Rabu, 29 September 2021

Permohonan Rosmah tangguh bicara kes rasuah didengar Isnin depan

BERNAMA

Mahkamah menetapkan 13 Oktober untuk pengurusan kes rayuan Rosmah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya bagi membatalkan perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid.

Permohonan Rosmah Mansor untuk menangguhkan perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya sementara menunggu rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan perbicaraan kes itu akan didengar Isnin ini.

Peguam Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah dan timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib, semasa dihubungi mengesahkan permohonan penangguhan itu akan didengar di Mahkamah Rayuan pada Isnin.

Akberdin berkata mahkamah menetapkan 13 Oktober untuk pengurusan kes rayuan Rosmah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya bagi membatalkan perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid sekolah Sarawak dan menggugurkan Sri Ram sebagai ketua pendakwaan.

Pengurusan kes bagi permohonan penangguhan dan rayuan di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron hari ini.

Pada 24 September lepas, Rosmah, isteri bekas perdana menteri Najib Razak gagal dalam permohonannya untuk membatalkan perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid yang dihadapinya dan menggugurkan Sri Ram sebagai ketua pendakwaan dalam kes itu.

Semasa menolak kedua-dua permohonan Rosmah itu, hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan berkata kebenaran yang diberikan oleh peguam negara ketika itu, Tommy Thomas kepada Sri Ram untuk menjalankan pendakwaan jenayah dalam kes Rosmah adalah tanpa keraguan berdasarkan Seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) atas kapasitinya sebagai pendakwa raya

Beliau berkata Thomas telah menyatakan dengan jelas bahawa beliau, selepas melantik Sri Ram untuk mengetuai pendakwaan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kemudiannya memberi kuasa kepada beliau untuk menjalankan pendakwaan kes jenayah terhadap pemohon (Rosmah).

Rosmah memfailkan dua permohonan di Mahkamah Tinggi pada 6 Mei lepas untuk membatalkan keseluruhan perbicaraannya, dalam usaha untuk dibebaskan daripada tiga pertuduhan rasuah serta menggugurkan Sri Ram sebagai ketua pendakwaan kesnya.

Rosmah, dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin berkaitan projek tenaga solar itu menerusi bekas pembantunya, Rizal Mansor.

Ia sebagai balasan kerana membantu Jepak Holdings memperoleh Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel untuk 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion daripada kementerian pendidikan secara rundingan terus.

Tiada ulasan: