Selasa, 25 Ogos 2009

Mahfuz minta petugas media bantu pantau penyelewengan

Oleh Hazayani Zakaria


BUKIT MERTAJAM : Pengarah Pilihanraya PAS Permatang Pasir, Dato' Mahfuz Omar meminta petugas media bersama dengan jentera parti memantau sebarang penyelewengan yang mungkin berlaku sepanjang proses pembuangan undi hari ini.

Ianya termasuklah kemungkinan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan BN termasuk pihak Suruhanjaya Pilihanraya(SPR).

Ini kerana ujarnya petugas parti tidak mampu untuk memastikan perkara tersebut kerana mematuhi arahan SPR yang melarang petugas kedua-dua parti berada dalam jarak 50 meter dari kawasan membuang undi.

Pusat pengundian PRK DUN Permatang Pasir mula dibuka jam 8 pagi ini sehingga jam 5 petang nanti. Calon PAS, Ustaz Salleh Man dan calon BN Rohaizat Othman bagaimanapun tidak membuang undi kerana kedua dua mereka bukan pengundi di DUN berkenaan.

Lapan peraturan baru dikeluarkan SPR antaranya ialah mana-mana kenderaan yang membawa pengundi tidak dibenarkan mempamerkan bendera dan lambang parti bertanding.

Selain itu, larangan lain yang turut akan diguna pakai kali ini ialah tiada kempen selepas jam 12 tengah malam tadi hingga keputusan diumumkan hari ini.Parti-parti politik tidak dibenarkan mengadakan barong, tiada ada lagi meja semakan daftar pemilih di kawasan pegundian.

Rumah kediaman dan pondok juga tidak boleh digunakan untuk tujuan berkempen serta aktiviti meraih dan merayu undi tidak dibenarkan selain aktiviti meraikan kemenangan

Mahfuz dalam pada itu menyarankan para pengundi di DUN tersebut agar keluar mengundi lebih awal sebaik-baiknya pada waktu pagi supaya tidak mengganggu rutin mereka untuk menyediakan persiapan berbuka puasa pada sebelah petang.

Beliau turut berharap agar para pengundi di DUN tersebut dapat memilih calon terbaik berdasarkan segala maklumat yang telah disampaikan oleh jentera kempen PAS serta kegagalan jentera Barisan Nasional menjelaskan segala isu yang timbul mengenai calon taruhan mereka, Rohaizat Othman.

"Saya harap pengundi tidak memberi undi kepada orang lain selain calon kita, Ustaz Salleh Man," katanya.

Beliau juga meminta para petugas parti giat melaksanakan tugas mereka membawa pengundi keluar ke pusat pengundian untuk mengelakkan segala kesulitan.

Memandangkan cuaca ketika ini tidak menentu, beliau berpesan agar petugas menyediakan payung yang secukupnya untuk menghadapai kemungkinan hujan turun.

Keputusan dijangka akan diumumkan tepat jam 8 malam hari ini jika tiada sebarang masalah.

Suasana sekitar Permatang Pasir pada sebelah pagi ini kelihatan mula sibuk di mana pengundi mula menuju ke pusat-pusat pengundian setelah dibuka jam 8 pagi tadi.

Kehadiran pihak polis juga agak ramai untuk mengawal keadaan daripada sebarang keadaan yang tidak diingini._mna

Tiada ulasan: