Isnin, 10 Ogos 2020

Penyelesaian kes anak Najib: Takiyuddin baca nota tulisan tangan bekas AG

Geraldine Tong

Malaysiakini
 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan mendakwa bahawa bekas peguam negara, Tommy Thomas ada menulis nota mengenai surat representasi Riza Aziz berhubung kes pengubahan wang haramnya yang menunjukkan bahawa dia secara prinsip bersetuju dengan syarat-syarat penyelesaian.

“Satu hari selepas peguam Riza Aziz membuat representasi kepada AG (peguam negara). Pada 19 November 2019, Tommy Thomas telah meneliti surat representasi ini.

“Setelah dia meneliti surat ini, Tommy Thomas sebagai AG telah membuat satu nota tulisan tangan, berwarna dakwat merah di atas surat tersebut, saya baca ini adalah salinan sebenar.

“Surat ini dituju kepada seorang yang bernama Ram, semua orang kenal,” kata Takiyuddin, merujuk kepada ketua pendakwa utama kes berkenaan, Gopal Sri Ram.

Menteri itu kemudian membaca nota tulisan tangan yang didakwa dari Thomas dari apa yang didakwanya sebagai salinan asal surat berkenaan.

"'Ram, berdasarkan pernyataan di perenggan 5.10, 5.14, 5.15, 5.18 dan 5.19,   saya sedia mempertimbangkan representasi. Ini dari Tommy Thomas.

"'Perenggan 5.20 menyebut terma atau syarat penyelesaian yang dicadangkan, saya menunggu nasihat kamu.

"Ditandatangani oleh Tommy Thomas, pada 19 November, dengan cap meterai Peguam Negara," kata Takiyuddin semasa menggulung perbahasan usul titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Takiyuddin, semua ini ada dalam surat representasi yang dihantar oleh peguam Riza ke pejabat peguam negara.

Dengan kata lain, dia berkata Tommy pada asasnya telah bersetuju kes Riza Aziz dibenarkan dikompaun dan diselesaikan tanpa melalui pendakwaan.

“Itu penting,” katanya.

Tiada ulasan: