Memaparkan catatan dengan label PRK - PERMATANG PASIR. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PRK - PERMATANG PASIR. Papar semua catatan

Sabtu, 29 Ogos 2009

Permatang Pasir: PR menang di semua saluran

Lim Hong Siang


Pakatan Rakyat berjaya menyapu bersih semua saluran pengundian di DUN Permatang Pasir semalam, sementara menjauhkan jurang antara PR dengan BN dengan rekod 6-1, dalam pilihan raya kecil sejak Malaysia dilanda tsunami politik pada 8 Mac 2008.

UMNO-BN yang tidak meletakkan calon dalam pilihan raya kecil DUN Penanti, 31 Mei 2009, walau bagaimanapun mengekalkan rekod kekalahan 6 kali berturut-turut di Semenanjung Malaysia selepas PRU ke-12, dalam pertembungannya dengan Pakatan Rakyat.

PAS dari PR semalam bernafas lega, apabila menundukkan calon UMNO-BN dengan kemenangan mutlak di kesemua saluran pengundian.

Menurut keputusan terperinci yang terpapar, BN hampir menembusi saluran pengundian kedua di Permatang Ara (97% pengundi Melayu) dengan 287 undi, bagaimanapun tidak kesampaian apabila PAS-PR memperolehi satu undi lebih daripadanya.

Begitu juga apabila UMNO-BN dihampakan dengan 10 undi sahaja, di saluran pengundian kedua di Kampung Pelet, kawasan yang terdiri daripada 72% pengundi Melayu. PAS-PR memperolehi 185 undi, berbanding UMNO-BN dengan 175 undi.

Antara sembilan daerah mengundi, PAS-PR menang dengan margin majoriti yang paling selesa di Cross Street, dengan menyapu 75% undi. Cross Street terdiri daripada lebih 80% pengundi bukan Melayu. Sebaliknya, di daerah mengundi yang terdiri daripada 93% pengundi Melayu, Kubang Semang, menyaksikan PAS-PR merangkul 74% jumlah undi.

Di daerah mengundi seperti Sama Gagah, Permatang Pauh dan Permatang Tengah, PAS-PR berjaya mencatat nisbah jumlah undi 7:3, berbanding UMNO-BN.

UMNO-BN hanya mampu merapatkan jurang di daerah mengundi seperti Permatang Ara (43% undi), Kampung Pelet (42% undi) dan Bukit Indera Muda (40% undi).

Dari struktur kaum pengundi, kawasan tersebut adalah kawasan Melayu majoriti, dengan Permatang Ara 97% pengundi Melayu, Kg.Pelet 72% pengundi Melayu dan Bukit Indera Muda 96% pengundi Melayu.

Pengundi muda tetap memihak PR

Walau bagaimanapun, PR kekal dengan kelebihannya di saluran pengundian ketiga dan keempat, memperlihatkan sokongan pengundi muda terhadap pakatan politik baru ini.

Walaupun di kawasan yang majoritinya pengundi Melayu, misalnya di ketiga-tiga daerah pengundian di mana UMNO-BN "berjaya merapatkan jurang", golongan pengundi muda tetap bersama PR.

Di Permatang Ara misalnya, UMNO-BN kalah dengan satu undi di saluran pengundian kedua, tetapi kalah dengan 152 undi majoriti (PAS 349: BN 197) di saluran ketiga.

Di daerah mengundi Permatang Tengah misalnya, dengan majoriti 89% pengundi Melayu, jumlah undi di saluran pengundian ketiga, keempat dan kelima menyaksikan bagaimana UMNO-BN tewas dengan 491 undi majoriti, apabila PAS-PR memperolehi 804 undi dan UMNO-BN mendapat 313 undi.

UMNO-BN dijangka tidak berubah

Jelas, kelebihan UMNO-BN hanya pada saluran pengundian pertama dan kedua, iaitu golongan pengundi yang umurnya lebih lanjut, di kawasan pengundi Melayu majoriti.

Peningkatan sokongan Melayu mungkin tidak jelas, khususnya di kubu politik Anwar Ibrahim. Tetapi, mungkinkah keputusan ini cukup untuk memberangsangkan pemimpin UMNO?

Pengarah Strategi PKR, Tian Chua meramalkan bahawa UMNO-BN akan terus dengan propagandanya seperti "Anwar pengkhianat", "DAP hina Islam" dan sebagainya, memandangkan peningkatan undi 1% pun mungkin memberi kepuasan kepada UMNO.

"Sememangnya kami (PR) juga bimbang akan kehilangan undi Melayu, tetapi selagi kami mengambil pendekatan yang sederhana, mengekalkan sokongan dari struktur pengundi yang sedia ada, maka UMNO-BN akan musnah dengan sendirinya," jelas Tian Chua kepada MerdekaReview.

Kelas pekerja bersama PR

Ahli Parlimen Batu ini mengingatkan bahawa golongan yang tidak mengundi semalam adalah dari kelas pekerja, yang tidak mempunyai cuti, malah mungkin keberatan untuk balik mengundi kerana tambang kenderaan yang mahal.

Beliau yakin bahawa penurunan peratus pengundian sebanyak 10%, dikenalpasti sebagai pengundi pekerja yang akan mengundi untuk PR.

Maka, kemenangan PAS-PR semalam mengukuhkan keyakinan PR bahawa strategi dan pendekatan yang sama wajar diteruskan, untuk berdepan dengan PRU ke-13.

Cuma, bagaimana pula dengan UMNO-BN?

Rabu, 26 Ogos 2009

Keegoan BN tertimbus di Permatang Pasir - Mahfuz

Oleh IRWAN MUHAMMAD ZAIN


KUALA LUMPUR - Kegembiraan Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno setelah tewas tipis dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Manek Urai akhirnya tertimbus di Permatang Pasir.

Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar menjelaskan kemenangan Pakatan Rakyat di Permatang Pasir mengekalkan momentum Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu dan membuktikan rakyat sudah muak dengan politik lama yang dibawa oleh BN.

Kemenangan itu juga kata beliau, membuktikan rakyat mahukan seorang pemimpin yang berintegriti bagi mewakili mereka tidak kira di Dun atau parlimen.

"Kemenangan yang penuh bergaya ini membuktikan rakyat tetap mahukan perubahan dan menolak BN serta masih mengekalkan momentum pilihanraya 2008.

"Keputusan ini juga menunjukkan rakyat menolak agenda perkauman yang dibawakan oleh Umno dengan harapan akan memperolehi undi Melayu tetapi bukan hanya undi Melayu tetapi undi bukan Melayu juga gagal mereka perolehi.

"Umno yang diketuai oleh Muhyiddin (Tan Sri) sanggup memporak perandakan hubungan antara kaum semata-mata untuk mendapatkan kemenangan sedangkan rakyat sudah muak dengan mereka (BN)," tegas Mahfuz.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya untuk pilihanraya kecil Dun Permatang Pasir berkata faktor calon yang dikemukakan oleh BN juga memainkan peranan penting dalam memastikan PAS mengekalkan kerusi di Permatang Pasir.

Mengulas mengenai peratusan keluar mengundi yang berkurangan sebanyak 10 peratus, ahli parlimen Pokok Sena itu berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepatutnya lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan pilihanraya di masa akan datang.

SPR tegas beliau bukan hanya perlu memberikan kesedaran untuk rakyat menunaikan tanggungjawab mereka tetapi perlu juga memberikan ruang untuk mereka keluar mengundi dengan menetapkan tarikh mengundi pada hari cuti atau hujung minggu.

Selain itu, SPR juga kata Mahfuz, perlu tegas dalam melaksanakan peraturan dan tidak seharusnya setiap kali berlaku pilihanraya kecil, satu peraturan baru yang bertujuan untuk memudahkan BN diperkenalkan.

Mahfuz juga mengucapkan tahniah kepada calon PAS, Mohd Salleh Man yang berjaya memenangi kerusi Dun Permatang Pasir dalam pilihanraya kecil Dun tersebut.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada petugas-petugas dan penyokong-penyokong yang gigih membantu sepanjang kempen pilihanraya kecil Dun tersebut baru-baru ini.

Dalam pilihanraya kecil Dun Permatang Pasir yang diadakan pada 25 Ogos lalu, Pakatan Rakyat yang diwakili calon PAS Mohd Salleh Man mendapat 9,618 undi, meninggalkan calon BN Rohaizat Othman dengan 5,067 undi.

Majoriti yang diraih Salleh 4,551, kurang 882. Jumlah mereka yang keluar mengundi merosot hampir 10 peratus kali ini kepada 73.1 peratus berbanding 82.6 peratus pada Mac 2008.

Kemenangan dan kurangnya majoriti PAS telah diduga - Penganalisis

BERNAMA


BUKIT MERTAJAM: Kemenangan Pas tetapi majoriti akan berkurangan adalah satu keputusan yang telah diduga pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir.

Pada pilihan raya kecil itu, Pas mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir apabila calonnya, Mohd Salleh Man meraih 9,618 undi, menewaskan calon BN Rohaizat Othman dengan majoriti 4,551 undi.

Pada pilihan raya umum 2008, penyandangnya Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman menang dengan majoriti 5,433 undi mengalahkan calon BN Ahmad Sahar Shuib.

Antara faktornya ialah kerana Permatang Pasir telah menjadi kubu kuat Pas selama tiga penggal dan kekuatan itu dikukuhkan lagi apabila Angggota Parlimen bagi kawasan Permatang Pauh itu ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

DUN Permatang Pasir adalah salah satu DUN di bawah Parlimen Permatang Pauh selain Penanti dan Seberang Jaya dan pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan antara calon Pas Mohd Salleh Man dan calon Barisan Nasional (BN) Rohaizat Othman berikutan kematian penyandangnya Mohd Hamdan.

Pensyarah Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Sivamurugan Pandian berkata, faktor pengurangan majoriti Pas adalah disebabkan jumlah mereka yang keluar mengundi berkurangan kerana ia diadakan pada hari bekerja.

Katanya, faktor Anwar sememangnya membawa kemenangan kepada Pas dan pemimpin pembangkang itu terus mendapat sokongan pelbagai kaum.

"Anwar dalam ceramahnya sering menjelaskan bahawa satu undi untuk calon Pas adalah sama dengan satu undi kepadanya dan juga satu undi kepada kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang," kata beliau kepada Bernama di sini semalam.

Sivamurugan berkata, kenyataan Anwar itu berjaya meraih undi dari semua kaum kerana rakyat di kawasan Permatang Pauh menyokong beliau.

Katanya, faktor calon kini tidak boleh diambil kira kerana walaupun Rohaizat telahpun membersihkan namanya dari segala tuduhan manakala Mohd Salleh pula tidak popular dan tidak pernah memenangi enam pilihan raya umum sejak 1986 sehingga pilihan raya umum 2008 namun kemenangan masih memihak kepada Pas. Beliau mendakwa, satu lagi faktor penting yang menyumbang kekalahan calon BN ialah anggota parti komponen BN yang tidak mengundi atau menyokong BN sendiri.

Ketidaksetiaan anggota-anggota parti komponen BN itu terbukti apabila jumlah undi yang diperolehi adalah berkurangan daripada jumlah keanggotaan mereka.

Sivamurugan berkata terdapat sebanyak 5,600 anggota dari partiparti komponen BN malah anggota Umno sendiri adalah sebanyak 5,400 tetapi BN hanya mendapat 5,067 undi sahaja.

Penulis terkenal Kassim Ahmad pula berkata, kekalahan Umno telah diduga kerana rakyat masih mahu memberi peluang kerajaan pakatan pembangkang untuk meneruskan agenda mereka.

"Walaupun jumlah majoriti Pas telah berkurangan tetapi ia tidak sampai 1,000 pun dan ini menunjukkan rakyat masih percayakan pakatan pembangkang dan menolak sistem dan dasar pemerintahan kerajaan sekarang," kata beliau.

Katanya, isu-isu seperti kes kematian Teoh Beng Hock, isu rasuah, integriti dan moral yang dibawa oleh pembangkang masih mempengaruhi pengundi.

"Terdapat juga rakyat yang mahukan kerajaan memperkenalkan sistem dua parti seperti yang diamalkan oleh negaranegara Eropah dan disebabkan itu mereka menyokong pembangkang supaya memberi tekanan kepada kerajaan BN," kata beliau.

BN kekal tewas di Semenanjung

Lim Hong Siang


"Angin perubahan" yang dimaksudkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin ketika berkunjung di Permatang Pasir pada hari ini, rupa-rupanya lanjutan daripada tsunami 8 Mac, 2008.

Calon UMNO dari Barisan Nasional, Rohaizat Othman ditewaskan oleh calon PAS dari Pakatan Rakyat, Mohd Salleh Man dengan majoriti 4,551 undi. Mohd Salleh Man memperolehi 9,618 undi, sementara Rohaizat Othman mendapat 5,067 undi, selain undi rosak sebanyak 83 undi. Undi majoriti berkurang, selaras dengan penurunan peratusan pengundian kepada 73.1%, berbanding 82.57% pada tahun lalu.

Terdapat seramai 20, 289 orang pengundi berdaftar di kawasan DUN Permatang Pasir, dengan Melayu 72.36%, Cina 25.85%, India 1.63% dan kaum lain 0.16%.

Mengimbas Pilihan Raya Umum ke-12 tahun 2008, bekas ADUN PAS, Allahyarham Hamdan Abdul Rahman berjaya mempertahankan kubu dengan 11,004 undi, memandangkan calon UMNO ketika itu, Ahmad Sahar Shuib hanya memperolehi 5571 undi. Majoriti yang diraih ialah 5,433 undi, dengan 227 undi rosak.

Kekal rekod tewas di Semenanjung

Keputusan malam ini memperlihatkan BN mengekalkan rekod kekalahannya dalam setiap pilihan raya kecil yang diadakan di Semenanjung Malaysia, selepas PRU ke-12. BN hanya menang di pilihan raya kecil DUN Batang Ai, Sarawak dan tidak bertanding untuk pilihan raya kecil Penanti, Pulau Pinang, 31 Mei 2009.

Sebelum ini, "angin perubahan" lebih kencang apabila pilihan raya kecil kawasan parlimen Permatang Pauh menyaksikan bagaimana UMNO-BN tewas dengan majoriti yang lebih besar. Malah, Kuala Terengganu yang sebelum ini dimiliki UMNO, ditembusi calon PAS dari PR.

Seterusnya, pilihan raya kecil Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau juga menyaksikan kemenangan yang memihak kepada Pakatan Rakyat, dengan majoriti yang lebih besar.

Keadaan menjadi "reda" buat UMNO apabila membuat kejutan di pilihan raya kecil DUN Manek Urai, Kelantan dengan menghakis majoriti calon PAS, sehingga PAS hanya menang tipis dengan 65 undi majoriti di kubu sendiri. Walaupun UMNO-BN dilihat cuba mengekalkan, malah memacu momentum selepas "kekalahan tipis" tersebut, namun hasrat BN akhirnya tidak tercapai.

Analisa selanjutnya...

Data terperinci keputusan pilihan raya kecil Permatang Pasir akan dikeluarkan kemudiannya. Sejauh manakah propaganda UMNO yang disebarkan sejak awal Ogos, bahawa "Anwar pengkhianat Melayu", "Nik Aziz menghina Islam" dan sebagainya berkesan, akan diteliti dalam analisa selanjutnya.

BN akan teliti faktor kekalahan: Najib

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, Barisan Nasional (BN) sudah mencuba dengan baik dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, semalam.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, mungkin ada faktor-faktor tertentu perlu diambil kira oleh BN berikutan keputusan pilihan raya itu yang memihak kepada Pas.

“Dari satu segi kita dapat mengurangkan jumlah majoriti kemenangan parti lawan. Dari satu segi yang lain, kita mesti melihat apakah faktor-faktor yang boleh diperbaiki oleh parti kita.

“Saya tahu apa dia (faktor-faktor) dan kita akan mengkaji apakah kesilapan kita supaya pada masa akan datang kita akan melakukan usahayang lebih berjaya lagi,” katanya selepas melancarkan sambutan Hari Wanita Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, semalam.

Najib mengulas keputusan pilihan raya kecil itu selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan calon Pas Mohd Salleh Man mendapat 9,618 undi dan menewaskan calon BN, Rohaizat Othman yang memperoleh 5,067 undi.

Di BUKIT MERTAJAM: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, faktor kekalahan BN pada pilihan raya kecil itu, adalah sikap pengundi yang tidak mahu perubahan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, faktor lain yang menyumbang kepada kekalahan BN ialah kawasan Permatang Pasir adalah kubu kuat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga kubu Pas.

"Pengundi di kawasan ini tidak mempunyai keinginan untuk membangunkan Permatang Pasir seperti ditawarkan BN, jika memenangi kawasan ini.

"Pengundi Cina juga ramai di sini dan ia berbeza dengan senario pilihan raya kecil DUN Manek Urai, baru-baru ini," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Induk BN di sini, malam tadi.

Timbalan Perdana Menteri juga tidak menafikan faktor calon BN iaitu Rohaizat yang mempunyai pelbagai isu peribadi turut menyumbang kepada kekalahan BN.

Katanya, pembangkang mengeksploitasikan isu itu secukupnya untuk mengganyang Rohaizat sehingga menyumbangkan kepada kekalahan BN.

"Kita mengambil kira faktor ini, tetapi pada penghujung kempen, isu itu dapat diatasi dan kalau tidak ia mungkin akan jadi lebih teruk.

"Keputusan pilihan raya kecil ini tidak banyak berbeza daripada pilihan raya umum 2008 dan jika faktor penolakan calon yang bertanggungjawab sepenuhnya, sudah tentu, keputusannya tidak seperti hari ini (semalam)," katanya.

Muhyiddin berkata, pengundi menunjukkan minat kepada BN ketika lawatan dilakukan di kawasan mereka, tetapi sikap mereka tetap tidak berubah dengan mengundi pembangkang.

Katanya, walaupun tewas dalam pilihan raya berkenaan, BN tetap menerima keputusan itu kerana ia kehendak rakyat selaras dengan demokrasi berparlimen.

Beliau berkata, BN tetap akan bekerja keras dan membina semula kekuatan jenteranya bagi merebut semula kawasan itu.

Selasa, 25 Ogos 2009

Muhyiddin: Sokongan pada BN tidak berubah

Abdul Rahim Sabri


Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata BN menerima kekalahannya dalam pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir hari ini.

Calon PAS, Mohd Salleh Man mendapat 9,618 undi untuk menewaskan calon BN, Rohaizat Othman dengan majoriti 4,551 undi. Rohaizat mendapat 5,067 undi.

"Bagi kita, walaupun peratusan yang keluar undi adalah rendah berbanding pilihanraya umum 2008, daripada pemerhatian kita, ada sedikit sahaja perubahan di beberapa peti undi, tapi tidak begitu ketara," kata Muhyiddin.

"Di Permatang Pasir, sikap pengundi nampaknya tidak banyak berubah walaupun masa lawatan-lawatan kita, nampak adalah sedikit sebanyak minat mereka untuk mengundi BN.

"Tapi apa pun, kita terima keputusan ini kerana seperti apa yang diamalkan dalam demokrasi berparlimen. Saya menghormati keputusan rakyat," katanya kepada pemberita malam ini.

Beliau berkata, BN harus memberi perhatian kepada perkara-perkara tersebut serta menganalisa, menilai serta meneliti sokongan masyarakat Melayu, Cina, India dan lain-lain.

"(Bagi) majoriti (pengundi) Melayu, jika dibandingkan dengan pilihanraya yang lepas, kita lihat tidak ada berganjak sokongan yang diterima oleh BN," katanya.

Pengundi hantu

Muhyiddin yang juga timbalan perdana menteri berkata, proses pilihanraya kecil ini membolehkan BN membuat penilaian dalam menghadapi pilihanraya yang akan datang.

Menjawab pertanyaan pemberita, beliau berkata, faktor calon mungkin menjadi salah satu sebab kekalahan BN.

"Pembangkang sedikit sebanyak mengekploitasi masalah yang dihadapinya. Tetapi jika diambil kira pada peringkat akhirnya, ada penerimaan, kita kaji (keputusan) tidak banyak berbeza dengan yang lepas," tegasnya.

Ditanya mengenai saranan untuk memperkuatkan Umno dan BN di Permatang Pauh, Muhyiddin berkata:

"Kita harus bekerja keras untuk mendampingi rakyat dan juga pengundi. Kita harus memahami sikap mereka dan hubungan akrab dengan pengundi.

"Kita perlu ambil kira daftar pemilih walaupun SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) kata tidak ada pengundi hantu, mungkin ada yang daftar di Permatang Pasir tidak ada di sini.

"Jadi perkara ini harus diberi perhatian oleh kepimpinan umno di Permatang Pauh," tambahnya.

Serangan peribadi

Sementara itu, Rohaizat juga menerima kekalahannya dengan hati yang terbuka.

"Ini adalah suara rakyat dalam amalan demokrasi. Dalam pertandingan, ada yang kalah dan yang menang. Tahniah kepada PAS," katanya.

Ditanya mengenai sokongan yang diterimanya, Rohaizat berkata: "Tidak banyak berbeza dengan sahabat saya yang dahulu.
Sokongan kepada saya masih tetap tidak berubah," katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau sedikit kecewa kerana sebilangan penduduk di Permatang Pasir gagal memahami gagasan yang hendak dibawa oleh BN.

Katanya, BN mahu memberi status anak emas kepada Permatang Pasir tetapi ia ditolak oleh pengundi.

Menjawab pertanyaan media, Rohaizat menolak isu serangan peribadi terhadapnya sebagai salah satu faktor kekalahannya.

Katanya, ini kerana jumlah undi yang diperolehinya - berbandingan dengan calon BN dalam pilihahraya umum lalu - adalah lebih kurang.

"Jadi saya rasa ia bukan faktornya," tambah Rohaizat.

PAS menang, majoriti menurun

MALAYSIA KINI
(kemaskini 7.31pm)




PAS memenangi kerusi DUN Permatang Pasir dengan majoriti besar tetapi merosot beberapa ratus undi daripada keputusan yang dicapai parti itu pada pilihan raya umum tahun lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan, calon PAS Mohd Salleh Man mendapat 9,618 undi, meninggalkan calon BN Rohaizat Othman dengan 5,067 undi.

Majoriti yang diraih Salleh 4,551, kurang 882.

Bekas ADUN allahyarham Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman mendapat majoriti 5,433 undi - kemenangan PAS kali ketiga di kerusi itu sejak pilihan raya umum 1999.

Jumlah mereka yang keluar mengundi merosot hampir 10 peratus kali ini kepada 73.1 peratus berbanding 82.6 peratus pada Mac 2008.

Peratusan keluar mengundi merosot

MALAYSIA KINI


Sejumlah 73.1 peratus atau 14,832 orang keluar mengundi apabila proses pengundian ditutup pada jam 5 petang tadi.

Jumlah tersebut merosot 1,971 orang atau hampir 10 peratus berbanding dengan peratusan yang keluar mengundi pada pilihanraya umum tahun lalu.

Pilihanraya umum tahun lalu menyaksikan 82.5 peratus atau 16,803 orang keluar mengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini mengharapkan sekurang-kurangnya 80 peratus daripada 20,290 pemilih keluar mengundi hari ini.

Mereka terdiri daripada 72.36 peratus adalah pengundi Melayu, 25.85 peratus Cina, 1.63 peratus India dan 0.16 peratus lain-lain keturunan.

Dalam pilihanraya umum lalu, PAS mengekalkan kerusi tersebut dengan majoriti 5,433 undi.

Kali ini, calon PAS, Mohd Salleh Man berdepan dengan calon BN, Rohaizat Othman.

Mohd Salleh, 52, merupakan pesuruhjaya PAS Pulau Pinang manakala Rohaizat, 38, adalah setiausaha Umno bahagian Permatang Pauh.

Sehingga jam jam 4 petang tadi, 70.5 peratus atau 14,031 telah keluar mengundi. SPR mensasarkan 80 peratus pemilih akan keluar mengundi.

Pada jam 2 petang tadi, 59 peratus atau 11,979 pemilih keluar mengundi bagi menentukan ADUN baru Permatang Pasir.

Pada jam 12 tengahari, jumlah pengundian adalah 47.2 peratus atau 9,573 orang.

Manakala jumlah keluar mengundi sehingga jam 11 pagi tadi mencecah 38.9 peratus, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz berkata beliau berpuas hati dengan perkembangan perjalanan proses membuang undi setakat ini kerana menunjukkan kemajuan, lebih baik daripada hari mengundi DUN Manek Urai, awal bulan lalu.

Beliau berharap hujan tidak turun hari ini dan membolehkan sasaran 80 peratus keluar mengundi dicapai.

Tambahnya, tiada laporan mengenai kehadiran "pengundi hantu" dimaklumkan kepada suruhanjaya tersebut.

Laporan awal:

Suasana di pusat pengundian di SK Permatang Pasir panas apabila penyokong Pakatan Rakyat dan BN melaung mengejek satu sama lain.

Penyokong Umno melaungkan "Anwar pengkhianat" manakala penyokong PAS membalas dengan laungan "You jantan ke tidak".

Pemimpin PAS, Dr Hatta Ramli juga kelihatan berada di situ.

Ramai anggota polis ditempatkan di semua pusat pengundian bagi mengawal penyokong kedua-dua parti yang bertanding.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jumlah keluar mengundi sehingga jam 9 pagi tadi ialah 14.6 peratus atau 2,566 orang.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz melawat pusat pengundian di SRJK (C) Lay Keow dan berpuashati dengan perjalanan pengundian setakat ini.

Proses pengundian bagi pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir bermula dengan 39 saluran di sembilan pusat mengundi dibuka di lapan pusat pengundian mulai jam 8 pagi ini.

Calon PAS, Mohd Salleh Man akan mempertahankan kerusi DUN tersebut ekoran kematian penyandangnya dari parti tersebut, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, 63, kerana sakit jantung pada 31 Ogos lalu.

Beliau berdepan dengan calon BN, Rohaizat Othman. Seramai 20,290 pemilih berdaftar layak mengundi hari ini untuk memilih wakil rakyat yang baru mereka.

Undi berakhir, 73% keluar mengundi: Keputusan jam 8

Oleh G. MANIMARAN


SEBERANG PRAI: Proses mengira undi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir sedang berlangsung dengan peratusan keluar hanya 73 peratus.

Peti undi pertama akan tiba di pusat penjumlahan di IKBN menjelang 7 petang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyifatkan paras itu sebagai memuaskan walaupun kurang sembilan peratus berbandung tahap dicapai pada Mac 2008.

"Apa sahaja paras melebihi 70 peratus kami gembira, kemungkinan 73 peratus ini kerana ramai pengundi di luar Permatang Pasir tidak pulang untuk mengundi, keadaan cuaca bukan masalah... cuaca baik," katanya. Proses pengundian berlangsung dengan lancar walaupun wujud ketegangan di sana sini, tetapi rata-rata penyokong parti menyifatkan sebagai "hari pengundian yang membosankan" kerana terlalu banyak peraturan dikuatkuasakan.

Pengundian ditutup pukul 5 petang tadi.Keputusan akan diumum pukul 8 malam ini.

BERITA TERDAHULU:

SEBERANG PRAI: Pengundian pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir sudah berakhir dengan peratusan keluar mengundi dalam lingkungan 75 peratus.

Proses pengundian berlangsung dengan lancar walaupun wujud ketegangan di sana sini, tetapi rata-rata penyokong parti menyifatkan sebagai "hari pengundian yang membosankan" kerana terlalu banyak peraturan dikuatkuasakan.

Pengundian ditutup pukul 5 petang tadi.Keputusan akan diumum pukul 8 malam ini.

PAS dijangka menang, majoriti sekitar 4000 undi?

Ditulis oleh Te@M.IT


PERMATANG PASIR - Menjelang tengahari, seramai 53% daripada 20 290 orang telah keluar membuang undi di N11 Permatang Pasir. Ini adalah normal berdasarkan pilihanraya-pilihanraya sebelum ini.

Seorang ahli akademik yang juga pensyarah disebuah pusat pengajian tinggi dilaporkan meramal PAS mungkin akan menang dengan majoriti yang kurang sedikit daripada keputusan pilihan raya umum pada Mac 2008.

Menurut pensyarah tersebut, majoriti yang mungkin diperoleh PAS pada pilihan raya kali ini sekitar 4000 undi.

Ini kerana, UMNO dan BN telah menabur duit yang banyak untuk mengabui mata pengundi-pengundi di DUN Permatang Pasir , selain provokasi yang telah dilakukan oleh pemuda UMNO pada pagi tadi.

Undi cina dijangka tidak akan berubah dan akan terus berpihak kepada PAS.

Pada tahun 2008 Allayarham Datuk Hamdan Abd Rahman telah memenangi kerusi DUN Permatang Pasir dengan majoriti 5 433 selepas dan memenangi kerusi tersebut sebanyak 3 kali berturut-turut.

Pemuda Umno pertama langgar peraturan SPR

Ditulis oleh Te@M I.T

PERMATANG PASIR, 25 Ogos - Sejak awal pagi hari mengundi lagi, Pemuda Umno-BN hari ini sebagai individu pemula yang melanggar peraturan pilihanraya yang ditetapkan oleh SPR.

"BN-Umno lah yang memulakan bangsal panas dan kaunter semakan pemilih ni,

"Penyokong Umno juga dilaporkan memakai unifom rasmi parti BN yang membawa lambang Umno," jelas petugas Pakatan Rakyat, Zakaria Abd Rahman yang berada di UPU Cross Street.

Sepanjang pemantauan, wartawan TE@M IT mendapati terdapat 3 buah bangsal panas Umno di dirikan sekitar Bukit Indera Muda yang berhampiran pusat pembuangan undi di Sek. Keb. Bukit Indera Muda.

Malah tegahan Penegerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusuf yang melarang memasang logo, lambang dan bendera pada kenderaan... sama ada yang kecil ataupun besar, tidak

Selain dari melanggar peraturan membina bangsal panas mereka juga dilihat telah melanggar beberapa lagi peraturan yang ditetapkan SPR dengan memakai pakaian parti secara berunifom antaranya:

1. T-shirt Merah yang bertuliskan perkataan UMNO
2. T-shirt biru tua yang bertulis Kesatria Pemuda UMNO Malaysia
3. T-shirt Kuning yang bertulis Pemuda UMNO Kepala batas
4. T-shirt Merah jambu yang bertuliskan Puteri UMNO

Keempat-empat jenis pemakaian t-shirt ini membuktikan UMNO dan BN melanggar peraturan yang telah dicipta oleh mereka sendiri.

Apa yang jelas sekarang ini, BN-Umno lah yang mula-mula cuba melanggar keputusan SPR, namun tiada pula tindakan dari pihak berkuasa dikenakan kepada mereka. Ini menunjukkan seolah-olah SPR tidak menggunakan kuasa dengan sewajarnya.

Usaha suruhanjaya itu untuk mengawal perbuatan berkempen sebaik sahaja tempoh berkempen rasmi berakhir 12 tengah malam tadi dilihat gagal diuruskan sebaiknya.

Bukti-bukti ini akan didedahkan dari masa ke semasa untuk paparan umum.

BN didakwa guna pelajar sekolah rayu undi

Nazri Abdullah


PERMATANG PAUH :- Pengarah pilihanraya PAS Permatang pasir, Dato' Mahfuz Omar kesal dengan sikap Umno BN menggunakan pelajar sekolah sebagai perayu undi.

Mereka dipakaikan baju kuning bertulis Pemuda Umno Kepala Batas dan dan baju hitam bertulis Pemuda Umno Baling. Kesemua mereka dikesan oleh salah seorang guru Sekolah Menengah Paya Keladi Kepala Batas yang mengenali murid murid dari sekolahnya itu.

Selain digunakan sebagai pasukan sorak oleh Umno BN, mereka juga telah bertindak ganas apabila didakwa telah memecahkan cermin sebuah kereta di perkarangan Sekolah Bukit Indera Muda pagi tadi.

Selain mereka, Puteri Umno juga turut dikesan menggunakan remaja bawah umur dalam kempen mereka.

Dalam perkembangan terbaru, konvoi motosikal remaja berpakaian kuning berkenaan telah dikepung dan dipukul oleh orang kampung di kampung Kepala Bukit, Bukit Indera Mulia kerana didakwa membuat bising.

Selain itu peratusan kecil keluar mengundi di sebelah pagi juga turut dikesali. Mahfuz mendakwa ianya antaralain berpunca dari penetapan hari mengundi pada hari bekerja dan kegagalan pihak keselamatan menjaga lalulintas sehingga berlaku kesesakan teruk.

Faktor faktor itu katanya telah menyumbang kepada pengundi menjadi malas untuk keluar mengundi_mna_

Nizar jadi tenaga penting kempen PAS

Ali Hashim


PERMATANG PAUH : Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin menjadi tokoh penting kempen PAS di Permatang Pasir.

Ke mana-mana sahaja beliau pergi, sambutan yang diterima amat menggalakkan termasuk di kalangan orang Cina Permatang Pasir.

Nizar bukan sahaja memberikan ceramah, bahkan juga diheret untuk menyertai pelbagai program termasuk mengunjungi orang ramai di pasar-pasar.

Dewan Muslimat PAS kawasan Permatang Pauh, misalnya, telah menganjurkan majlis khas 'Sepetang Bersama Menteri Besar Pakatan Rakyat' Datuk Seri Nizar Jamaluddin baru-baru ini.

Majlis anjuran bersama Dewan Muslimat kawasan Permatang Pauh dan PAS cawangan Permatang To'Kandu itu berjaya menghimpunkan ahli-ahli muslimat dan kepimpinan cawangan dan kawasan yang ada bagi merapatkan ukhwah sesama muslimat.

Majlis yang diadakan di Dewan Haji Zabidi, Kampung Pertama, Permatang Pauh itu telah dihadiri oleh Datuk Seri Nizar Jamaluddin bersama-sama dengan kepimpinan PAS cawangan dan kawasan Permatang Pauh.

Dalam ucapannya Datuk Seri Nizar menyeru muslimat sebagai salah sebuah sayap penting dalam PAS untuk meneruskan kesinambungan perjuangan yang ada supaya penglibatan dalam politik itu dilihat sebagai satu ibadah dan pengorbanan untuk kesejahteraan ummah selaras dengan moto 'PAS FOR ALL' atau PAS untuk semua. Image

"Bagi memastikan Dewan Muslimat sebagai salah sebuah organisasi yang penting bermatlamat untuk memperjuangkan tuntutan agama dan kesejahteraan ummah maka pengorbanan yang dibuat oleh kita semua diharapkan mendapatkan keredhaan Allah.

"Setiap perjuangan kita haruslah berasaskan dan bersandarkan pada perjuangan Islam yang akan membawa kerahmatan kepada semua umat manusia di muka bumi ini," katanya.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu telah berjaya memeriahkan suasana apabila berucap dalam Bahasa Mandarin kepada sebahagian daripada hadirin bangsa Tionghua yang turut hadir dan mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin.

Menurut Setiausaha Dewan Muslimat PAS kawasan Permatang Pauh, Rafidah Abd Razak, program jamuan teh ini adalah bertujuan bagi merapatkan hubungan antara ahli dan pimpinan muslimat yang terdapat dalam kawasan Permatang Pauh.

"Apa yang kami hasratkan berjaya apabila digabungkan cawangan dan kawasan.Ternyata yang hadir amat menggalakkan kerana ia bukan sahaja dihadiri oleh ahli-ahli muslimat malah turut disertai oleh muslimin daripada cawangan dan kawasan.

"Ini membuatkan kami merasa kepimpinan dan khidmat kami dihargai apabila ada penyertaan yang sedemikian," katanya.

Majoriti lebih 65 undi satu kemenangan besar, Kamarudin Jaffar

Oleh Ali Hashim


PERMATANG PAUH : AJK PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, berdasarkan serangan Barisan Nasional (BN) ke kawasan pengundian Permatang Pasir sekarang, menang dengan melebihi 65 undi majoriti sudah menang besar untuk PAS.

65 undi adalah majoriti undi yang diperolehi calon PAS di Manek Urai. Ia dicapai selepas serangan bertubi-tubi BN dengan pelbagai cara.

"Jika PAS boleh menang lebih 65 undi, saya anggap dan isytiharkan ini satu kemenangan besar apatah lagi kalau menang dengan majoriti beribu-ribu," kata Kamarudin, AJK PAS Pusat.

Kamarudin dihubungi ketika dalam perjalanan pulang dari Permatang Pasir ketika dihubungi petang ini.

Sementara itu, pilihanraya kecil N.11 Dun Permatang Pasir berjalan dengan lancar walaupun terdapat kesesakan teruk di beberapa lokasi pusat pengundian.

Lapan lokasi tersebut ialah Sekolah Rendah Agama Al Masriyah, Bukit Mertajam, Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Kubang Semang,Sekolah Kebangsaan Seri Penanti, Sekolah Kebangsaan Bukit Indera Muda, Sekolah Kebangsaan Permatang Pasir, Sekolah Kebangsaan Permatang Pauh, Sekolah Menengah Kebangsaan Sama Gagah dan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Lay Keow, Pekan Permatang Pauh.

Calon PAS, Mohd Salleh Man yang ditemui di pusat pengundian Sekolah Menengah Sama Gagah berkata beliau yakin akan memenangi pilihan raya kecil kali ini walaupun terdapat usaha daripada Barisan Nasional dan Umno untuk memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

ImageManakala calon daripada Barisan Nasional, Rohaizat Othman yang ditemui di pusat pengundian Sekolah Jenis Kebangsaan(C)Lay Keow, Pekan Permatang Pauh berkata beliau juga pasti mahukan kemenangan berpihak kepadanya.

Ronnie Liu, Exco kerajaan negeri Selangor yang ditemui berharap PAS akan memenangi pilihan raya kecil ini dengan majoriti yang lebih besar daripada keputusan pilihan raya umum 2008 yang lalu.

Di perkarangan SJK(C)Lay Keow berlaku sedikit ketegangan apabila penyokong-penyokong daripada Barisan Nasional membawa bendera parti yang besar sehinggakan menimbulkan perasaan tidak puas hati penyokong PAS yang berada bertentangan apabila mereka dilarang berbuat demikian oleh pihak polis.

Namun begitu tindakan segera SPR dan anggota polis yang bertugas berjaya meredakan keadaan.

Manakala di hadapan SM Sama Gagah berlaku ketegangan yang teruk apabila kedua-dua penyokong yang berada bertentangan terpaksa berasak-asak dalam kawasan yang sempit sehingga menimbulkan kesesakan melalui Jalan Sama Gagah.

Keadaan yang sama juga berlaku di SK Permatang Pauh dan SK Seri Penanti yang bertentangan antara satu sama lain.

_

Dilarang rayu undi: Penyokong bosan, tinggalkan tempat undi

SPR: Peratusan keluar undi cecah 60 peratus setakat 3 petang

Oleh G. MANIMARAN


SEBERANG PRAI: Peratusan pengundi yang keluar mengundi mengalami peningkatan selepas tengah hari tetapi penyokong-penyokong parti yang bertanding pula sudah meninggalkan kawasan pusat pengundian ekoran penguatkuasaan peraturan-peratusan baru di Permatang Pasir.

Penyokong-penyokong parti yang bertindak sebagai perayu bertindak meninggalkan kawasan pusat pengundian sejak 1 tengah hari tadi, dipercayai selepas bosan kerana tidak boleh 'berkempen' dan merayu undi pada minit-minit terakhir kali ini.

Difahamkan ia juga ada kaitan dengan bulan Ramadan yang bermula 22 Ogos lalu.

Menurut Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, jumlah yang keluar mengundi sudah mencecah lebih 60 peratus setakat 3 petang tadi.

"Sehingga 1 tengah hari, 53.3 peratus sudah keluar mengundi," kata beliau ketika dihubungi.

Kadar itu meningkat kepada 65 peratus setakat 3 petang.

Mengenai trend yang menunjukkan perayu-perayu sudah mula meninggalkan kawasan pengundian, Wan Omar juga mengesahkannya sambil menganggap ia sebagai perkembangan baik.

"Selain bulan puasa, kami juga telah meminta mereka meninggalkan kawasan pengundian. Malah, mereka juga merasakan apabila tidak boleh bawa lambang dan bendera, dan tidak boleh merayu undi, mereka pun sudah rasa bosan dan tiada semangat," katanya.

Kakitangan dan pegawai SPR dengan bantuan polis meminta penyokong-penyokong parti yang bertanding agar tidak menunjukkan lambang dan bendera sambil merayu undi.

Barong dan pusat semakan pengundi juga tidak disediakan kali ini.

Ia sebahagian daripada lapan peraturan dikuatkuasakan pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir hari ini.

Suasana juga tidak ceria kerana kenderaan membawa pengundi tidak dibenarkan membawa bendera dan lambang serta logo parti.

Pergerakan lalu lintas yang sesak sebelah pagi juga mula lancar selepas 1 tengah hari.

Kata Wan Ahmad,jika cuaca adalah baik paras keluar mengundi boleh mencapai 70 hingga 75 peratus menjelang 5 petang ini.

Tinjauan mStar Online mendapati bilangan keluar mengundi mula cergas selepas 1 tengah hari tadi.

Difahamkan setakat 1 tengah hari tadi, 48 peratus pengundi Melayu dan 38 peratus pengundi Cina sudah menunaikan tanggungjawab mereka.

Pengarah Pilihan Raya Kecil PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, selain bulan puasa dan hari bekerja kadar peratusan keluar mengundi yang kecil sehingga tengah hari tadi dipercayai berkaitan dengan kesesakan lalu lintas.

Hanya 20 peratus harap BN menang

Oleh ALI BUKHARI AMIR


Kaji selidik Ilham Centre mendapati 64 peratus responden berasa yakin bahawa calon PAS di Permatang Pasir Salleh Man akan menang dalam pilihan raya kecil ini.

Kajian ini dilaksanakan bagi melihat kecenderungan dan trend pengundian terhadap jangkaan kemenangan di antara parti yang bertanding, populariti calon, dan isu-isu sama ada isu tempatan mahupun nasional yang menjadi kemungkinan serta kebarangkalian mendapat tumpuan dan mempengaruhi pengundi di kawasan ini.

"Hanya 20 peratus yang tidak bersetuju dan masih meletakkan harapan kepada Barisan Nasional, manakala 16 peratus lagi tidak dapat menjangkakan parti mana yang akan menang," demikian menurut laporan yang diterbitkan Panel Penyelidikan Ilham Centre berdasarkan temubual yang dijalankan daripada 18 sehingga 21 Ogos lalu.

Setelah kaji selidik dilaksanakan, tambah laporan itu, hasil dapatan menunjukkan 53 peratus responden menyatakan calon BN sangat bermasalah kerana rata-rata pengundi percaya bahawa Rohaizat Othman tidak berintegriti kerana terlibat dalam isu penarikan sijil guaman sehingga terlucutnya kelayakan termasuk isu peribadi beliau yang dikatakan beristeri dua.

"Hanya 36 peratus responden menyatakan beliau bersih dan 11 peratus lagi menyatakan tidak pasti," tambah laporan tersebut.

Kajian Ilham Centre yang melibat sekitar 200 pengundi berdaftar termasuk penduduk N11 Permatang Pasir itu terdiri daripada 158 orang pengundi Melayu (79 peratus), 25 Cina (12 peratus) dan 17 India (9 peratus).

Menurut laporan tersebut, kaedah persampelan itu dibentuk dengan mengambilkira jumlah pengundi berdaftar dan penduduk di setiap Unit Peti Undi (UPU) dalam Dun Permatang Pasir berasaskan parti, pecahan kaum, daerah mengundi, lokaliti kawasan, jantina, umur dan pekerjaan.

Sementara itu, kawasan atau lokaliti kajian yang dipilih adalah sekitar Dun Permatang Pasir melibatkan kawasan bandar dan luar bandar di sembilan buah UPU; (Sama Gagah, Permatang Ara, Permatang Pauh, Bukit Indera Muda, Kg Pelet, Kubang Semang, Tanah Liat Mukim 8, Kampung Cross-Street 2 dan Permatang Tengah.

"Hasil tinjauan menyimpulkan bahawa pengundi di Permatang Pasir lebih cenderung menyokong PAS manakala BN menghadapi saingan yang sukar dan amat sengit untuk merampas kerusi N11 Dun Permatang Pasir ini," laporan itu dipetik.

Ralat bagi kaji selidik ini adalah ±1.62 peratus.

64% Setuju PAS Akan Menang

Editor Buletin / MalaysianInsider


PERMATANG PASIR, Ogos 24 — Kajian lapangan yang dibuat oleh sebuah firma kajiselidik mendapati, 64 peratus penduduk Permatang Pasir menjangka PAS akan menang dalam pilihanraya ini. Hanya 20 peratus sahaja yang tidak bersetuju dan masih meletakkan harapan kepada Barisan Nasional,manakala 16 peratus lagi tidak dapat menjangkakan parti mana yang akan menang.

Kajian ini dibuat oleh Ilham Centre, sebuah firma penyelidikan lapangan bebas.

Ia berdasarkan temubual yang dibuat terhadap 200 pengundi berdaftar dan penduduk di Permatang Pasir dipilih menerusi kaedah pemilihan berstruktur dan ditemubual di samping pemerhatian secara terus dan penglibatan di lapangan.

79 peratus respondan mereka adalah pengundi Melayu, 12 peratus (25 orang) Cina dan 9 peratus (17 orang) India.

Kawasan kajian adalah sekitar DUN Permatang Pasir yang melibatkan kawasan bandar dan luar bandar di sembilan buah UPU (Sama Gagah, Permatang Ara, Permatang Pauh, Bukit Indera Muda, Kg. Pelet, Kubang Semang, Tanah Liat Mukim 8, Kampung Cross-Street 2 dan Permatang Tengah)•

Temubual dan observasi ini dijalankan dari 18 hingga 21 Ogos 2009 lalu.

Kajian ini dilaksanakan bagi melihat kecenderungan dan trend pengundian terhadap jangkaan kemenangan di antara parti yang bertanding, populariti calon, dan isu-isu sama ada isu tempatan mahupun nasional yang menjadi kemungkinan mendapat tumpuan dan mempengaruhi pengundi di kawasan ini.

Menurut kajian itu, rekod bekas Adunnya, Datuk Hamdan Abdul Rahman memberi kelebihan pada PAS manakala calon pilihan BN pula sangat bermasalah.

Sebilangan besar responden iaitu sebanyak 69 peratus menyatakan rekod dan kredibiliti Hamdan sangat memberikan kelebihan kepada PAS.

Ini berdasarkan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Adun menunjukkan suatu reputasi kepimpinan dan prestasi yang sangat memberangsangkan sehingga membentuk satu legasi yang sukar dicari ganti.

Hanya 18 peratus sahaja responden yang tidak bersetuju dan 13 peratus selebihnya menyatakan tidak pasti.

Bagi calon Barisan Nasional, kajian dijalankan setelah calon Rohaizat Othman diumumkan sebagai calon setelah menyingkirkan empat orang calon yang lain.

Mereka adalah Timbalan Ketua Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Nasir Abdullah, Naib Ketua Bahagian, Rahim Man, Ketua Pemuda Bahagian Permatang Pauh yang dikenali sebagai Cikgu Zaidi dan seorang lagi Abdul Aziz Sheikh Ahmad, Ajk Bahagian Permatang Pauh.

Namun begitu, setelah kaji selidik dilaksanakan, ia menunjukkan bahawa 53 peratus responden menyatakan calon pilihan BN sangat bermasalah kerana rata-rata pengundi percaya bahawa Rohaizat tidak berintegriti kerana terlibat dalam isu penarikan sijil guaman sehingga terlucutnya kelayakan dan isu peribadi beliau yang dikatakan beristeri dua.

Hanya 36 peratus responden menyatakan ia bersih dan 11 peratus sahaja yang tidak pasti.

Kajian ini juga menunjukkan, dalam pilihan raya kecil pertembungan melibatkan kekuatan parti lebih dominan daripada kekuatan calon.

107 responden mencatatkan 53 peratus memilih kekuatan parti berbanding kekuatan calon yang hanya 32 peratus. Baki selebihnya iaitu 15 peratus memilih jawapan tidak pasti.

Kajian ini juga mendapati, isu calon BN yang bermasalah menenggelamkan isu nasional/parti.

Berdasarkan laporan yang dikemukakan oleh 15 penyelidik yang bertugas, para responden lebih responsif untuk memberikan pandangan berhubung dengan isu calon BN yang sangat bermasalah.

Isu peribadi yang dikaitkan dengan Rohaizat menyebabkan kepercayaan kepada beliau semakin merosot dan kredibiliti Umno-BN semakin dipertikaikan walaupun dikatakan pelbagai ‘durian runtuh’, peruntukkan yang turun dan strategi kempen yang digunapakai oleh BN akan membantu kemenangan parti itu.

Mengikut catatan kepada soalan “adakah isu-isu nasional/parti akan memberi kesan kepada pilihan raya kecil kali ini?”, hanya 17 peratus tidak berpuas hati dengan tindakan DAP hina Islam, 15 peratus menyatakan bahawa Anwar Ibrahim pengkhianat bangsa, 16 peratus menyatakan bahawa tindakan Nik Aziz melabelkan Umno tidak masuk syurga adalah tidak wajar.

38 peratus respondan menyatakan bahawa calon BN sangat bermasalah, 6 peratus percaya kebarangkalian Hj. Salleh Man, calon PAS terlibat dengan isu penyelewengan dan hanya 8 peratus yang menyatakan kegagalan menyelesaikan isu PPSMI menunjukkan kegagalan kerajaan.

Menurut kajian ini, kesimpulan yang boleh dibuat adalah pengundi Permatang Pasir lebih cenderung menyokong Parti Islam Se-Malaysia (PAS) manakala Barisan Nasional (BN) menghadapi saingan yang sukar dan amat sengit untuk merampas kerusi N11 DUN Permatang Pasir ini.

Mahfuz minta petugas media bantu pantau penyelewengan

Oleh Hazayani Zakaria


BUKIT MERTAJAM : Pengarah Pilihanraya PAS Permatang Pasir, Dato' Mahfuz Omar meminta petugas media bersama dengan jentera parti memantau sebarang penyelewengan yang mungkin berlaku sepanjang proses pembuangan undi hari ini.

Ianya termasuklah kemungkinan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan BN termasuk pihak Suruhanjaya Pilihanraya(SPR).

Ini kerana ujarnya petugas parti tidak mampu untuk memastikan perkara tersebut kerana mematuhi arahan SPR yang melarang petugas kedua-dua parti berada dalam jarak 50 meter dari kawasan membuang undi.

Pusat pengundian PRK DUN Permatang Pasir mula dibuka jam 8 pagi ini sehingga jam 5 petang nanti. Calon PAS, Ustaz Salleh Man dan calon BN Rohaizat Othman bagaimanapun tidak membuang undi kerana kedua dua mereka bukan pengundi di DUN berkenaan.

Lapan peraturan baru dikeluarkan SPR antaranya ialah mana-mana kenderaan yang membawa pengundi tidak dibenarkan mempamerkan bendera dan lambang parti bertanding.

Selain itu, larangan lain yang turut akan diguna pakai kali ini ialah tiada kempen selepas jam 12 tengah malam tadi hingga keputusan diumumkan hari ini.Parti-parti politik tidak dibenarkan mengadakan barong, tiada ada lagi meja semakan daftar pemilih di kawasan pegundian.

Rumah kediaman dan pondok juga tidak boleh digunakan untuk tujuan berkempen serta aktiviti meraih dan merayu undi tidak dibenarkan selain aktiviti meraikan kemenangan

Mahfuz dalam pada itu menyarankan para pengundi di DUN tersebut agar keluar mengundi lebih awal sebaik-baiknya pada waktu pagi supaya tidak mengganggu rutin mereka untuk menyediakan persiapan berbuka puasa pada sebelah petang.

Beliau turut berharap agar para pengundi di DUN tersebut dapat memilih calon terbaik berdasarkan segala maklumat yang telah disampaikan oleh jentera kempen PAS serta kegagalan jentera Barisan Nasional menjelaskan segala isu yang timbul mengenai calon taruhan mereka, Rohaizat Othman.

"Saya harap pengundi tidak memberi undi kepada orang lain selain calon kita, Ustaz Salleh Man," katanya.

Beliau juga meminta para petugas parti giat melaksanakan tugas mereka membawa pengundi keluar ke pusat pengundian untuk mengelakkan segala kesulitan.

Memandangkan cuaca ketika ini tidak menentu, beliau berpesan agar petugas menyediakan payung yang secukupnya untuk menghadapai kemungkinan hujan turun.

Keputusan dijangka akan diumumkan tepat jam 8 malam hari ini jika tiada sebarang masalah.

Suasana sekitar Permatang Pasir pada sebelah pagi ini kelihatan mula sibuk di mana pengundi mula menuju ke pusat-pusat pengundian setelah dibuka jam 8 pagi tadi.

Kehadiran pihak polis juga agak ramai untuk mengawal keadaan daripada sebarang keadaan yang tidak diingini._mna

TERKINI PERMATANG PASIR

Wartawan Harakahdaily


JAM 12.00 TENGAHARI

Ramai Pemuda Umno bermotosikal dilihat berkumpul di pekan Penanti. Mereka memakai baju kuning dan dibimbangi bakal menyesakkan kawasan pilihanraya apabila mereka masuk secara berkonvoi ke sana.

JAM 11.45 PAGI

Jumlah keluar mengundi pada jam 11.15 pagi adalah 37 peratus. Ia satu angka yang wajar, kata Lim Kit Siang.

Walaupun tidak ada pondok panas, semangat penyokong calon PAS sangat tinggi, tambah beliau dalam twitternya.

JAM 11.20 PAGI

Polis mula ditempatkan dengan ramai di semua-semua pusat pengundian. Di SK Penanti, FRU di tempatkan ekoran kekecohan yang berlaku di situ.

Jam 10 pagi tadi, SPR melaporkan 5775 atau 28.46 peratus pengundi telah membuang undi.

JAM 11.00 PAGIPara penyokong kedua-dua pihak salang berbalas sorakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Permatang Pauh. Beberapa pemimpin Pakatan hadir. Antaranya Dr Dzulkifli Ahmad, Nasruddin Tantawi, Lim Kit Siang, Zuraidah Kamarudin.

Di SRJK Cina Lay Keow Permatang Pauh, penyokong PAS tidak puas hati apabila penyokong BN mengibarkan bendera dacing sedangkan ia dilarang oleh SPR. Berlaku kekecohan tetapi berjaya dikawal oleh polis. Ronnie Liu berada di kawasan itu.

"Penyokong Pakatan kita minta jaga keamanan dan jangan terpengaruh dengan provokasi. Yakin pengundi tahu dan buat pilihan yang bijak dan sangat penting pengundi bagi kemenangan kepada PAS di Pulau Pinang,"kata Ronnie.

JAM 10.35 PAGI

Tiga pusat pengundian panas dengan kata mengata antara penyokong Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Pusat-pusat pengundian itu adalah Sekolah Rendah Permatang Pasir, Pekan Permatang Pauh dan Sekolah Rendah Penanti.

Namun tidak ada kejadian buruk berlaku.

JAM 10.00 PAGI

Calon PAS melawat kawasan pilihan raya bersama para pemimpin Pakatan Rakyat. Pagi tadi beliau mengiringi Datuk Seri Anwar dan keluarga yang mengundi di Sekolah Kebangsaan Penanti.

Sebelum ke pusat-pusat pengundian, kesemua mereka berkumpul di Yayasan Aman, Penanti sebelum menaiki kenderaan dari situ.

Para penyokong melaungkan takbir dan reformasi sebaik sahaja mereka tiba di kawasan pengundian.

Harakahdaily akan menyiarkan keputusan pilihan raya ini peringkat demi peringkat secara langsung dari Markas PAS di sana sebaik sahaja keputusan diterima dari setiap peti undi.

Keputusan ini dijangka akan mula diterima seawal jam 6.30 petang.

'Juara' Permatang Pasir: Gelanggang dibuka, PAS, BN yakin

Pengundian bermula 8 pagi, keputusan dijangka 8 malam

MULA MENGUNDI...Orang ramai mula melaksanakan
tanggungjawab masing-masing seawal pukul 8 pagi untuk
membuang undi bagi memilih wakil rakyat di DUN
Permatang Pasir.



Kakitangan SPR membantu pengundi uzur dan berusia.



RAYU UNDI... Penyokong-penyokong PAS dan BN
berhimpun berhampiran Sekolah Kebangsaan Seri
Penanti, Kubang Semang sambil merayu undi pada
hari pengundian hari ini di sebalik larangan SPR
daripada berbuat demikian. Suasana kira-kira pukul
8.30 pagi tadi. Pengundian pilihan raya kecil
DUN Permatang Pasir bermula 8 pagi dan
ditutup 5 petang.

SEBERANG PRAI: Gelanggang pengundian pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir dibuka 8 pagi ini - bagi menentukan sama ada PAS berupaya mempertahankan kedudukannya ataupun Barisan Nasional (BN) pula boleh merampas semula kerusi yang terlepas tangan pada tahun 1999.

Kedua-dua musuh tradisi ini mengharapkan kemenangan walaupun dengan majoriti satu undi.

BN menurun sebagai 'underdog' dalam pilihan raya ini - yang keempat bagi penduduk Permatang Pauh sepanjang 18 bulan lalu dan pilihan raya kecil yang kelapan sejak setahun lalu.

Keyakinan itu dilahirkan oleh Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, masing-masing Naib Presiden PAS dan Umno pada hari terakhir kempen semalam.

Kempen pilihan kecil ini yang bermula 17 Ogos lalu - yang didominasi isu menyentuh calon BN berbanding campuran isu di Manek Urai, Kelantan bulan lalu - berakhir tengah malam tadi dengan sedikit kekecohan di sana sini berkaitan soal bahan-bahan kempen yang dirosakkan.

PAS dan BN menamatkan kempen minit-minit terakhir dengan kempen agak 'panas' yang kecam-mengecam satu sama lain. Permatang Pasir juga kelihatan sesak tengah malam tadi.

Sejurus selepas berakhirnya tempoh kempen rasmi, jentera PAS dan BN mengadakan mesyuarat penyelarasan masing-masing. Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin diberikan taklimat mengenai prestasi jentera sehingga 1 pagi tadi di Pusat Gerakan Induk, Jalan Kubang Semang.

Jentera PAS pula bertemu di Markas Induk, Jalan Permatang Pasir.

CALON BN, PAS TIDAK UNDI

Proses pengundian bermula 8 pagi dan akan berakhir 5 petang, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof sambil menambah, jika tiada apa-apa masalah keputusan akan diumumkan 8 malam.

"Saya yakin peratusan keluar mengundi lebih kurang 80 peratus," katanya.

BN menurunkan Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman, 38, anak tempatan. Beliau memperoleh ijazah undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Beliau berhadapan dengan saingan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd. Salleh Man yang berkelulusan Pengajian Islam dari Universiti Malaya.

Pun begitu kedua-dua mereka bukan merupakan pengundi di kawasan Permatang Pasir.

Yang akan mengundi ialah Ketua Umum Pakatan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isterinya di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti.

Anwar juga merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh yang merangkumi DUN Permatang Pasir, Penati dan Seberang Jaya.

KOMEN CALON BN, PAS

Mengulas mengenai peluangnya, Rohaizat berkata, perkembangan yang positif yang disaksikan beliau memberi keyakinan kepadanya untuk meraih sokongan pengundi, sekali gus merampas semula kerusi itu, yang dianggap kubu kuat Pas sejak tiga penggal lalu.

Jelas beliau, BN telah menjelaskan hasratnya membantu rakyat dengan menyediakan pelbagai kemudahan asas dan infrastruktur yang dikehendaki selain keperluan lain yang diperlukan di sesuatu kawasan.

Sehubungan itu, katanya, pengundi Permatang Pasir perlu memberi peluang kepada BN untuk membuktikan janjinya kepada mereka, yang menjanjikan kemajuan yang lebih gemilang.

"Saya minta semua pengundi keluar awal untuk mengundi. Jangan berlengah takut nanti tak sempat untuk mengundi disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu.

"Jangan lupa bawa kad pengenalan dan naik kenderaan yang tepat. Jangan tumpang kereta yang sembarangan, takut nanti tak sampai tempat mengundi," katanya.

Salleh ketika dihubungi mStar Online selepas berakhirnya kempen tengah malam tadi memberitahu, beliau cukup bersemangat untuk menghadapi hari pengundian.

"Begitu pekerja jentera PAS dari kawasan lain dan dari parti komponen Pakatan Rakyat yang lain," katanya.

Begitu juga penyokong dan ahli-ahli parti, kata Pesuruhjaya PAS negeri Pulau Pinang.

"Saya yakin PAS akan kekalkan kerusi ini... tiada masalah untuk kekalkan kerusi," kata beliau yang enggan mengulas mengenai peratusan sokongan kepada BN.

Pilihan raya kecil ini diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Mohd. Hamdan Abd. Rahman dari PAS pada 31 Julai lalu.

Pilihan raya kecil sejak awal tahun ini diadakan selepas lebih sebulan kekosongan wujud. Ini termasuklah pilihan raya kecil DUN Penanti dan Manek Urai.

Bagaimanapun pilihan raya kecil ini diadakan dengan segera, kurang tiga minggu selepas kematian penyandang.

Pada tahun 1995 BN mengekalkan kerusi Permatang Pasir dengan majoriti 6,198 di mana ketika itu ia turut disaingi calon PAS dan DAP. Empat tahun kemudian ia dimenangi PAS dengan memperoleh majoriti 3,194 undi.

PAS mengekalkannya pada 2004 tetapi majoriti mengecil kepada 679 undi. Pada Mac 2008, PAS mempertahankan kemenangan dengan majoriti 5,433 undi.

Sejak 1986, majoriti di DUN Permatang adalah antara 600 dan 6,000 undi.

PAS dan BN mengharapkan undi penentu golongan muda dan masyarakat Cina. Dari segi pecahan usia, 40 peratus pengundi adalah mereka yang berusia 21 hingga 40 tahun, 25.5 peratus (41 hingga 50 tahun), 17.6 peratus (51 hingga 60 tahun), 10.38 peratus (61 hingga 70 tahun) dan 15.9 peratus mereka melebihi 71 tahun.

Dari segi pecahan pengundi mengikut kaum, DUN Permatang Pasir mempunyai 72.36 peratus pengundi Melayu, Cina (25.86%), India (1.63%) dan lain-lain (0.16%).

SPR: 8 PERATURAN BARU

Pengundian pilihan raya kecil kerusi DUN Permatang Pasir berlangsung hari ini dengan lapan peraturan baru - antara lain mana-mana kenderaan yang membawa pengundi tidak dibenarkan mempamerkan bendera dan lambang parti bertanding.

Ia merupakan sebahagian usaha suruhanjaya itu untuk mengawal perbuatan berkempen sebaik sahaja tempoh berkempen rasmi berakhir 12 tengah malam tadi.

"SPR akan menguatkuasakan beberapa perkara kali ini ... tidak dibenarkan memasang logo, lambang dan bendera pada kenderaan... sama ada yang kecil ataupun besar," Aziz memberitahu pemberita di sini.

Selain itu, larangan lain yang turut akan diguna pakai kali ini ialah:

- Tiada kempen selepas 12 tengah malam tadi (Isnin) hingga keputusan diumumkan hari ini (Selasa);

- Tidak dibenarkan mengadakan barong oleh parti-parti politik;

- Tidak ada lagi meja semakan daftar pemilih;

- Tidak membenarkan rumah kediaman dan pondok dijadikan untuk tujuan kempen esok;

- Aktiviti meraih dan merayu undi tidak dibenarkan di kawasan tempat mengundi;- Tidak dibenarkan aktiviti meraikan kemenangan; dan

- Keputusan akan diumumkan tepat pukul 8 malam hari ini (Selasa) jika tiada apa-apa masalah.

Aziz juga berkata, SPR menyediakan lapan kerusi roda kepada pengundi-pengundi uzur dan cacat.

"Kita sedia maklum, kita masih hadapi wabak influenza A(H1N1). Jadi Pejabat Kesihatan akan menyediakan meja bantuan di beberapa tempat dan pengundi-pengundi dinasihatkan memakai topeng perlindungan pernafasan ketika keluar mengundi.

"Petugas-petugas SPR memang dibekalkan topeng ini. Air 'sanitizer' juga akan disembur setiap dua jam di tempat-tempat mengundi," katanya.

Mengenai peratusan keluar mengundi, Aziz menjangkakan kira-kira 80 peratus.

"Puasa, musim hujan dan wabak A(H1N1) dan kemudian cuti sekolah. Walau bagaimanapun kedua-dua parti ini bersemangat menjalankan kempen masing-masing, di sini kami menjangkakan 80 peratus.

"Mungkin lebih sikit, mungkin kurang sikit," katanya.


PILIHAN RAYA KECIL: SEPINTAS

- Jumlah pemilih berdaftar: 20,290 orang

- Jumlah pengundi pos: 1 orang

- Pecahan pengundi ikut kaum: Melayu (72.36%), Cina (25.86%), India (1.63%) dan lain-lain (0.16%)

- Pecahan pengundi ikut umur: 40% pemilih berusia 21-40 tahun, 25.5% (41-50 tahun), 17.6% (51 hingga 60 tahun), 10.38% (61 hingga 70 tahun) dan 15.9% melebihi 71 tahun.

- Pusat penjumlahan undi: Dewan Perdana Institut Kemahiran Belia Negara, Bukit Mertajam

- Pusat mengundi: Lapan (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lay Keow, Permatang Pauh, Sek. Men. Kebangsaan Samagagah, Sek. Keb. Permatang Pauh, Sek. Keb. Permatang Pasir, Sek. Kebangsaan Bukit Indera Muda, Sek. Jenis Keb. Cina Kubang Semang, Sek. Keb. Seri Penanti dan Sek. Rendah Islam Al-Masriyah

- Saluran mengundi: 39

- Pegawai Pengurus: Roslan Yahaya, Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah

- Masa keputusan: Dijangkakan pukul 8 malam

- Majoriti Mac 2008: 5,433 undi (Penyandang: Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman)