Sabtu, 30 Januari 2010

"1Malaysia", satu slogan baru?

Mustafa K Anuar



Apabila Najib Razak mengambil alih pucuk pimpinan pada 3 April lalu sebagai Perdana Menteri yang baru, beliau lantas memperkenalkan satu konsep baru kepada rakyat Malaysia, iaitu "1Malaysia".

Pada asasnya, konsep ini adalah merujuk kepada usaha pemimpin BN untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang etnik di Malaysia. Ini adalah langkah yang penting dalam impian pemimpin negara untuk membina satu masyarakat yang maju, progresif lagi berindustri.

Perpaduan rakyat boleh dipupuk jika ahli dalam masyarakat benar-benar merasakan diri mereka duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Dengan kata lain, nilai keadilan, kesaksamaan dan peluang memperbaiki diri yang sama adalah ramuan yang penting.

Sebagai stakeholders yang mempunyai kepentingan dalam masyarakat, rakyat jelata perlu mendapatkan ruang di mana mereka sama-sama dapat berkongsi idea, impian dan juga kekecewaan, selain daripada juga mencapai kejayaan, kebahagiaan dan kekayaan. Peluang untuk meluahkan pandangan membina adalah penting dalam menjana perasaan a sense of belonging kepada rakyat yang mencintai negaranya.

Perasaan "ke-asingan"

Sebaliknya, luahan yang menyahkan atau mempunyai kesan menyisihkan sekelompok manusia dalam masyarakat berkenaan, seperti lemparan ungkapan "pendatang", sudah tentunya bukan sahaja mengundang perasaan marah dari komuniti berkenaan, tapi juga perasaan "ke-asingan".

Polisi tertentu yang dibentuk oleh pemerintah yang mempunyai elemen diskriminasi juga berkeupayaan untuk melemahkan perasaan ‘keahlian’ bagi komuniti yang menghadapi amalan diskriminasi dari pihak tertentu. Pendekata, diskriminasi ini boleh menggagalkan usaha untuk memupuk perpaduan rakyat pelbagai etnik, dan seterusnya menggugat konsep ‘1Malaysia’ itu.

‘1Malaysia’ juga boleh dilihat sebagai satu usaha untuk menghayati idea ‘kesatuan dalam kepelbagaian’ (unity in diversity) yang penting kerana ini menggalakkan warganegara untuk menghargai kepentingan dan "kecantikan" yang boleh diperolehi daripada kepelbagaian. Konsep kepelbagaian ini dikatakan penting lebih-lebih lagi dalam konteks masyarakat majmuk seperti Malaysia di mana terdapat pelbagai jenis manusia dengan pelbagai sikap, pendirian, fahaman, ritual dan budaya yang diamalkan.

Kepelbagaian juga membawa implikasi bahawa wujudnya perbezaan dalam masyarakat dan interaksi manusia. Dan perbezaan mempunyai potensi mencetuskan kesalahfahaman antara satu kelompok dengan kumpulan manusia lain. Di sinilah timbulnya betapa penting dialog dan perundingan antara pihak yang berkaitan. Malah, perbezaan yang dihargai dan hormati boleh membina solidariti dalam kalangan mereka.

Tapi untuk ini semua dilaksanakan atau dicapai, ianya juga memerlukan penglibatan dan tindakan pemerintah. Misalnya, "1Malaysia" yang benar-benar mengilhamkan masyarakat yang saksama dan merasakan perasaan "keahlian", harus membanteras usaha-usaha elemen tertentu dalam masyarakat yang cuba memecahbelahkan rakyat jelata menerusi politik ras, sepertimana yang dipopularkan oleh beberapa parti politik tanah air yang juga melibatkan kelompok BN sendiri.

Kesatuan rakyat Malaysia juga boleh digagalkan melalui polisi pemerintah yang mendiskriminasi kelompok tertentu hanya berdasarkan warna kulit dan kepercayaan. Gejala ini perlu ditangani golongan pemerintah yang dikatakan prihatin terhadap perpaduan rakyat.

Sekiranya kecacatan yang ada pada dasar pemerintah dan juga tindakan yang diambil yang memecahbelahkan rakyat berdasarkan etnisiti tidak ditangani, maka ungkapan "1Malaysia" ini akan hanya tinggal sebagai slogan kosong semata-mata sepertimana yang telah dilakukan oleh pemimpin politik sebelum Najib.

Menjaga hegemoni politik

Malah, konsep "1Malaysia" yang diwar-warkan ini akan hanya dilihat sebagai satu usaha golongan memerintah untuk semata-mata menjaga hegemoni politiknya dalam ertikata bahawa golongan memerintah berusaha mendapatkan restu (untuk kepimpinannya) daripada sebilangan rakyat dengan menjanjikan keadilan dan hak demokrasi pada tahap tertentu oleh pihak pemerintah kepada kelompok bukan Melayu yang rata-rata telah berkiblat kepada Pakatan Rakyat sejak pilihanraya umum yang lalu.

Sesungguhnya, tawaran konsep "1Malaysia" kepada rakyat Malaysia bukan sahaja perlu berupa ikhlas malah ianya perlu direalisasikan secara sistematik dan berlandaskan lunas-lunas murni seperti keadilan, belas kasihan (compassion), demokrasi dan perpaduan.

*Mustafa K Anuar ialah seorang pemerhati budaya, masyarakat dan slogan.

Tiada ulasan: