MALAYSIAKINI
Walaupun DAP mengisytiharkan Pakatan Rakyat tidak lagi wujud, keadaan
masih tidak jelas apabila pemimpin PAS kelihatan keberatan menerima
perkembangan itu.
Selain beranggapan ia “pandangan DAP”, seorang pemimpin lantang PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata pengumuman DAP hari ini bermaksud parti itu keluar Pakatan.
Bagaimanapun, kata anggota jawatankuasa Pusat PAS itu, gabungan PAS-PKR tidak terjejas dan Pakatan sebenarnya masih kekal.
“Pakatan
terus kekal dengan gabungan PAS dan PKR, sebagaimana pernah berlaku
kepada Barisan Alternatif (BA) sebelum ini,” katanya merujuk peristiwa
pada tahun 2002 itu.
DAP ketika itu keluar BA selepas pertelingkahan isu negara Islam yang digagaskan PAS.
Sementara itu, mengulas keadaan di Selangor, Zuhdi berkata PKR perlu
membuat keputusan sama ada akan meneruskan gabungan dengan PAS dalam
Pakatan atau tidak.
“Sekiranya PKR juga menarik diri dari Pakatan, maka tidak mustahil kerajaan negeri Selangor goyah,” katanya.
“Sekiranya PKR terus bersama PAS dalam Pakatan, maka mereka perlu
menentukan sama ada menerima kehadiran DAP dalam Kerajaan Selangor atau
tidak, di samping mereka juga perlu menentukan sama ada meneruskan
sokongan kepada DAP di Pulau Pinang atau tidak.”
Pandangan peribadi
Keputusan itu, katanya lagi, bakal menentukan negeri mana yang menjadi
goyah, kerajaan negeri Selangor atau kerajaan negeri Pulau Pinang.
Beliau juga berkata tidak mustahil formula Tengku Razaleigh Hamzah
melalui dua barisan pembangkang akan dipakai semula di negara itu.
Parti
Melayu Semangat 46 sekitar tahun 90-an memimpin barisan pembangkang
melalui dua gabungan berbeza – Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan
Gagasan Rakyat.
APU menyaksikan gabungan parti-parti Islam, termasuk PAS, sementara
Gagasan Rakyat pula menyaksikan gabungan Semangat 46 dengan DAP, Parti
Rakyat Malaysia (PRM) dan Parti Bersatu.
PAS belum menyatakan pendirian rasminya setakat ini. Seorang pegawai
penerangan parti Islam itu menegaskan bahawa kenyataan Zuhdi itu cuma
pandangan peribadi.
Bagaimanapun, kenyataan Zuhdi itu siarkan di Facebook Dewan Ulama dan yang hampir sama di organ rasmi PAS, Harakahdaily hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan