Rabu, 29 September 2021

Kes ‘pemecatan tak sah’ bekas Peguam Negara dibicara April depan

Bekas peguam negara, Mohamed Apandi Ali, menyaman kerajaan atas 
pemecatan yang didakwanya tidak sah dan pelanggaran kontrak. (Gambar 
Bernama)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan perbicaraan selama empat hari mulai 18 April tahun depan bagi kes saman berkait “pemecatan tidak sah” dan pelanggaran kontrak yang difailkan oleh bekas peguam negara, Mohamed Apandi Ali terhadap kerajaan.

Peguam Abdul Shukor Ahmad berkata, perbicaraan tidak dapat dielakkan kerana kerajaan tidak bersedia menerima proses pengantaraan bagi menyelesaikan perkara ini di luar mahkamah.

“Tarikh telah ditetapkan hari ini untuk perbicaraan dilanjutkan,” katanya kepada FMT setelah pengurusan kes secara maya di hadapan timbalan pendaftar, Nor Shahadah Saari.

Mahkamah juga memerintahkan semua pihak untuk memfailkan dokumen dan mengenal pasti senarai saksi sebelum pengurusan kes berikutnya pada 5 Nov.

Apandi memfailkan saman September lepas, memohon pengisytiharan bahawa tindakan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, menamatkan perkhidmatannya sebagai Peguam Negara pada 2018 adalah tidak sah.

Beliau meminta ganti rugi khas, hukuman dan am berjumlah RM2,233,599.36 untuk dinilai oleh mahkamah.

Apandi, juga bekas hakim, dilantik sebagai Peguam Negara pada 27 Julai 2015. Kontraknya sepatutnya berakhir pada 26 Julai 2018.

Katanya, sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14), ketua setiausaha kerajaan memaklumkannya melalui surat bahawa tempoh perkhidmatannya akan dilanjutkan tiga tahun.

Bagaimanapun, dalam surat bertarikh 5 Jun 2018, ketua setiausaha memberitahunya, Yang di-Pertuan Agong telah memperkenan pemecatannya, namun tidak menunjukkan sebarang dokumen berkaitannya.

Kerajaan, ketika membela diri, berkata Mahathir tidak memainkan sebarang peranan dalam penamatan perkhidmatan Apandi.

Katanya, sebarang keputusan untuk menamatkan kontrak Apandi dijalankan mengikut undang-undang.

Tiada ulasan: