KUALA LUMPUR[ Perpecahan yang berlaku dalam Pakatan Rakyat ketika ini berpunca daripada sikap DAP yang memungkiri persepakatan yang terjalin selama ini, kata Pesuruhjaya Pas Negeri Terengganu, Satiful Bahri Mamat.


Kata Satiful, Pas teguh dengan perkara yang dipersetujui dalam Pakatan Rakyat iaitu setuju untuk tidak bersetuju dalam pelaksanaan undang-undang hudud dan sepakat dalam memerangi rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Telah berulang kali Pas menerangkan dan menegaskan bahawa, perlaksanaan Enakmen Jenayah Syariah adalah dasar Pas yang wujud lama, sebelum terbentuknya Pakatan Rakyat.

“Bahkan setelah diberikan taklimat beberapa kali bahawa sesungguhnya perlaksanaan undang-undang Islam adalah untuk orang Islam dan tidak ada kena mengena dengan mereka yang bukan Islam.

“Namun DAP memungkiri persepakatan itu malah masuk campur dalam urusan Pas serta mengecam dan mencemuh Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,” katanya dalam satu kenyataan.

Majlis Syura Ulama (MSU) pada Jumaat lalu, memutuskan hubungan tahalul siyasi dengan DAP tetapi dalam masa yang sama meneruskan kerjasama dengan PKR.

Menurut Setiausaha MSU, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, keputusan tersebut terpaksa dibuat susulan tindakan provokasi DAP yang mengecam dan melanggar semangat kerjasama Pakatan Rakyat serta campur tangan dalam aqidah, dasar dan matlamat Pas.

Mengulas lanjut perkara itu, Satiful meminta semua pemimpin dipelbagai peringkat, ahli-ahli dan penyokong berlapang dada dengan keputusan tersebut dan sentiasa mendapatkan maklumat serta perkembangan terkini daripada pemimpin, dari semasa ke semasa.

“Saya yakin rakyat akan terus menyokong dan mendokong perjuangan Pas kerana jelas Pas tetap dengan dasarnya mahu menegakkan dan memartabatkan Islam serta istiqamah dengan prinsipnya.

“Hanya PAS, sebuah parti terbaik dan alternatif unggul bagi menggantikan Umno untuk memimpin dan memerintah serta membawa umat Islam, orang Melayu dan pelbagai bangsa di negara ini, untuk masa depan yang lebih baik,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Paka itu.