Harakahdaily
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Syed Husin Ali menggesa pihak berkuasa meneliti beberapa kesimpulan yang buat penduduk berdasarkan beberapa petunjuk awal dalam kejadian melempar kepala babi hutan di dua masjid di Petaling Jaya, Rabu lalu.
Dalam satu kenyataan, beliau memberitahu terdapat empat kesimpulan besar berhubung perkara itu dapat dibuat iaitu:
Pertama: kawasan di sekeliling masjid di Taman Medan itu didiami oleh orang Melayu dan tidak mungkin bagi seorang bukan Melayu yang dikenali atau tidak dikenali berani memasuki kawasan untuk membuat kerja buruk ini.
Kedua- Kepala babi hutan itu dimasukkan dalam plastik dan diikat dengan tali, menunjukkan kemungkinan besar ia diletak dekat masjid oleh seorang atau lebih tepatnya Muslim yang tidak mahu memegangnya kerana tahu ia haram dalam Islam.
Ketiga- Ramai penduduk Taman Medan menganggap kerja ini mungkin dilakukan oleh beberapa orang ekstremis, termasuk ahli Umno, kerana mereka biasa dengan cara lama Umno ini untuk mengapikan kemarahan kaum.
Dan keempat- Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengandaikan bahawa kepala babi hutan itu mungkin dibeli dari restoran, dan ekoran dari andaian ini ramai penduduk mengesyaki bukan orang awam biasa yang boleh mendapatkan empat kepala babi hutan dari restoran sekaligus melainkan dia seorang yang mempunyai kuasa.
"Saya menggesa pihak-pihak berkuasa menyiasat dengan segera dan teliti segala kesimpulan orang ramai ini sebelum ia merebak sebagai yang sebenarnya," katanya.
Dalam kejadian 27 Januari lalu, dua bungkusan masing-masing berisi dua kepala babi hutan dilemparkan di perkarangan masjid Taman Datuk Harun dan Seri Sentosa.
Sebelum ini, Naib Presiden PKR Azmin Ali turut mendakwa ahli Umno terlibat dalam pembakaran sebuah gereja di Desa Melawati dan akan membaut pendedahan lanjut berhubung perkara itu dalam masa terdekat.
Kementerian Dalam Negeri bagaimanapun memutuskan Azmin tidak perlu dipanggil untuk membantu siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan