Sabtu, 25 September 2021

Ibu mangsa gangguan seksual pendakwah pula sumpah laknat


Seorang ibu kepada mangsa gangguan seksual pendakwah terkenal membuat sumpah laknat dan video tersebut tular dalam media sosial.

Terdahulu tular video seorang lelaki didakwa abang mangsa juga membuat pengakuan sumpah sama bagi membuktikan dakwaan berhubung isu tersebut bukan sengaja dibuat-buat untuk tujuan menjatuhkan maruah pendakwah tersebut.

Video sumpah laknat berdurasi 49 saat itu didedahkan kepada orang ramai menerusi Telegram Firdaus Wong Wai Hung yang sebelum ini begitu lantang mendedahkan isu kontroversi melibatkan penceramah terkenal terbabit.

Menerusi video itu, wanita berkenaan bersumpah dengan nama Allah bahawa anak perempuannya mengalami kemurungan dan cuba membunuh diri selepas diganggu penceramah terkenal terbabit.

“Bismillahirahmanirahim, Wallahi, Wabillahi, Watallahi, saya bersumpah dengan nama Allah bahawa anak saya mengalami kemurungan dan cuba membunuh diri setelah (individu itu) melakukan perbuatan terkutuk menerusi WhatsApp dan panggilan video terhadap anak saya.

“Jika saya berdusta, Ya Allah laknatilah saya,” katanya dalam video tular itu.

Dalam pada itu, Firdaus Wong mendakwa, ibu kepada mangsa telah mengizinkan dirinya untuk berkongsikan video sumpah laknat memaparkan anaknya telah menerima gangguan seksual.

“Mereka mengizinkan kerana mahu memberikan kesedaran kepada masyarakat yang perkara itu memang berlaku dan mengalakkan lebih ramai mangsa tampil membuat laporan polis.

“Buat masa ini, nama dan wajah mereka dirahsiakan dahulu, apabila tiba masanya mereka semua akan tampil ke khalayak ramai demi sebuah kebenaran,” katanya.

Semalam tular satu video sumpah laknat diikrarkan oleh abang seorang mangsa didakwa gangguan seksual melibatkan pendakwah terkenal.

Tiada ulasan: