Selasa, 28 September 2021

Pemberian vaksin kepada gelandangan beri peluang cari kerja

 azrulhakimie

Selain dapat elak daripada jangkitan yang membunuh itu

JOHOR BAHRU– Pemberian vaksin COVID-19 kepada golongan gelandangan di bandaraya ini bukan sahaja dapat mengelakkan jangkitan, malah dapat memberikan sinar baharu kepada mereka untuk mencari pekerjaan.

Shem Kutio, 46, berkata dia berhasrat untuk pulang ke kampung halaman di Pitas, Kota Marudu, Sabah dan mencari pekerjaan di sana setelah menerima vaksin.

Katanya, antara faktor menyebabkan dirinya tergerak untuk mengambil vaksin adalah berikutan rata-rata majikan ketika ini mahu pekerja yang sudah menerima vaksin.

Shem yang masih bujang, kini tinggal di sekitar Dataran Sri Lanang yang sebelum ini adalah tempat pemberian makanan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Negeri Johor untuk golongan gelandangan sejak Mac tahun lepas.

“Untuk mencari pekerjaan sekarang ini kita disarankan untuk ambil vaksin dahulu dan juga atas faktor kesihatan untuk elak jangkitan COVID-19. Selepas ini lebih mudah untuk saya pergi ke mana-mana tempat kerana sudah ambil vaksin,” katanya kepada pemberita pada Program Pemberian Vaksin untuk gelandangan Johor Bahru di Jalan Trus, di sini hari ini.

Menurutnya, kali terakhir dia bertugas sebagai pekerja pembersihan di Singapura, dua tahun lepas, dan sehingga kini tidak mempunyai pekerjaan.

Shem adalah antara 50 gelandangan yang menerima vaksin CanSino hari ini, hasil kerjasama persatuan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Khidmat Masyarakat dan Kesihatan Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia Datuk Mohd Rashidi Mohd Noor berkata pihaknya telah membantu mendaftarkan golongan itu dan setakat ini, sebanyak 150 gelandangan berusia 25 hingga 60 tahun di Johor Bahru telah menerima suntikan dos pertama.

Katanya, mereka menerima vaksin di beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) sekitar bandar raya ini termasuk di PPV Persada, Jubli Intan dan Mount Austin, di sini, sejak Ogos lepas.

“Secara keseluruhannya, terdapat lebih 200 gelandangan di Johor Bahru dan pemberian vaksin CanSino kali ini dapat memudahkan golongan ini terima vaksin tanpa perlu datang sekali lagi untuk dos kedua.

“Sebelum ini, mereka harus ke PPV dan perlu datang lagi untuk dos kedua, sekali gus sukar untuk kita kesan mereka. Jadi, apabila ada dos tunggal, ia memudahkan mereka untuk dapat sijil vaksinasi,” katanya.

Mohd Rashidi pada masa sama menjelaskan, tempat pemberian makanan untuk gelandangan yang sebelum ini berada di Dataran Sri Lanang, telah ditutup dan dipindahkan di Jalan Trus. – Bernama

Tiada ulasan: