Rabu, 29 September 2021

RMK12 tak begitu ‘ambitious’, strategi hampir sama RMK11

 Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

Patut fokus gaji pekerja paling kurang RM5,000 dalam 5 tahun

BANGI – Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam dianggap tidak begitu ‘ambitious’ untuk cuba mencapai sesuatu yang jauh berbanding RMK11.

RMK12 bagi tempoh 2021-2025 merangkumi sembilan fokus utama iaitu Merancakkan Pertumbuhan Ekonomi, Memperkukuh Pemangkin Pertumbuhan, Meningkatkan Kesejahteraan Keluarga Malaysia, Memantapkan Keselamatan dan Ketenteraman Awam dan Membasmi Kemiskinan Tegar dan Merapatkan Jurang Pendapatan.

Turut menjadi fokus utama ialah Memperkasa Agenda Bumiputera dan Keluarga Malaysia, Melonjakkan Pembangunan Sabah, Sarawak dan Negeri-Negeri Kurang Membangun, Mempercepat Pertumbuhan Hijau dan Meningkatkan Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan Awam dan Memastikan Pelaksanaan Dasar yang Berkesan.

Pakar ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, jika dilihat RMK11, strateginya hampir sama kecuali beberapa pertambahan baru strategi dengan Keluarga Malaysia dan pembangunan Sabah dan Sarawak yang lebih giat.

“Penambahan ekonomi pun hanya pada kadar 4.5 peratus hingga 5 peratus.

“Ini merupakan sasaran yang sama sebenarnya dengan RMK11,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Bagaimanapun yang menarik perhatian mengenai matlamat kerajaan meningkatkan purata pendapatan isi rumah kira-kira RM10,000 sebulan pada 2025.

Barjoyai membangkitkan persoalan mengapa pendapatan purata digunakan sedangkan isu sebenar yang sedang dihadapi adalah gaji isi rumah.

“Sebagai contoh, purata gaji – angka penengah – pekerja di Malaysia RM2,000 sebulan. Daripada 20 juta orang yang makan gaji di Malaysia, 50 peratus menerima pendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan sedangkan tahap kemiskinan ialah RM2,208.

“Jadi mereka yang 50 peratus ini sebenarnya terletak di bawah garisan kemiskinan,” katanya.

Justeru, beliau berpendapat agenda yang lebih penting sepatutnya cuba menekankan peningkatan gaji pekerja di Malaysia sekurang-kurangnya RM5,000 dalam tempoh lima tahun.

“Jika itu dapat dicapai, barulah ia pencapaian yang besar,” katanya.

Tiada ulasan: