Selasa, 28 September 2021

Judi online 7,000 pelanggan tumpas, tahniah polis Johor!

Ayob Khan Mydin Pitchay menerangkan operasi sindiket judi online yang berjaya ditumpaskan Khamis lalu pada sidang akhbar hari ini./ Gambar Polis Johor.

JUDI online memang satu cabaran baharu yang jika tidak ditangani boleh menjadi kanser dalam masyarakat.

Ingat lagi bagaimana sindiket judi online ‘selamba’ sahaja menyiarkan iklan cari duit sempena Aifiltri yang menunjukkan ‘pelanggan’ mereka sudah tidak mengira kaum.

Tanpa perlu ke premis fizikal, seseorang boleh bertaruh permainan judi online semudah hujung jari dengan melayari laman web tertentu.

Mengambil contoh satu sindiket judi online yang berjaya ditumpaskan Polis Johor Khamis lalu, pelanggan sindiket itu berjumlah 7,000 orang dengan kutipan harian mencecah RM20,000.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, sindiket yang telah beroperasi sejak Jun lepas menyasarkan pelanggan tempatan melalui dua laman web www.topup99.com serta www.lagiong.com.

Modus operandi mereka kata beliau dengan menghantar mesej secara rawak dengan ‘ayat pancing’ tawaran keuntungan dan boleh layari laman web sekian untuk mencuba nasib.

Katanya, segala transaksi dalam kegiatan itu dilaksanakan melalui perbankan dalam talian melibatkan beberapa akaun yang dikenal pasti sebagai akaun bank Malaysia.

“Sindiket ini mempunyai pelanggan yang dianggarkan sekitar 7,000 orang dengan kutipan harian antara RM15,000 hingga RM20,000,” katanya dalam sidang akhbar di Johor Bahru hari ini.

Ayob Khan Mydin Pitchay menerangkan operasi sindiket judi 
online yang berjaya ditumpaskan Khamis lalu pada sidang 
akhbar hari ini./ Gambar Polis Johor.

Kata beliau, sindiket itu ditumpaskan setelah pihaknya telah menahan enam lelaki dan seorang wanita dalam serbuan ke atas sebuah unit pangsapuri di Persiaran Southquay, Johor Bahru Khamis lalu.

Menurutnya, semua mereka yang berumur antara 18 dan 34 tahun ditahan kerana berperanan sebagai operator tambah nilai kredit dan cuci kredit, di samping menjadi perantara dengan pelanggan.

“Turut dirampas dalam serbuan ini ialah enam set komputer, 35 buah telefon bimbit pelbagai jenama, dia buah modem wifi dan serangkai kunci rumah,” katanya.

Siasatan menurut beliau dijalankan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka.

Ayob Khan sekali lagi menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat berhubung jenayah judi online kepada pihaknya.

“Dalam tempoh 1 Ogos hingga kelmarin, polis Johor telah menahan 28 suspek hasil lima serbuan menerusi Ops Dadu.

“Dalam serbuan itu juga polis Johor telah membuat pelbagai rampasan termasuk komputer, telefon bombit dan sebagainya.

“Sebanyak lima kertas siasatan sudah dibuka dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya sebaik dilengkapkan,” jelasnya.

Tiada ulasan: