Selasa, 28 September 2021

Kerajaan tak cadang naikkan umur bersara

Kali pertama kerajaan menaikkan had umur persaraan penjawat awam pada 
2001 daripada 55 tahun kepada 56 tahun, diikuti 56 tahun kepada 58 tahun 
pada 2008 dan 58 tahun kepada 60 tahun pada 2011.

PETALING JAYA: Kerajaan tidak bercadang meningkatkan umur persaraan perkhidmatan awam pada usia 60 tahun ketika ini, kata Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, dalam jawapan bertulis yang dimuat naik dalam laman sesawang Parlimen Malaysia, beliau berkata, kerajaan dari semasa ke semasa sentiasa melaksanakan kajian mengenai cadangan pembaharuan perkhidmatan awam bagi memastikan kebajikan penjawat awam sentiasa terjamin, sejajar kedudukan kewangan semasa negara.

Ismail menjawab pertanyaan Tan Kok Wai (PH-Cheras) sama ada kerajaan akan mempertimbangkan had umur persaraan minimum dinaikkan memandangkan jangka hayat rakyat semakin panjang sekarang.

Had umur persaraan penjawat awam mengalami tiga kali perubahan dalam tempoh 20 tahun ini, dengan kali pertama had itu dilanjutkan daripada 55 tahun kepada 56 tahun pada 2001.

Ia diikuti tujuh tahun kemudian, apabila usia persaraan dilanjutkan daripada 56 tahun kepada 58 tahun pada 2008 dan sekali lagi daripada 58 tahun kepada 60 tahun pada 2011.

Tahun lalu, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dilaporkan berkata, tiada keperluan meningkatkan had umur persaraan daripada 60 tahun kepada 65 tahun ketika ini.

Isu itu berbangkit selepas wakil dan pengurus negara Bank Dunia di Malaysia mencadangkan kerajaan meneliti semula dasar had usia persaraan berikutan status negara yang mungkin mempunyai masyarakat berusia pada masa akan datang.

Atas faktor itu, wakil Bank Dunia mencadangkan Malaysia meningkatkan had minimum usia persaraan daripada 60 kepada 65 tahun dan ia dikaji dari semasa ke semasa sejajar unjuran jangka hayat penduduk Malaysia.

Tiada ulasan: