Isnin, 27 September 2021

2 lagi kampung Orang Asli di Pahang kena PKPD

 Oleh AMREE AHMAD

Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Dua lagi perkampungan masyarakat Orang Asli di Pahang bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara serentak bermula Selasa ini.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md. Saad berkata, antaranya ialah Kampung Orang Asli Sungai Mai di Jerantut yang dihuni lebih 400 penduduk dari kalangan etnik Jah Hut, ekoran hampir 20 kes Covid-19 sudah direkodkan.

“Ia berpunca daripada tindakan seorang warga tempatan yang dilaporkan lazim pulang ke rumah keluarganya pada hari minggu setelah beberapa hari bekerja di sekitar daerah tersebut.

“Kes indeks mengalami demam, selesema dan batuk sebelum disahkan positif wabak itu hasil ujian di sebuah klinik kesihatan pada Jumaat lalu namun sudah berhubung 40 kontak rapat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rodzi berkata, satu lagi kluster komuniti masyarakat dari suku kaum Jakun juga mengakibatkan Kampung Inoi di Rompin dikenakan PKPD selama 14 hari hingga 11 Oktober depan.

“Penularan wabak bermula daripada seorang penduduk tempatan yang dikesan positif setelah saringan bergejala hari ini tetapi sudah menjangkiti 27 individu termasuk keluarga dan jiran.

“Perkampungan didiami lebih 300 orang penduduk itu pernah dikenakan PKPD pada 14 April lalu sebelum berakhir lima hari lebih awal daripada yang ditetapkan iaitu pada 23 April lepas,” katanya.

Beliau juga memaklumkan hanya satu lokaliti yang bakal tamat PKPD pada esok seperti dijadualkan melibatkan Rancangan Rumah Murah Kampung Kolek, Mukim Sungai Lembing, Daerah Kuantan yang dilaksanakan PKPD sejak 14 September lalu. – K! ONLINE

Tiada ulasan: