Rabu, 29 September 2021

Tak payah jadi menteri kalau isu jenayah seksual tak boleh selesai, sindir Azalina

Wakil rakyat diingatkan untuk tidak bercakap soal rancangan Malaysia ke-12, 
jika lupa pada rakyat yang memerlukan, menurut Azalina Othman Said. (Gambar 
Bernama)

KUALA LUMPUR: Wakil rakyat Umno, Azalina Othman Said membidas pentadbiran kerajaan yang didakwa tidak bersungguh untuk mewujudkan mahkamah khas bagi jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, usaha itu telah lama diperjuangkan namun ia masih belum dilaksanakan walaupun kerajaan dan Perdana Menteri sudah beberapa kali bertukar.

Katanya, ketika memegang jawatan Menteri Undang-Undang, beliau mahu mewujudkan mahkamah sesyen (jenayah seksual) di semua negeri dan sudah dipersetujui kerajaan, namun tiada tindakan sehingga hari ini.

Azalina berkata, apabila mangsa pergi ke mahkamah jenayah biasa, perjalanan kes yang panjang menyebabkan mangsa sudah semakin dewasa dan tiada sesiapa hendak menjadi saksi disebabkan perasaan malu.

“… itu sebab kita nak mahkamah khas, bilik saksi khas, adanya pendekatan khas, ini anak-anak yang menjadi mangsa, sejak Covid-19 berapa banyak kes anak-anak didera di rumah, kes anak-anak menjadi mangsa jenayah, nak bawa ke mana?

“Kalau setakat nak jadi menteri, ini pun tak boleh selesai. Tidak payahlah nak jadi menteri, anak-anak adalah masa depan sebuah negara,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat.

Azalina turut menyindir dengan mempersoal siapa menteri yang seharusnya bertanggungjawab dalam hal tersebut susulan ketiadaan menteri yang berada di dalam Dewan Rakyat ketika beliau membahaskan isu tersebut.

“Saya nak tanya pada menteri yang bertanggungjawab, saya tak tahu siapalah yang bertanggungjawab. Dia pun tidak ada, Tuan Yang di-Pertua ini memang masalah besar, takkan cakap hari-hari dekat kerusi, betul tak?

“Tapi tidak apalah agaknya sibuk. Tuan Yang di-Pertua sebelum saya duduk, janganlah kita bercakap tentang Rancangan Malaysia ke-12, tetapi kita lupa pada rakyat yang memerlukan kerajaan. Kita tegur bukan kerana kita marah dan benci kepada kerajaan, tetapi kita mahu letakkan kelebihan kita kepada rakyat yang menjadikan kita wakil mereka dalam dewan ini,” katanya.

Tiada ulasan: