Isnin, 27 September 2021

Tambah baik pengangkutan awam sebelum perketat lesen memandu warga emas

zuhayati

Keputusan tak boleh disebabkan kes terpencil, perlu lihat skop menyeluruh

BANGI – Kerajaan perlu menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam sebelum memperketatkan syarat pengeluaran lesen memandu kepada warga emas 70 tahun ke atas.

Perkara itu disuarakan Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM), Tan Sri Wan Mahmood Pa’wan yang menyifatkan langkah itu adalah tindakan yang baik, namun perlu diteliti secara mendalam.

“Keputusan itu tidak boleh berasaskan kejadian terpencil sahaja, tetapi perlu mengambil kira pandangan semua pihak.

“Selain itu, harus dilihat juga keadaan pengangkutan awam yang tidak memuaskan terutama di kawasan luar bandar.

“Kami mencadangkan semua pengangkutan awam diubah suai menjadi mesra warga emas atau orang kurang upaya (OKU) sebelum syarat pengeluaran lesen warga emas diperketatkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menegaskan, status kesihatan dan fizikal yang disahkan doktor sebagai syarat pengeluaran lesen memandu adalah satu cadangan yang baik.

“Lesen memandu ini perlu diperbaharui setiap tahun dan disertakan dengan surat sijil kelayakan daripada doktor dalam permohonan seperti yang dikenakan bagi lesen memegang senjata api yang dikendalikan oleh pihak polis pada masa ini,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, bayaran bagi mendapatkan sijil kelayakan ini hendaklah ditetapkan dengan kadar mampu milik selain tidak membebankan pesara.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias mengesyorkan syarat khas dikenakan untuk pemegang lesen memandu dalam kalangan warga emas sebelum mereka dibenarkan memperbaharui dokumen itu.

Katanya, cadangan berkenaan bertujuan menjaga keselamatan golongan berkenaan sendiri dan pengguna jalan raya yang lain

Tiada ulasan: