Selasa, 28 September 2021

Masjid di Kedah dibenar solat fardu separuh ruang solat

Oleh SARINA ISMAIL-

Masjid Zahir, Alor Setar.

ALOR SETAR: Bermula 29 September (esok) semua masjid negeri dan kariah dibenarkan mengadakan solat fardu lima waktu berkapasiti separuh daripada ruang solat dengan penjarakan maksimum satu meter.

Kebenaran itu juga termasuk untuk solat Jumaat di masjid negeri dan kariah selain tidak kurang 50 pegawai dan jawatankuasa premis berkenaan.

Sungguhpun begitu, untuk masjid ghairu jamek dan surau kapasiti jemaah hanya dibenarkan 100 orang termasuk pegawai serta jawatankuasa dan juga tertakluk kepada ruang solat.

Demikian antara panduan keagamaan di masjid dan surau seluruh negeri Kedah dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dikemaskini oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), hari ini.

Aktiviti wirid serta solat sunat ba’diyah dibenarkan dalam tempoh singkat dan jemaah dikehendaki beredar selepas mengerjakannya, manakala berkumpul dan beriktikaf selepas solat di masjid tidak dibenarkan.

Dalam perkembangan lain, program keagamaan sama ada kuliah subuh, maghrib, tazkirah sebelum solat Jumaat dan majlis bacaan Yaasin pada malam Jumaat hanya dibenarkan dalam tempoh tidak lebih dari satu jam.

Sementara, pengkuliah mestilah dari kalangan anak kariah yang tidak perlu kepada rentas negeri atau daerah serta sudah menerima dua dos vaksinasi Covid-19.

JHEAIK juga menetapkan solat jenazah bukan Covid-19, kehadirannya mengikut kapasiti solat fardu dan Jumaat sementara pengurusan pengkebumiannya hanya tertakluk kepada tidak lebih 20 orang yang terdiri daripada pegawai, jawatankuasa masjid, petugas dan ahli keluarga sahaja.

“Ruang solat untuk musafir dibenarkan dan amalan menziarahi kubur tidak lebih lima orang untuk satu kubur dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Yang lain-lain seperti gotong royong, jamuan makan, kenduri, aktiviti memasak di kawasan masjid, menunaikan solat di luar kariah/lokaliti dan khemah tambahan untuk ruang solat tidak dibenarkan.

“Sanitasi berkala serta berjadual perlu dilakukan oleh pihak pengurusan masjid atau surau terutama di ruang solat, bilik air dan tempat mengambil wuduk,” ujar kenyataan itu lagi.

Operasi masjid atau surau yang didapati dihadiri jemaah positif Covid-19 akan ditutup sepenuhnya dan dibuka semula selepas tujuh hari proses sanitasi dilakukan.  

Oleh itu JHEAIK menggesa pihak pengurusan masjid dan surau meneruskan SOP seperti termaktub sebelum ini iaitu pendaftaran melalui MySejahtera, pemeriksaan suhu badan, memakai pelitup muka, membawa sejadah sendiri, menjaga penjarakan dan hanya anak kariah tempatan bermastautin/bermukim sahaja.

Manakala individu yang bergejala, demam, batuk, berpenyakit kronik, kanak-kanak di bawah 12 tahun dan luar kariah tidak dibenarkan.

Sementara itu pihak JHEAIK sekali lagi mengingatkan hanya individu (anak kariah) yang lengkap divaksin mengikut terma vaksin lengkap oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dibenarkan masuk ke premis dengan mempamerkan sijil digital atau kad vaksin bersama kad pengenalan.

“Vaksin lengkap yang dimaksudkan  adalah dua dos suntikan sama ada Pfizer, Asytrazeneca dan Sinovac selepas hari ke 14 tarikh suntikan kedua, manakala satu dos Johnson &Johnson dan Cahsino selepas hari ke 18 dari tarikh suntikan,” mengikut laporan tersebut.

Pelanggaran pematuhan boleh menyebabkan kebenaran menjalankan aktiviti keagamaan ditarik balik dan tindakan tegas dari pihak berkuasa akan dikenakan.

Pihak PAD boleh menarik balik kelonggaran ini jika terdapat kes Covid-19 di kalangan jemaah atau yang menjadi kontek rapat kepada kes terbabit. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: