Isnin, 27 September 2021

Tok Batin, penduduk larikan diri akhirnya divaksin

Oleh WAT KAMAL ABAS
 
MOHD. Akmal Kamarudin (kanan) mengutip sampah di tempat kawasan Lata Tebing Tinggi sempena sambutan Hari Sungai Sedunia di Selama dekat Larut hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS

LARUT: Tok Batin dan penduduk Kampung Orang Asli Gangai di Slim River yang sebelum ini melarikan diri kerana dikatakan takut untuk menerima vaksin Covid-19, akhirnya menerima suntikan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau negeri, Mohd. Akmal Kamarudin berkata, bagaimana pun sebenarnya mereka bukan takut atau menolak vaksin tetapi takut untuk menjalani ujian calitan Covid-19 melalui hidung. 

Menurutnya, ini menyebabkan mereka melarikan diri sebelum kampung berkenaan dikenakan  Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Mereka melarikan diri bukan sebab menolak vaksin tetap takut untuk menjalani ujian calitan Covid-19 melalui hidung setelah dua penduduk di kampung itu meninggal dunia akibat Covid-19.

“Apabila PKPD dilaksanakan di kampung mereka mulai Khamis lalu, Tok Batin dan penduduk yang melarikan diri telah kembali ke kampung dan mereka telah menerima vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari Sungai Sedunia 2021 di Lata Tebing Tinggi di Selama dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Alam Sekitar Perak, Rosli Zul.

Menurut Akmal, pelbagai usaha dilakukan untuk memujuk dan memberi penerangan kepada Tok batin dan penduduk supaya mereka menjalani ujian calitan dan disuntik vaksin.

Beliau berkata, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim merupakan pihak yang awal mengambil pendekatan memujuk mereka selain sokongan daripada Jabatan Kemajuan Hal Ehwal Orang Asli (Jakoa) dan kakitangannya serta doktor dari Hospital Orang Asli Gombak.

“Usaha memujuk akhirnya berjaya. Disebabkan Tok Batin takut untuk menjalani ujian calitan Covid-19 melalui hidung, ujian calitan melalui air liur sahaja,” katanya.

Mohd Akmal berkata, setakat ini seramai 125 orang dari 184 penduduk di  kampung itu telah menerima suntikan vaksin.

“Tempoh PKPD di kampung tersebut mungkin akan dipendekkan,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Akmal berkata, kerajaan negeri akan menutup operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam bulan depan jika sambutan rakyat untuk mendapatkan vaksin semakin berkurangan.

“Dengan penutupan PPV awam, ini akan membolehkan kakitangan kesihatan yang bertugas di PPV kembali menjalankan tugas mereka di klinik kesihatan masing -masing.

“Setelah PPV awam ditutup, kita akan fokus kepada program jangkauan luar (outreach) iaitu menjalankan vaksinasi di kawasan yang memerlukan” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: