Jumaat, 24 April 2015

Polis siasat kes bakar bendera parti di Rompin

MALAYSIAKINI


 


Polis membuka kertas siasatan mengenai dua laporan kes membakar bendera parti politik di Felda Selancar 2 awal pagi semalam.
 
Ketua Pusat Media Pilihan Raya Kecil Rompin, Supt Abdul Aziz Mahmud berkata pihaknya menerima dua laporan mengenai kejadian itu yang berlaku di dua tempat yang berlainan di tanah rancangan tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat, di mana jika bersalah, pesalah boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, katanya dalam satu kenyataan di Rompin hari ini.

Beliau mengingatkan parti politik yang bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) kawasan Parlimen Rompin supaya menasihatkan penyokong masing-masing agar tidak melakukan perkara yang menyalahi peraturan dan undang-undang yang boleh mencetuskan ketegangan.

Selain itu para penyokong kedua-dua parti yang bertanding dalam PRK itu diminta bertindak matang.

Bagi memastikan perkara itu tidak berulang, pihak polis meningkatkan rondaan setiap masa beserta pasukan pemantau Suruhanjaya Pilihan Raya, kata Abdul Aziz.

Beliau berkata pihak polis telah menubuhkan pasukan khas bagi tujuan pencegahan jenayah sepanjang PRK Rompin.

Beliau juga turut mengingatkan parti-parti yang bertanding supaya memohon permit sebelum mengadakan program atau ceramah.

PRK Rompin menyaksikan calon BN, Datuk Hasan Arifin bakal berdepan calon PAS, Nazri Ahmad berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis yang maut dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.
  
Sejumlah 53,294 pengundi, 19,561 orang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Ibam, DUN Muadzam Shah (17,394) dan DUN Tioman (16,339) layak mengundi pada 5 Mei ini - Bernama


 

Tiada ulasan: