Khamis, 30 September 2021

Kerajaan tanggung kos paten produk inovasi pelajar 11 tahun

Maryam Muzamir memenangi tiga pingat emas dalam Pertandingan Inovasi 
dan Reka Cipta Antarabangsa Kanada ke-6 di Toronto bulan lalu melalui 
inovasi makanan haiwan daripada kulit udang dan siput sedut yang dinamakan 
YAM 2.0.

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui Perbadanan Harta Intelek (MyIPO) akan menanggung semua perbelanjaan bagi proses pemfailan paten produk dihasilkan pelajar berusia 11 tahun, Maryam Muzamir.

Menterinya, Alexander Nanta Linggi berkata, proses mempatenkan hasil inovasi itu akan dilakukan secepat mungkin bagi memberi pengiktirafan hak milik kreativiti kepada Maryam dan melindungi inovasi berkenaan daripada diciplak.

“Kos untuk proses pemfailan paten ini dianggarkan kira-kira RM20,000 dan kita akan bantu adik Maryam memperoleh hak ke atas produk ciptaannya supaya ia dapat dikomersialkan.

“Kejayaan adik Maryam bukan sahaja membanggakan ibu bapa dan negara, ia juga sesuatu yang boleh dijadikan contoh oleh ibu bapa lain supaya terus memberi sokongan kepada anak mereka dalam menghasilkan ciptaan seumpama ini,” katanya dalam pertemuan maya bersama Maryam dan keluarganya hari ini.

Linggi turut memberikan sumbangan peribadi RM500 kepada Maryam sebagai tanda sokongan dan penghargaan atas kejayaan pelajar Sekolah Kebangsaan (Perempuan) Methodist Kuantan itu.

Maryam memenangi tiga pingat emas dalam Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta Antarabangsa Kanada ke-6 di Toronto, Kanada bulan lalu melalui inovasi makanan haiwan daripada kulit udang dan siput sedut yang dinamakan YAM 2.0.

Kejayaan pelajar itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan pengacara hos terkenal Amerika Syarikat, James Corden pada 23 Sept lalu.

Tiada ulasan: