Khamis, 30 September 2021

Najib beritahu juruaudit buang bahagian ‘sensitif’ laporan 1MDB, mahkamah diberitahu

Najib Razak menegaskan laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB perlu
 dikaji semula sebelum disiarkan kepada pencetak, kata seorang saksi kepada 
Mahkamah Tinggi.

KUALA LUMPUR: Bekas ketua setiausaha sulit Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa bekas Perdana Menteri itu mengarahkannya untuk memaklumkan juruaudit agar tidak memasukkan kandungan “sensitif” dalam laporan audit 1MDB.

Shukry Mohd Salleh, yang berkhidmat dengan Najib pada 2015 hingga 2016, berkata perbualan itu berlaku di Pejabat Perdana Menteri pada 26 Feb 2016.

“Beliau berkata “Shukry, beritahu Audit (Jabatan Audit Negara) bahawa isu sensitif termasuk Jho Low (Low Taek Jho), tidak dimasukkan dalam laporan. Jika diketahui pembangkang, ia akan menjadi isu,” katanya.

Selepas itu, Shukry berkata, beliau menghubungi bekas Pengarah Sektor Audit Kerajaan Saadatul Nafisah Bashir Ahmad dan memaklumkannya mengenai arahan Najib.

Katanya, sebelum itu pada Feb 2016, Najib telah mengarahkannya untuk mendapatkan laporan audit 1MDB daripada JAN, sambil menyatakan bahawa ia “perlu diperiksa sebelum dicetak”.

“Perdana Menteri bimbang laporan itu mengandungi perkara yang bukan kebiasaan,” kata Shukry.

Saksi terbabit memberitahu mahkamah, beliau menghubungi bekas Ketua Audit Negara Ambrin Buang untuk menyampaikan arahan Najib.

“Pada mulanya beliau enggan, sambil menyatakan laporan itu perlu dicetak segera untuk Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC),” katanya.

Mahkamah turut mendengar bahawa Ambrin dan beberapa pegawainya melaksanakan audit 1MDB bermula 9 Mac 2015 hingga 4 Mac 2016.

Shukry berkata, Najib bertegas bahawa laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB perlu diteliti dan beliau memaklumkan Ambrin mengenai perkara itu.

“Saya menerima bungkusan daripada Saadatul pada 20 Feb 2016 yang mengandungi laporan itu,” katanya.

“Saya tidak membaca laporan itu tetapi memaklumkan Perdana Menteri mengenai bungkusan terbabit. Saya mencadangkan supaya beliau meminta Arul Kanda (Kandasamy) melihat laporan itu dan beliau bersetuju.”

Shukry berkata, beliau bertemu Arul Kanda beberapa hari kemudian di pejabatnya dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif itu memaklumkan “beberapa fakta perlu dipinda”.

“Dia memberitahu yang dia bertemu dengan Ambrin berhubung kandungan dalam laporan audit dan banyak dokumen tiada dengan 1MDB.

“Saya mencadangkan kepada Arul Kanda untuk bercakap dengan Ambrin dan dia (Arul Kanda) turut memberikan beberapa kertas penilaiannya mengenai laporan itu,” katanya.

Shukry berkata beliau dan Ambrin bertemu Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Ali Hamsa pada 23 Feb 2016. Ali berkata beliau telah mengatur satu mesyuarat pada hari berikutnya dan menjemput pegawai kanan kerajaan daripada Jabatan Perbendaharaan, Pejabat Peguam Negara dan Arul Kanda untuk membincangkan perkara itu.

“Saya memberitahu Ali dan Ambrin bahawa 1MDB adalah ‘krisis yang perlu ditangani segera’ kerana syarikat itu telah menjadi perbualan di dalam dan luar negara,” kata Shukry.

Apa yang diberitahu Shukry dalam mesyuarat pada 24 Feb 2016

Mahkamah sebelum ini diberitahu bahawa Ambrin dan beberapa pegawainya menghadiri mesyuarat dipengerusikan Ali pada 24 Feb 2016.

“Pada dua salinan laporan kewangan, saya memaklumkan dalam mesyuarat bahawa perkara ini mempunyai kesan terhadap keyakinan pelabur terhadap kita,” kata Shukry.

“Ini boleh menggambarkan bahawa syarikat milik kerajaan seperti 1MDB boleh dimanipulasi.”

Katanya, Ali telah meminta bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Mohd Isa Hussain untuk membuat laporan polis berhubung dua penyata kewangan itu.

Selepas mesyuarat berkenaan, juruaudit kerajaan bersetuju untuk mengeluarkan empat perkara – dua salinan penyata kewangan dan rujukan terhadap Low dan penerbitan bon – daripada laporan akhir.

Shukry berkata beliau turut membangkitkan permintaan Yang di-Pertuan Agong ketika itu untuk menggantung penerbitan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) ketika Najib menghadap Baginda pada 27 Mei 2009.

Laporan Ketua Audit Negara menyatakan bahawa Najib bersetuju dengan cadangan Agong untuk menggantung penerbitan bon terbabit tetapi maklumat itu tidak disampaikan kepada Jemaah Menteri pada hari yang sama.

“Komen juruaudit menunjukkan Perdana Menteri cuba menyembunyikan sesuatu. JAN bersetuju untuk mengeluarkannya selepas mendengar nasihat Dzulkifli Ahmad (wakil Pejabat Peguam Negara),” katanya.

Najib dibicarakan atas tuduhan menyalahguna kuasa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk mendapatkan imuniti tindakan undang-undang dan meminta laporan akhir audit 1MDB sebelum ia dibentangkan dalam mesyuarat PAC.

Arul Kanda dituduh bersubahat dengannya.

Pendengaran di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan akan bersambung pada 20 Oktober depan.

Tiada ulasan: