi mereka bukan tuan rumah di negeri Selangor. Mereka hanya tetamu. Saya harap perkara ini dapat difahami supaya kita dapat meraikan apa sahaja perayaan bersama- sama," kata Tan Sri Khalid.

Polis dilihat sebagai bertindak di luar bidang kuasa apabila merobohkan pentas kerajaan negeri sehari sebelum Najib melawat tapak itu.

Umumnya, hanya penguasa tempatan mempunyai kuasa menentukan kesesuaian mendirikan pentas dalam sesuatu premis seperti Batu Caves setelah mengambil kira kepentingan semua pihak.

EXCO kerajaan negeri Xavier Jayakumar berkata Polis tidak membantah pembinaan pentas kerajaan negeri apabila usul itu dibuat tetapi kemudian mengarahkan supaya ia dirobohkan atas alasan keselamatan.

Beliau berkata alasan itu tidak masuk akal kerana pentas berkenaan tidak mengancam keselamatan mana-mana pihak.

Ratusan ribu orang membanjiri Batu Caves malam tadi dan hari ini untuk bersembahyang dan membayar nazar.

Kerajaan Negeri telah meletakkan perayaan Thaipusam sebagai satu tarikan pelancong sempena kempen pelancongan Selangor Shine sepanjang tahun ini.

Hasil publisiti meluas kerajaan negeri di dalam dan luar negara, ribuan pelancong tempatan dan luar Negara bertumpu ke tapak bersejarah Batu Caves untuk sambutan terbesar Thaipusam di rantau Asia Tenggara.

"1Malaysia", satu slogan baru?

Mustafa K Anuar



Apabila Najib Razak mengambil alih pucuk pimpinan pada 3 April lalu sebagai Perdana Menteri yang baru, beliau lantas memperkenalkan satu konsep baru kepada rakyat Malaysia, iaitu "1Malaysia".

Pada asasnya, konsep ini adalah merujuk kepada usaha pemimpin BN untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang etnik di Malaysia. Ini adalah langkah yang penting dalam impian pemimpin negara untuk membina satu masyarakat yang maju, progresif lagi berindustri.

Perpaduan rakyat boleh dipupuk jika ahli dalam masyarakat benar-benar merasakan diri mereka duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Dengan kata lain, nilai keadilan, kesaksamaan dan peluang memperbaiki diri yang sama adalah ramuan yang penting.

Sebagai stakeholders yang mempunyai kepentingan dalam masyarakat, rakyat jelata perlu mendapatkan ruang di mana mereka sama-sama dapat berkongsi idea, impian dan juga kekecewaan, selain daripada juga mencapai kejayaan, kebahagiaan dan kekayaan. Peluang untuk meluahkan pandangan membina adalah penting dalam menjana perasaan a sense of belonging kepada rakyat yang mencintai negaranya.

Perasaan "ke-asingan"

Sebaliknya, luahan yang menyahkan atau mempunyai kesan menyisihkan sekelompok manusia dalam masyarakat berkenaan, seperti lemparan ungkapan "pendatang", sudah tentunya bukan sahaja mengundang perasaan marah dari komuniti berkenaan, tapi juga perasaan "ke-asingan".

Polisi tertentu yang dibentuk oleh pemerintah yang mempunyai elemen diskriminasi juga berkeupayaan untuk melemahkan perasaan ‘keahlian’ bagi komuniti yang menghadapi amalan diskriminasi dari pihak tertentu. Pendekata, diskriminasi ini boleh menggagalkan usaha untuk memupuk perpaduan rakyat pelbagai etnik, dan seterusnya menggugat konsep ‘1Malaysia’ itu.

‘1Malaysia’ juga boleh dilihat sebagai satu usaha untuk menghayati idea ‘kesatuan dalam kepelbagaian’ (unity in diversity) yang penting kerana ini menggalakkan warganegara untuk menghargai kepentingan dan "kecantikan" yang boleh diperolehi daripada kepelbagaian. Konsep kepelbagaian ini dikatakan penting lebih-lebih lagi dalam konteks masyarakat majmuk seperti Malaysia di mana terdapat pelbagai jenis manusia dengan pelbagai sikap, pendirian, fahaman, ritual dan budaya yang diamalkan.

Kepelbagaian juga membawa implikasi bahawa wujudnya perbezaan dalam masyarakat dan interaksi manusia. Dan perbezaan mempunyai potensi mencetuskan kesalahfahaman antara satu kelompok dengan kumpulan manusia lain. Di sinilah timbulnya betapa penting dialog dan perundingan antara pihak yang berkaitan. Malah, perbezaan yang dihargai dan hormati boleh membina solidariti dalam kalangan mereka.

Tapi untuk ini semua dilaksanakan atau dicapai, ianya juga memerlukan penglibatan dan tindakan pemerintah. Misalnya, "1Malaysia" yang benar-benar mengilhamkan masyarakat yang saksama dan merasakan perasaan "keahlian", harus membanteras usaha-usaha elemen tertentu dalam masyarakat yang cuba memecahbelahkan rakyat jelata menerusi politik ras, sepertimana yang dipopularkan oleh beberapa parti politik tanah air yang juga melibatkan kelompok BN sendiri.

Kesatuan rakyat Malaysia juga boleh digagalkan melalui polisi pemerintah yang mendiskriminasi kelompok tertentu hanya berdasarkan warna kulit dan kepercayaan. Gejala ini perlu ditangani golongan pemerintah yang dikatakan prihatin terhadap perpaduan rakyat.

Sekiranya kecacatan yang ada pada dasar pemerintah dan juga tindakan yang diambil yang memecahbelahkan rakyat berdasarkan etnisiti tidak ditangani, maka ungkapan "1Malaysia" ini akan hanya tinggal sebagai slogan kosong semata-mata sepertimana yang telah dilakukan oleh pemimpin politik sebelum Najib.

Menjaga hegemoni politik

Malah, konsep "1Malaysia" yang diwar-warkan ini akan hanya dilihat sebagai satu usaha golongan memerintah untuk semata-mata menjaga hegemoni politiknya dalam ertikata bahawa golongan memerintah berusaha mendapatkan restu (untuk kepimpinannya) daripada sebilangan rakyat dengan menjanjikan keadilan dan hak demokrasi pada tahap tertentu oleh pihak pemerintah kepada kelompok bukan Melayu yang rata-rata telah berkiblat kepada Pakatan Rakyat sejak pilihanraya umum yang lalu.

Sesungguhnya, tawaran konsep "1Malaysia" kepada rakyat Malaysia bukan sahaja perlu berupa ikhlas malah ianya perlu direalisasikan secara sistematik dan berlandaskan lunas-lunas murni seperti keadilan, belas kasihan (compassion), demokrasi dan perpaduan.

*Mustafa K Anuar ialah seorang pemerhati budaya, masyarakat dan slogan.

Himpunan 2K ‘Orang Muda Geng Kita’ (H2kOMGK) Catat Sejarah


BN diberi amaran, jangan selewengkan demokrasi Pemaisuri.

SETIU
– PAS menerima demokrasi berparlimen sebagaimana yang diamalkan dan memberi amaran kepada Barisan Nasional supaya tidak menggunakan cara lain dan ‘menutup’ demokrasi

Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Azman Shapawi Abd Rani memberi amaran, pemuda PAS diseluruh negera akan bangkit menentang sebarang bentuk penyelewengan prinsip demokrasi.

”Kita bimbang keadaan ini (yang) berlaku di Malaysia, hari ini kami (PAS) menerima demokrasi berparlimen, kita beri amaran kepada Barisan Nasional (BN),

”kalau kamu guna cara lain, tutup dmokrasi, kalau kami menang (dalam pilihanraya) kamu (BN) tak serah Negara, kami pemuda (PAS) akan bangkit menentang kamu (dari) seluruh negara,”tegasnya dihadapan 2000 orang pemuda PAS yang berhimpun dalam program ‘Orang Muda Geng Kita’ bagi parlimen Setiu dan Besut di Kampung Bari Besar dekat sini, Jumaat, 29 Januari.

Menurutnya, kehadiran ramai pemuda pada Himpunan tersebut dan Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) yang lalu, membuktikan pemuda PAS Terengganu sedang menuju kejayaan.

”Bukan di Besut (dan) Setiu sahaja kita bekerja (untuk kemenangan), (di) seluruh negeri Terengganu, InsyaAllah,

”rekod kita (pemuda PAS Terengganu) di HIMPIT, 10,000 kita himpun pemuda, tak mampu dilakukan dinegeri-negeri lain,”jelasnya.

Beliau berkata, Pemuda PAS Besut dan Setiu yang berhimpun untuk program H2KOMGK, merupakan satu sejarah, kerana berjaya mencapai sasaran.

Katanya, pemuda PAS Kelantan, walaupun mempunyai kerajaan, sekiranya dihimpunkan bagi dua kawasan parlimen, tidak mampu menghimpunkan seramai mana yang hadir pada hari ini.

Kepala babi: Pihak berkuasa diminta siasat kesimpulan penduduk

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Syed Husin Ali menggesa pihak berkuasa meneliti beberapa kesimpulan yang buat penduduk berdasarkan beberapa petunjuk awal dalam kejadian melempar kepala babi hutan di dua masjid di Petaling Jaya, Rabu lalu.

Dalam satu kenyataan, beliau memberitahu terdapat empat kesimpulan besar berhubung perkara itu dapat dibuat iaitu:

Pertama: kawasan di sekeliling masjid di Taman Medan itu didiami oleh orang Melayu dan tidak mungkin bagi seorang bukan Melayu yang dikenali atau tidak dikenali berani memasuki kawasan untuk membuat kerja buruk ini.

Kedua- Kepala babi hutan itu dimasukkan dalam plastik dan diikat dengan tali, menunjukkan kemungkinan besar ia diletak dekat masjid oleh seorang atau lebih tepatnya Muslim yang tidak mahu memegangnya kerana tahu ia haram dalam Islam.

Ketiga- Ramai penduduk Taman Medan menganggap kerja ini mungkin dilakukan oleh beberapa orang ekstremis, termasuk ahli Umno, kerana mereka biasa dengan cara lama Umno ini untuk mengapikan kemarahan kaum.

Dan keempat- Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengandaikan bahawa kepala babi hutan itu mungkin dibeli dari restoran, dan ekoran dari andaian ini ramai penduduk mengesyaki bukan orang awam biasa yang boleh mendapatkan empat kepala babi hutan dari restoran sekaligus melainkan dia seorang yang mempunyai kuasa.

"Saya menggesa pihak-pihak berkuasa menyiasat dengan segera dan teliti segala kesimpulan orang ramai ini sebelum ia merebak sebagai yang sebenarnya," katanya.

Dalam kejadian 27 Januari lalu, dua bungkusan masing-masing berisi dua kepala babi hutan dilemparkan di perkarangan masjid Taman Datuk Harun dan Seri Sentosa.

Sebelum ini, Naib Presiden PKR Azmin Ali turut mendakwa ahli Umno terlibat dalam pembakaran sebuah gereja di Desa Melawati dan akan membaut pendedahan lanjut berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

Kementerian Dalam Negeri bagaimanapun memutuskan Azmin tidak perlu dipanggil untuk membantu siasatan.

Peralat rumah ibadat, politik biadab nakal-Mahfuz

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yakin tindakan melempar kepala babi di dua masjid di Petaling Jaya adalah cubaan pihak tertentu memprovokasi umat Islam bagi membangkitkan kemarahan terhadap penganut agama lain.

Beliau berkata, tindakan itu berkemungkinan setelah gagal membangkitkan kemarahan umat Islam dengan pembakaran beberapa gereja baru-baru ini ekoran isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut kristian.

Tindakan itu disifatkannya sebagai strategi politik 'Biadab Nakal'.

"Kejadian tersebut berpunca dari kenakalan politik mengadudombakan rumah Ibadat bagi mencapai cita-cita politik Biadab Nakal.

"Tindak tanduk politik Biadab Nakal ini adalah berpunca apabila mejoriti rakyat pelbagai kaum dan agama menolak dan tidak lagi terpengaruh dengan kenakalan politik golongan ini," katanya.

Percubaan itu jelasnya dilakukan bagi mengharapkan umat Islam kembali berpayung kepada politik murahan Biadab Nakal untuk kelangsungan kuasa mereka.

Lebih malang katanya, apabila suspek yang ditangkap adalah merupakan penganut agama Islam dan mencerminkan ada sesuatu yang silap dalam memberi kefahaman kepada mereka.

"Penangkapan suspek dalam kejadian pembakaran gereja dan surau yang terdiri dari kalangan umat Islam dan kini melemparkan kepala babi ke dalam masjid ternyata gagalnya pihak berkuasa agama Islam dan mereka yang punya kuasa dalam hal ehwal Islam memberikan kefahaman yang jelas betapa Islam sangat memuliakan rumah ibadat," katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan, perbuatan melempar babi di Masjid Taman Datuk Harun dan Taman Sentosa juga dilakukan oleh orang Melayu sendiri.

"Melemparkan kepala babi yang di bungkus dalam pelastik lutsinar adalah petunjuk ianya di lakukan oleh orang yang jijik dan haram dengan babi.

"Kalau ianya di lakukan oleh orang tidak jijik dan tidak haram dengan babi sudah tentu ianya tidak perlu di letakkan dalam pelastik lutsinar," katanya.

Beliau melahirkan kekesalan dengan beberapa insiden serangan rumah ibadat yang boleh menjejaskan keharmonian hidup rakyat Malaysia.

"Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia bertanggungjawab menghentikan dan menamatkan politik Biadab Nakal dan usaha memporakperandakan negara orang Malaysia," katanya.

Khalid terima keputusan, akan rayu segera

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menerima keputusan Jawatankuasa Disiplin yang mendapati beliau bersalah namun akan membuat rayuan segera berhubung hukuman penggantungan enam bulan dari jawatan parti.

Dalam respon segera kepada Harakahdaily beliau yang berada di luar negara berkata, beliau menghormati keputusan tersebut.

"Oh ok, No problem, saya boleh appeal (merayu) selepas saya balik.

"Yang penting dua dua didapati bersalah dan saya harap Datuk PJ (Hassan Ali) tidak akan lagi menimbulkan masalah dengan PR (Pakatan Rakyat) Selangor," katanya melalui khidmat pesanan ringkas SMS.

Hasan Ali dalam sidang medianya sebelum ini juga memaklumkan menerima keptusan Jawatan Kuasa Disiplin dengan hati yang terbuka dan menganggap ianya sebagai satu proses pendidikan kepada dirinya.

"Dalam pertemuan selama setengah jam tadi, saya sudah menerima hukuman daripada lembaga disiplin parti dan saya diberi amaran.

"Saya terima dengan hati yang terbuka dan anggap apa yang berlaku ini sebagai proses pendidikan bagi diri saya,"katanya.

Jawatankuasa disiplin PAS petang tadi memutuskan Khalid bersalah dan digantung enam bulan dari jawatan dalam Parti manakala Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali juga bersalah dan diberi amaran bertulis berkuat kuasa hari ini.

Khalid digantung daripada menjadi Yang Dipertua Shah Alam dan Ahli Lajnah Politik PAS Pusat.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada sidang media selepas mesyuarat petang tadi.

Mereka bagaimanapun boleh mengemukakan rayuan dalam masa 30 hari.

Selain itu kedua-duanya juga tidak dibenar mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan parti dan Pakatan Rakyat.