Ahad, 26 September 2021

Diganggu gajah liar, Orang Asli tangguh vaksinasi

JERANTUT: Program jangkau luar (outreach) vaksinasi COVID-19 di perkampungan Orang Asli suku Bateq di Kampung Aur, berdekatan Taman Negara, Kuala Tahan terpaksa ditangguhkan, berikutan gajah liar menceroboh kawasan kediaman mereka.

Sehubungan itu, seramai 40 penduduk Orang Asli di Kampung Aur, berdekatan Taman Negara Kuala Tahan, menyelamatkan diri dengan keluar daripada kediaman mereka termasuk menumpang rumah saudara mereka di kampung lain.

Perkara ini didedahkan oleh seorang sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM), Roslan Abu Kassim yang pakar dengan masyarakat Orang Asli di sekitar Taman Negara kerana mempunyai hubungan rapat dengan mereka.

Katanya, terdapat 14 keluarga Orang Asli di Kampung Aur dan mereka beredar buat sementara daripada kediaman mereka apabila kawanan gajah liar menceroboh kawasan itu pada waktu malam minggu lalu.

"Sepatutnya mereka (Orang Asli) berkenaan yang dijadualkan mengambil suntikan vaksin daripada petugas Jabatan Kesihatan Daerah (JKD) pada minggu ini, tetapi akibat kejadian berkenaan, ia tidak dapat dilaksanakan kerana mereka berpindah sementara ke tempat lain.

"Saya kenal rapat dengan Tok Batin Kampung Aur dan anak buahnya dan mereka memaklumkan, penduduk lari menyelamatkan diri ke dalam hutan dan selebihnya menumpang tinggal di rumah saudara mereka di kampung berdekatan Taman Negara," katanya.

Roslan yang juga Pengerusi Bird Group Taman Negara (BGTN) adalah sukarelawan APM yang juga pengantara (mediator) membantu JKD Jerantut melaksanakan program vaksinasi di penempatan Orang Asli di Taman Negara, iaitu Kampung Yong, Kampung Dedari, Kampung Teresek, Kampung Tabung, Kampung Atok dan beberapa kampung terpencil lain.

Katanya, mereka lari bukan takut di vaksinasi, kerana mereka sudah faham pentingnya vaksinasi itu kerana ramai saudara mara mereka di kampung lain sudah divaksinasi.

Katanya, apabila ancaman gajah itu sudah reda, mereka akan kembali semula ke kampung mereka dalam masa terdekat dan program vaksinasi jangkauan akan dilaksanakan semula.

"Mereka (Orang Asli) di Taman Negara amat memahami dan sedar bahayanya pandemik COVID-19 malahan bersetuju untuk divaksinasi bagi membolehkan mereka bergerak keluar dan bekerja semula di Taman Negara.

"Selain sumber hutan, kebanyakan Orang Asli suku Bateq di sini khususnya golongan belia bekerja sebagai pemandu pelancong, pemandu bot penambang dan pembawa barang( porter) sebelum ancaman pandemik COVID-19 bermula," katanya.

Roslan berkata, ketiadaan sumber pendapatan dalam tempoh pandemik COVID-19 itu menyebabkan mereka berpindah randah ke tempat lain untuk mencari kawasan rayau, manakala ada yang masih tinggal di penempatan masing-masing di pesisir Sungai Tahan dan Sungai Tembeling.

"BGTN termasuk badan bukan kerajaan (NGO) luar dan wakil rakyat kerap memberikan bantuan makanan kepada mereka yang terjejas bagi meringankan beban mereka," katanya.

Tiada ulasan: