Khamis, 19 Disember 2019

Amanah Pengkalan Chepa buat pemilihan kali ketiga

N FAIZAL GHAZALI




Amanah Pengkalan Chepa akan bermesyuarat tahunan dan mengadakan pemilihan sekali lagi bagi menentukan barisan kepemimpinan selepas dua mesyuarat terdahulu dibatalkan.

Menurut sumber mesyuarat tersebut akan diadakan pada 21 Dis ini di Sekolah Kebangsaan Parang Puting, Kota Bharu.

"Ia diadakan buat kali ketiga selepas dua mesyuarat terdahulu dibatalkan atas kesilapan teknikal atau pelanggaran peraturan yang ditetapkan.

"Ini sekali gus memberi peluang kepada semua calon untuk dipilih oleh perwakilan kawasan ini bagi penggal 2019 hingga 2021," kata sumber yang enggan disiarkan namanya itu kepada Malaysiakini, hari ini.

Pada 13 Nov lalu Malaysiakini melaporkan Amanah Pengkalan Chepa diarah mengadakan pemilihan sekali lagi oleh ibu pejabat parti itu.

Arahan berkenaan dibuat selepas bantahan sebahagian daripada perwakilan kawasan diterima Amanah Nasional, sekali gus menjadikan keputusan pemilihan sebelum ini terbatal.

Dalam satu notis yang dilihat Malaysiakini, Jawatankuasa Aduan Amanah Nasional yang bersidang pada 5 Nov lalu membuat keputusan, mesyuarat Amanah Pengkalan Chepa pada 27 Okt lalu tidak sah dan tidak mematuhi perlembagaan serta tatacara parti.

Sementara itu Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Amanah Kelantan, Mohd Alawi Abdul Rashid, ketika dihubungi Malaysiakini hari ini mengesahkan mengenai pemilihan semula kali ketiga itu.

Katanya, ia dibuat sesuai dengan arahan daripada Amanah Nasional.

"Kawasan tersebut perlu mengadakan semula mesyuarat dan pemilihan. Sekiranya gagal Amanah Pengkalan Chepa boleh terbubar," katanya.

Bagaimanapub Mohd Alawi menegaskan apa yang berlaku itu adalah proses biasa.

"Kita perlu mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan," katanya.


Tiada ulasan: