Selasa, 28 September 2021

TNB tingkat perhidmatan tanpa libat kenaikan tarif

SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU: Tarif elektrik akan dikaji lebih teliti sebelum semakan dibuat pada kadar baru bagi mengelakkan bebanan ditanggung rakyat.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, walaupun kini usaha mempertingkatkan kuota dan mutu perkhidmatan, tidak bererti tarif elektrik akan dinaikkan.

Katanya, apa yang penting tenaga mencukupi dan pada masa yang sama kadar pembayaran yang perlu dibuat berkaitan tarif elektrik tidak membebankan rakyat.

“Ini adalah dasar hari ini yang prihatin terhadap masalah rakyat.

“Oleh sebab itu kita akan cuba sebaik mungkin dalam rangka kita mempertingkatkan kuota, perlu memberi perhidmatan bermutu kepada rakyat tanpa melibatkan peningkatan tarif,” katanya di sini semalam.

Beliau juga berkata sebagai sebuah badan korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), soal perniagaan merupakan teras utama Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Namun tambahnya, TNB perlu mencari jalan untuk mengimbangi antara perkhidmatan dan perniagaan, walaupun syarikat terbabit mempunyai hak untuk membuat semakan dalam tempoh tertentu.

Takiyuddin juga berkata, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli menyediakan pelan jangka panjang dan pendek mengenai Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Antaranya kata beliau memastikan bekalan tenaga negara mencukupi termasuk sumber dengan memanfaatkan tenaga boleh diperbaharui.

“Apa yang penting buat masa ini rakyat mesti menikmati bekalan elektrik yang baik,” ujarnya.HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: