Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
Siasatan kes pembunuhan Allahyarham tidak boleh ditutup walaupun sementara
BANGI – Pihak yang sepatutnya mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim bukanlah menteri, tetapi Peguam Negara atau Ketua Polis Negara.
Menegaskan perkara itu, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, kenyataan bahawa kes itu ditutup sementara dan akan dibuka semula jika terdapat bukti baharu, oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin sama sekali tidak wajar.
Beliau menegaskan, kenyataan sebegini tidak seharusnya dikeluarkan oleh seorang menteri apatah lagi yang tidak berkaitan dengan perlaksanaan undang-undang jenayah.
“Sewajarnya Peguam Negara atau Ketua Polis Negara yang mengeluarkan kenyataan berkaitan dengan pendakwaan dan siasatan jenayah. Jika siasatan ditutup bagaimanakah bukti baharu akan diperolehi?
“Sehingga kini rakyat masih terpinga-pinga kedudukan kes ini walaupun dulu pernah ada beberapa orang yang direman oleh pihak polis berkaitan dengan pembunuhan arwah Muhammad Adib,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, Zainul Rijal berkata, PPMM mendesak Peguam Negara serta Ketua Polis Negara menzahirkan kedudukan terperinci mengenai siasatan tersebut dan tidak hanya berdiam diri.
Beliau menegaskan, bukti baharu tidak akan datang bergolek begitu sahaja jika siasatan ditutup sementara.
“Adalah menjadi tugas pihak polis mencari bukti-bukti tersebut sehingga ke tahap melampaui keraguan yang munasabah bagi membela arwah Muhammad Adib.
“Persoalan timbul kini adakah pihak polis sudah buntu, tidak menemui jalan dan sudah letih menyiasat kes pembunuhan Muhammad Adib dan mengumpul buktinya?
“Begitu juga berkaitan dengan permohonan komital yang dibawa oleh keluarga arwah Muhammad Adib perlu diselesaikan dengan segera dan adil terutamanya kerajaan perlu jelaskan pendirian.
“Mengapa Tan Sri Tommy Thomas masih lagi dibela oleh kerajaan dalam prosiding komital di Mahkamah Rayuan sedangkan ketika masih menjadi pembangkang mereka sangat lantang mengecam tindak tanduk Tommy Thomas dalam menangani inkues arwah Adib,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, banyak laporan polis telah dibuat oleh pelbagai pihak termasuk keluarga Allahyarham Muhammad Adib, mantan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Apandi Ali dan ramai lagi yang masih lagi tidak ketahuan tindakan yang diambil oleh pihak polis.
Keputusan Mahkamah Koroner perlu dihormati
Mengulas
lanjut, Zainul Rijal berkata, Mahkamah Koroner pada 27 September 2019
memutuskan punca kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah
oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.
Koroner Rofiah Mohamad turut merumuskan kegagalan polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam mengawal keadaan rusuhan itu menyumbang kepada kematian Muhammad Adib.
“Keputusan Mahkamah Koroner tersebut perlu dihormati kerana tiada sebarang proses perundangan yang dibawa oleh pihak kerajaan bagi merayu atau menyemak keputusan tersebut.
“Ini bermakna pihak kerajaan telah berpuas hati dengan keputusan koroner itu. Oleh itu, jika sekarang ada yang cuba mempertikaikan keputusan koroner tersebut, ia bukan berpaksi kepada aspek perundangan negara,” katanya.
Justeru, PPMM mendesak siasatan kes pembunuhan Allahyarham Muhammad Adib tidak ditutup walaupun sementara dan usaha perlu dilipat ganda bagi membawa pembunuh ke muka pengadilan.
Beliau menegaskan, di dalam undang-undang jenayah tiada had batasan waktu ditetapkan bagi memulakan prosiding jenayah terhadap mana-mana pihak.
“PPMM menegaskan kepada rakyat Malaysia yang prihatin bahawa pembelaan kepada arwah Muhammad Adib masih perlu diteruskan.
“Seorang penjawat awam yang bertugas dengan kerajaan perlu dibela kematiannya oleh kerajaan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan