Khamis, 23 September 2021

Annuar bertemu artis bincang isu industri kreatif negara

BH ONLINE

   Annuar (kiri) mengadakan pertemuan dengan sekumpulan tujuh artis tempatan, hari ini. - Foto Twitter Annuar MusaAnnuar (kiri) mengadakan pertemuan dengan sekumpulan tujuh artis tempatan, hari ini. - Foto Twitter Annuar Musa

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, hari ini mengadakan pertemuan dengan tujuh artis tempatan bagi mendengar sendiri masalah dan keluhan sering dihadapi berkaitan industri kreatif negara.

Pertemuan tertutup dalam suasana santai selama lebih sejam itu berlangsung di sini, lewat petang tadi.

Annuar berkata, antara isu dibangkitkan artis ditemui ialah masalah pengurusan cukai dan isu berkaitan kebajikan seperti ketiadaan perlindungan insurans ketika berlakon dan tiada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

"Masalah itu bukan boleh terus selesai, cuma ia perlu dikenal pasti supaya masalah itu ada tindakan susulan. Ia agak kompleks, sebab itu saya tidak mahu dianggap berjanji bulan dan bintang," katanya selepas sesi pertemuan itu.

Annuar berkata, antara perkara perlu dilihat dalam mengkaji masalah berkenaan ialah aspek perundangan, peraturan sedia ada, birokrasi dan artis itu sendiri.

Beliau berkata golongan artis di negara ini mempunyai persatuan, tetapi ia lebih kepada menjaga kebajikan artis dan bukannya mengawal profesionalisme seperti persatuan badan profesional yang lain contohnya peguam dan perancang bandar.

"Saya akan mengadakan sesi libat urus dengan Persatuan Seniman Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam waktu terdekat bagi mendapat lebih banyak input berhubung perkara ini," katanya.

Annuar turut berkongsi gambar pertemuan itu di akaun Twitternya dengan catatan, beliau akan memperhalusi perbincangan yang berlangsung hari ini supaya tindakan susulan dapat dibuat. – BERNAMA

Tiada ulasan: