Ahad, 23 Ogos 2020

76 'tahi judi' dicekup

Nurul Hidayah Bahaudin
 
ANTARA individu yang diperiksa dalam operasi itu. FOTO Ihsan PDRM

SERAMAI 76 individu termasuk enam wanita dipercayai terbabit dengan kegiatan perjudian ditahan dalam Operasi Bersepadu Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di kawasan Bandar Puteri Puchong, dekat Serdang, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, serbuan itu dilakukan bermula kira-kira 3 petang hingga 6.30 petang, semalam.

"Operasi ini dilaksanakan bagi membanteras kegiatan perjudian membabitkan sabung ayam, bola golek dan belangkas yang dipercayai beroperasi kira-kira sebulan lalu.

"Dalam operasi ini, kami menahan, 70 lelaki dan enam wanita. Daripada jumlah itu, enam lelaki adalah warga tempatan, manakala selebihnya dari Indonesia termasuk tiga lelaki yang berstatus penduduk tetap.

"Semakan juga mendapati daripada 67 individu warga Indonesia, 22 lelaki mempunyai pasport dan 45 lagi individu termasuk enam wanita tidak memiliki pasport," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM45,000 dalam operasi itu.

"Semua suspek terbabit ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Sek 6(1)c Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1) C akta sama.

"Selain itu, mereka juga dikenakan tindakan mengikut Peraturan 3 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Tiada ulasan: