Veteran Umno membidas Anggota Majlis Pimpinan Bersatu, Dr Rais Yatim yang mendakwa Umno tak menghargai penghargaan Bersatu kepada mereka, sebaliknya hanya mementingkan soal kerusi.
Kata setiausaha agungnya, Mustapha Yaakub, kenyataan Rais itu sengaja membangkitkan hal-hal yang tidak pun dipertikaikan oleh ahli Umno bagi menimbulkan rasa benci orang Umno terhadap PN.
Mustapha turut meluahkan rasa hairan tentang mengapa presiden Bersatu Muhyiddin Yassin masih "memelihara" Rais.
“Rais dengan sengaja menimbulkan rasa benci orang Umno kepada PN dengan membangkitkan isu yang tidak pun dipertikaikan oleh Umno.
“Kenyataannya berniat jahat dan mempunyai unsur hasutan.
“Malangnya Midin (Muhyiddin) masih memelihara manusia seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan Facebook.
Rais hari ini meluahkan rasa terkilan apabila kepemimpinan Umno katanya lebih mementingkan kerusi yang akan ditandingi dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15, berbanding mempertahankan kuasa Melayu Islam.
Kata Rais, Umno seakan-akan tidak menghargai usaha Muhyiddin yang memberikan mereka banyak jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Bab paling penting ialah mengekalkan kuasa Melayu Islam, tetapi Umno tidak menyebut perkara itu. Penghargaan diberikan kepada mereka juga seperti tidak dihargai,” Rais dipetik berkata.
Bagi Mustapha, penghargaan yang diberikan kepada Umno tidaklah sebesar pengorbanan yang harus dilakukan oleh Umno, sehingga membolehkan parti minoriti menjadi dominan dalam PN.
'Kenapa perlu banyak sangat parti Melayu?'
Sementara itu, bekas menteri pertanian dan industri asas tani Ahmad Shabery Cheek mengingatkan bekas rakan seperjuangannya mengapa perlu terlalu banyak parti berasaskan Melayu.
Rais dan Shabery pernah menyertai Parti Semangat 46 yang diasaskan Tengku Razaleigh Hamzah selepas Umno diharamkan pada 1988.
Pengharaman Umno itu berlaku selepas penyokong Razaleigh mendakwa wujud cawangan tidak berdaftar dalam pemilihan Umno ketika itu, yang menyaksikan Razaleigh mencabar kerusi presiden yang disandang Mahathir Mohamad.
Parti itu kemudian dibubarkan dan mereka menyertai semula Umno pada tahun 1996.
"Abang Rais patut beritahu kenapa perlu ada banyak sangat parti Melayu dalam satu kerajaan?
"Dulu kita sama-sama bubar Semangat 46 untuk bersama Umno atas alasan Melayu perlu bersatu," kata Shabery dalam hantaran di Facebook beliau.
Meskipun PN- khususnya Bersatu dan Umno- memang dibayangi isu agihan kerusi sebelum ini, ia kian panas apabila Ahli Parlimen Mersing, Dr Abdul Latiff Ahmad membuat kenyataan bahawa Umno sudah tidak laku di Sabah, dan semua ahli Umno yang keluar parti sudah berhijrah masuk Bersatu.
Abdul Latiff memenangi kerusi Mersing di atas tiket Umno dalam PRU lalu sebelum menyertai Bersatu.
Menteri pembangunan luar bandar itu sudah membuat permohonan maaf atas kenyataannya, namun ramai pemimpin Umno yang tetap menggesa beliau meletakkan jawatan.
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi juga berkata Umno akan tetap bertanding di kerusi Mersing yang disandang Abdul Latiff.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan