Memaparkan catatan dengan label PRK - ROMPIN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PRK - ROMPIN. Papar semua catatan

Rabu, 6 Mei 2015

Dr M: Orang Rompin tak faham isu 1MDB

MALAYSIAKINI


 


Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kemerosotan undi yang diperolehi BN dalam pilihan raya kecil Rompin semalam bukan disebabkan kritikannya ke atas kerajaan.

Dengan sinis, Mahathir berkata masyarakat di Rompin tidak memahami mengenai skandal 1Malaysia Development Bhd yang dibangkitkannya.

“Fokus di sana ialah GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan), kos sara hidup, harga barang naik dan di bawah sekali 1MDB.

“Orang kampung tak faham isu 1MDB. Susah mereka nak bayangkan (hutang) RM42 bilion (yang ditanggung firma tersebut), katanya.

Mahathir bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan di Putrajaya pagi ini.


Husam: Pengundi Rompin tolak Najib

MALAYSIAKINI


 


Naib presiden PAS Datuk Husam Musa berkata parti itu harus merangka strategi baru berdasarkan keputusan pilihan raya kecil parlimen Rompin semalam.

Beliau melihat bahawa sikap pengundi Melayu di parlimen Rompin menunjukkan penolakan kepada pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Pada masa yang sama 6,244 pengundi itu tidak pula mengalihkan undi mereka kepada PAS atas sebab yang mereka sendiri tahu.

“Namun, paling tidak mereka yang pernah mengundi BN genap dua tahun lalu tidak lagi mengundi BN pada kali ini.

“Jika jumlah tersebut dapat diterjemahkan menjadi undi kepada pembangkang, insya-Allah perubahan politik yang besar akan berlaku dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau seterusnya mengaitkan sikap pengundi itu dengan isu cukai barangan dan perkhidmatan, skandal 1Malaysia Development Bhd dan juga masalah pentadbiran Najib.

“Faktor ini akan menjadi lebih penting menjelang PRU yang akan datang,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau tetap memberi peringatan bahawa sokongan yang diterima PAS dari pengundi bukan Melayu berkurangan pada kali ini.

“Pada masa yang sama, pengundi  bukan Melayu pula menghantarkan isyarat berbeza kepada PAS dengan berlaku pengurangan yang ketara.

“PAS perlu menggariskan pilihan strategi yang bijak dari indikator Rompin di semua sudut,” katanya lagi.

Peringatannya itu secara tidak langsung merujuk kepada isu hudud yang membelenggu kini Pakatan Rakyat.

Seterusnya, Husam berkata PAS perlu mempertimbangkan bahawa sikap pengundi yang menolak Najib adalah cukup besar.

Malah, PAS perlu mempertimbangkan bahawa faktor tersebut cukup besar daripada keuntungan yang diperolehi daripada kerjasama dengan Umno, katanya.

“Sekalipun PAS mungkin bekerjasama dengan Umno dalam apa jua bentuk bagi PRU yang akan datang, arus penolakan terhadap kepimpinan DS Najib adalah cukup besar untuk membuat perubahan sebaliknya,” katanya.


Pengundi FELDA sokong Pas naik 12 peratus

 FMT Reporters

Daripada 15 kawasan FELDA, Pas mendakwa menang di tiga kawasan dan mendapat undi popular di lima kawasan jauh lebih baik berbanding PRU13 apabila Pas kalah di kesemua 15 kawasan itu.

Tuan-Ibrahim-Tuan-Man_pas_spr_pkr_600



PETALING JAYA: Sokongan pengundi FELDA kepada Pas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin meningkat 12 peratus berbanding Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Analisis awal yang dibuat parti itu juga mendapati, daripada 15 kawasan FELDA di Rompin, Pas menang di tiga kawasan dan mendapat undi popular 45 peratus atau lebih di lima kawasan yang lain.

Peningkatan sokongan terhadap Pas itu dilihat pencapaian yang membanggakan kerana pada PRU-13, UMNO menang di kesemua 15 kawasan FELDA.

Analisis Pas juga mendapati, UMNO menang besar di kawasan Orang Asal dan perkampungan tradisional tetapi kalah teruk di kawasana golongan menengah atau separa bandar seperti Bandar Muadzam Shah.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengakui sokongan pengundi FELDA kepada Pas amat begitu dan membanggakan.

“Peningkatan sokongan ini agak memberangsangkan. Ini fenomena agak baik,” katanya.

Antara isu dipercayai mengurangkan sokongan pengundi FELDA kepada UMNO ialah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), harga kelapa sawit yang rendah dan isu perumahan generasi kedua.

Datuk Hasan Arifffin menewaskan calon Pas, Nazri Ahmad dengan majoriti 8, 895 undi.
Hasan memperoleh 23,796 undi manakala Nazri 14,901 undi.

PRK Rompin: Undi UMNO merosot 8.2 peratua

FMT Reporters

Perbandingan keputusan PRK Rompin pada 5 Mei dengan keputusan PRU13 perlu dibuat secara relatif dengan peratusan keluar mengundi bagi kedua-dua pilihan raya.

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri



PETALING JAYA: Jumlah undi yang diterima UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin menurun sebanyak 6,244 undi atau 20.8 peratus berbanding Pilihan Raya Umum ke13 (PRU13).

Bagaimanapun, perbandingan keputusan PRK pada 5 Mei dengan keputusan PRU13 perlu dibuat secara relatif dengan peratusan keluar mengundi bagi kedua-dua pilihan raya.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pemuda Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin at-Takiri berkata, jika mengambil kira status quo tahap sokongan pada PRU 13 pula, undi UMNO merosot 8.2 peratus atau 1,945 undi.

Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, bagi mengekalkan status quo tahap sokongan PRU13 berdasarkan kemerosotan peratusan keluar pada 5 Mei, BN sekurang-kurangnya patut mendapat 25,741 undi dan Pas pula memadai mendapat 12,790 undi sahaja menjadikan majoritinya ialah 12,951 undi.

“Menariknya undi Pas pula telah melebihi 14.2% (2,111 undi) daripada kedudukan untuk mengekalkan status quo tahap sokongan PRU13 lepas. Mudahnya, tahap sokongan terhadap Pas sebenarnya meningkat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, analisis itu memberi satu petunjuk bahawa isu-isu yang dibawa Pas berkaitan percukaian GST, salah urus kewangan negara, undang-undang Islam, Felda, pemilikan geran tanah yang dizalimi sejak puluhan tahun di Kuala Rompin semakin mendapat perhatian daripada pengundi Rompin.

“Apatah lagi berlaku peningkatan undi khususnya di kawasan Felda yang terkenal sebagai kubu UMNO,” katanya.

Keputusan Rompin isyarat jelas kepada BN


Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff Dr Mohammad Agus
 
 
 
SHAH ALAM -  Penganalisis politik berpandangan Barisan Nasional (BN) perlu segera membuka mata walaupun parti itu menang pada PRK Parlimen Rompin semalam.

Menurut Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Madya, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, keputusan PRK Rompin adalah isyarat jelas kepada BN untuk berbuat sesuatu jika tidak mahu mengalami mimpi ngeri pada PRU akan datang.

“Keputusan PRK Rompin menarik. Data di bawah menjelaskan hal ini.

“Jumlah Pengundi (PRU 2013 53,294; PRK 2015 53,596) , perolehan undi calon BN (PRU 2013 30,040; PRK 2015 23,796) – kurang 6,244 undi, perolehan undi calon Pas (PRU 2013 14,926; PRK 2015 14,901) – kurang 25 undi.

"Majoriti undi BN PRU (2013 15,114; PRK 2015 8,895) – kurang 6,219 undi, Sementara peratusan keluar mengundi (PRU 2013 85.89 peratus; PRK 2015 74 peratus)," tulis Agus pada laman sosial Facebook miliknya.

Tambahnya, BN harus memikirkan dengan segala kekuatan jentera dan pengumuman peruntukan yang diberi, majoriti undi yang menurun sebanyak 41 peratus perlu direnung dalam-dalam.

“Ini kerana pengundi Rompin yang selama ini merupakan kubu BN telah menunjukkan sikap protes mereka. Walaupun belum memberikan kemenangan kepada Pas, tetapi mereka telah membunyikan loceng awal untuk menyedarkan pemimpin BN tentang dasar pemerintahannya yang perlu diperbetulkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Agus berkata, oleh itu BN perlu mengubah strategi berkempen, serta perlu memikat segera pengundi muda.

“Pengundi muda pada BN menurun, oleh itu BN perlu mengubah cara berkempen. BN perlukan pemasaran politik baru kerana  produk BN dah lama, jika pengundi luar balik mengundi, keuntungan pada Pas dan majoriti makin berkurangan.

"Apa-apapun tahniah BN kerana menang dalam kalah, dan Pas pula kerana kalah dalam menang,” katanya.

PRK Rompin menyaksilan calon BN Datuk Hasan Arifin menang dengan 23,796 undi menewaskan calon Pas, Nazri Ahmad yang menerima 14,901 undi.

Hasan menang dengan majoriti 8,895 undi, menurun berbanding majoriti yang diterima BN pada pilihan raya umum lalu.

Menurut rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah peratusan keluar mengundi bagi PRK P.091 Rompin juga merosot berbanding PRU13 dengan hanya 73 peratus yang keluar mengundi.

Pada PRU13, penyandangnya, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis mengekalkan kerusi Parlimen berkenaan untuk penggal keenam setelah mengalahkan bekas Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

PRK Rompin diadakan berikutan kematian Dr Jamaluddin dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Selasa, 5 Mei 2015

Kadir: Rompin kubu 'paling taat' buat BN

MALAYSIAKINI


 


Ketika perubahan masih berpeluang berlaku di Permatang Pauh, tokoh wartawan Datuk A Kadir Jasin melihat perkara itu berbeza sama sekali di Rompin.

Katanya, berbeza dengan Permatang Pauh, Rompin, kawasan majoriti Melayu, tidak pernah dimenangi pembangkang.

"Sejarah pilihan raya kawasan itu memberi kemenangan mutakhir bagi BN/Umno,” kata bekas pengarang kumpulan NSTP Datuk A Kadir Jasin.

“Pembangkang tidak pernah merasai kerusi tersebut.

"Ia boleh dianggap sebagai contoh kerusi luar bandar yang taat kepada parti penyandang."

Pilihan raya kecil Rompin menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN Datuk Hasan Arifin dan calon PAS Nazri Ahmad bagi mengisi kekosongan kerusi itu selepas kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis.

Jamaluddin yang juga pengerusi Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) meninggal dunia pada 4 April lalu akibat nahas helikopter di Semenyih, Selangor. 


Undi ditutup, keputusan dijangka jam 11 malam ini

SINAR HARIAN

PRK ROMPIN Grafik Sinar Online
 
 
 
ROMPIN - Proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin hari ini tamat, selepas 32 pusat pengundian ditutup pada 5 petang sejak dibuka 8 pagi tadi.

Jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata empat pusat mengundi telah ditutup pada 2 petang.

Tiga daripadanya di Pulau Tioman yang melibatkan Sekolah Kebangsaan Juara dengan 171 pengundi berdaftar, Balai Raya Kampung Genting (142 pengundi) dan Sekolah Kebangsaan Mukut (136 pengundi) serta Sekolah Kebangsaan Denai di Kuala Rompin yang mempunyai 170 pengundi berdaftar.

Sebuah lagi pusat mengundi di Pulau Tioman iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Tekek (651 pengundi) ditutup pada 3 petang, dan pusat mengundi Dewan Stesen Mardi, Muadzam Shah untuk kawasan Bukit Ridan dekat sini yang mempunyai 312 pengundi, ditutup pada 4 petang.

Proses penjumlahan undi diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sebelum ini berkata kedudukan pusat pengundian yang jauh dan kawasan Parlimen Rompin yang besar iaitu sebesar Negeri Sembilan dan Melaka, menyebabkan keputusan PRK itu dijangka diumumkan seawal 11 malam ini.

Sementara itu, hujan lebat berlaku di beberapa kawasan Parlimen Rompin petang ini setelah cuaca cerah sepanjang pagi tadi.

Cuaca baik pada sebelah pagi itu membolehkan proses pengundian berjalan lancar hari ini.

PRK Rompin yang merupakan PRK kesembilan selepas pilihan raya umum lepas, menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Hasan Arifin dan calon Pas, Nazri Ahmad bagi mengisi kekosongan kerusi itu selepas kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis.

Jamaluddin yang juga pengerusi Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) meninggal dunia pada 4 April lepas akibat nahas helikopter di Semenyih, Selangor. - Bernama


Tak rasmi: BN dahului PAS

MALAYSIAKINI


 


Keputusan tidak rasmi menunjukkan BN sedang mendahului PAS dengan selesa dalam pilihan raya kecil Rompin setakat ini.

Sehingga jam 6.45 petang BN memperoleh 3,683 undi berbanding 1,803 undi untuk PAS.

Calon PAS, Nazri Ahmad memang berdepan laluan sukar dalam pilihan raya kecil ini.

Selain dikenali sebagai kubu kuat BN, Rompin juga menyaksikan BN menurunkan bekas Timbalan Menteri Besar Pahang Datuk Hasan Arifin.

Dalam pilihan raya umum lalu Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjin memenangi kerusi itu dengan majoriti 15,114 undi.


Isnin, 4 Mei 2015

PRK Rompin : Apakah ada undi protes?

 
Di sebalik kekuatan yang memihak kepada BN, PRK kali ini diadakan ketika parti komponen utamanya UMNO sedang berkocak.


undi protes



PETALING JAYA: Jika dianalisis di atas kertas, Barisan Nasional (BN) mempunyai harapan yang amat cerah untu mengekalkan kerusi pada Pilihan Raya Kecil (PRK)Rompin.

Banyak faktor yang dikatakan menyumbang ke arah kemenangan itu.

Majoriti pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu dengan kelebihan 15,114 undi yang dimenangi Allahyarham Jamaluddin Jarjis, pengaruh calon BN, Hasan Ariffin yang dianggap orang lama dan sebelum ini pernah menjadi Adun, Exco dan Timbala Menteri Besar Pahang, menjadi laluan sukar kepada calon Pas, Nazri Ahmad untuk menang.

Di sebalik kekuatan yang memihak kepada BN, PRK kali ini diadakan ketika parti komponen utamanya UMNO sedang berkocak berikutan serangan dan kritikan bertali arus daripada bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pelbagai isu yang sudah sekian lama melingkari kepimpinan presiden parti serta penolakan yang kian ketara di mana-mana, Tun Mahathir dengan tegas mahukan Perdana Menteri ditukar untuk menyelamatkan UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang.

“Ditambah dengan isu GST yang semakin hari semakin membengkak dalam hati rakyat, penolakan terhadap BN semakin jelas jadinya. Isunya bukan sangat kerana rakyat menolak sistem cukai baru itu, tetapi lebih disebabkan kegagalan kerajaan menangani isu-isu remeh di sebalik perlaksanaannya”, tulis Shahbudin Husin.

Melalui laman blognya, shahbudindotcom.blogspot.com bekas Ketua Bahagian UMNO Setiawangsa mengupas ketidak puasan yang membelenggu rakyat di negara ini.

Katanya, momokan kerajaan terhadap kebaikan Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di mana harga barang akan turun adalah palsu belaka.

“Lebih dari itu, yang paling menyenakkan perut rakyat ialah kegagalan kerajaan sehingga kini menyelesaikan isu 30 sen dan 60 sen cukai GST pada kad prabayar telefon yang menjadi kegunaan utama golongan muda, suri rumah dan mereka yang berpendapatan rendah. Ia memperlihatkan kerajaan amat lemah dan tiada lagi kekuatan”, katanya.

Justeru, PRK Rompin pada 5 Mei dilihat mempunyai nilai yang tersendiri . Apakah suhu politik nasional yang tidak menentu dan rasa ketidak puasan terhadap dasar baru mempengaruhi pengundi di kawasan itu? Sama-sama kita tunggu.

Wan Azizah seru pengundi FELDA undi Pas

 
Kegagalan FGV menjadikan masa depan peneroka dan generasi kedua felda terancam serta terikat menerusi perjanjian penanaman semula.


wan azizah undi pas



PETALING JAYA: Pengundi FELDA di Rompin perlu menggunakan peluang Pilihan Raya kecil (PRK) untuk menghukum kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana gagal membela masa depan peneroka di seluruh negara.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, masa depan peneroka dan generasi kedua felda terancam selepas kerajaan menyenaraikan FELDA di Bursa Malaysia sebagai FELDA Global Ventures Holding Berhad (FGV).

Katanya, tindakan kerajaan itu menjadikan peneroka terikat dan terpaksa bergantung kepada FELDA di bawah perjanjian penanaman semula.

Beliau berkata, peneroka di Rompin juga mengalami nasib yang serupa apabila terikat dengan perjanjian dengan FELDA.

“Suara rakyat harus didengar, masa depan peneroka dan rakyat harus dibela. Rakyat harus memilih di antara calon yang terpaksa menurut kehendak BN dengan calon yang akan membela nasib mereka kelak,” katanya.

Wan Azizah berkata demikian dalam Perutusan Sempena PRK Rompin yang akan diadakan pada 5 Mei (Selasa).

Katanya, pengundi felda dan pengundi-pengundi lain di Rompin perlu memilih calon Pas, Nazri Ahmad, sebagai bantahan terhadap BN yang membuat dasar-dasar yang menghimpit rakyat.

Katanya, undi untuk Pas juga bermakna pengundi di Rompin menolak Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Selasa, 28 April 2015

PAS Pelawa Tun M Kongsi Pentas Ceramah Kempen PRK Rompin

Oleh: SOFEA SUSAN ALBERT KASSIM


 

Dr Mahathir turun padang buat pertama kalinya menerusi program Bicara Negarawan baru-baru ini.
 
 
 
Dikemaskini  TANJUNG GEMOK: Selepas hasrat untuk berdebat dengan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan tidak kesampaian, PAS cuba mempelawa Tun Dr Mahathir Mohamad untuk 'berkongsi pentas ceramah' dengan parti itu di Rompin.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, pelawaan itu dibuat selepas bekas Perdana Menteri itu 'turun padang' baru-baru ini untuk membicarakan isu-isu semasa berkaitan kepincangan pentadbiran kerajaan sedia ada.

"Beliau buat 'jelajah' satu negara untuk jumpa rakyat bagi menjelaskan bagaimana Perdana Menteri gagal memimpin negara dengan baik.

"Jadi saya sebagai Naib Presiden PAS mempelawa Tun Mahathir bersama-sama kami dalam PRK Rompin ini. Kalau beliau mahu berkongsi pentas silakan," katanya.



Beliau berkata demikian semasa ceramah PAS di Kampung Piangu di sini yang dihadiri kira-kira 50 orang, malam Isnin.

Sebelum ini, Dr Mahathir menyampaikan ucapan mengenai isu dan persoalan berbangkit berhubung pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi Program Bicara Negarawan anjuran badan bukan kerajaan (NGO).

Ia adalah program turun padang pertamanya untuk berbicara secara langsung mengenai isu-isu semasa yang mana sebelum ini kebanyakan persoalan mengenai kepimpinan Perdana Menteri disentuhnya menerusi tulisan di laman blognya atau sidang akhbar.


Kehadiran Dr Mahathir pada program Bicara Negarawan mendapat sambutan ramai.

Menurut Salahuddin, Dr Mahathir adalah seorang tokoh politik yang  dihormati, justeru kehadirannya akan membuka mata rakyat mengenai situasi yang melanda negara pada hari ini.

Pada ceramah itu, PAS turut mempersoalkan mengenai kes pembunuhan model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang dibicarakan tanpa mendedahkan motif sebenar pembunuhan tersebut.

Malah, isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Felda dan kehadiran kebanyakan pemimpin Umno ke Rompin membantu calon antara senjata yang digunakan PAS untuk menyerang BN pada PRK kali ini.

Pada masa sama, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut mengalu-alukan bekas Perdana Menteri itu untuk berkongsi pentas dengan PAS bagi membicarakan isu-isu semasa yang melanda negara pada hari ini.

"Jika Tun M melihat ia satu tuntutan dan keperluan, maka saya setuju beliau turun ke Rompin bagi menjelaskan dan membuktikan bahawa beliau bukan keseorangan.

"PAS sanggup sediakan pentas bagi beliau dan ini bukan perkara baru kerana Tun M pernah berkongsi pentas dengan PAS suatu ketika dulu," katanya.

'Hasan, usah ambil hati ejekan calon kitar semula'

MALAYSIAKINI


 


Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong berkata calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Rompin, Datuk Hasan Arifin tidak harus mengambil hati dengan ejekan pembangkang mengenai calon kitar semula.
  
Sebagai seorang yang pernah digelar sebagai calon kitar semula oleh pembangkang pada PRK Parlimen Teluk Intan, April tahun lepas, Mah berkata apa yang penting ialah kesediaan berkhidmat kepada masyarakat terutama demi kebaikan masyarakat.
  
"Dulu mereka (pembangkang) kata saya calon kitar semula, tetapi itu bukan menjadi masalah kerana walaupun saya sudah tua, tapi saya masih ada tenaga dan semangat untuk berbakti kepada masyarakat. Dan akhirnya saya menang," kata beliau.
  
Mah ditanya oleh pemberita mengenai pengalamannya digelar sebagai calon kitar semula selepas menghadiri majlis dialog dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tionghua Daerah Rompin di Rompin semalam.
      
Walaupun dicemuh oleh pembangkang, Mah yang ketika itu berusia 53 tahun berupaya menewaskan peguam muda Dyana Sofya Mohd Daud, 27, dan merampas kembali kerusi itu dari DAP, yang ditawan DAP pada pilihan raya umum 2008.

Mah, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata umur calon bukan menjadi isu besar tetapi apa yang lebih penting ialah "hati dan semangat calon masih bertenaga."
   
Hasan, 62, bekas ADUN Tioman dan Bukit Ibam, menghadapi pertandingan satu lawan satu dengan Ketua Pemuda PAS Pahang, Nazri Ahmad, 40, dalam pilihan raya kecil pada 5 Mei ini.
  
Mah yakin bahawa BN akan memperoleh majoriti besar dalam pilihan raya kecil itu jika semua parti komponen bekerjasama bagi memastikan kemenangan dan juga yakin Hasan akan meneruskan legasi Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis untuk berkhidmat kepada masyarakat Cina di kawasan itu.
  
Mengenai kempen Gerakan di sini, Mah berkata sayap pemudanya telah menjalankan kempen secara agresif untuk memancing undi pengundi muda daripada kaum Cina melalui media sosial dan kempen secara bersemuka.
  
PRK Rompin diadakan selepas penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas
  
Parlimen Rompin mempunyai 1,352 pengundi kaum Cina yang meliputi tiga peratus daripada 53,294 pengundi di kawasan Parlimen itu.-Bernama


 

Jentera BN akan jawab kritikan Dr M

SINAR HARIAN

Muhyiddin Yassin Muhyiddin Yassin
 
 
 
MUADZAM SHAH -  Jentera BN di PRK Rompin dan Permatang Pauh akan memberi penjelasan sewajar terhadap perkara yang dibangkitkan oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagaimanapun tumpuan utama penjelasan yang akan dibuat oleh jentera BN ialah mengenai isu yang dibangkitkan oleh penduduk di kedua-dua kawasan Parlimen itu.

"Mana yang boleh kita jawab, kita jawab. Itu tanggungjawab sebagai jentera BN. (Namun) tak payah kita tumpukan kepada apa yang beliau (Dr Mahathir) sebut, tapi lebih kepada apa yang kita tahu berlaku di bawah.

"Itu lebih baik dan menjurus kepada pengundi di kawasan itu (Rompin dan Permatang Pauh)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra  bersama 600 warga Institusi Pendidikan Daerah Rompin di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kritikan berterusan Dr Mahathir terhadap pentadbiran kerajaan.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khir Mohamad Yusof, Pengarah Pendidikan Pahang, Rosdi  Ismail dan calon BN pada PRK Rompin, Datuk Hasan Arifin.

Ditanya sama ada kritikan Dr Mahathir akan memberi kesan buruk kepada BN pada PRK itu, Muhyiddin berkata ia terserah kepada jentera parti untuk turun ke akar  mbi bagi memberikan penerangan.

Kebelakangan ini, Dr Mahathir menerusi media dan laman sosial mempersoalkan pentadbiran negara, termasuk memberi saranan supaya perlaksanaan Cukai  Barang dan Perkhidmatan (GST) yang bermula pada 1 April lalu ditarik semula dan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dihentikan.

Dalam pada itu, Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata beliau berpuas hati dengan perjalanan jentera BN di Rompin, yang disifatkan beliau sebagai 'berjalan dalam satu pasukan yang kuat'.

"Saya harap dalam tempoh beberapa hari ini, tak ada kawasan yang kita tinggalkan dan beri perhatian sama berat...calon kita (Hasan) juga baik dan semua orang kenal, jadi senang untuk kita buat kerja," katanya sambil menasihatkan penduduk Rompin untuk tidak mudah terpengaruh dengan dakyah yang dibawa pembangkang semasa berkempen.  

PRK Rompin yang akan diadakan pada 5 Mei ini menyaksikan Hasan dicabar calon Pas, Nazri Ahmad, 40, bagi mengisi kekosongan ekoran kematian   penyandangnya, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor, 4 April lepas.

Sementara itu, PRK Permatang Pauh menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon BN, Suhaimi Sabudin, calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Azman Shah Othman dan calon Bebas, Salleh Isahak.

PRK yang dijadualkan pada 7 Mei ini diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon penyandangnya  Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan ketua umum PKR itu hilang kelayakan sebagai wakil rakyat. - Bernama


Isnin, 27 April 2015

Serang bilik gerakan: Penjawat awam antara ditahan

SINAR HARIAN


PRK Rompin Grafik Sinar Online
 
 
 
ROMPIN - Seorang penjawat awam antara dua suspek ditahan polis berikutan kes serangan terhadap petugas Bilik Gerakan Pas di sini, awal pagi semalam.

Kedua-dua suspek itu ditahan ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin untuk membuat laporan polis mengenai kejadian itu petang semalam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani berkata suspek yang berumur 41 dan 46 tahun itu, disah positif ganja selepas saringan ujian air kencing dilakukan terhadap kedua-dua mereka.

Polis kini sedang mendapatkan perintah mahkamah bagi menahan reman mereka bagi membantu siasatan, katanya pada sidang media di sini hari ini.

"Berdasarkan maklumat yang diterima suspek telah membuat huru-hara di Bilik Gerakan PAS Bandar Rompin yang disusuli dengan pergaduhan kecil.

"Salah seorang daripada suspek merupakan seorang kakitangan awam manakala seorang lagi bekerja sendiri dan kita akan mendapatkan perintah mahkamah untuk menahan reman kedua-dua suspek berkenaan mulai hari ini," katanya.

Sharifuddin berkata motif kejadian dipercayai khayal dan kedua-dua mereka disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut, dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya kerana penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata pihak polis juga telah memaklumkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam mengenai penglibatan anggotanya dalam kejadian itu.

Menyentuh mengenai kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin, beliau berkata pihaknya telah memberi kelonggaran dengan membenarkan parti-parti politik memohon permit ceramah dengan notis kurang 48 jam.

Justeru, polis telah memberi kelonggaran dengan meluluskan 23 permohonan ceramah malam ini iiatu lapan permohonan oleh UMNO dan dan 15 oleh Pas, katanya.

"Sepatutnya mana-mana parti politik perlu mengemukakan permohonan 48 jam lebih awal untuk mendapatkan permit ceramah namun kita telah memberi kelonggaran bagi 23 permohonan itu yang dibuat kurang daripada tempoh sepatutnya," katanya.

Beliau berkata setakat ini sebanyak 54 permit ceramah daripada kedua-dua parti politik telah mendapat kelulusan iaitu 38 permohonan oleh PAS, manakala selebihnya UMNO.

Beliau turut mengingatkan parti politik yang bertanding supaya memohon permit sebelum mengadakan program atau ceramah, kerana ceramah tanpa permit adalah menyalahi undang-undang.

Mengikut Seksyen 24b(3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menjalankan ceramah tanpa permit boleh dihukum tidak lebih satu tahun penjara atau denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

PRK Parlimen Rompin menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Datuk Hasan Arifin dan calon PAS, Nazri Ahmad, bagi mengisi kekosongan kerusi itu berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor, 4 April lepas. - Bernama

PRK Rompin: Bilik gerakan parti diserang


 


Dua lelaki yang dipercayai di bawah pengaruh dadah dan alkohol dilapor membaling kerusi ke arah seorang pekerja parti di bilik gerakan sebuah parti politik di Bandar Baru Rompin awal pagi tadi.
  
Ketua Pusat Media Pilihan Raya Kecil Rompin, Supt Abdul Aziz Mahmud berkata kejadian dilaporkan berlaku kira-kira 4 pagi.
  
Beliau berkata mangsa yang berusia 31 tahun dan tiga rakannya didatangi kedua-dua suspek dalam keadaan terhuyung-hayang dan terus membaling kerusi ke arah mereka.
  
Pengadu kemudiannya menjumpai para pelaku tersebut di markas sebuah parti politik lain yang terletak berdekatan dengan bilik gerakan itu, katanya dalam satu kenyataan.
  
Abdul Aziz berkata pengadu turut melapor berlaku bergelutan antara mereka apabila pengadu bertanyakan tentang motif serangan itu.-Bernama


 

Jumaat, 24 April 2015

Polis siasat kes bakar bendera parti di Rompin

MALAYSIAKINI


 


Polis membuka kertas siasatan mengenai dua laporan kes membakar bendera parti politik di Felda Selancar 2 awal pagi semalam.
 
Ketua Pusat Media Pilihan Raya Kecil Rompin, Supt Abdul Aziz Mahmud berkata pihaknya menerima dua laporan mengenai kejadian itu yang berlaku di dua tempat yang berlainan di tanah rancangan tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat, di mana jika bersalah, pesalah boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, katanya dalam satu kenyataan di Rompin hari ini.

Beliau mengingatkan parti politik yang bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) kawasan Parlimen Rompin supaya menasihatkan penyokong masing-masing agar tidak melakukan perkara yang menyalahi peraturan dan undang-undang yang boleh mencetuskan ketegangan.

Selain itu para penyokong kedua-dua parti yang bertanding dalam PRK itu diminta bertindak matang.

Bagi memastikan perkara itu tidak berulang, pihak polis meningkatkan rondaan setiap masa beserta pasukan pemantau Suruhanjaya Pilihan Raya, kata Abdul Aziz.

Beliau berkata pihak polis telah menubuhkan pasukan khas bagi tujuan pencegahan jenayah sepanjang PRK Rompin.

Beliau juga turut mengingatkan parti-parti yang bertanding supaya memohon permit sebelum mengadakan program atau ceramah.

PRK Rompin menyaksikan calon BN, Datuk Hasan Arifin bakal berdepan calon PAS, Nazri Ahmad berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis yang maut dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.
  
Sejumlah 53,294 pengundi, 19,561 orang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Ibam, DUN Muadzam Shah (17,394) dan DUN Tioman (16,339) layak mengundi pada 5 Mei ini - Bernama


 

Khamis, 23 April 2015

Tak mustahil PAS atasi majoriti undi BN di Rompin, kata Nasruddin

Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic
 
 
 
MUADZAM SHAH: Timbalan Pesuruhjaya II PAS Pahang, Nasruddin Hasan berkata tidak mustahil parti itu boleh membuat kejutan sekaligus mengatasi majoriti undi yang pernah diperoleh Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin, 5 Mei ini.
 
Menurut Nasruddin, apa yang penting  dengan isu yang melingkari kerajaan kini khususnya isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), sokongan pengundi di parlimen ini berkemungkinan akan beralih kepada PAS.
 
Ini diperkukuhkan lagi dengan pengalaman parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di beberapa kawasan yang pernah menjadi kubu kuat BN sebelum ini, yang mana pengundi membuat penolakan jelas kepada parti pemerintah berkenaan, ujarnya.
 
"Kalau tengok pengalaman PRU 13 di Shah Alam, kita dahulu ketinggalan majoriti banyak juga.
 
"Soal mengatasi majoriti tak mustahil, yang pasti 'swing' (peralihan) pengundi mungkin akan buat perubahan.
 
"Isu GST, isu rumah, isu ekonomi ia relevan untuk rakyat buat peralihan  atau pindahkan sokongan mereka (kepada PAS)," katanya dalam sidang media di Markas Induk, di sini, pagi tadi.
 
Nasruddin berkata demikian sebagai mengulas peluang PAS mengatasi majoriti undi yang diperoleh bekas penyandang kerusi parlimen itu, Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis dalam PRU13 yang lalu.
 
PAS mempertaruhkan Nazri Ahmad dalam PRK ini untuk bersaing dengan Datuk Hasan Ariffin bagi merebut kerusi yang dikosongkan Jamaluddin yang maut dalam nahas helikopter, 4 April lalu.
 
Dalam PRU13, Jamaluddin yang juga penyandang kerusi parlimen Rompin selama enam penggal berturut-turut mengalahkan bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.
 
Ahli Parlimen Temerloh itu juga berkata rakyat perlu menggunakan PRK ini untuk menzahirkan penolakan terhadap BN berikutan pelaksanaan cukai baharu itu.
 
"Slogan kita, satu undi untuk PAS, satu undi tolak GST.. Atau satu undi untuk BN maknanya satu undi sokong GST.
 
"Walaupun kemenangan ini nanti tak mengubah kerajaan tapi sekurang-kurangnya kita bawa suara rakyat di Parlimen," ujarnya.
 
Selain isu GST, PAS juga katanya akan mengetengahkan isu tempatan yang melingkari pengundi di parlimen berkenaan, antaranya isu Felda dan rumah mampu milik untuk golongan belia bagi meraih undi.
 
 

Rabu, 22 April 2015

PRK Rompin petunjuk kezaliman BN- calon Pas

 
Peluang kepada rakyat Rompin ,menghantar isyarat kepada kerajaan BN supaya jangan mengambil mudah penderitaan rakyat.


rompin by election mahathir GST



ROMPIN : Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin adalah petunjuk kezaliman terhadap rakyat yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Calon Pas, Nazri Ahmad.

Katanya, PRK itu merupakan peluang yang diberikan Allah kepada penduduk Rompin menghantar isyarat kepada BN supaya tidak sewenang-wenangnya mengambil mudah penderitaan rakyat.

“Beberapa hari kerajaan selepas BN laksanakan cukai GST, tiba-tiba Allah takdirkan berlakunya PRK Rompin.

“Mungkin Allah swt beri peluang kepada rakyat Rompin supaya buktikan PRK ini sebagai isyarat kepada kerajaan jangan sewenang-wenang ambil mudah tentang penderitaan rakyat. Jangan sewenang-wenang laksanakan sesuatu akta dan percukaian,” katanya pada ceramah politik di Bandar Rompin pada Selasa.

Yang Dipertua Pas Rompin itu berkata, dia setuju untuk bertanding kerana mahu menegakkan perjuangan Pas dengan melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

PRK Parlimen Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, yang juga Pengerusi Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), dalam nahas helikopter di Semenyih pada 4 April lepas.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), Jamaluddin mengekalkan kerusi yang disandangnya hampir enam penggal setelah mengalahkan bekas ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Parlimen Rompin mempunyai 53,294 pengundi berdaftar. Pengundian awal akan diadakan pada 30 April dan pengundian pada 5 Mei.

Pas guna GST untuk raih undi


Pas guna GST untuk raih undi Mohd Fadzli (kanan) mengangkat tangan Nazri Ahmad selepas nama Ketua Pemuda Pas Pahang itu diumumkan sebagai calon PRK Rompin.
 
 
 
MUADZAM SHAH – Pas mengumumkan slogan ‘Satu undi untuk Pas, satu undi tolak GST’ sebagai kempen meraih sokongan pengundi pada PRK Parlimen Rompin, 5 Mei nanti.

Slogan diumumkan Timbalan Pengarah I PRK Parlimen Rompin Dun Tioman, Mohd Fadzli Mohd Ramly yang turut menggesa supaya rakyat menolak cukai yang disifatkannya sebagai cukai zalim dan menindas itu.

Menurutnya, jika pengundi di Rompin masih memilih BN pada hari pengundian, maka jelaslah mereka juga memilih untuk mengekalkan dan menyokong pelaksanaan GST.

“Kita percaya undi kepada Pas pada PRK Rompin ini adalah isyarat kepada kerajaan atau BN bahawa rakyat bukan sahaja di daerah ini tetapi di seluruh negara menolak cukai tersebut yang tidak mengenal miskin atau kaya.

“Slogan ‘Satu undi untuk Pas, satu undi tolak GST’ akan digunakan sebagai salah satu medium kempen dalam meraih sokongan pengundi yang rata-ratanya tiada seorang pun terkecuali daripada dikenakan cukai tersebut,” katanya ditemui selepas pengumuman calon Pas PRK Rompin, malam kelmarin.

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa Pas mampu memenangi kerusi Parlimen Rompin walaupun berdepan dengan calon yang disifatkan orang lama dan berpengalaman seperti diumumkan BN, Datuk Hasan Arifin.

“Isu GST ini merupakan isu besar melibatkan rakyat seluruh negara dan rakyat secara umumnya juga ternanti-nanti keputusan PRK ini yang bakal menjadi isyarat atau simbol penolakan rakyat kepada parti pemerintah yang telah meluluskan cukai tersebut.

“Bukan sahaja GST tetapi isu saham FGVH, kejatuhan harga sawit, nasib generasi kedua Felda dan isu pemilikan tanah juga akan menjadi peluru bagi meruntuhkan daerah yang kononnya disifatkan sebagai kubu kuat BN ini,” katanya.


'Walau kawasan biru, BN kena kerja kuat'

SINAR HARIAN


Muhyiddin Yassin Calon BN Datuk Hasan Arifin (empat kanan) dan calon Pas Nazri Ahmad (tiga kiri) diumumkan sebagai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin P091 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, hari ini. - Foto Bernama
 
 
 
ROMPIN - Jentera Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak mengambil mudah Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin walaupun kawasan itu merupakan kubu kuat parti.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebaliknya jentera parti perlu bekerja keras untuk meningkatkan sokongan pengundi sekali gus menambah jumlah majoriti.

"Kita tahu Rompin sejak sekian lama merupakan kawasan biru (BN) tetapi kita tidak boleh ambil mudah, perlu tambahkan sokongan, maka jentera harus tingkatkan gerak kerja.
  
"Ini akan diselaraskan oleh (Naib Presiden Umno) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Pengarah Operasi BN PRK Rompin) dengan dibantu (BN) peringkat negeri dan rakan komponen BN untuk menunjukkan kepada rakyat tentang kesatuan dan kesepaduan parti," katanya.
  
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi calon BN, Datuk Hasan Arifin untuk proses penamaan calon PRK Parlimen Rompin di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, hari ini.
Turut serta dalam sidang akhbar itu ialah Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Pengerusi BN Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan calon BN Datuk Hasan Arifin.
  
Muhyiddin berkata BN akan menggunakan PRK itu sebagai platform untuk memperjelaskan tentang beberapa isu yang dibangkitkan pembangkang termasuk soal kos sara hidup.
  
"Isu GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) selain harga getah dan kelapa sawit tidak boleh dinafikan hakikatnya berlaku bukan sahaja di negara ini tetapi juga di peringkat global.
  
"Ini menjadi tanggungjawab kita sebagai kerajaan untuk berikan penjelasan. Macam isu GST, kita kena faham ia satu keperluan dan matlamatnya untuk kepentingan rakyat," katanya.
  
Timbalan Perdana Menteri mengakui pelaksanaan peringkat awal GST menimbulkan rasa kurang senang hati rakyat, namun aduan-aduan itu akan diperjelas.
Mengulas mengenai sasaran undi BN pada PRK Rompin, Muhyiddin berkata beliau menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi setiap 38 peti daerah mengundi (PDM) di kawasan Parlimen itu untuk menambah jumlah majoriti.
  
Katanya, setiap undi adalah penting bagi menjamin kesinambungan pembangunan sosioekonomi kawasan parlimen itu yang telah diusahakan oleh bekas anggota Parlimennya Tan Sri Jamaluddin Jarjis.
  
Sementara itu, Muhyiddin melahirkan rasa syukur dengan proses penamaan calon yang berjalan lancar, tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Katanya ia mempamerkan amalan demokrasi yang baik dalam kalangan penduduk tempatan.
  
PRK Rompin pada 5 Mei ini menyaksikan pertandingan antara Hasan, yang merupakan pemangku Ketua Umno bahagian Rompin mewakili BN, dan calon Pas Nazri Ahmad, yang juga Yang Dipertua Pas kawasan Rompin dan Ketua Dewan Pemuda Pas Pahang.
  
Pilihan Raya Kecil itu diadakan berikutan kematian Jamaluddin dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.
  
Pada pilihan raya umum ke-13, Jamaluddin mengekalkan kerusi yang disandangnya hampir enam penggal itu mengalahkan bekas Ketua Dewan Muslimat Pas Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi. - Bernama