Selasa, 28 September 2021

2 pendaki sesat di Gunung Pulai ikut laluan tikus

JOHOR BAHRU: Jabatan Perhutanan Negeri Johor mendapati dua lelaki yang sesat ketika mendaki Gunung Pulai di Kulai, kelmarin menggunakan laluan tidak rasmi.

Pengarahnya, Datuk Salim Aman, berkata trek rasmi masih ditutup disebabkan Johor masih lagi berada dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Mengikut prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) kawasan Taman Eko-Rimba termasuk trek pendakian dalam Hutan Simpanan Kekal hanya dibuka dalam Fasa Tiga PPN.

"Jabatan memandang serius kes pendaki sesat kerana memasuki kawasan Hutan Simpanan Kekal tanpa kebenaran atau permit memasuki Hutan Simpanan Kekal yang menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 47 Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 Negeri Johor yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya denda dan penjara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semua Taman Eko Rimba (TER), Hutan Taman Negeri (HTN) dan trek pendakian serta mana mana Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri ini masih belum dibuka kepada pengunjung awam bagi sebarang aktiviti eko pelancongan.

Semua aktiviti terbabit di kawasan Taman Eko Rimba dan Hutan Taman Negeri dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal di Johor hanya dibenarkan pada PPN Fasa Tiga.

Tiada ulasan: