Khamis, 23 September 2021

Wanita goreng kuih sambil celup tangan dalam minyak panas

 Oleh KOSMO!

Sri Rejeki menunjukkan aksi menggoreng bakwan menggunakan tangan. - Angga Haksoro Ardi.

JAKARTA – Seorang wanita di wilayah Jawa Tengah mengagumkan orang ramai apabila mempunyai kemampuan mencelup tangannya ke dalam kuali berisi minyak panas semasa menggoreng kuih bakwan, lapor Suara.com, semalam.

Sri Rejeki, 55, yang menjual kuih tradisional Indonesia itu di Pasar Windusari, Kabupaten Magelang, berkata bahawa dia sudah melakukan aksi itu sejak 2017.

Menurut Sri, pada mulanya dia berasa sakit apabila mencelup tangan ke dalam minyak panas ketika menggoreng bakwan, tetapi rasa itu hilang dengan sendiri apabila kerap dilakukan.

“Ketika awal-awal melakukan aksi ini, tangan saya berasa sakit juga.

“Namun apabila sudah terbiasa, rasa sakit itu semakin berkurangan malah tangan saya juga tidak pernah melecur meskipun mencelup tangan dalam minyak panas,” katanya.

Tambah wanita itu, aksinya yang bersahaja menggoreng bakwan menggunakan tangan turut membantu dalam melariskan jualannya hingga mampu menjual sehingga 12 kilogram adunan bakwan sehari.

“Ada pembeli yang sanggup beratur untuk membeli bakwan hanya untuk melihat sendiri saya mencelup tangan ke dalam minyak panas,” kata Sri. – Agensi

Tiada ulasan: