Khamis, 30 September 2021

5.8 juta bakal pemilih boleh semak rekod dengan SPR Oktober ini

Ainul Illia

Warganegara 18 tahun dan ke atas boleh sahkan maklumat sebelum didaftar sebagai pemilih secara automatik

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memaklumkan bahawa Semakan Pra-Pendaftaran Pemilih Automatik (SPPA) akan diadakan pada 1 sehingga 31 Oktober 2021.

Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, bagi tujuan itu SPR akan mempamerkan maklumat bagi sejumlah 5.8 juta bakal pemilih dan memberi peluang kepada mereka untuk menyemak dan mengesahkan rekod mereka dengan SPR.

Katanya, urusan SPPA boleh dibuat melalui dua kaedah iaitu membuat semakan menggunakan aplikasi MySPR SPPA di pautan https://mysprsppa.spr.gov.my; atau hadir ke 604 tempat semakan SPPA di seluruh negara dan mengimbas Kod QR Bahagian Pilihan Raya Parlimen yang diletakkan.

“Dalam tempoh SPPA ini, mana-mana warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas yang masih belum mendaftar sebagai pemilih boleh menyemak, mengesahkan maklumat mereka dan membuat aduan dengan SPR sebelum didaftarkan sebagai pemilih secara automatik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, SPR menyeru kepada 5.8 juta bakal pemilih berumur 18 tahun dan ke atas untuk menyemak dan mengesahkan maklumat mereka dengan SPR.

“Sekiranya bakal pemilih tidak lagi tinggal di alamat yang dipaparkan, bakal pemilih dinasihatkan untuk mengemaskini alamat kad pengenalan mereka di Jabatan Pendaftaran Negara selewat-lewatnya l 31 Oktober ini.

“Untuk sebarang pertanyaan mengenai SPPA ini, orang ramai boleh hubungi mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri atau Hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau layari portal www.spr.gov.my,” katanya.

Tiada ulasan: