MUADZAM SHAH: Timbalan Pesuruhjaya II PAS Pahang, Nasruddin Hasan
berkata tidak mustahil parti itu boleh membuat kejutan sekaligus
mengatasi majoriti undi yang pernah diperoleh Barisan Nasional (BN)
dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin, 5 Mei ini.
Menurut Nasruddin, apa yang penting dengan isu yang melingkari
kerajaan kini khususnya isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST),
sokongan pengundi di parlimen ini berkemungkinan akan beralih kepada
PAS.
Ini diperkukuhkan lagi dengan pengalaman parti itu dalam Pilihan Raya
Umum ke-13 (PRU13) di beberapa kawasan yang pernah menjadi kubu kuat BN
sebelum ini, yang mana pengundi membuat penolakan jelas kepada parti
pemerintah berkenaan, ujarnya.
"Kalau tengok pengalaman PRU 13 di Shah Alam, kita dahulu ketinggalan majoriti banyak juga.
"Soal mengatasi majoriti tak mustahil, yang pasti 'swing' (peralihan) pengundi mungkin akan buat perubahan.
"Isu GST, isu rumah, isu ekonomi ia relevan untuk rakyat buat peralihan
atau pindahkan sokongan mereka (kepada PAS)," katanya dalam sidang
media di Markas Induk, di sini, pagi tadi.
Nasruddin berkata demikian sebagai mengulas peluang PAS mengatasi
majoriti undi yang diperoleh bekas penyandang kerusi parlimen itu,
Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis dalam PRU13 yang lalu.
PAS mempertaruhkan Nazri Ahmad dalam PRK ini untuk bersaing dengan
Datuk Hasan Ariffin bagi merebut kerusi yang dikosongkan Jamaluddin yang
maut dalam nahas helikopter, 4 April lalu.
Dalam PRU13, Jamaluddin yang juga penyandang kerusi parlimen Rompin
selama enam penggal berturut-turut mengalahkan bekas Ketua Dewan
Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.
Ahli Parlimen Temerloh itu juga berkata rakyat perlu menggunakan PRK
ini untuk menzahirkan penolakan terhadap BN berikutan pelaksanaan cukai
baharu itu.
"Slogan kita, satu undi untuk PAS, satu undi tolak GST.. Atau satu undi untuk BN maknanya satu undi sokong GST.
"Walaupun kemenangan ini nanti tak mengubah kerajaan tapi sekurang-kurangnya kita bawa suara rakyat di Parlimen," ujarnya.
Selain isu GST, PAS juga katanya akan mengetengahkan isu tempatan yang
melingkari pengundi di parlimen berkenaan, antaranya isu Felda dan rumah
mampu milik untuk golongan belia bagi meraih undi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan