Rabu, 29 September 2021

Kes Covid-19 di Langkawi melonjak tiga kali ganda


Jumlah jangkitan baharu Covid-19 di Pulau Langkawi dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi melonjak tinggi, tiga kali ganda berbanding kes yang dilaporkan semalam.

Statistik terkini yang dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi menunjukkan 113 jangkitan baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam itu, berbanding 35 kes semalam.

Berdasarkan statistik itu, semua enam mukim di pulau peranginan yang dibuka semula kepada pelancong pada 16 September lalu, merekodkan peningkatan kes baharu.

Dalam tempoh 24 jam itu juga, Langkawi merekodkan satu kematian menjadikan keseluruhanya 68 kes. Kes kematian itu membabitkan wanita berusia 59 tahun yang mempunyai sejarah komorbiditi.

Sehingga semalam, Langkawi merekodkan 400 kes aktif membabitkan 147 kes di Mukim Kuah; Kedawang (70 kes); Air Hangat (66 kes); Padang Matsirat (53 kes); Ulu Melaka (32 kes); dan Bohor (32 kes).

Pulau peranginan popular itu dibuka semula menerusi Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik Langkawi bermula 16 September lalu dengan ribuan pelancong dalam dan luar negara mula berkunjung ke gugusan 99 pulau itu untuk beristirahat.

Pihak berkuasa khususnya melalui Kementerian Kesihatan (KKM) mengenakan syarat ketat kepada pelancong yang ingin masuk ke Langkawi, termasuk kebenaran kepada individu yang telah melengkapkan vaksinasi masing-masing.

Bagaimanapun, sehingga malam ini tiada maklumat sama ada kes baharu hari ini turut membabitkan pelancong atau hanya penduduk tempatan. Sejak 16 September hingga semalam, belum ada pelancong yang dijangkiti Covid-19 di pulau itu.

Sementara itu, penduduk Langkawi mulai bimbang dengan peningkatan kes baharu yang mungkin menyebabkan sektor pelancongan di pulau itu ditutup semula sebagaimana berlaku ke atas pusat peranginan Phuket di Thailand, yang dibuka kepada pelancong tetapi ditutup setelah kes meningkat.

Tiada ulasan: