Jumaat, 12 Jun 2020

Tiada campurtangan PN, agenda reformasi kekal, kata pengerusi SPR

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Azhar Harun berkata Perikatan Nasional tidak
cuba mengganggu agenda reformasinya.

PUTRAJAYA: Bagi Azhar Harun, beliau menggalas jawatan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya bukan sahaja sebagai ketua penimbang tara proses pilihan raya tetapi juga dengan agenda reformasi.

Meskipun kerajaan berubah, berita baik bagi Azhar, atau lebih dikenali sebagai Art dalam kalangan kawan-kawannya, pentadbiran baru tidak pun cuba mengganggu agenda reformasi SPR.

“Saya tidak ditekan untuk menghentikan apa sahaja inisiatif reformasi yang sedang kami fikirkan sekarang,” katanya.

“Setakat ini, tiada campurtangan langsung. Semua proses reformasi sedang berjalan.”

Namun ia perjalanan yang panjang dan perlahan.

“Kami di SPR memikirkan reformasi, analisis, mendapatkan maklum balas, membuat saranan dan berurusan dengan ahli Parlimen bagi mendapatkan sokongan mereka.

“Bukannya boleh petik jari maka jadilah reformasi.”

Beliau juga sedar betapa pentingnya ketelusan bagi kedudukannya, mengatakan peranannya mesti boleh diawasi ahli Parlimen dari semua parti.

“Saya selalu beritahu mereka, seru saya ke Parlimen bila Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bersidang. Saya pergi jumpa speaker dan beritahu beliau boleh seru saya pada bila-bila masa. Panggil saya, siasat saya, saya sudi. Saya percaya pada ketelusan dan semak dan imbang. Saya tak suka pemusatan kuasa.”

Reformasi, berkecuali, bersepakat

Kredibiliti Art, 57, sebagai seorang pengerusi bergantung kepada bagaimana beliau berurusan dengan pemegang taruh termasuk pengundi dan parti politik.

Peguam dan aktivis ini pernah mengkritik ahli politik kerajaan dan pembangkang dan tidak rasa kekok untuk berkecuali – kayu ukur seorang pengerusi SPR.

Beliau bertegas tidak terhutang budi dengan mana-mana parti politik.

Dalam usaha membawa perubahan dan melaksanakan reformasi, Art perlu mendapatkan kesepakatan semua pihak, ungkapan yang sering muncul sepanjang temubual 1 jam ini.

“Kebanyakan reformasi memerlukan peraturan dan perlembagaan diubah, jadi kita perlu kesepakatan semua ahli Parlimen.”

Azhar Harun, yang lebih dikenali sebagai Art Harun, berkata
reformasi perlukan kesepakatan ahli Parlimen.

Beliau bagaimanapun menambah SPR tidak melaksanakan reformasi “kerana kerajaan fikir kami patut buat atau tidak”.

“Kami ada fikirkan tentang reformasi tertentu sebelum ini dan masih sedang dibincangkan. Proses libat urus ini akan diteruskan,” katanya.

Tetapi reformasi proses pilihan raya yang sekian lama dilihat penuh dengan kekurangan dan kelompongan bukan mudah.

Apabila pemain lama daripada pentadbiran Barisan Nasional yang dulu kini bersama kerajaan, ada pihak merasakan reformasi mustahil dilaksanakan.

Art tidak bersetuju dengan tanggapan itu.

Beliau sedar kesetiaan politik di Malaysia mudah berubah apabila disiplin parti goyah. Ini bermakna mendapatkan kesepakatan semua parti dan blok politik bagi suatu cadangan itu memang sukar.

Oleh itu, cadangan SPR mesti mendapat sokongan ahli-ahli Parlimen.

Sistem

Art, yang dilantik sebagai ketua SPR pada September 2018, nampaknya seperti sudah membiasakan diri sebagai orang kerajaan. Tidak boleh dinafikan beliau kini sebahagian sistem itu – dan pengalamannnya sepanjang 21 bulan lepas membuka matanya tentang sistem itu.

Dahulunya seorang pengkritik kerajaan, pengalaman memaksa beliau melihatnya dari sudut berbeza.

“Saya lebih realistik,” katanya. “Bila saya menggalas jawatan itu, saya bekerja bersama sistem itu. Jika sesuatu tidak menjadi, saya akan cuba selesaikan.”

Nasibnya baik kerana kakitangan dan urusetianya cemerlang, menyahkan gambaran penjawat awam lembab dan perlahan.

Art bagaimanapun tidak membuang kawan-kawannya dari gerakan sivil.

“Saya selalu berurusan dengan mereka,” katanya. “Ada pendirian yang kami kongsi, dan ada pendirian yang saya sanggah.

“Bagi ini saya ini sesuatu yang sihat. Selagi gerakan sivil berhujah secara rasional dan bijak, bukan secara emosi, akan ada kebarangkalian untuk bersepakat.”

Tetapi, mendapatkan kesepakatan ahli-ahli Parlimen masih sukar meskipun tahun lepas Dewan Rakyat bersepakat untuk menyokong menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

Azhar Harun nampaknya sudah membiasakan diri dengan
tugasnya sebagai pegawai pilihan raya tertinggi negara.

Sekarang, pendaftaran pengundi secara automatik dan pindaan perlembagaan berkaitan yang mendapat sokongan 2/3 wakil rakyat dinanti-nantikan.

Bolehlah kesepakatan tahun lepas berulang?

Bagi Art, sokongan ahli Parlimen menjadi perkara paling asas dalam hal ini, walau kerajaan parti mana pun yang memerintah.

“Kami masih perlu berurusan dengan ahli Parlimen. Mereka penggubal dasar, mereka bahas apa sahaja undang-undang yang perlu diisytiharkan atau dipinda.”

Reformasi kecil dan besar

Sementara itu, SPR sibuk menambah baik proses pilihan raya dalam perkara-perkara yang tidak perlukan penglibatan ahli politik dan Parlimen.

Ini termasuklah perubahan operasi kecil-kecilan bagi menghasilkan pengalaman mengundi yang lebih baik seperti mengurangkan masa menunggu di pusat mengundi.

Suruhanjaya juga memperkenalkan siaran langsung dari pusat mengundi semasa pilihan raya bagi meningkatkan ketelusan.

“Ini semua benda mudah tetapi berkesan, murah, dan tidak perlu bersusah payah.”

Sekarang terserah kepada orang ramai untuk memanfaatkan perubahan yang diperkenalkan setakat ini.

“Saya paparkan proses pilihan raya untuk tontonan semua,” kata Art, mengatakan tidak ramai pun yang tonton siaran langsung walaupun mempertikaikan ketelusan SPR.

Beliau percaya kebanyakan kritikan itu berkaitan isu yang memerlukan pindaan Perlembagaan, sesuatu yang memerlukan sokongan 2/3 di Dewan Rakyat.

Beliau mengambil contoh persempadangan semula, perkara yang menjadi pertikaian kerana representasi kawasan yang dikatakan tidak seimbang.

“Sudah tentu saya setuju dan saya akan lakukannya jika kamu pinda Perlembagaan. Itu perlukan sokongan 2/3.

“Sebab itu saya kata proses mendapatkan kesepakatan ini amat penting. Kesepakatan amat penting dalam reformasi. Saya tak mahu beralasan, tetapi inilah yang kita perlu lalui di mana-mana negara pun, bukan di sini sahaja.”

Tiada ulasan: