PUTRAJAYA -Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Perak pada 29 Ogos ini.
Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom berkata, tarikh penamaan calon ditetapkan 15 Ogos manakala tarikh mengundi awal pada 25 Ogos ini.
Terdahulu, SPR menerima pemakluman rasmi mengenai kekosongan luar jangka kerusi berkenaan pada 17 Julai lalu berikutan penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib meninggal dunia.
Mohd Khusairi, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim meninggal dunia di Hospital Bentong pada jam 4.15 petang, 15 Julai yang lalu akibat serangan jantung selepas rebah ketika bermain golf.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Jamilah Nordin dan tujuh orang anak.
Allahyarham dipilih menjadi ADUN Slim sejak Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU-11) pada tahun 2004 lalu.
Untuk rekod, pada PRU-14, beliau mengekalkan kerusi dengan majoriti 2,183 undi menentang calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket PKR, iaitu Mohd Amran Ibrahim dan calon Pas, Muhammad Zulfadli Zainal.-MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan