Khamis, 23 September 2021

Boleh rentas negeri bila 90 peratus kadar vaksinasi

Oleh LUQMAN RIDHWAN MOHAMED NOR

Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri hari ini bersetuju untuk membenarkan pembukaan beberapa buah sektor bermula esok.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan berkata, kedai runcit, pasar mini, restoran, stesen minyak dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi berkuat kuasa esok dari pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam.

Beliau memberitahu, kerajaan juga membenarkan pembukaan pusat-pusat pelancongan iaitu pulau-pulau atau kawasan pelancongan berserta aktiviti rentas negeri dibenarkan dengan syarat mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang telah dibuat Kementerian Kesihatan (KKM).

“Operasi perniagaan spa, pusat kesihatan (wellness) dan urut kesihatan dibenarkan kepada pengunjung dan operator yang telah menerima dos lengkap vaksin bermula 1 Oktober 2021.

“Pusat, premis atau produk pelancongan seperti zoo, perladangan, akuarium, snorkeling, selam skuba, pelancongan memancing dan taman rimba dibenarkan beroperasi di semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 1 Oktober 2021 dengan semua pengusaha atau operator dan pelawat atau pengunjung lengkap divaksin,” katanya hari ini.

Selain itu, menurut Ismail Sabri, kehadiran pekerja bagi setiap perniagaan yang dibenarkan beroperasi adalah pada kapasiti 100 peratus dengan syarat majikan dan semua pekerja lengkap divaksin.

“Warga asing yang tiba di pintu masuk antarabangsa perlu menanggung kos ujian Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) di pintu masuk negara, manakala bagi warganegara adalah percuma,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa tiga buah negeri akan beralih fasa PPN pada Jumaat ini iaitu Negeri Sembilan daripada Fasa 3 kepada Fasa 4, Pahang (Fasa 2 kepada Fasa 3) dan Johor (Fasa 1 kepada Fasa 2).

“Peralihan fasa ini mengikut garis panduan yang ditetapkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan mengambil kira kemasukan ke hospital bagi kes bergejala, penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) serta peratusan lengkap divaksinasi.

“Keputusan ini juga dilakukan berdasarkan penilaian risiko semasa yang dibuat oleh KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya. – K! ONLINE

Tiada ulasan: