Ahad, 9 Ogos 2020

Kantoi bungkus dadah

Hamzah Osman

TUJUH lelaki yang ditahan bersama sebahagian dadah. FOTO Ihsan Polis

TUJUH lelaki yang sedang leka membungkus dadah ditahan dalam sebuah rumah di Kampung Bukit Temin, Mukim Ulu Melaka, Langkawi, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata siasatan mendapati tujuh lelaki berusia antara 22 dan 35 tahun itu, dipercayai membungkus dadah untuk dijual kepada penagih di kawasan sekitar, pada 2 pagi.

Katanya, lima lelaki ditahan di ruang tamu rumah, manakala dua lagi di bahagian dapur selepas dikesan berada dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan menemui tujuh paket plastik mengandungi bahan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 5.30 gram (g) dalam kotak rokok, selain 17 paket plastik dadah sama seberat 158.30 g dalam beg plastik.

"Dalam serbuan sama, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM730 dipercayai hasil jualan dadah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, siasatan lanjut mendapati semua lelaki itu positif dadah morfin, selain dua daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

"Suspek turut mengaku menerima bekalan dadah daripada seorang lelaki di Jalan Makam Mahsuri di sini, secara berhutang.

"Semua suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Tiada ulasan: